Isnin, Oktober 17, 2005

Tarawih di zaman Sayyidina 'Umar r.a.

Buya Habib Muhammad al-Maliki dalam kitabnya " Minhajus-Salaf fi Fahmin-Nushush " pada mukasurat 378 - 379 menyatakan bahawa tarawih di zaman Sayyidina 'Umar r.a. dilaksanakan secara berjamaah dipimpin oleh imam-imam yang dilantik oleh Sayyidina 'Umar r.a. iaitu Sayyidina Ubay bin Ka`ab r.a. dan Sayyidina Tamim ad-Daari r.a. bagi lelaki dan Sayyidina Sulaiman bin Abi Khatsamah bagi perempuan. Jemaah lelaki diimamkan oleh kedua-dua imam tersebut secara bergantian, dan jemaah lelaki serta jemaah perempuan dilaksanakan serentak, yakni satu jemaah untuk lelaki dan satu jemaah untuk perempuan.
Berhubung dengan bilangan rakaatnya pula, jumlahnya:-
  1. bermula dengan 8 rakaat dengan 3 witir;
  2. kemudian jumlah tersebut ditambah menjadi 13 rakaat,
  3. kemudian jumlahnya dijadikan 18 rakaat dengan 3 atau 5 rakaat witir;
  4. dan akhir sekali ditetapkanlah perintah agar dilaksanakan 20 rakaat dengan 3 witir, dan inilah berlaku sehingga ke saat kita ini.

Perlu diketahui juga bahawa, dengan diperbanyakan rakaat tarawih, maka diringankan bacaan-bacaan di dalamnya. Bermula dengan lebih dari 100 ayat satu rakaat, akhirnya diringankan kepada 50 ayat, kemudian diringankan kepada 30 - 20 ayat satu rakaat. Diriwayatkan juga bahawa para sahabat bersholat sehingga bertelekan dengan tongkat-tongkat mereka kerana lamanya qiam Imam. Habis-habis sholat, subuh dah hampir menjelang, masa cukup-cukup untuk bersahur sahaja. Bagaimana pula 8 rakaat kita ? Apa pula yang kita lakukan setelah selesai 8 rakaat ? ? ? Nonton TV lebih baik daripada sholat ???? Allahu....Allah.

Tiada ulasan: