Rabu, November 01, 2006

Nur Muhammad 19

Posting kali ini aku hendak memperkenalkan ikhwah kepada karangan Imam al-Haddad yang masyhur dengan jodol "Sabilul Iddikar wal I'tibaar". Satu karangan yang cukup bernilai. Karangan yang membicarakan dan memperjelaskan mengenai fasa-fasa kehidupan yang telah dan akan dilalui oleh seseorang insan bermula di alam arwah sejak dari penciptaan Nabi Adam a.s. sehinggalah ke kehidupan yang kekal abadi di Syurga atau di neraka (moga-moga Allah jadikan kita sekalian dan ibubapa kita dari kalangan ahli syurga dan bukannya ahli neraka, aaaamiiin). Kitab ini telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu oleh almarhum Habib Ahmad BinSemait rhm. dengan jodol "Peringatan Tentang Umur Insan" dalam edisi Rumi dan Jawi. Juga diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris oleh Dr. Mostafa al-Badawi (murid Habib Ahmad Masyhur al-Haddad rhm.) dengan jodol "The Lives of Man". Aku syorkan ikhwah untuk mendapatkannya dan membacanya, mudah-mudahan ada manfaatnya pada menambah ilmu, melembutkan hati dan memantapkan amalan. Kalau dapat carilah yang dalam bahasa asalnya dan mengajilah dengan guru-guru yang betul, kerana pada terjemahan Melayunya itu masih kedapatan sedikit kekeliruan atau kesilapan terjemah (mudah-mudahan Allah memberi ganjaran pahala setinggi-tingginya kepada almarhum Habib Ahmad BinSemait dan menghapuskan salah-silapnya dan menggantikannya dengan hasanah yang berlipat ganda), bagi terjemahan Inggeris aku tak berani nak komen sebab aku belum berkesempatan untuk mentelaahnya.


Di sini aku nak nukilkan sedikit tulisan Imam ini berhubung Nur Muhammad s.a.w., di mana dinyatakan pada halaman 16:-
Dan telah diriwayat bahawasanya Nabi Adam a.s. pernah mendengar Nur Junjungan Rasulullah s.a.w. bertasbih di tulang belakangnya (di sulbinya yakni pada ketika itu Nur Muhammad atau roh Junjungan Nabi s.a.w. berada dalam sulbi Nabi Adam a.s.) seperti bunyi kibasan burung. Maka tatkala Siti Hawa mengandungkan puteranya Nabi Syits alaihimas salam, nur itu berpindah kepada Siti Hawa, kemudian kepada Nabi Syits a.s. pula. Kemudian berterusan nur tersebut berpindah-pindah kepada sulbi-sulbi yang suci dan rahim-rahim yang cemerlang, sehingga lahir Junjungan Rasulullah s.a.w. daripada (pernikahan) kedua ibubapa baginda yang mulia. Tidaklah pernah terkena Junjungan Rasulullah s.a.w. akan sesuatu kekotoran jahiliyyah dan kekejiannya, walaupun ketika itu berlaku pada kalangan mereka (yakni kalangan umat-umat terdahulu) pernikahan-pernikahan yang dianggap batil, maka Allah telah mensucikan baginda daripadanya, sebagaimana disabdakan baginda 'alaihis sholatu was salam: "Aku dilahirkan daripada nikah dan bukan daripada perzinaan."

Sayyidina Ibnu 'Abbas r.'anhuma dalam mentafsirkan firman Allah ta`ala:
الَّذِي يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ
menyatakan bahawa maksud ayat tersebut ialah berpindah-pindahnya (nur/ruh) Junjungan Nabi 'alaihis sholatu was salam daripada sulbi seorang nabi kepada nabi yang lain seperti Nabi Ismail, Nabi Ibrahim, Nabi Nuh, Nabi Syits dan Nabi Adam 'alaihimus salam. Dalam hal ini (yakni dalam hal berpindah-pindahnya nur/roh Junjungan Nabi s.a.w. daripada sulbi seorang nabi kepada sulbi nabi yang lain) tidaklah ada khilaf padanya.
َ
Begitulah keterangan Imam al-Haddad rhm., untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung kejadian, kewujudan dan kedudukan kita sewaktu bapa kita Nabi Adam a.s. dijadikan Allah, sila ikhwah telaah dan kaji akan karangan bermutu ini. Nescaya akan faham kalian bahawa hakikat kejadian kita bukanlah baru semalam diciptakan Allah dan bukanlah hanya terhenti di alam syahadah dunia ini semata-mata. Kehidupan duniawi dengan roh dan jasad ini adalah satu fasa kehidupan yang sedang kita jalani. Penghujung umur dunia ini adalah dengan memasuki gerbang barzakh atau alam kubur. Imam al-Haddad rhm. telah menyenaraikan fasa-fasa kehidupan atau fasa-fasa umur seseorang insan dengan jelas dan dalam bahasa yang mudah dimengertikan orang awam seperti kita, di mana beliau r.a. telah menyenaraikan 5 fasa umur manusia seperti berikut:-
  • kehidupan roh di alam arwah yang kesudahannya dengan dilahirkan ke alam dunia;
  • kehidupan di dunia berkesudahan dengan memasuki alam barzakh;
  • kehidupan di alam barzakh berkesudahan dengan dibangkitkan untuk hari Mahsyar;
  • kehidupan Mahsyar berkesudahan dengan memasuki syurga atau neraka;
  • kehidupan akhirat yang kekal abadi, sama ada di syurga atau di neraka.

