Isnin, Oktober 30, 2006

Habib Nuh al-Habsyi

Dikisahkan bahawa Kiyai Agung Muhammad bin 'Abdullah as-Suhaimi BaSyaiban memang selalu mengamalkan bacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w., tetapi kadangkala beliau meninggalkannya. Pada satu malam, beliau bermimpi dan dalam mimpi tersebut beliau bertemu dengan Junjungan Nabi s.a.w. dan Habib Nuh yang ketika itu sudah pun berpulang ke rahmatUllah. Dalam mimpi tersebut, Habib Nuh sedang mengiringi Baginda Nabi s.a.w. yang sedang berjalan di hadapan rumah Kiyai Agung, lalu Habib Nuh pun berkata kepada Baginda Nabi s.a.w.: "Ya RasulAllah, marilah kita ziarah rumah kawan saya Muhammad Suhaimi." Tetapi Junjungan Nabi s.a.w. enggan berbuat demikian sambil bersabda: "Saya tak hendak menziarahinya kerana Muhammad Suhaimi ini selalu lupakan saya, kerana dia selalu meninggalkan bacaan maulid saya." Habib Nuh merayu kepada Baginda Nabi s.a.w.: "Saya bermohonlah kepada tuan supaya dia diampuni." Setelah itu baharulah Junjungan Nabi s.a.w. mahu masuk dan duduk di dalam rumah Kiyai Agung. Inilah kisah mimpi Kiyai Agung, selepas isyarat mimpi itu, maka Kiyai Agung tidak lagi meninggalkan bacaan mawlid, hatta dalam pelayaran sekalipun dan walaupun hanya 2 atau 3 orang sahaja dalam majlis pembacaan tersebut.

Ini cerita mimpi, percaya atau tidak terpulanglah, kuceritakan kisah ini sebagai pengenalan kepada ketinggian maqam seorang waliyUllah yang bermakam di Singapura. Beliau yang kumaksudkan dan kuharapkan keberkatannya bagi diriku dan ahli keluargaku serta sekalian muslimin adalah Habib Nuh bin Muhammad al-Habsyi yang hidup sekitar tahun 1788M - 1866M. Makam beliau terletak di Palmer Road, Tanjong Pagar, Singapura. Keistimewaan Habib Nuh al-Habsyi makin tersohor apabila kerajaan Singapura sewaktu pembinaan lebuh raya cuba untuk memindahkan makam beliau tetapi gagal. Akhirnya, makam beliau dibiarkan dan sehingga kini terus di bawah penjagaan Majlis Ugama Islam Singapura.

Habib Nuh al-Habsyi meninggalkan dunia yang fana ini pada hari Jumaat, 14 Rabi`ul Awwal 1283H. Sebelum meninggal, beliau telah mewasiatkan agar dikebumikan di atas sebuah bukit kecil di Jalan Palmer tersebut. Wasiat ini dipandang ganjil kerana tempat yang ditunjukkannya itu adalah terpencil daripada perkuburan orang Islam dan berada di tepi laut yang terdedah kepada pukulan ombak dan hakisan laut. Maka ahli keluarga beliau memutuskan agar jenazahnya dimakamkan sahaja di tanah perkuburan biasa. Setelah selesai urusan jenazah dan ketika hendak dibawa ke tanah perkuburan biasa, jenazah beliau tidak dapat diangkat oleh orang yang hendak membawanya. Diceritakan puluhan orang cuba untuk mengangkat jenazah tersebut, semuanya gagal. Akhirnya mereka diperingatkan agar mematuhi sahaja wasiat Habib Nuh berhubung tempat pengkebumiannya. Maka apabila jenazahnya hendak dibawa ke tempat menurut wasiatnya tersebut, maka orang-orang yang membawanya merasa jenazahnya amat ringan dan mudahlah mereka mengusungnya. Tahun 1962, kerajaan Singapura telah menambak dan menebus guna laut sekitar makam Habib Nuh, dan sekarang makam tersebut berada di tengah daratan dan bukan lagi tepi laut. Makam beliau tetap terpelihara sehingga sekarang dan menjadi tempat ziarah bagi mereka-mereka yang mencari keberkahan seorang sholih lagi wali.

