Jumaat, Mei 26, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 14

Aku harap jangan ada yang berbulu dengar nama Ustaz 'Uthman el-Muhammady, sebab aku nak nukil lagi tulisan beliau. Jadi sesiapa yang berbulu, harap-harap dapat cabut atau cukur bulu-bulu tersebut terlebih dahulu agar tak tambah berbulu lagi. Kali ini aku nukil sedikit tulisannya dalam majalah "PENGASUH" Bilangan 586, Rabi`uts-Tsani - Jamadil Ula 1425 / Mei - Jun 2004 yang bertajuk "Hubungan Insan Dengan Tuhannya - Satu Aspek Dari Sumbangan Hamzah Fansuri Dalam Persuratan Melayu". Antara tulisannya:-
  • Secara ringkas, sebagai lampiran catatan akan diberikan di bawah berkenaan dengan "al-Haqiqah al-Muhammadiyyah" dan "Nur Muhammad". Berkenaan dengan "al-Haqiqah al-Muhammadiyyah". Antara maklumat berkenaan dengannya - yang membuktikan ianya bukan dari ajaran Syi`ah atau mana-mana punca yang bukan diterima - ialah ayat Qur`an yang bermaksud: "Telah datang kepada kamu Nur (Cahaya) dari Allah, dan Kitab Yang Nyata" (5.15). Nur itu Nabi Muhammad s.a.w..........
  • Tentang Nabi s.a.w. berkedudukan sebagai makhluk yang terawal diciptakan, maka antara ulama yang membicarakannya ialah seperti Imam al-Suyuti dalam al-Khasa`is al-Kubra yang dalam bab satu kitab berkenaan disebutkan hadith riwayat Hatim berkenaan dengan nabi tercipta terawal, dan mengambil janji dengan Tuhan; Abu Nu`aim dalam Dala`il al-Nubuwwah menyebut sebuah hadith dengan senarai rawinya sampai kepada Abu Hurairah berkenaan dengan ayat Qur`an yang bermaksud : "Dan sesungguhnya Kami mengambil janji dari para nabi, dan dari kamu, dan Nuh, Ibrahim, Musa dan 'Isa anak Maryam; dan Kami mengambil dari mereka janji yang berat" (33.7) bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Aku yang pertama diciptakan di kalangan para nabi, dan terakhir di kalangan mereka diutuskan". Suyuti mencatatkan sembilan hadith lain yang memaksudkan bahawa nabi kita yang terawal diciptakan; antaranya hadith dari al-Bukhari dalam al-Tarikh, dan Ahmad, al-Tabarani, Hakim, Bayhaqi, bahawa al-Maysarah al-Fajar (Allah meredhainya) berkata: "Saya bertanya: Wahai Rasulullah ! bilakah tuan hamba nabi ? Kata baginda : "Waktu Adam antara roh dan jasad" (al-Khasa`is al-Kubra 3-4)........
  • Dalam hubungan dengan hadith-hadith tentang "Nur Muhammad", kata Dr. Mostafa al-Badawi: "Setengah daripada hadith-hadith yang kami sebutkan di sini ada mempunyai senarai rawi yang kuat, yang lainnya lemah. Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa walaupun sanad yang paling lemah, dalam anggapan para muhaddithin ia masih boleh diterima lagi sebagai bukti sejarah mana-mana ahli sejarah professional di planet bumi ini, (yang riwayat-riwayat berkenaan itu -p) jauh lebih kuat dan terbukti autentiknya daripada lain-lain punca purba yang ia hadapi dalam usahanya. Adalah perkara yang umum diketahui bahawa hadith-hadith yang dhaif boleh menguatkan satu antara lainnya sehingga (dengan saling kuat-menguatkan itu - p) maka jadilah ianya boleh diterima. Sebab inilah maka apa yang kami nukilkan ini diterima oleh ulama terkemuka seperti Ibn Kathir, Suyuti, Qadhi 'Iyad, Bayhaqi dan lainnya.