اللهم صل و سلم على نور الأنوار


11 ulasan:

Tawel Sensei berkata...

Wah, rasanya kena beli ni. Abumuhammad, ada tak kitab bagus yang menceritakan biografi Imam al-Haddad? Kalau boleh kitab terjemahan le.

Abu Muhammad berkata...

Sufi Sage of Arabia oleh Dr. Mostafa al-Badawi

Tanpa Nama berkata...

MasyaAllah, TQ for another excellent info. Nazam Habib Umar pun ada memperkatakan tentang dari sulbi yang terbaik ke sulbi yang paling baik..after all: wama baraa kamithlihi insana: never has a human being been created of his like! (excerpt fr. Habib Umar r.a. maulid)
Ya Rabbana Salli wa sallim daiman 'ala habibika man ilaika da'ana
Allahumma Salli wasallim wa barik 'alaihi wa 'ala alih!

Ayman Rosland berkata...

Tawel,

Kitab Imam Haddad ini disyarahkan oleh Ust Fauzi Hadrami masa Deen Intensive 2 tahun lepas.Dah lupa ke??
Translation oleh Dr Mostafa Badawi sgt2 baik.Malahan tak keterlalauan kalau ana katakan, standardnya hampir menyaingi kitab dlm teks asalnya.Masya Allah, seperti kata Sidi Abdal Hakim Murad, "Even reading the books in random chapters, it is still engaging the hearts!!"

Abu Muhammad berkata...

Setakat yang ambo ada terjemahan Dr. Mostafa memang baik dan elok. Seperti kata akhina Syafiq. Ana pun rasa nak cari gak yang Lives of Man tu.

Tawel Sensei berkata...

Shafiq, tahun lepas aku balik awal. Tak ingat ke? :) Hehe..tq abumuhammad.

Tanpa Nama berkata...

Maaf, syeikh, keluar dari tajuk. diharap syeikh dapat membantu permasalahan ini.

saya mendengar ustaz terkenal dikalangan aliran salafi di malaysia berkata bahawa TIDAK BOLEH berniat puasa ganti ramadhan bersekali dengan puasa 6 syawal. Manakala seorang ustaz aliran pondok pula berkata bahawa boleh niat serentak, dan adalah hak allah menentukan samada diterima kedua2nya atau hanya puasa ganti saja yang dikira. dan kalaupun tak diterima perkongsian puasa ini, ia tak menjejaskan puasa dan kewajipan ganti sudah tertunai.

Mohon pandagan dan penjelasan dari syeikh.

Syukran.

Tanpa Nama berkata...

Baru terjumpa dalam risalah ramadhan jakim:

(http://www.islam.gov.my/ramadan/upload/pdf/puasaramadan.pdf)

"Menurut ulama terkemudian dalam Mazhab Syafie seperti al-Khatib al-Syarbini dan Imam al-Ramli,
orang yang menunaikan puasa kerana qadha’, nazar atau sebagainya (selama enam hari) dalam bulan Syawal, akan memperolehi pahala puasa sunat Syawal."

Rujukan:
1. Mugni al-Muhtaj, 2/184
2. Nihayah al-Muhtaj, 3/208

Jazakallah

Abu Muhammad berkata...

Cik nony, betul tu, ana tengah siapkan posting bab tu. Du'aukum

Abu Muhammad berkata...

Bagi cik nony sebelum cik nony yang yang terakhir (silalah mudahakn keje aku, guna le user name), dua-dua betul, tunggu ya.

Abu Muhammad berkata...

Yang kata tak sah tu qawl Imam an-Nawawi, tapi yang mengatakan sah itu qawl ulama mutakhir yang dipandang sebagai mu'tamad oleh sebahagian.