Isnin, Januari 02, 2006

Hikmah Korban

Ikhwah, diceritakan bahawa apabila Syaikh Abdullah Mubarak (seorang waliyUllah besar) pulang dari mengerjakan haji, beliau ditanya tentang apa yang dilihatnya sewaktu menjalani ibadah tersebut. Beliau menjawab : "Aku melihat binatang berkeliaran". Begitu juga saat Imam Ja'faar as-Shadiq berada dalam Masjidil Haram, beliau melihat banyak haiwan di situ. Pernah juga berlaku ketika Kiyai Agung selesai menjalani suluknya, beliau singgah di sebuah masjid untuk bersholat, tiba-tiba dilihatnya masjid tersebut dipenuhi oleh manusia berkepala binatang, macam-macam binatang ada. Istighfar panjang Kiyai Agung, jika beginilah manusia yang sholat, apatah lagi yang tidak bersholat. Inilah pandangan kasyaf para wali, yang apabila tabir diangkat oleh Allah mereka melihat apa yang dikehendaki oleh Allah untuk mereka melihat.

Hujjatul Islam al-Ghazali menyatakan bahawa manusia mempunyai sifat-sifat kebinatangan, sama ada binatang melata maupun binatang buas. Sifat kebinatangan yang menjadi kenderaan paling mudah untuk syaithan kerana ianya sentiasa suka mengikut hawa nafsu semata-mata. Oleh itu, kita disarankan agar sentiasa mujahadah demi membuang sifat-sifat ini dengan menjalankan syariat dengan ikhlas kepada Allah. Jadikanlah syariat Allah sebagai tali kekang untuk mengawal sifat-sifat kebinatangan ini.

Oleh itu, apabila kita melakukan ibadah korban, maka antara hikmahnya ialah melatih jiwa kita untuk bersikap prihatin dan berbelas kasihan kepada sesama umat. Sifat "Haji Bakhil bin Lebai Kedekut" sedikit sebanyak dilunturkan kerana korban memerlukan harta untuk dikorbankan. Apalah RM400 - RM500, bagi yang berkemampuan, tetapi kenapa tidak ramai yang melakukannya, mungkin alasannya tidak mampu sedangkan duit di bank ada banyak lagi.

Antara hikmahnya lagi ialah sewaktu berkorban, hendaklah kita mohon kepada Allah mudah-mudahan segala sifat kebinatangan yang ada pada diri kita dihilangkanNya. Agar dengan keberkatannya, jadilah kita insan yang sempurna (i.e. bukan makhluk berupa manusia berhati serigala, bukan makhluk badan manusia kepala baghal dan sebagainya). Inilah, kata sebahagian sufi, isyarat dari sabdaan Junjungan s.a.w. "Fa thiibuu biha nafsan", (maka engkau perbaikkanlah dengannya (yakni dengan korban) akan diri). Insya-Allah, segala ibadah yang maqbulah di sisi Allah akan mempunyai efek positif bagi diri pelakunya. Begitu juga dengan korban yang dilakukan dengan ikhlas hanya untuk Allah.

Mari sama-sama kita cari sapi dan kambing untuk dibuat korban tahun ini. Lagi mahal harganya ertinya lagi banyak harta kita dilaburkan untuk saham akhirat. Ingat ibadah korban adalah sunnah muakkad bagi yang berkemampuan. Punya kuat tuntutannya, diberitakan bahawa Junjungan s.a.w. murka pada orang kaya yang tidak melakukannya, sehingga dinyatakan Junjungan s.a.w. menegah mereka untuk menghampiri tempat baginda bersholat.

Tiada ulasan: