Jumaat, November 24, 2006

Sholawat Munjiyyah

Lama dah aku tak buat posting berhubung sholawat, maka kali ini aku bicarakan sedikit sholawat yang telah lazim diamalkan orang kita yang terkenal dengan nama Sholawat Munjiyyah. Seperti biasa, ianya mempunyai beberapa shighah dengan sedikit perbezaan. Sholawat ini merupakan munajat kita yang kira-kira bererti:

Ya Allah, limpahkanlah sholawat atas Junjungan kami Nabi Muhammad; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau lepaskan kami dari segala huru hara dan bala bencana; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau tunaikan bagi kami segala hajat; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau sucikan kami dari segala kesalahan; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau tinggikan kedudukan kami di sisiMu; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau sampaikan segala matlamat kami dari sekalian kebajikan dalam hidup ini dan selepas kematian; Limpahkanlah juga sholawat ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda dengan disertai salam sejahtera.
Ini adalah sholawat yang paling masyhur di lidah ulama dan awam di rantau kita. Kelaziman Tok-Tok Imam kat tempat aku akan memulakan doa mereka dengan sholawat ini selepas hamdalah. Sholawat ini telah ditulis oleh ramai ulama dalam kitab-kitab mereka, samada ulama Timur Tengah dan tak kurang juga ulama Jawi. Panutan kita, Khaatimatul Muhaqqiqin, Syaikhul Islam, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rhm. dalam kitabnya "ad-Durrul Mandhuud fish Sholaati was salaami 'ala Shoohibil Maqaamil Mahmuud" pada halaman 174 menulis kelebihan sholawat ini seperti berikut:-

(Ke-25) ketika takut karam / tenggelam. Diceritakan oleh al-Faakihaaniy daripada sebahagian sholihin bahawasanya dia berada dalam sebuah kapal yang berlayar di lautan lepas yang hendak karam. Maka tertidur orang sholih tersebut lalu dalam tidurnya dia bermimpikan Junjungan Nabi s.a.w. memberitahunya supaya menyuruh penumpang - penumpang kapal tersebut untuk membaca 1,000 kali : "Allahumma sholli 'ala Muhammadin ..... hingga akhirnya Sholawat Munjiyyah tersebut." Maka dimaklumkanlah hal mimpinya tadi kepada para penumpang, lalu mereka pun membaca sholawat tersebut, tatkala sampai 300 kali bacaan, mereka diselamatkan Allah daripada bahaya karam tersebut. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam al-Majdu al-Faakihaaniy dengan segala sanadnya, dan telah ditambah oleh sebahagian akan riwayatnya dengan perkataan: Bahawasanya sesiapa yang mengucapkannya bagi setiap urusan penting atau menghadapi bala bencana 1,000 kali, nescaya dilepaskan dia Allah ta`ala dari bala bencana tersebut dan ditunaikan keinginannya.
Inilah antara kelebihan sholawat ini menurut ulama kita. Ra-isul Muhadditsin Mawlana Zakaria al-Kandahlawi memuatkan kisah sholawat ini dalam karangannya mengenai kelebihan sholawat yang berjodol "Fadhilat Sholawat". Hal ini juga dinukil oleh ulama Jawi kita, antaranya oleh Tok Syaikh Wan Ali Kutan al-Kelantani dalam "Lum`atul Awrad"nya yang masyhur. Manakala mantan Mufti Sarawak, Allahyarham Datuk Haji Abdul Kadir Hasan juga menulis serba sedikit mengenai sholawat ini dalam fatwanya. Antara lain almarhum menyatakan:-

Doa atau sholawat "Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammadin sholaatan tunjina ..... hingga akhir" adalah satu-satunya sholawat atau doa yang paling popular di kalangan para ulama, yang sering kita dengar dibaca dalam doa atau permulaan doa. Sholawat ini dinamakan Sholawat Munjiyyah, diambil daripada perkataan tunjina atau tunajjina yang maksudnya "dengan berkat sholawat ini kita bermohon kepada Allah supaya kita diselamatkan daripada segala kesusahan dan penyakit."......... Ada warid dalam kitab "Dala-il" dan syarahnya daripada al-Hasan bin 'Ali al-Asnawi bahawasanya beliau berkata: "Barangsiapa membaca doa ini ketika menghadapi kedukaan atau bala` 1,000 kali nescaya dilepaskan oleh Allah daripada bahaya tersebut dan dia mendapat segala yang dicita-citakannya."

Dan daripada seorang Syaikh yang sholih, Musa adh-Dhorir rhm., beliau berkata: "Suatu ketika saya telah menaiki kapal laut, tiba-tiba datang angin yang kencang dan jarang-jarang orang boleh terselamat daripada karam dalam keadaan angin yang kencang seperti itu. Penumpang-penumpang di dalam kapal menjerit ketakutan, tiba-tiba saya tertidur lalu melihat Nabi s.a.w. Baginda bersabda kepada saya menyuruh penumpang-penumpang kapal membaca sebanyak 1,000 kali Sholawat Munjiyyah ini. Kemudian saya pun terjaga, lalu saya memberitahu penumpang-penumpang tentang apa yang saya lihat di dalam masa saya tertidur itu. Kami pun mengucap sholawat tersebut sehingga 300 kali dan Allah telah menyelamatkan kami daripada bahaya yang tersebut."

Daripada kenyataan yang telah saya sebutkan ini, jelaslah bahawa Sholawat Munjiyyah ini sesungguhnya terbilang daripada sholawat-sholawat yang masyhur yang banyak diamalkan oleh ulama-ulama.

Kalau ada orang yang mengatakan sholawat itu tidak boleh diamalkan, apakah alasannya ? Mungkin alasan mereka mengatakan sholawat ini tidak diriwayatkan daripada Nabi, tidak ada Nabi mengajar membaca sholawat yang bunyinya seperti itu. Memang sholawat ini tidak diriwayatkan daripada Nabi menyebutkan seperti itu. Tetapi adakah jadi salah seorang Muslim membaca sholawat seperti itu atau adakah tidak boleh kita mengucapkan sholawat ke atas Nabi lain daripada sholawat yang diriwayatkan daripadanya. Jawabnya yang jelas tidak ada tegahan selagi ucapan sholawat itu tidak bertentangan dan tiada membawa kepada merendahkan atau menghina maqam Rasulullah s.a.w. sama juga dengan doa. Ada doa yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan ada doa yang tidak diriwayatkan daripada Nabi, hanya doa yang disusun oleh ulama-ulama. Adakah tidak harus kita berdoa dengan doa-doa yang disusun oleh ulama-ulama itu ? Jawabnya serupa juga selagi doa itu tidak bertentangan dengan dasar-dasar agama, maka tidaklah ditegah berdoa dengan doa-doa itu.


Tiada ulasan: