Selasa, Februari 28, 2006

Syaikh Abdullah Fahim - Murid Sidi Syatha


Syaikh Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Syaikh Abdullah Fahim merupakan ulama terkenal Tanah Melayu dan mufti pertama Pulau Pinang yang berkhidmat dari 1951 - 1961. Beliau dilahirkan di Kampung Syib 'Ali, Makkah pada tahun 1286H dan dibesarkan di sana dalam suasana ilmu keagamaan. Beliau berdamping dan berguru dengan ramai ulama, menurut riwayatnya guru beliau di Makkah dan Madinah tidak kurang 42 orang. Di antara guru-gurunya ialah:-
  • Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
  • Syaikh Muhammad Sa`id BabShil;
  • Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
  • Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani;
  • Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani; dan
  • Syaikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.

Syaikh Abdullah Fahim selain alim dalam ilmu-ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf, juga mendalami ilmu falak. Keahliannya dalam ilmu falak menyebabkan nasihatnya diminta mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan cadangannya untuk tarikh tersebut diterima. Jangan pula disalah anggap bahawa ilmu falak Syaikh Abdullah Fahim tu serupa dengan ramalan Tok Sami dan Tok Cha. Kalau nak tahu berkenaan ilmu falak kenalah belajar dengan ahlinya, cuma kena ingat bahawa falak ulama itu bukan setakat melihat anak bulan sahaja. Mudah-mudahan titihan zuriat beliau yang akhirnya menjadi Perdana Menteri ke-5 Malaysia dapat memartabatkan lagi Islam di persada dunia umumnya dan Nusantara khususnya.

ALLAHUMMA ASLIH MAN FI SHALAAHIHI SHALAAHUL MUSLIMIN;

WA AHLIK MAN FI HALAKIHI SHALAAHUL MUSLIMIN.

Ahad, Februari 26, 2006

Fitnah Albani

Di antara fitnah Albani ialah dia telah merobek ijmak apabila dia mendhaifkan beberapa hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Sedangkan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah sepakat dalam ertikata telah ada ijmak ulama sejak kurun ke-7 hijrah bahawa sesahih-sahih selepas al-Quran ialah kitab al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah ijmak ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnus Sholah dalam kitabnya "Muqaddimah fi 'Ulumil Hadits".

Contohnya dalam "Dha`if al-Jami' wa Ziyadatuhu", Albani dalam komentarnya bagi hadis:-
  • Allah s.w.t. berfirman: "Ada 3 orang yang akan menjadi lawanKu pada hari kiamat:- (i) orang yang diberi amanat keranaKu kemudian dia khianat; (ii) orang yang menjual orang lain yang merdeka, lalu makan harga jualannya itu; dan (iii) orang yang mengupah pekerja yang melakukan kerja tersebut dengan sempurna, tetapi tidak diberi upahnya."

mengatakan bahawa: "Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bukhari daripada Abu Hurairah, dhaif".

Begitu juga, Albani telah mendhaifkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim daripada Sayyidina Abu Hurairah :-

  • Apabila salah seorang di antara kamu bangun malam, maka bukalah shalatnya dengan dua rakaat yang ringan."

Ini antara contoh kecerobohan Albani terhadap Shahih Bukhari dan Muslim. Maka tidak hairanlah jika Syaikh Abdullah Al-Ghimari seorang ahli hadis terkemuka Maghribi dalam karangannya berjodol "Juz fihi ar-Radd 'ala al-Albani" menyatakan bahawa al-Albani tidak dapat dipertanggungjawab dalam menetapkan nilai hadis, baik shahih atau dhaif. Dan dinyatakan bahawa Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani, ulama besar hadis yang digelar musnid dunya yang tinggal di Makkah mengatakan bahawa "al-Albani adalah seorang yang sesat dan menyesatkan."

Malangnya kita orang awam di Malaysia, hidup-hidup ditipu oleh mereka-mereka yang ilmunya sekadar mengaji karangan al-Albani untuk menyanjung al-Albani sebagai muhadditsin ulung zaman ini, bahkan ada yang tergamak menobatkan Albani sebagai mujaddid. Aku yakin kalau mereka kaji betul-betul kitab-kitab ulama lain, pasti mereka akan tahu tembelang Albani dan akan kenal siapa sebenarnya Albani al-Mubtadi'.

Rabu, Februari 22, 2006

Ratapan 10 Muharram - Fatwa Habib Salim



Lantaran Revolusi Syiah Iran yang menumbangkan kerajaan Syiah Pahlavi, maka ada orang kita yang terpengaruh dengan ajaran Syiah. Bahkan ada juga keturunan Saadah Ba 'Alawi yang terpengaruh kerana termakan dakyah Syiah yang kononnya mengasihi Ahlil Bait.

Habib Salim bin Ahmad BinJindan telah menulis sebuah kitab membongkar kesesatan Syiah yang diberinya jodol "Ar-Raa`atul Ghoomidhah fi Naqdhi Kalaamir Raafidhah". Berhubung dengan bid`ah ratapan pada hari 'Asyura, Habib Salim menulis, antaranya:-

  • Dan di antara seburuk-buruk adat mereka daripada bid`ah adalah puak Rawaafidh (Syiah) meratap dan menangis setiap tahun pada 10 Muharram hari terbunuhnya al-Husain. Maka ini adalah satu maksiat dari dosa-dosa besar yang mewajibkan azab bagi pelakunya dan tidak sewajarnya bagi orang yang berakal untuk meratap seperti anjing melolong dan menggerak-gerakkan badannya.
  • Junjungan Rasulullah s.a.w. telah menegah daripada perbuatan sedemikian (yakni meratap) dan Junjungan Rasulullah s.a.w. telah melaknat orang yang meratap. Dan di antara perkara awal yang diminta oleh Junjungan Rasulullah s.a.w. daripada wanita-wanita yang berbaiah adalah supaya mereka meninggalkan perbuatan meratap terhadap si mati, di mana Junjungan s.a.w. bersabda:- "Dan janganlah kalian merobek pakaian, mencabut-cabut rambut dan menyeru-nyeru dengan kecelakaan dan kehancuran".
  • Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. bahawa Junjungan s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)." Maka semua ini adalah perbuatan haram dan pelakunya terkeluar daripada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana dinyatakan dalam hadis tadi.
  • Telah berkata asy-Syarif an-Nashir li Ahlis Sunnah wal Jama`ah 'Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur al-Hadhrami dalam fatwanya: "Perbuatan menyeru `Ya Husain' sebagaimana dilakukan di daerah India dan Jawa yang dilakukan pada hari 'Asyura, sebelum atau selepasnya, adalah bid`ah madzmumah yang sangat-sangat haram dan pelaku-pelakunya dihukumkan fasik dan sesat yang menyerupai kaum Rawaafidh (Syiah) yang dilaknat oleh Allah. Bahawasanya Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka dan akan dihimpun bersama mereka pada hari kiamat."

Janganlah tertipu dengan dakyah Syiah. Pelajarilah betul-betul pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan berpegang teguh dengannya. Katakan tidak kepada selain Ahlus Sunnah wal Jama`ah, katakan tidak kepada Wahhabi, katakan tidak kepada Syiah.

Selasa, Februari 21, 2006

Penyelewengan Syiah

Sebahagian penyelewengan Syiah yang disenaraikan dalam fatwa Mufti Pulau Pinang tahun 1993:-

  1. Khalifah diwasiatkan secara nas;
  2. Imam adalah maksum;
  3. Ilmu Allah berubah-ubah mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia (al-bada`);
  4. Kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan (ar-raj`iyyah);
  5. Berpura-pura (at-taqiyyah);
  6. Muhammad bin Hasan al-Askari ialah Imam Mahdi al-Muntazar;
  7. Sayyidina Ali disamatarafkan dengan Allah s.w.t.;
  8. Mengkafirkan para sahabat Rasulullah s.a.w.;
  9. Menghalalkan nikah mut`ah;
  10. Menolak ijmak ulama;
  11. Menolak qiyas;
  12. Mengamalkan nikah mut`ah;
  13. Menolak 'aul dan mendahulukan qarabah dari 'asobah dalam masalah pusaka;
  14. Menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Mu`awiyah sebagai 4 berhala Quraisy serta pengikut-pengikut mereka adalah musuh Allah;
  15. Hanya Ali menghimpun al-Quran dengan sempurna;
  16. Menambah Syahadah;
  17. Menolak hadith yang diriwayat oleh Ahli Sunnah wal Jama`ah;
  18. Menzirahi kubur Sayyidina Husain, ganjarannya syurga;
  19. Menyiksa tubuh badan sempena 10 Muharram;
  20. Menghina Abu BAkar dan Umar serta 2 orang isteri Nabi s.a.w. iaitu Aishah dan Hafsah;
  21. Menetap prinsip khumus sebagai kadar zakat;
  22. Imamah dan Khilafah daripada rukun Islam dan ianya berlaku melalui nas;
  23. Mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan;
  24. Sembahyang dhuha adalah bid`ah;
  25. Islam bukan syarat wajibnya haji;
  26. Wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai basuh pada kedua-duanya.

