Jumaat, Disember 09, 2005

Haul Imam al-Haddad

  • Hari ini 7 Dzul Qaedah merupakan hari kewafatan Imam Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad al-Haddad. Mari kita hadiahkan bacaan al-Fatihah dan Suratul Ikhlash 11 x buat beliau, agar kita memperolehi keberkatan beliau. Berkat yang bersambung kepada datuknya Junjungan Nabi s.a.w. Keberkatan ilmu dan dakwah beliau menjadi antara sebab bersinarnya cahaya Islam sehingga menerangi alam Melayu.
  • Ilmu dan dakwahnya tersebar melalui anak-anak murid dan anak-anak keturunannya sehingga ke Nusantara. Ulama-ulama kita di Tanah Jawi kerap menukil ilmu-ilmunya dalam kitab-kitab mereka. Contohnya, Syaikh Abdus Shomad al-Falimbani dalam kitab "Hidayatus Salikin"nya dan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni dalam "Wusyah al-Afrah"nya.
  • Imam al-Haddad mempunyai karangan-karangan yang bernilai tinggi, antara yang masyhur ialah "Nashoih Diniyyah"nya yang merupakan saduran dan pati ajaran Imam Hujjatul Islam al-Ghazali dalam kitab-kitabnya terutama sekali kitab "Ihya' 'Ulumiddin". Sebahagian ulama mengumpamakan kitab "Nashoih" itu sebagai huruf "ha`" bagi "Ihya`", yakni membawa erti bahawa Nashoih itu memperjelaskan ajaran "Ihya`".
  • Imam al-Haddad memberikan penghargaan besar dan tinggi kepada kitab-kitab Imam Hujjatul Islam al-Ghazali, yang dianggap oleh Imam al-Haddad sebagai satu-satunya ulama yang disifatkan sebagai Hujjatul Islam. Antara pujiannya untuk kitab "Ihya`"ialah:- "Dengan Ihya` Ulumiddin hiduplah hati kami; Hilanglah semua kesusahan dan semua duka di hati; Kitab yang di dalamnya penuh dengan ilmu bermanfaat; Pengarangnya guru kami dan tabib kami; Kitab yang penuh di dalamnya ilmu al-Qur`an dan sunnah; Warisan para salaf dan imam terdahulu yang merupakan pegangan kami.
  • Mudah-mudahan kita tidak mensia-siakan berkat Imam al-Haddad. Keberkatan yang amat diperlukan untuk bertaqarrub kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan: