Jumaat, Mac 17, 2006

Hadis Jabir - 'Iqdul Jawahir



Aku nukilkan di sini buat tatapan ikhwah yang tak sabar-sabar, hadis Jabir bin Abdillah al-Anshari r.anhuma sebagaimana dicatat oleh Imam al-'Ajluni dalam himpunan 40 haditsnya yang berjodol "Iqdul Jawharil Tsamiin fi arba`iina hadiitsan min ahaadiitsi Sayyidil Mursalin" atau "`Iqdul Jawaahirits-Tsamiin fi arba`iina hadiitsan min ahaadiitsi Sayyidil Mursalin" dengan tulisan khat oleh al-'Alim al-'Allamah adz-Dzakiy asy-Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthofa al-Fathani. Pada mukasurat 25 terkandung hadits Jabir tersebut yang kira-kira bererti:-
  • Aku (yakni Sayyidina Jabir) telah bertanya kepada Junjungan Nabi s.a.w.: " Wahai Rasulallah, demi ayah dan ibuku yang menjadi tebusan bagimu, khabarkanlah kepadaku mengenai apa yang mula pertama dicipta Allah ta`ala sebelum segala sesuatu."
  • Junjungan s.a.w. bersabda:- "Wahai Jabir, Allah ta`ala telah mencipta sebelum segala sesuatu nur nabimu daripada nurNya. Lalu dengan kudratNya berputar nur tersebut (yakni menjalani satu proses yang Allah sahaja Maha Mengetahui hakikatnya) menurut kehendakNya, dan pada waktu itu belum ada lauh, belum ada qalam, belum ada syurga, belum ada neraka, belum ada malaikat, belum ada langit, belum ada bumi, belum ada matahari, belum ada bulan, belum ada jin dan belum ada manusia. Ketika Allah ta`ala berkehendak untuk menciptakan makhluk, dibahagiNya nur tersebut kepada empat bahagian, maka dijadikanNya daripada bahagian pertama, qalam, dan daripada bahagian kedua, lauh, dan daripada bahagian ketiga, arsy. Kemudian dibahagiNya bahagian keempat kepada empat bahagian lagi, lalu diciptakanNya daripada bahagian pertama akan malaikat penanggung arsy (hamalatul-arsy), dan daripada bahagian kedua, kursiy; dan daripada bahagian ketiga, baki sekalian malaikat. Kemudian dibahagiNya pula bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu dijadikan daripada bahagian pertama akan segala langit; dan daripada bahagian kedua, segala bumi; dan daripada bahagian ketiga, syurga dan neraka. DibahagiNya lagi bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu diciptaNya daripada bahagian pertama, nur absharil mu`minin (nur pandangan orang-orang mu`min); daripada bahagian kedua, nur hati-hati mereka iaitu ma'rifatu billah ta`ala (yakni ma`rifat akan Allah ta`ala); dan bahagian ketiga, nur jiwa mereka iaitu tauhid "la ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah s.a.w.".....al-hadits sebagaimana diriwayatkan dalam "al-Mawaahibul-Laduniyyah" tanpa menyebut sanad hadits dan tanpa disempurnakannya.

Apa yang perlu kita perhatikan ialah al-Imam al-'Ajluni telah membawa hadits ini dalam himpunan 40 haditsnya tanpa apa-apa komentar mengenai darjat hadits ini. Beliau hanya menyebut bahawa hadits ini diriwayatkan dalam "al-Mawaahibul-Laduniyyah" karangan Imam al-Qastholani. Oleh itu kita beranggapan bahawa Imam al-'Ajluni sesungguhnya menerima ucapan tersebut sebagai hadits yang boleh diriwayatkan dan dijadikan hujjah, kerana para muhadditsin telah menyatakan bahawa hadits dhaif atau maudhu` tidak boleh diriwayatkan tanpa menerangkan kedhaifan atau maudhunya. Bahkan Imam al-'Ajluni juga telah menukil hadits ini dalam "Kasyful Khafa" tanpa komentar mengenai darjat hadits ini. Ulama yang menentang mengatakan bahawa Imam al-Qasthalani tersilap, maka Imam ar-Zarqani dan ulama-ulama selepasnya yang menyetujui dan menukil hadis ini juga tersilap, maka ramailah ulama-ulama yang silap. Adakah ulama - ulama kita tersebut memang silap atau mereka yang tidak bersetuju yang tersilap ? Imam al-Qasthalani, ar-Zarqani, al-'Ajluni bukannya jahil mengenai hadis dan periwayatannya. Walaupun ada yang menolak tetapi, ramai juga yang menerimanya bahkan Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam "Fatawa Haditsiyyah" menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Abdur Razzaq, begitu jugalah ulama-ulama kita di Nusantara.

Apatah lagi, himpunan Imam al-'Ajluni ini ditulis sendiri oleh Syaikh Wan Ahmad al-Fathoni yang menerimanya secara sanad yang muttasil kepada pengarangnya seperti berikut:-

  • Syaikh Wan Ahmad menerimanya daripada;
  • Syaikh Sayyid Muhammad 'Ali bin Sayyid Dhzahir Watari daripada;
  • Syaikh Ahmad MinnatUllah al-Maaliki al-Azhari, daripada;
  • Syaikh al-Amir Muhammad al-Kabir, daripada;
  • Syaikh 'Abdur Rahman bin Muhammad al-Kuzbari ad-Dimasyqi, daripada;
  • Syaikh Ahmad bin 'Ubaid al-'Aththar ad- Dimasyqi, daripada;
  • Syaikh Isma`il al-'Ajluni.