Nak kira banyak lagi sesat dan karutnya ajaran ahli bid`ah bergelar syiah ini, sama ada Imamiyyah ke, Zaidiyyah ke, Ismailiyyah ke. Tak kira apa namanya, semuanya terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Katanya Ismailiyyah kat Malaysia ada 2 cabang, (1) Syiah Taiyibi Bohra atau dikenali sebagai golongan yang memilik Kedai Bombay; dan (2) Ismailiyyah Agha Khan yang dikenali sebagai Kedai Peerbhai. Kedai Peerbhai kat Jalan Masjid India tu Ismailiyyah ke ? Khabarnya puak Bohra ni ramai kat Klang.

Isnin, Februari 20, 2006

Pengkhianatan Syiah Iraq


Dalam "Mukaatabaat al-Imam al-Ghauts al-Fard al-Jaami' Sayyidina 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad" juzuk 1 tercatat sepucuk surat Imam al-Haddad kepada Ahmad bin Muhammad al-Ghisyam az-Zaidi. Antara lain Imam al-Haddad menulis:
  • Sewaktu al-Hasan melepaskan kedudukannya sebagai khalifah (menggantikan ayahandanya dengan pembaitan ahlul halli wal 'aqdi) dan membaiat Mu`awiyah dengan beberapa syarat, antaranya: kekhalifahan akan diserahkan kembali kepadanya setelah Mu`awiyah meninggal dunia. Akan tetapi, al-Hasan r.a. wafat lebih dahulu daripada Mu`awiyah. Dengan wafatnya al-Hasan, Mu`awiyah menyerahkan kekhalifahan kepada anak lelakinya, Yazid. Kaum Muslimin mau tidak mau terpaksa membaiat Yazid. Tetapi al-Husain r.a. tidak mahu membaiat Yazid.
  • Kemudian penduduk Iraq mengirim sepucuk surat kepada al-Husain memintanya pergi ke Iraq untuk diangkat sebagai pemimpin mereka. Al-Husain menyambut baik undangan mereka itu lalu berangkatlah dia ke Iraq.
  • Mendengar berita tentang rencana kedatangan al-Husain ke Iraq, Yazid menulis surat kepada 'Ubaidillah bin Ziyad (gabenor Iraq) memerintahkan dia untuk memerangi al-Husain. Perintah ini dilaksanakan oleh Ibnu Ziyad. Maka, ahli Iraq yang pada mulanya membaiat al-Husain, tiba-tiba berubah fikiran dan menyetujui serangan bersenjata terhadap Imam al-Husain oleh Ibnu Ziyad. Bahkan mereka menyatakan kesetiaan kepada Ibnu Ziyad. Di sanalah al-Husain gugur sebagai syahid di tengah rombongan keluarganya r.'anhum.
  • Orang yang membunuh al-Husain, orang yang memerintahkan pembunuhannya, dan orang yang membantu perbuatan tersebut, kami pandang sebagai orang-orang fasik yang meninggalkan hukum agama. Allah akan memperlakukan mereka semua dengan keadilanNya.
  • Dalam pandangan kami, kedudukan Yazid tidak sama dengan kedudukan Mu`awiyah. Maka bahawasanya Mu`awiyah adalah seorang sahabat dan tidaklah pernah dia meninggalkan sesuatu yang difardhukan dan tidaklah dia melakukan perkara-perkara haram seperti Yazid. Maka Yazid adalah seorang fasik tanpa ragu, kerana dia meninggalkan sholat, membunuh manusia, berzina dan meminum arak. Perhitungan atas dirinya terserahlah kepada Allah.

Jumaat, Februari 17, 2006

Keberkatan berpanjangan


Buya Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam karangannya "Ma dza fi Sya'baan" menukil sebuah atsar di mana Sayyidina Hudzaifah r.a. berkata bahawa sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. (keberkatannya) mencapai/mencakupi si pembaca, anaknya dan anak kepada anaknya (yakni cucunya). Atsar yang sama juga tercatat dalam kitab "Jawahirul Ma`ani wa Bulughul Amaani" karangan Syaikh Ali Hiraazim al-Faasi dan diriwayatkan oleh Ibnu Basykawaal.