Karamah Habib Nuh al-Habsyi zahir sewaktu hayatnya lagi. Diceritakan bahawa pernah beliau dipenjarakan oleh penjajah orang putih. Anehnya, Habib Nuh boleh berada di luar penjara pada bila-bila masa sahaja yang dia kehendaki, walaupun dalam penjara kaki dan tangannya dirantai. Walaupun ditangkap semula, beliau tetap dapat keluar dari penjara, sehingga penjajah tidak betah lagi untuk memenjarakan beliau kerana penjara tidak lagi mempunyai apa-apa arti buat beliau.

Diceritakan lagi bahawa pada satu ketika ada seorang saudagar yang sedang dalam pelayaran ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah dipukul ribut kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa kepada Allah agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar jika sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain kepada Habib Nuh. Alhamdulillah, dia dan dagangannya diselamatkan Allah dari keganasan ribut tersebut. Setibanya di Singapura, dia hairan kerana Habib Nuh telah sedia menunggu kedatangannya di pelabuhan dan memintanya melaksanakan nazar yang telah dibuatnya di tengah laut itu.

Diceritakan lagi bahawa seorang yang hendak belayar membawa dagangan yang mahal mengikut sebuah kapal telah menghadap Habib Nuh memohon doa agar pelayarannya selamat. Habib Nuh dengan keras melarang dia membawa dagangannya tersebut. Memandangkan ketegasan Habib Nuh tersebut, maka saudagar tersebut tidaklah jadi membawa dagangannya dengan kapal tersebut. Tidak berapa lama selepas kapal tersebut berlepas, penduduk Singapura dimaklumkan bahawa kapal tersebut telah terbakar dan tenggelam.

Banyak lagi kejadian aneh yang dihubungkan kepada karamah Habib Nuh ini. Walau apa pun khawariqul adah yang berlaku pada dirinya, maka itu bukanlah tuntutan kita. Yang pasti, sejarah telah menyaksikan bahawa Habib Nuh al-Habsyi adalah seorang sholeh yang taat kepada ajaran Islam. Apa yang kita citakan ialah agar dapat mencontohi jejak langkah beliau dalam menuruti perjalanan para leluhurnya sambung-menyambung sehingga ke hadhrat Junjungan Nabi s.a.w. Mahabbah kepada para sholihin adalah dituntut dan ingat seseorang itu nanti akan berada bersama orang yang dikasihinya. Sesungguhnya istiqamah atas agama itu lebih baik daripada 1000 kekeramatan mencarik adat. Karamah maknawi itu lebih bermakna dari karamah hissi. Mudah-mudahan keberkatan Habib Nuh al-Habsyi mengalir terus kepada kita dan anak keturunan kita, keberkatan yang dengan sebabnya diharap Allah memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasih sayangNya. Mari kita hadiahkan al-Fatihah kepada wali Allah Kota Singa ini.....al-Fatihah.


Wajah Habib 'Arifin bin Muhammad al-Habsyi, saudara kandung Habib Nuh bin Muhammad al-Habsyi. Habib 'Arifin telah kembali ke rahmatUllah dalam tahun 1904M dan dimakamkan di Burma Road, Pulau Pinang.....al-Fatihah.

14 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

As-salamu 'alaikum.

Terima kasih di atas tulisan Saudara Abu Muhammad mengenai asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi, dan juga mengenai al-Habib Nuh.

Kalau boleh ditambah lagi makalah-makalah seperti ini.

Abu Muhammad berkata...

Wa 'alaikumus salam,

Insya-Allah, du`aukum.

Kissman berkata...

awal tahun hari tu, first time pegi singapura atas urusan kerja, sempat singgah 5 minit kat maqam habib nuh (geng lain tak nak lama), mashaAllah, terasa sangat aman dok kat situ. saya baru terjumpa blog saudara, t/kasih daun keladi.

