Isnin, Mac 06, 2006

Khidmat Terhadap Guru - Kisah Syaikh 'Ali


Antara murid terdekat dan terkanan bagi Habib 'Umar bin 'Abdur Rahman al-'Attas, penyusun Ratib al-'Attas yang masyhur, adalah Syaikh 'Ali bin 'Abdullah Baaraas. Rapatnya hubungan murid dan guru ini sehingga Habib 'Umar pernah berkata: "Sesiapa yang memisahkan aku dengan Syaikh 'Ali tidak akan mendapat kebahagiaan". Habib 'Umar juga berpesan agar jika dibacakan Fatihah kepadanya maka hendaklah dibacakan juga untuk Syaikh 'Ali dan sebab itu kita dapati dalam Ratib al-Attas, Fatihah kepada Habib 'Umar diganding dengan Fatihah kepada Syaikh 'Ali. Syaikh 'Ali Baaraas dilahirkan di Huraidhah pada tahun 1027H. Sewaktu beliau datang kepada Habib 'Umar untuk belajar, Habib 'Umar tidak mengajarnya seperti murid-murid lain tetapi beliau telah disuruh oleh Habib 'Umar untuk membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, menggembala kambing dan lain-lain sehingga beberapa lama. Setelah sekian lama berkhidmat untuk Habib 'Umar, pada satu masa ketika Syaikh 'Ali sedang menimba air perigi, Iblis datang kepadanya dalam bentuk manusia dan berkata:- "Ya 'Ali, Apa engkau buat membuang masa di sini. Bukan ada ilmu di sini. Pergilah engkau ke Tarim. Di sana tempat ilmu." Kata-kata Iblis tersebut mengganggu ketenteraman Syaikh Ali, lalu beliau pun pergi mengadap Habib 'Umar. Apabila bertemu dengan Habib 'Umar, belum pun sempat Syaikh Ali mengeluarkan isi hatinya, Habib 'Umar berkata: "Ya 'Ali, adakah engkau mahu dengar kata-kata Iblis dan tidak mahu lagi mendapat berkat di sini ?" Kemudian Habib 'Umar bertanya tentang kitab apa yang ada padanya, dan Syaikh 'Ali menjawab yang ada padanya adalah kitab Bidayatul Hidayah. Habib 'Umar menyuruhnya membaca permulaan kitab tersebut sehingga beberapa fasal, kemudian Habib 'Umar menyuruhnya berhenti lalu berkata: "Aku memberi ijazah kepada kamu dalam ilmu Syariat, ilmu Thoriqat dan ilmu Hakikat." Sesudah itu, sesiapa yang datang untuk bertanya apa-apa masalah kepada Habib Umar akan disuruhnya bertanya kepada Syaikh 'Ali dengan katanya: "Ana shunduuq wa qufli 'Ali Baaraas" (Aku peti dan kunciku 'Ali Baaraas). Maka yang bertanya kepada Habib 'Umar akan pergi kepada Syaikh 'Ali dengan pertanyaan mereka dan dijawab oleh beliau dengan tepat dan betul menurut ilmu yang sebenar.

  • Begitulah keberkatan berkhidmat kepada guru. Pernah juga guruku bercerita bahawa hal yang sama berlaku kepada Syaikh 'Ali al-Khawwas yang merupakan guru Syaikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'raani. Berkhidmat bukan ertinya bermalas-malas untuk belajar ilmu, tetapi lebih kepada mempelajari ilmu secara praktikal dengan mendapat arahan terus daripada seorang guru yang betul-betul mursyid. Justru menadah kitab di hadapan guru kemudian balik tidur lebih mudah daripada memberikan khidmat kepada guru. Murid yang baik akan memberikan khidmatnya kepada gurunya dan guru yang mursyid tidak akan mengambil kesempatan atas khidmat dan ketaatan muridnya. Perlakuan murid kepada gurunya adalah mencari pelajaran dan perlakuan guru kepada muridnya adalah memberi pelajaran, apa pun bentuk perlakuan tersebut tidaklah terikat dengan membaca kitab atau di dalam halaqah sahaja. Oleh itu sebahagian ulama pernah berpesan: "Sesiapa yang tidak mahu berkhidmat (kepada gurunya), dia akan menyesal." Al-Fatihah ila ruuhi Sayyidina wa Habiibina wa Barakatina Shohibir Raatib, Quthubil Anfaas, al-Habib 'Umar bin 'Abdur Rahman al-'Attas, tsumma ila ruuhi asy-Syaikh 'Ali bin 'Abdillah Baaraas.........al-Fatihah.

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syeikh 'Umar AbdurRahman Al Attas dalam bahasa inggerisnya dikenali sbg the Composer of RATIB dan Syeikh 'Ali Al Baras ialah sebagai the Companion of RATIB, RATIB yg Syeikh Umar compose ini banyak khasiatnya dan PENUH dengan RAHSIA ... sebab tu dipanggil jugak ratib syeikh umar ini dengan BELERANG MERAH ....

Tanpa Nama berkata...

Kenapa digelar Tuan Syeikh 'Umar 'AbdurRahman Al Attas dengan Gelaran QutubilAnfaas ... Silakan tuan Al Faqih Abu Muhd ...

Abu Muhammad berkata...

Maaf Abukajang, ana belum faqih lagi. Imam Ahmad menyatakan antara syarat faqih itu hafal 400,000 hadis dengan sanadnya. Ana hadis innamal a'maal bin niyyah, hafallah.