Jangan tanya aku mengenai kesahihan atsar ini kerana aku bukan muhadditsin. Tetapi, cukup bagiku jika Buya al-Maliki yang merupakan seorang ahli hadits menukil atsar ini pabila menceritakan antara kelebihan sholawat. Lagi pun yang jelas bersholawat itu sememangnya diperintahkan dan dianjurkan serta banyak kelebihan dunia dan akhirat.

Kenapa masih malas bersholawat ? Kenapa lidah kita masih banyak menyebut selain Junjungan s.a.w. ? Adakah kerana hati kita masih cenderung kepada yang selain baginda ? Semua orang cari keberkatan dalam hidup, kerana hidup yang berkat akan membawa kepada kesudahan yang cemerlang. Nah amalan bersholawat, bukan sahaja menjadikan kehidupan kita penuh keberkatan, tetapi, bi idznIllah, akan menjadikan kehidupan anak cucu kita juga diberkati Allah Rabbul Jalil. Tahun baru masih panas, tanamkan azam bahawa tahun ini kan ku pertingkatkan wirid sholawat ku.

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wa ashhabih

Isnin, Februari 13, 2006

Madad Ya Husain

Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam kitabnya "Jami' Karamatil Awliya`" pada mukasurat 131 menukil perkataan Imam asy-Syilli Ba 'Alawi dalam kitabnya "Masyra'ur Rawi" bahawa antara karamah Imam Husain a.s. adalah apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Syihab az-Zuhri yang berkata: "Tidak tinggal seorang pun daripada orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan Imam Husain melainkan dia menerima balasannya di dunia lagi, sama ada dengan dibunuh atau dengan menjadi buta atau menjadi hitam mukanya atau hilangkekuasaannya dalam sekelip mata. Di antaranya ialah orang yang bernama Abdullah bin Hushain yang telah menegah Imam Husain meminum air dari sungai Furat, lalu Imam Husain berdoa: "Ya Allah, matikanlah dia dalam kehausan." Maka jadilah dia tatkala hendak mati menghadapi kehausan yang bersangatan walaupun diberi minum air yang banyak sehingga dia mati kehausan.
Madad Ya Husain, Madad Ya Bu Zainil 'Abidin

Khamis, Februari 09, 2006

Kecintaan Kepada Imam Husain

10 Muharram tarikh syahidnya Sayyidina Husain r.a. di bumi Karbala`. Syahid dibunuh tentera Ubaidillah bin Ziyad dan akibat pengkhianatan puak Syiah yang sepatutnya berperang bersama dan mempertahankan baginda. Malangnya Syiah bacul apabila melihat tentera Ibnu Ziyad kecut perut dan membiarkan cucu Junjungan s.a.w. berperang sendirian bersama kaum keluarganya sahaja dan akhirnya gugur syahid dibunuh musuh. Sebab itu aku tak heran sewaktu Perang Teluk ke-2, puak Syiah mengkhianati Saddam Husain bila Ayatollah mereka Sistani mengarahkan puak Syiah untuk tidak berperang bersama Saddam. Sayyidina Husain lagi dikhianati apatah lagi Saddam Husain.

Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Shahihnya juzuk 2 mukasurat 306 bahawa Sayyidina 'Abdullah bin Umar r.'anhuma telah ditanyai oleh seseorang dari Iraq mengenai hukum orang berihram membunuh lalat. Sayyidina Ibnu 'Umar r.'anhuma menjawab: "Ahli negeri Iraq mereka bertanya mengenai lalat (yakni hukum membunuh lalat) sedangkan telah mereka bunuh anak kepada anak perempuan Junjungan Rasulullah s.a.w. di mana Junjungan s.a.w. telah bersabda: "Mereka berdua (yakni Imam Hasan dan Imam Husain adalah dua wangianku dari dunia ini)." Jawapan sinis Sayyidina Ibnu Umar r.'anhuma mencerminkan bagaimana kesedihannya terhadap pembunuhan Husain dan perlakuan orang-orang Syiah di Iraq terhadap Imam Husain. Apa tak percaya lagikah, bahawa Syiah Iraq mempunyai saham dalam pembunuhan atau bahasa Indonnya "pembantaian" Imam Husain dan ahli keluarga baginda di Karbala. Bagaimana kita tidak sedih, habis anak-anak baginda dibunuh sama yang tinggal hanya Imam 'Ali Zainal 'Abidin as-Sajjad yang, alhamdulillah, melaluinya berkembang semula zuriat keturunan mulia ini.

