Ahad, November 19, 2006

Datuk Hakim Keramat

Gelaran yang diberikan kepada seorang ulama Sarawak yang terkenal sebagai keramat dan berilmu ladunni. Nama sebenarnya Abang Haji Abdul Rahman bin Abang Haji Brahim. Dilahirkan di Kuching dan kembali ke rahmatUllah pada 9 Ramadhan 1309H (1890M) serta disemadikan di perkarangan Masjid Bahagian Kuching.

Almarhum memulakan pengajian agamanya dengan berguru dengan seorang pendakwah yang datang dari kota suci Makkah al-Mukarramah, iaitu Syaikh Ahmad al-Makkawi (@ al-Makki). Menurut keterangan sebahagian, Syaikh Makkawi ini meninggal di Kuching dan dimakamkan di sebuah kampung di tepi Sungai Sarawak, manakala menurut cerita lain, beliau kembali ke Makkah dan meninggal di sana. Kemudian almarhum melanjutkan pengajiannya ke Makkah al-Mukarramah pada tahun 1840an. Setelah menahun di sana, almarhum pulang ke Sarawak setelah menerima maklumat daripada Datuk Patinggi Ghafur yang menunaikan ibadah haji ke Makkah bahawa tanahairnya, Sarawak, telah diperintah oleh Raja Orang Putih yang kafir. Maka kira-kira dalam tahun 1850an, Datuk Hakim Keramat telah pulang ke Sarawak kerana khuatir penjajah Orang Putih akan cuba mengubah `aqidah dan pegangan bangsanya Melayu Sarawak. Kepulangannya ke tanahair adalah untuk menabur bakti dan membela agama dan bangsanya.

Almarhum dalam berhadapan dengan Raja Orang Putih mengambil sikap berdiplomasi kerana beliau sedar bahawa perjuangan bersenjata tidak akan membawa apa-apa kebaikan buat anak bangsanya. Apa yang utama ialah menjaga benteng aqidah dan agama pegangan anak bangsa jangan sampai diceroboh dan dirobek oleh Raja Orang Putih. Melaksanakan jihad dalam suasana yang syarat dan rukun jihad belum dapat disempurnakan hanya akan mengundang kerugian bagi sesuatu perjuangan dalam jangkamasa panjang. Oleh itu, Datuk Hakim Keramat mengatur strategi perjuangannya dengan bergiat di bidang ilmu pengetahuan demi memperkukuhkan kefahaman dan pegangan umat kepada agama Islam. Almarhum giat menyebarkan ilmu dan dakwah tanpa mengenal penat lelah. Dibinanya sebuah surau di Kampung Bandarsah untuk dijadikan pusat penyebaran dakwahnya dan pusat menjalankan tugas-tugas kehakiman.

James Brooke dalam ikhtiarnya untuk menawan hati almarhum sebagai tokoh ilmuwan dan ulama yang disegani telah melantik almarhum sebagai Datuk Hakim yang bertugas untuk mengendalikan hal ehwal Agama Islam. Dan kerana maslahah umat dan untuk menjaga agama, almarhum telah menerima lantikan tersebut, akan tetapi sikap perjuangan dan anti penjajahan beliau tetap membara. Almarhum telah mendidik anak bangsa dengan didikan agama berpandukan pegangan Sunni Syafi`i dan beliau telah menghantar anak-anak didiknya untuk melanjutkan pengajian agama mereka ke Makkah al-Mukarramah. Antara yang dihantarnya ke sana ialah anakanda-anakandanya sendiri, iaitu Datuk Hakim Haji Muhammad Azhari, Datuk Hakim Haji Muhammad Asy`ari, Datuk Imam Haji Suhaili, Syaikh Syibli, Datuk Hakim Haji Muasli, dan juga anak angkatnya (anak susuannya), ulama terbilang, Syaikh Utsman as-Sarawaki.

Datuk Hakim Keramat terkenal dengan wara`nya, apabila mengajar kaum wanita, beliau akan duduk dalam kelambu kerana tidak mahu melihat mereka. Dahulu kaum wanita di Sarawak, apabila keluar rumah sentiasa menutup aurat mereka, bahkan apabila keluar rumah mereka akan ber"margok", iaitu menutup kepala dan muka mereka dengan bertudungkan kain. Dengan bermargok itu, hanya sedikit sahaja muka dan mata mereka yang kelihatan. Malangnya, tradisi bermargok ini tidak diikuti lagi oleh orang sekarang.

Datuk Hakim Keramat bolehlah dianggap sebagai "ulama perintis" yang telah memperkokohkan pengajian Islam di Sarawak serta yang telah mendidik ulama lain Sarawak. Beliau adalah perintis yang telah membuka lembaran baru dalam proses pembinaan budaya ilmu dan intelektual di kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Secara langsung dan tidak langsung, beliau telah menyediakan satu tapak yang kukuh dalam proses ilmu dan dakwah Islamiyyah di Sarawak.

Walaupun dilantik sebagai pembesar negeri, semangat anti penjajahnya tidak kunjung padam. Lantikan tersebut digunakannya dengan sebaik mungkin untuk maslahat dan kepentingan agama dan anak bangsanya. Beliau dan para ulama didikannya telah berperanan menjaga kesucian agama Islam daripada campur tangan penjajah. Dengan diketuai para ulama ini, masyarakat Islam Sarawak berjaya meminimakan campur tangan penjajah dalam urusan agama, bahkan apabila penjajah cuba menjalankan dakyah Kristian di kalangan masyarakat Melayu Sarawak, maka para ulama inilah yang telah memberi tentangan mereka secara diplomasi sehingga akhirnya penjajah bersetuju untuk tidak menjalankan penyebaran agama Kristian di kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa diingati oleh setiap anak bangsa yang tahu mengenang budi dan menghargai jasa ulama. Sungguh Datuk Hakim Keramat, yang terkenal keramat dan berilmu ladunni, dan anak didiknya para ulama Sarawak telah membela dan menjaga 'aqidah Islam Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i yang dipegang masyarakat Melayu Sarawak agar tidak tercabut sekalipun tanahair mereka sedang diperintah oleh Raja Orang Putih yang kafir. Berkat keikhlasan dan perjuangan mereka, raja-raja Orang Putih terpaksa akur untuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama umat Melayu Sarawak.

Mudah-mudahan Allah merahmati dan meredhai mereka sekalian, dan buat mereka sekalung bacaan al-Fatihah.

2 ulasan:

bingregory berkata...

Mashallah, Sidi, that is a wonderful article. Would you allow me to translate it into English for my website? I can give you a rough draft to vet first to make sure I didn't get anything wrong.

Abu Muhammad berkata...

Tafadhdhal ya akhie. I can even bring you to his grave at Masjid Bahagian.