Berhubung dengan gelaran Quthubul Anfaas bagi Habib Umar al-Attas, ada banyak sebab, antaranya sebab dikatakan bahawa setiap tarikan dan hembusan nafas beliau adalah untuk Allah, makrifat kepada Allah, mahhabbah kepada Allah, zikir kepada Allah dan ibadah kepada Allah. Sebenarnya Habib Umar digelar dengan beberapa gelaran seperti Quthubul Ghawth, Thayyibul Anfaas, Shahibul Anfas dan Shohibur Ratib. Sebenarnya maqam kedudukan para wali ini hanya Allah sahaja yang mengetahui ketinggiannya. Kita tahulah dia wali berdarjat tinggi, berapa tinggi bukan pengetahuan kita.

Melekatnya gelaran Quthubul Anfaas bagi Habib Umar juga kerana kena wazan dengan namanya iaitu

Quthubul Anfaas; (sin)
Habib 'Umar al-'Attas; (sin)

seperti juga Imam al-Haddad dan Habib Abdullah al-Aydrus digelar:

Quthubul Irsyad wa Ghawthul 'Ibad wal bilad; (dal)
Habib 'Abdullah bin Alawi bin Muhammad al-Haddad. (dal).

Habib Abdullah al-'Aydrus di gelar Quthubusy Syamsi-sy-Syumus; (sin)
Habib Abdullah al-'Aydrus. (sin)


Allahu a'laam, nak lebih lagi kena tanya dengan para ulama habaib.

Tanpa Nama berkata...

Ya Syeikh Abu Muhd,

Syukran atas jawapan di atas, Ya syeikh adakah Pengamalan Ratib Al Attas ini ialah satu Thoriqah Sufiah .... mohon penjelasan lanjut ya syeikh

Abu Muhammad berkata...

Thoriqahnya ialah Thoriqah Ba 'Alawi yang diasaskan oleh Faqih Muqaddam Muhammad bin Ali yang mempunyai dua silsilah berhubung kepada Junjungan Nabi s.a.w. Silsilah pertama yang dikenali sebagai silsilah adz-dzahabiyyah (untaian/rantaian emas) ialah melalui jalur keturunan beliau yang sambung menyambung kepada Nendanya teragung Junjungan Rasul s.a.w., manakala silsilah kedua pula daripada Syaikh Abu Madyan al-Maghribi.

Walau bagaimanapun, Thoriqah Alawiyyah atau Ba 'Alawi kemudian dibahagikan kepada 2 iaitu yang khusus dan umum atau thoriqah muqarrabin dan thoriqah ahlul yamin.

Imam al-Haddad menganjurkan agar orang-orang awam seperti muka ana ni mengamalkan thoriqah ahlul yamin dahulu kerana hanya setelah lurus perjalanan thoriqah ahlul yamin barulah boleh memasuki thoriqah muqarrabin. Apa itu thoriqah ahlul yamin, tidak lain melainkan pengamalan syariat secara keseluruhan.


Ratibul Attas merupakan satu amalan dalam thoriqah 'Alawiyah yang diberi ijazah umum dan khusus dan amat sesuai untuk diamalkan sesiapa sahaja. Insya-Allah, akan zahir keberkatannya. Yang ana tahu mengamalkan ratib al-Attas ialah Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim dan Ustaz Dato Haji Hasan Azhari kerana ana berkesempatan hadir dalam majlis ceramah mereka bersama Ustaz Hasan al-Attas, Imam Masjid Ba Alawi Singapura sewaktu perasmian masjid kat USJ .... terlupa pulak kat Subang Jaya. Dr. Musa Fathullah Harun pun beramal dengan ratib ini kerana ayahandanya Kiyai Haji Fathullah Harun adalah murid Habib Ali Kwitang selain menerima ijazah langsung daripada Habib Muhammad bin Salim al-Attas, Singapura.

Menisbahkan Ratib al-Attas sebagai satu thoriqah berdiri sendiri tidaklah 100% tepat kerana thoriqah Habib Umar ialah Thoriqah Alawiyah atau Ba 'Alawi, walau bagaimana pun memang ada sesetengah tempat ianya dianggap seperti thoriqah sendiri seperti di Burma terkenal dengan Thoriqah Attasiyyah.

Tuan Abukajang, jika nak lebih tahu berhubung thoriqah dan amalan ini carilah ulama-ulama dan guru-guru yang mukhlisin.

Abu Muhammad berkata...

Dalam thoriqah Ba 'Alawi, banyak wirid-wirid dan zikir-zikir serta hizib-hizib. Tetapi yang termasyhur ialah Ratibul Haddad dan Ratibul Attas.

Tanpa Nama berkata...

Tuan AlSyeikh Al Alamah Wali Kecil Abu Muhd wrote ...
"Tuan Abukajang, jika nak lebih tahu berhubung thoriqah dan amalan ini carilah ulama-ulama dan guru-guru yang mukhlisin."

Syukran Jazakallah Tuan, ana perlu berhubung lebih lanjut dengan ente tentang perkara ini, Bagaimana...?
Wasallam

Abu Muhammad berkata...

Mende wali-wali kecil ni, abukajang. Aku bukan wali, baik besar mau kecil, wali nikah pun tak cukup syarat. Abukajang ni ikut tariqat naqsyabandiah haji yahya ke ?

Unknown berkata...

Adakah yang tahu kitab apa yang membicarakan cara-cara berkhidmat kepada guru/syeikh?