Setiap 10 Muharram, puak Syiah mengadakan peringatan Karbala` dengan mengadakan upacara meratap, menangis meraung-raung macam orang tak siuman, bahkan ada yang menyiksa diri seumpama geng-geng Samy Vellu kat Batu Caves waktu Thaipusam. Konon-kononnya kerana cinta dan kasih kepada Imam Husain serta menyesal sebab tak berjuang bersama Imam Husain di Karbala. Entah dari kitab mana mereka dapat amalan ni, kitab Veda kot, entahlah ? Adakah ini tanda mencintai Imam Husain r.a. ??????

Sebenarnya kecintaan kepada Imam Husain dan lain-lain Ahlil Bait adalah tuntutan agama. Memuliakan Imam Husain dan lain-lain keturunan Junjungan s.a.w. adalah juga suruhan agama mengikut pandangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Oleh itu, jangan kita biarkan Syiah sahaja yang "konon"nya mencintai Ahlil Bait. Syiah tidak pernah cinta kepada ahlil bait, Syiah gemar berbohong atas nama Ahlil Bait. Tapi kecintaan kita hendaklah dijelmakan dalam ikutan kepada jejak langkah mereka dalam mengamal dan mempertahankan ajaran Nenda Agung mereka Junjungan s.a.w.

Kepada para saadah, kuperingatkan agar kalian mensyukuri anugerah dan kemuliaan yang Allah kurniakan kepada kamu dalam darah keturunan kamu itu. Kamu muliakanlah darah keturunan tersebut, jangan sampai kamu hinakan darah tersebut dengan perbuatan-perbuatan keji yang dibenci oleh leluhur kamu. Jangan biarkan Junjungan s.a.w. nenda kamu melihat kamu membawa darah tersebut ke tempat-tempat maksiat. Insya-Allah, kemuliaan dunia dan akhirat bagi kamu. Ingat bahawa setiap ni'mat itu akan disoal pada hari Kiamat nanti.

Penyanjungan terhadap Ahlul Kisa`(iaitu Sayyidatina Fatimah, Imam Ali, Imam Hasan dan Imam Husain) amat tinggi dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah sehingga dibenarkan kita mengucapkan "alaihis salam" setelah nama mereka atau "alaihas salam" setelah menyebut nama Siti Fatimah, walaupun ianya tidak masyhur dan jarang digunakan di kalangan kita. Imam al-Bukhari dalam Shohihnya telah meriwayatkan penggunaan ucapan ini dalam juzuk 2 kitab tersebut, di mana ada riwayat yang menyebut al-Husain alaihis salam dan ada bab Manaqib Fatimah alaihas salam. Tapi sudah tentu bukanlah maksudnya menyamatarafkan mereka dengan para anbiya dan mursalin atau memaksumkan mereka seperti para nabi. Jangan gopoh menghukum syiah kepada orang yang berkata Sayyidatina Fatimah a.s. atau Ali a.s. atau Husain a.s., kesalahan Syiah bukan kerana kecintaan kepada Ahlil Bait, tetapi antara kesalahannya ialah kebencian mereka kepada sahabat selain Ahlil Bait.

Keluarga Junjungan Nabi adalah perisaiku;

Merekalah yang menjadi wasilahku kepada Allah;

Aku harap kelak demi keberkatan mereka diberikan

dengan tangan kananku akan suratan amalanku

(Imam asy-Syafi`i r.a.)

Mari kita hadiahkan al-Fatihah buat Imam Husain a.s. dan leluhurnya serta keturunannya.

Selasa, Februari 07, 2006

'Asyura`

Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura` dan baginda menjawabnya: "yukaffirus sanatal maadhiyah" (dapat mengkafarahkan dosa setahun yang lalu).

Disunnatkan juga berpuasa pada hari Tasu`a kerana Junjungan s.a.w. bercita-cita untuk mempuasai hari tersebut agar tidak menyerupai kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari 'Asyura`. Jadi eloklah kita berpuasa hari-hari tersebut, kalau nak makan bubur 'Asyura` tunggulah waktu berbuka. Jangan pula benda yang nyata sunnat kita tinggalkan.