Dr Kamaruddin Yaakob berkata...

Syukur...akhirnya aku sampai juga ke makam Habib Nuh pada Ogos 2008. Keheningan terasa kerana aku telah dipesan oleh Pak Cu pada hari disemadinya ayahandaku di tanah perkuburan Kg Jemuan, Kuala Kangsar lima tahun lalu. Aku terkejut kerana Pak Cu memanggilku di hujung kawasan perkuburan setelah orang ramai beransur pulang. "Kamu anak Yaakob ye" katanya. Jika kamu ke Singapura jangan lupa ke makam Habib Nuh. Aku termanggu kerana tiada siapa yang memberitahu salasilah Habib Nuh kepadaku sehinggalah ke saat ayahandaku meninggal dunia. `Dia ada di sini," kata Pak Cu dengan nada bersahaja dan sedikit tersenyum. Kini Pak Cu juga telah tiada lagi. Hanya amalan yang dibawa pulang. Hidup di dunia hanya sementara. Sama-samalah kita berbuat kebaikan moga diberkati dunia akhirat. Amin.

Dr Kamaruddin Yaakob berkata...

Siapakah Pak Cu yang mengkhabarkan tentang Habib Nuh? Aku hanya rapat selepas ayahku meninggal dunia. Apakah keistimewaan Pak Cu? Aku mendengar cerita pernah suatu ketika seekor kerbau yang mengamuk dan hampir menanduk Pak Cu tiba-tiba terpelanting sebelum sampai kepadanya. Aku tidak sempat berguru dengannya. Moga Roh Pak Cu bersama para syuhada dan solehin. Amin. Kay, Putrajaya.

Unknown berkata...

Hikayat dari pada karomah Habib Nuh ini terdengar simpang-siur laksana disadur dari hikayat-hikayat para waliyAllah yang lain. Salasilah nasabnya juga belum pernah ditampilkan. Salasilah nasab akan seorang waliyAllah sangat penting dan referensi datanya pula. Sebab pernah ada artikel semacam ini perihal habib Nuh yang photographnya beliau ditampilkan photograph dari Habib Husein AlHaddad di Jombang- Indonesia..

Unknown berkata...

Hikayat dari pada karomah Habib Nuh ini terdengar simpang-siur laksana disadur dari hikayat-hikayat para waliyAllah yang lain. Salasilah nasabnya juga belum pernah ditampilkan. Salasilah nasab akan seorang waliyAllah sangat penting dan referensi datanya pula. Sebab pernah ada artikel semacam ini perihal habib Nuh yang photographnya beliau ditampilkan photograph dari Habib Husein AlHaddad di Jombang- Indonesia..

hazwan berkata...

Habib Noh Al Habsyi wujud dan bukan hikayat. Beliau antara Wali Allah yang tinggi darjatnya. Wali besar tanah melayu. Gambarnya ada di internet, carilah kalau ada rezeki dapatlah.

Unknown berkata...

Tahun 2014, kebetulan ada rizki dapat bertandang ke negeri Singa.. sempat mampir ke Makam Habib Nuh di palmer road. Tahun 2016 ini kami sekeluarga akan kembali ke sini.. Insyaallah..

Unknown berkata...

Tahun 2014, kebetulan ada rizki dapat bertandang ke negeri Singa.. sempat mampir ke Makam Habib Nuh di palmer road. Tahun 2016 ini kami sekeluarga akan kembali ke sini.. Insyaallah..

Unknown berkata...

insyaallah akan smpi ke sana

Unknown berkata...

Ya Allah Ya Rabb, zat yang maha penyayang diantara para penyayang, dengan kuasa Mu, sampaikan lah hambaMu ini ke makam hamba yang Engkau sayangi, yaitu makam habib Noh,amin ya Rabb.

Unknown berkata...

Assalamualaikum
Dgn keizinan..blh kah kongsi wajah alhabib noh alhabsyi

Unknown berkata...

Assalamualaikum
Bolehkah kongsikn gambar wajah habib noh alhabsyi