Khamis, Disember 22, 2005

Wasilah & Tawassul Amalan Sunni



Ikhwah, antara perkara yang menjadi kecaman puak Wahhabi dan kaum muda(h) berhubung dengan bertawassul dalam berdoa. Kacaunya bukan setakat gaduh khilafiyyah tetapi sampai tergamak menuduh kalau bertawassul dengan anbiya dan awliya yang sudah wafat jatuh hukum syirik. Biasalah penyokong anak Pak Wahhab tak dak main lagu lain, lagu syirik memanjang.

Sebenarnya secara sedar atau tak sedar semua orang berwasilah. Lihat yang pergi Makkah sekarang, mesti ada di hati nak berdoa di Multazam, di Raudhah, di Arafah, di Jamrah dan sebagainya, kenapa ? Takkan Allah cuma dengar doa kita bila di tempat-tempat berkat itu sahaja ? Inikan bertawassul dengan tempat yang merupakan makhluk ciptaan Allah jugak. Semua ustaz, baik penyokong anak Pak Wahhab atau bukan, ajar bahawa yang tersebut di atas adalah antara adab berdoa. Adab lain kena cari waktu yang berkat dan mustajab, seperti malam Jumaat, malam Nisfu Sya'baan, malam Lailatul Qadar, hari Arafah dan sebagainya. Inikan berwasilah dengan masa yang juga makhluk ciptaan Allah s.w.t.

Jadi di mana silapnya kalau kita berdoa dengan berwasilah dengan sebaik-baik, semulia-mulia dan seutama-utama makhluk ciptaan Allah, Junjungan Nabi s.a.w. Kita berwasilah, bukan memohon daripada makhluk tetapi daripada Allah menumpang berkah makhluk yang dipandangNya.

Ulama kita telah jelaskan segala nas untuk menyokong amalan bertawassul ini. Lain kali boleh cerita. Hari ini kola (yakni aku, bukan koala, itu makhluk lain) nak nukil fatwa ulama kita Allahyarham Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, mantan Mufti Negeri Sarawak Darul Hana (sebenarnya Sarawak pernah dikenali secara tidak rasmi sebagai Darul Hana sebelum dimasyhurkan secara rasmi sebagai Bumi Kenyalang). Dalam buku "40 Kemusykilan Agama" koleksi fatwa Allahyarham terbitan Jabatan Agama Islam Sarawak mukasurat 77 termaktub:-

  • Dalam perkara tawasul itu, tiadalah ada perbezaan bertawasul dengan Nabi Muhammad dan bertawasul dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang lainnya sholawatUllah was salam 'alaihim ajma`in. Dan begitu juga bertawasul dengan para awlia` dan orang-orang soleh tiada berbeza sama ada di masa hidup ataupun sesudah wafat mereka kerana diyakini mereka tiada menjadikan sesuatu serta tiada pula mereka mempunyai ta`tsir. Hanya bertawasul dengan mereka itu adalah semata-mata untuk mengambil berkat kerana mereka adalah kekasih Allah. Hakikat yang menjadi, yang mengada dan yang mempunyai ta`tsir hanya ada semata-mata Allah jua yang tiada sekutu baginya.

  • Di dalam kitab "Bughyatul Mustarsyidin" mukasurat 297 tersebut keterangan lagi kira maksudnya bertawasul dengan Nabi-Nabi dan wali Allah masa hidup mereka atau sesudah wafat hukumnya adalah harus pada syarak sebagaimana warid hadis-hadis yang sahih pada yang demikian seperti hadis sahih riwayat al-Baihaqi iaitu hadis yang menceritakan tentang Nabi Adam ketika memohon ampun kepada Tuhan daripada kesalahannya. Nabi Adam bertawasul dengan Nabi Muhammad (kerana Nabi Adam telah melihat pada tiang arasy bertulis `La-ilaha-illa-Allah Muhammadur RasulUllah') yang menunjukkan ketinggian maqam Rasulullah walaupun baginda belum dilahirkan lalu Tuhan mengampun kesalahannya. Dan hadis sahih juga berkenaan seorang yang rosak kedua matanya datang kepada Rasulullah meminta Rasulullah mendoakan baginya lalu Rasulullah mengajarkan doa itu dan begitu juga hadis mengenai syafaat dan begitu juga hadis yang kami terima daripada masyaikh-masyaikh kami dan mereka pula menerima daripada masyaikh-masyaikh mereka dan demikianlah seterusnya di mana kesemua hadis sahih itu menunjukkan dengan jelas bahawa bertawasul itu adalah harus dan memang telah tsabit diamalkan di merata-rata dunia Islam. Dan cukuplah untuk menjadi contoh dan tauladan apa yang telah dilakukan oleh ulama Islam sejak dari dahulu mereka telah melakukan tawasul itu. Walhal merekalah yang sebenarnya yang telah menurunkan ajaran Islam kepada kita. Tiadalah kita yang terkemudian ini mengetahui perkara-perkara agama jikalau tiada mereka mengajarkannya kepada kita. Maka jikalau demikian ulama-ulama mutaqaddimun (ulama dahulu kala) dikatakan kafir dengan amalan mereka bertawasul itu sebagaimana dianggap oleh orang-orang yang bodoh nescaya batallah syariat Islam.

  • Bertawasul bukan sahaja di masa hidup Nabi bahkan sesudah wafat juga ada dilakukan oleh para sahabat (tersebut di dalam hadis riwayat ath-Thabarani). Ulama-ulama besar seperti Imam ar-Ramli, as-Sayuthi, asy-Syaikh Sayyid Abu Bakar Syatha pengarang "I`anathuth-Tholibin", asy-Syaikh Ibrahim al-Bajuri dan lain-lainnya dalam menyudahi kitab susunan mereka sering menutupkan doa mereka bertawasul iaitu dengan berkat kemuliaan Nabi Muhammad atau kebesarannya Engkau jadikanlah Ya Allah kitab ini bermanfaat. WaAllahu a`lam.

Begitulah ikhwah, penat juga kola salin fatwa Almarhum Datuk Kadir, maklumlah guna dual-jari typing system. Berhubung dengan kesalahan Nabi Adam a.s. yang disebutkan dalam hadis, maka itu tidaklah dianggap sebagai dosa kerana para nabi itu ma'shum. Kita harus sedar bahawa bukan semua kesalahan dianggap dosa, bahkan dalam syariat kita kesalahan yang dilakukan kerana terlupa tidak dianggap dosa sehingga orang yang tidak sholat sampai terkeluar waktu kerana terlupa tidak dianggap berdosa walaupun wajib qadha`. Harap fahami betul-betul agar tidak terpesong aqidah kita berhubung kema'shuman para nabi. Fahami jugak sabdaan Junjungan s.a.w. "Hasanatul Abrar Sayyiatul Muqarrabin" (Kebajikan orang sholeh merupakan kesalahan para muqarrabin). Mari hadiahkan al-Fatihah untuk Datuk Abdul Kadir Hasan dan guru-gurunya juga pada sekalian ulama kita.

2 ulasan:

Tawel-Sensei berkata...

Terima kasih utk info ni..salam perkenalan..bleh link ke blog saya tak?

Abu Muhammad berkata...

Tafadhdhal, silakan. Teruskan sebar kebenaran.