Imam ath-Thabrani dan Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Sayyidina Abu Sa`id al-Khudri, Sayyidina Abu Hurairah, Sayyidina Jabir dan Sayyidina Ibnu Mas`ud r.'anhum bahawa Junjungan s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang memberi keluasan / kelapangan (yakni keluasan rezki) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezkinya sepanjang tahun tersebut." Berhubung hadis ini muhadditsin berbeza pendapat, ada yang mensabitkannya dan ada yang mendha`ifkan. Imam as-Sayuthi dalam "ad-Durarul-Muntatsirah" mensabitkan hadis ini sebagai sahih. Syaikh Zainuddin al-Malibari menulis dalam "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" bahawa Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata: "Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, dan benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut, iaitu luas rezki sepanjang tahun).

Terpulanglah kepada kalian. Tapi elok juga sesekali beri makanan istimewa kepada keluarga dengan niat menggembirakan hati mereka. Bukankah Junjungan s.a.w menyuruh kita berlaku baik dengan mereka. Lagi pula omputih ada kata "charity begins at home" betul ke idak entahlah. Puasa jangan tak puasa.

Habib Salim BinJindan



Habib Salim bin Ahmad bin Husain bin Sholeh bin Abdullah bin 'Umar bin 'Abdullah (BinJindan) bin Syaikhan bin Syaikh Abu Bakar bin Salim adalah ulama dan wali besar ini dilahirkan di Surabaya pada 18 Rajab 1324. Memulakan pengajiannya di Madrasah al-Khairiyyah, Surabaya sebelum melanjutkan pelajarannya ke Makkah, Tarim dan Timur Tengah. Berguru dengan ramai ulama. Seorang ahli hadis yang menghafal 70,000 hadis (i.e. ada yang mengatakan ratusan ribu hadis). Beliau juga seorang ahli sejarah yang hebat, sehingga diceritakan pernah beliau menulis surat dengan Ratu Belanda berisikan silsilah raja-raja Belanda dengan tepat. Hal ini amat mengkagumkan Ratu Belanda, lantas surat beliau diberi jawaban dan diberi pujian dan penghargaan, sebab tak disangka oleh Ratu Belanda, seorang ulama Indonesia yang mengetahui silsilahnya dengan tepat. Tetapi tanda penghargaan Ratu Belanda tersebut telah dibuang oleh Habib Salim kerana beliau tidak memerlukan penghargaan.

Dalam usaha dakwahnya, beliau telah mendirikan madrasah di Probolinggo serta mendirikan Majlis Ta'lim Fakhriyyah di Jakarta, selain merantau ke berbagai daerah Indonesia untuk tujuan dakwah dan ta'lim. Mempunyai ramai murid antaranya Kiyai Abdullah Syafi`i, Habib Abdullah bin Thoha as-Saqqaf, Kiyai Thohir Rohili, Habib Abdur Rahman al-Attas dan ramai lagi.

Habib Salim juga aktif dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia sehingga dipenjarakan oleh Belanda. Di zaman penjajahan Jepun, beliau juga sering dipenjara kerana ucapan-ucapannya yang tegas, bahkan setelah kemerdekaan Indonesia, beliau juga sering keluar masuk penjara kerana kritikannya yang tajam terhadap kerajaan apalagi dalam hal bersangkutan agama yang sentiasa ditegakkannya dengan lantang.

Sifat dan kepribadian luhurnya serta ilmunya yang luas menyebabkan ramai yang berguru kepada beliau, Presiden Soerkano sendiri pernah berguru dengan beliau dan sering dipanggil ke istana oleh Bung Karno. Waktu Perjanjian Renvil ditandatangani, beliau turut naik atas kapal Belanda tersebut bersama pemimpin Indonesia lain. Beliau wafat di Jakarta pada 10 Rabi`ul Awwal dan dimakamkan dengan Masjid al-Hawi, Jakarta......Al-Fatihah.