Siapa Syaikh Wan Ahmad ? Ulama besar kita yang menjadi guru utama Tok Kenali al-Kelantani. Kalau ada geng-geng anak Pak Wahab hidung pesek nak tolak, atau anak murid mamak nak tolak, ikut suka hang pa lah. Kamu semua ngaji hadis, aku yang tak ngaji hadis ikut Tok Syaikh Wan Ngah jadilah. Kamu ikut le Tok Syaikh kamu dan mawlana kamu.

Jadi terpulanglah kepada kalian sama ada untuk mengi'timadkan hadits ini dengan mengikut para ulama yang menyokongnya atau menolak seperti sebahagian yang lain atau tawaqquf, duduk diam-diam sahaja. Buya Dr. Muhammad al-Maliki telah menyatakan bahawa hadis Jabir ini adalah masyhur tetapi ada khilaf padanya, ada yang mensabitkannya dan ada yang menolaknya. Yang aku pelik, dekat nak putus urat tekak aku kata ada khilaf, masih ada jugak yang nak berbalah. Mamat ni nak aku cakap dalam Urdu kot baru faham !!!!!!

Barang diingat bahawa kalaupun ulama kita seperti Sidi Hasan Saqqaf dan guru-gurunya menolak sabitnya hadis ini, maka tidak bermakna mereka menolak konsep Nur Muhammad yang menjadi pegangan kebanyakan ulama terdahulu. Yang ditolak cuma hadis Jabir tersebut bukannya konsep Nur Muhammad. Ini kita kena fahami betul-betul, kerana jika pun hadis Jabir tidak sabit maka ada hadis lain yang menunjukkan kewujudan awal Nur Muhammad ini. Lain masa kita tulis, insya-Allah. Percaya atau tidak kepada makhluk paling awal dicipta itu Nur Muhammad, bukan perkara pokok, oleh itu jangan jadikan ianya sebagai hujjah untuk menyesatkan orang selagi mana tafsirannya tidak bercanggah dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lupakan khilaf terhadap status hadis jabir, mari kita paham betul-betul konsep nur muhd tu ...

Tanpa Nama berkata...

bentangkan ape yg abu kajang faham....

Abu Muhammad berkata...

Syeikh Abukajang, dah org kata khilaf, khilaf le, nak lupakan macam mana. Itu adalah kenyataan. Apa mu nak masukkan Nur Muhammad sebagai aqidah asasiyyah ?

Faham pertama yang kita kena tahu adalah Nur Muhammad itu adalah makhluk ciptaan Allah. Baca betul...betul....MAKHLUK, lagi sekali MAKHLUK.

Nak yang lain, hari lain boleh cerita.

Abu Muhammad berkata...

Tok Syaikh Daud Bukit Abal ada risalah berhubung salah faham terhadap Nur Muhammad ini. Kalau Syaikh Abukajang tak sabar, silalah berhubung dengan ikhwan kat Bukit Abal atau pun ikhwan kat Rasah.

Tanpa Nama berkata...

Apa yang dimaksudkan Nur Muhamad daripada NurNYA ? Padhol ya syeikh Abu ...

Abu Muhammad berkata...

Min Nurihi ertinya daripada nurNya , iaitu Nur yang menjadi miliknya Allah. Ini namanya idhafah tasyrifiyyah. Seperti kita kata BaitUllah iaitu rumah Allah, ruhUllah - ruh Allah dan sebagainya. Semua ini menunjukkan kepada pemilikanNya. Syaikh Abukajang,nanti boleh cerita, sabar ye.

Abu Muhammad berkata...

Tuan Syaikh Abukajang, sila rujuk penjelasan berhubung hal ini akan kitab Kasyful Khafa, bab hamzah, syarahnya bagi hadis no. 827 karangan Syaikh Ismail al-'Ajluni.

Tawel Sensei berkata...

Adakah para ulama ahlussunnah wal jamaah telah berijmak dalam penerimaan konsep Nur Muhammad ini? Saya ingin nak dapatkan kepastian.

Bagi saya, kalau majoriti ulama dah bersetuju, tak perlulah kita nak berdebat lagi. Kalau tidak mahu bersetuju dengan pendapat majoriti, maka terpulanglah. Tapi tak perlulah kita nak menghukum pendapat majoriti itu sebagai sesuatu yang salah. Dan mengikut pendapat majoriti itu adalah lebih selamat.

Abu Muhammad berkata...

Asy-Syahrastani sebut dalam Milal wan Nihal, cerita gajah Abrahah tunduk sujud kat Abdul Muthallib sebab Nur Muhammad yang memancar di dahinya. Kalau tak silap ingat akulah.Nanti aku confirm balik di lain posting.

Abu Muhammad berkata...

Nanti bila kita tulis siap bab Nur Muhammad, kita tahulah siapa yang terima konsep Nur Muhammad ni. Ada seorang tengah siapkan thesis Phd bab Nur Muhammad ni kat UM, aku tak tahu ke dia pro ke kontra, tapi aku harap dia buat kajian betul-betullah.