Rabu, September 06, 2006

Nishfu Sya'baan 2 - Syaikh Ahmad

  • Dan telah menghimpun oleh ulama akan beberapa doa yang ma`tsur yang munasabah dengan hal yang tertentu dengan malam Nishfu, membaca akan dia oleh muslimun pada demikian itu malam, berseorang diri atau berhimpun pada perhimpunan mereka itu atau pada lain-lainnya mengajar akan mereka itu oleh seorang daripada mereka itu atau pun mendoa ia dan yang lain me(ng)aminkan atasnya. Dan kaifiyatnya bahawa dibaca pada mula-mula dahulu daripada berdoa kemudian daripada sembahyang Maghrib akan surah Yaasin 3 kali. Pada bacaan yang pertama dengan niat minta panjang umur, dan yang kedua dengan niat menolakkan bala`, dan yang ketiga dengan niat terkaya daripada manusia. Dan tiap-tiap dibaca Yaasin satu kali, dibaca kemudiannya akan doa satu kali. Maka inilah doa yang tersebut (...lihat di atas).

Ikhwah, inilah kaifiyat yang disebut oleh Mufti Syaikh Ahmad Muhammad Sa`id dalam "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan" dan yang lazim diamalkan oleh masyarakat kita. Dalam beramal tu, biarlah dengan tulus hati memohon anugerah Ilahi, baik anugerah di akhirat berupa pahala dan keselamatan di akhirat maupun anugerah nikmat zahir kat dunia yang fana ini berupa umur yang panjang lagi berkat, keselamatan dari bala bencana duniawi dan kelapangan rezeki yang halal. Bacalah dengan tenang dan betul tajwidnya, jangan berlumba mengejar masa, biar sahaja masa berlalu kerana ianya dilalui dalam keadaan kita beribadah membaca al-Quran dan bermunajat kepada Ilahi. Seelok-eloknya, kita usahakan untuk membaca 3 kali surah Yaasin kerana menurut panduan dan amalan para ulama kita. Baca Yaasin sebelum berdoa ini adalah termasuk dalam bab bertawassul dengan amal sholeh sebelum berdoa, dan tawassul ngan amal sholeh, geng anak Pak Wahab pun tak bantah. Tetapi kalau tak dapat 3 kali, sekali pun boleh, bukannya wajib, tak baca pun boleh, tapi sendiri kena ingat bahawasanya Allah tidak akan mensia-siakan amalan orang yang beramal. Kalau gopoh-gopoh takut tercicir pulak dhommah, syaddah, iqlab, ikhfa` dan idhgham bacaannya, terlanggar pulak hukum-hakam tajwid, jatuh berdosa pulak. Apa-apa pun buat yang terbaik, kemudian serah kat Allah. Yang tak nak baca Yaasin atau yang tak nak sambut Nishfu, hang pa baliklah rumah, Isya` nanti mai pulak untuk sholat berjemaah, respect sikit kat orang yang nak baca, tok sah nak tunjuk keras kepala dan kurang ajar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum saudara Abu Muhammad. Saya ada terbaca dalam harakah artikel tentang Nisfu Sya'ban. Ini petikannya:

"Sambutan masyarakat dengan amalan tertentu seperti membaca Yasin 3 kali adalah bidaah yang amat mungkar di kalangan majoriti ulama dan ahli ilmu Islam. Perkara ini telah dijelaskan kebatilannya oleh Ibnu al-Jawzi dalam kitabnya “al-Mauduat” (perkara-perkara yang palsu ), Ibnu Qaiyim al-jawziyyah dalam kitab “al-Manar ai-Munif”, Syeikh Abu Syamah as-Syafie dalam kitab "al-Ba'ith Ala Inkar al-Bida' wa al-Hawadith", al-'Iraqi dalam "Takhrij Ihya' 'Ulum al-Din", Syeikh Ibnu Taimiyyah dalam "Majmu al-Fatawa", Syeikh Saiyid Sabiq dalam "Fiqh as-Sunnah", Syeikh Mutawalli as-Syarawi dalam "Anta Tas al", Dr Abdul Karim Zaidan dalam "al-Mufassal", Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam "Fatawa Muasirah" serta laman web www.islamonline.net (bank fatwa).
Sambutan malam nisfu Syaaban menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, tidak terdapat satu hadis pun yang sampai kepada kedudukan Sohih, terdapat hadis Hasan dan yang palsu mengenainya.
Membaca Yasin 3 kali menurutnya tidak ada asas dan asal pengamalannya. la menyalahi hukum Syara, tidak dapat diterima sama ada berdasarkan nas-nas yang betul daripada al-Quran atau as-Sunnah dan juga ditolak oleh akal yang waras.
Ini kerana baginda tidak pernah membacanya sampai 3 kali dengan pelbagai niat panjang umur, murah rezeki dan dijauhkan bala yang tidak ada asas agama yang boleh diterima. Jika ia berlaku seolah-olah mengisyaratkan kepada umat-nya untuk boleh melakukannya walaupun dalam keadaan yang sukar, kerana tindakan 3 kali itu akan hilang rasa khusu dan ikhlas. Bagi sesiapa yang beriktikad ia adalah amalan baginda Rasulullah, maka akan terjejas iman atau akidah pegangan seseorang muslim.
Begitu juga menurutnya, doa yang dibaca selepas setiap kali selesai bacaan surah Yasin yang dicetak dan diedarkan di kalangan ahli jemaah masjid atau surau secara percuma. Perlu diketahui, bahawa doa-doa seumpama itu juga tidak benar. la merupakan rekaan pihak tertentu untuk meraih sokongan dan pengaruh dari orang awam, makna dan ungkapan doa selepas baca Yasin itu adalah salah dan bercanggah dengan kesucian agama Islam.
Sudah sampai masanya, umat Islam menukar cara dan gaya hidup dengan amalan-amalan yang sampai sandarannya kepada baginda Rasulullah s.a.w.
Sedangkan doa-doa yang warid daripada Rasullulah terlalu banyak yang akan diberi pahala bagi orang yang melakukan nya dan pahala zikir.
Perlu juga diingat, bahawa ibadat dalam Islam mesti dilakukan atas dasar ilmu dan kefahaman, bu-kannya atas dasar ikutan membabi buta yang akhir-nya merosakkan gambaran Islam sebenar.
Menurut Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, tidak ada nas khusus untuk beramal bagi mengagungkan malam Nisfu Syaaban, kerana malam yang paling agung untuk disambut oleh segenap umat Islam ialah Lailatul Qadr pada bulan Ramadan yang dijanjikan pelbagai pahala untuk direbut
."

Boleh Tuan Abu Muhammad terangkan apakah maksud kalam 'ulama'-ulama'di atas yang mengatakan membaca Yasin 3 kali pada Nisfu Sya'ban sebagai bid'ah yang mungkar, terutama sekali kalam Syeikh Mutawalli as-Syarawi dalam "Anta Tas al". Adakah benar Syeikh Mutawwali mengatakan demikian?