Isnin, Februari 06, 2006

Habib Alwi bin Ali al-Habsyi


Ulama dan daie yang masyhur. Anak bongsu kepada Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi pengarang mawlid "Simthud Durar" yang masyhur. Pendiri masjid ar-Riyadh di Kota Solo (Surakarta). Beliau dikenali sebagai pribadi yang amat luhur budi pekertinya, lemah-lembut, sopan - santun serta ramah tamah terhadap sesiapa pun terutama kaum yang lemah, fakir miskin, yatim piatu dan sebagainya. Rumah kediamannya selalu terbuka bagi para tetamu daripada berbagai golongan dan tidak pernah sepi dari pengajian. Beliau meninggal dunia pada 20 Rabi`ul Awwal 1373H dan dimakamkan di Kota Surakarta. Tempat beliau digantikan anakandanya Habib Anis bin Alwi bin Ali bin Muhammad al-Habsyi, mudah-mudahan Allah panjangkan usianya demi kebaikan Islam dan muslimin. Mudah-mudahan Allah beri kesempatan kita menziarahinya di Kota Solo. Mari hadiahkan al-Fatihah buat Habib Alwi bin Ali bin Muhammad al-Habsyi dan para leluhurnya dan keturunan mereka.... al-Fatihah.

Karikatur

Isu karikatur (entah betul tidak ejaannya) penghinaan terhadap Junjungan s.a.w. justru penghinaan terhadap Allah dan penghinaan terhadap kita selaku umat Junjungan s.a.w. Kita tidak boleh berdiam diri, tetapi sebarang tindakan kita, sama ada keras atau lembut, hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Nak marah, marahlah, tapi yang aku tak faham marahnya sampai sendiri cedera atau sesama Islam yang tumpah darah dalam tunjuk perasaan apa cerita.
Satu kekeliruan yang sering berlaku bila bil-hikmah sering disinonimkan dengan lemah lembut semata-mata, sedangkan bil-hikmah itu boleh dengan berbagai rupa, keras mau pun lembut. Keras dengan hikmah dan lembut juga dengan hikmah, jangan sampai musuh mengambil kesempatan atas kelembutan kita.

Bagi aku, orang kafir memang mempunyai kebencian atau setidak-tidaknya prejudis terhadap Junjungan s.a.w. Cuma dinyatakannya atau tidak, itu sahaja. Apa yang dilukisnya itu jangan pula kita iktiqadkan sebagai Junjungan s.a.w. Tindakan mereka umpama anjing menyalak bukit.

Ada saudara bertanya apa yang perlu kita buat. Aku pun tak tahu apa nak jawab, cuma buat permulaan tingkatkan kecintaanmu kepada Junjungan s.a.w. Tambah lagi kekerapan engkau menyebut nama baginda yang mulia. Ucapan sebanyak-banyak pujian dan sholawat atas baginda s.a.w. Jadikan sholawatmu sebagai balasan untuk cacian puak kafirin tersebut terhadap Junjungan s.a.w. Sering-sering hadir majlis menyebut-nyebut, memuji-muji, mengagung-agung Junjungan s.a.w. Jangan pula kita haramkan saudara-saudara kita yang melaksanakan majlis-majlis sedemikian. Jangan pula dibid`ah dan disesatkan. Perkukuhkan pegangan dan amalan sesuai dengan ajaran baginda s.a.w. yang disampaikan kepada kita oleh pewaris baginda daripada kalangan ulama amilin.

Awas jangan kamu melatah, bertindak membabi buta, kerana itu boleh meng`confirm’kan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan ke atas kita. Mungkin itu pula yang dinanti-nanti oleh puak-puak tersebut. Nak berjihad pun kena bijaksana, jihad bukan boleh main hentam keromo, jihad sebagaimana lain-lain amalan dalam Islam punya syarat dan rukun, tak cukup syarat dan rukun tak sah pulak jihadnya. Inilah yang kurang difahami sekarang, kobaran jihad lebih kepada tuntutan rasa marah dan sebagainya. Tak salah, jika marah itu pada tempatnya dan jihad pula dengan caranya menurut syarak. Teringat aku kepada Mufti Betawi, Habib Utsman BinYahya, kerana hendak memperbetulkan konsep jihad, lalu dituduh bersekongkol dengan Belanda. Ini lain kali boleh cerita. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih wa 'ala aalih.
p/s - Kena boikot Sarawak Tribune, tok sah beli lagi. Elok beli surat khabar Melayu, kalau tak beli sapa pulak nak beli.

Khamis, Februari 02, 2006

Ingatan Kepada Junjungan

Syaikh DhiyaUddin Ahmad bin Sa`id ad-Darini dalam kitabnya " Thaharatul Qulub wal Khudu' li Allamil Ghuyub " menulis antara lain:-
  • Mengingat atau memuji-muji Junjungan Nabi s.a.w. akan menambahkan keimanan, menerangi hati dan menyingkap rahsia kebijaksanaan Tuhan. Allah s.w.t. telah menetapkan cinta kepada Junjungan Nabi s.a.w. sebagai syarat untuk mencintaiNya dan taat kepadanya sebagai ukuran kepatuhan kepadaNya. Mengingati Junjungan Nabi s.a.w. juga berhubungan dengan mengingati Allah s.w.t. sebagaimana bai'ah kepada Junjungan Nabi s.a.w. juga berkait dengan bai'ah kepadaNya.

Jadi bagaimana kita ? Adakah kita akan jadi penghalang majlis-majlis yang dianjurkan untuk mengingati Junjungan s.a.w. atas alasan ianya bid`ah ? Adakah kita akan menghukum mereka-mereka yang mengingati Junjungan dengan sholawat yang indah menawan gubahan para ulama 'alimin sebagai ahli neraka? Adakah orang yang asyik membaca kisah-kisah Junjungan s.a.w. yang ditulis dengan bahasa - bahasa indah berbentuk nazam dan natsar sebagai ahli bid`ah penghuni neraka ? Atau kita kan jadi orang yang duduk sama mendengar kisah-kisah kebesaran Junjungan serta sama-sama melantunkan sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. ? Orang-orang yang menitiskan air mata kerinduan setiap kali nama Junjungan s.a.w. disebut ? Terpulanglah kepada kalian, tauhid itu satu tetapi jalan menuju Allah sebilang-bilang nafas bani Adam. Shallu 'alan Nabiy ..... Allahumma sholli wa sallim 'alaih wa 'ala aalih.

Asra`us Sadaqah

Memberi makan atau bersedekah makanan merupakan anjuran Junjungan s.a.w. yang diriwayatkan dalam banyak hadis yang shahih lagi masyhur diketahui umum. Para ulama salaf dan penerusnya daripada kalangan khalaf (di mana datangnya ilmu khalaf kalau bukan daripada salaf. Khalaf adalah penerus salaf) telah sepakat bahawa sedekah itu bermanfaat dan sampai pahalanya kepada si mati.

Ibnu Abid Dunya pula telah meriwayatkan daripada Hibban bin Abu Jundah bahawa sedekah yang paling cepat diangkat ke langit (yakni ibarat dari penerimaan yang segera) ialah seseorang menyediakan makanan yang baik (tho`aaman thoyyiban) kemudian menjemput saudara-saudaranya untuk makan.

Imam al-Hakim at-Tirmidzi (bukan Imam Abu 'Isa at-Tarmidzi) meriwayatkan daripada Sayyidatina 'Aisyah r.anha bahawa para malaikat tidak henti-henti berdoa atas seseorang daripada kamu (yakni yang empunya hidangan) selagi mana hidangan yang disediakannya masih terhidang.

Imam al-Hakim daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa sesiapa memberi makan akan saudara seIslamnya makanan yang disukainya, maka Allah akan membebaskannya dari api neraka.

Jadi kenapa kita hendak bertelagah jika ada orang hendak bersedekah memberi makan ? Makan sahajalah, jangan banyak soal. Kenapa kita hendak mempersoalkan keikhlasan orang yang bersedekah tersebut ? Ikhlas atau tidak itu antara dia dengan Penciptanya, lagi pun siapa yang tahu ikhlas tak ikhlasnya seseorang. Kalau keluarga si mati hendak bersedekah buat si mati kenapa harus dihalangi ? Melainkan kalau nyata yang digunakan adalah harta waris yang masih kecil atau mahjur dan sebagainya. Jika tidak, kul bismillah.

Rabu, Februari 01, 2006

Munajat Tahun Baru

Ya Rabbi, Ya Tuhanku,

kupohon kepadaMu

dengan perantara nabiMu Al-Mukhtar sebaik baik hambaMu

pada tahun baru ini

kabulkanlah semua hajat kami

jadikan ia tahun penuh kebahagiaan

sehingga kami memasukinya dalam keadaan sihat afiat

bertambah banyak amal kebajikan kami

jadikanlah kami orang-orang yang berjalan atas jalan terang terpuji

ringankan bagi kami segala perkara yang memberatkan kami

tambahkan bagi kami ilmu dan kebaikan

begitu juga dengan pemberian-pemberianMu,

tambahkanlah untuk kami.

( "Jauharul Maknun Wa Sirrul Mashun" - Habib Ali al-Habsyi)