Di sini, Ustaz 'Uthman membawa tulisan Dr. Mostafa al-Badawi murid Habib Ahmad Masyhur al-Haddad rhm. yang berjodol "The Light of the Prophet s.a.w.) dan tulisan ini tuan boleh baca kat www.masud.co.uk/ISLAM/misc/nuremuhammadi.htm.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Khamis, Mei 25, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 13

Syaikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'raani dalam "al-Yawaaqiit wal Jawaahir" menyebut:-

  • ... Maka sekiranya ditanya: Apakah yang terawal dizahirkan (diwujudkan) selepas dibelah/dipecah mega/tabir ketidakwujudan (yakni selepas Allah berkehendak untuk mewujudkan makhluk dengan menamatkan 'adamnya makhluk) ? Jawapannya adalah seperti kata Syaikh Taqiyuddin bin Abu Mansur, bahawasanya seawal-awal makhluk yang diwujudkan selepas dirobek mega ketidakwujudan adalah Junjungan Nabi s.a.w., maka dengan demikian berhaklah Junjungan Nabi s.a.w. sebagai yang terawal daripada segala yang awal (daripada sekalian makhluk), maka Junjunganlah bapa bagi segala ruhaniyyah sebagaimana Adam a.s. menjadi bapa bagi segala jisim jasmaniyyah.

Perlu diingat bahawa walaupun ada 'alaqah antara ruh kita dengan ruh Junjungan s.a.w. seperti wujudnya 'alaqah antara jisim kita dengan jisim Nabi Adam a.s., ruh dan jasad kita tetap menjadi tanggungan kita semata-mata. Bahkan kerana kita mengkhianati kemuliaan asal kejadian kita dengan mencemarinya serta menjerumuskan diri dalam berbagai dosa dan maksiat, maka kita diazab oleh Allah s.w.t. Sewajarnya apabila kita mengetahui asal muasal kejadian diri kita, maka bersungguh-sungguh kita memelihara diri sebagai sebaik-baik ciptaan (ahsanu taqwim) jangan sampai terjatuh ke tempat yang serendah-rendahnya (asfala saafiliin).

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Jumaat, Mei 19, 2006

Marilah...mari... pergi mengundi......

Insya-Allah, isok aku nak turun memangkah calon pilihan. Adik kakak, abang adik, bapak emak, tok nenek , jangan lupak turun sama ngundi. Tapi yang dah tua dan uzur janganlah dipaksa turun ngundi, janganlah diangkut, jangan dipikul, kesian urang tua. Cariklah pengundi lain. Apa dah sik ada lagik urang nak mangkah parti kitak ?
Arap-arap kali tok sik ada antu-antu turun ngundi. Arap-arap malam ngira undi kelak, api sik padam, tapi aku dah nyedia dian nei tauk tang padam jak api, sik da lah gago encarik dian, sediakan payung sebelum hujan.
Arap-arap SPR udah update nya pun daftar pemilih, jangan ada urang dah mati pun turun ngundi. Macam pengundi tertua kononnya umurnya 108 tahun, rupa-rupa mak cik ya dah ninggal waktu umurnya 74 tahun dolok, sik sampei umurnya 108 tahun. Keribang rebus punya SPR. Susah gilakkah nak update daftar pemilih, mun sik mauk kerja berik ngan urang yang mauk kerja, jangan cakap jak pandei. Jangan ingat kau kerja Perentah, Perentah merik gaji, sapa Perentah ? Perentah adalah rakyat, so kerja betul-betul, jangan eksen. Tan Rashid, entah betul sik nama boss sidak SPR, jangan marah, bekerjalah bersama Rakyat, jangan hanya bersama Perentah ajak.
Kaifama takunu yuwalla 'alaikum (Macam nei keadaan atau kejadian kita macam yalah pemerintah kita). Hanya kerak akan milih kerak, kerbo mesti milih kerbo, pak sauk mesti milih pak sauk, jeraul mesti milih jeraul, hero mesti milih hero, cam yalah lebih kurang retinya. Apa-apa pun sapa sekapal, sama-sama sampei atau sama-sama karam.
Apa-apa pun, ngundi jangan sik ngundi, pilihlah calon kitak masin-masin, calon Parti Dacing, Parti Bigik Mata, Parti Roket, Parti Bulan dll. Ingat ngundi pun kenak tanyak, sik ngundi pun kenak tanyak. Pandei-pandeilah nyawab kelak. Kemenangan yang hakiki adalah kemenangan di sana nanti. Bertindaklah secara bijaksana, jangan hanya bijaksini. Hidup Parti Ahli Sunnah.

Selasa, Mei 16, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 12

Tuan-tuan mungkin sudah tahu bahawa Ustaz Uthman el-Muhammady telah menulis satu kertaskerja yang berjodol "Konsep Nur Muhammad di Dunia Melayu dalam konteks wacana Sunni - Satu Pengamatan Awal". Kertaskerja tersebut telah dijadikan kertaskerja sisipan dalam Munaqashah Sufi Peringkat Kebangsaan 2004 anjuran Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dan Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus pada 12 -14 Ogos 2004. Sebelumnya Tuan Guru Haji Wan Shoghir telah membahaskan konsep Nur Muhammad ini dalam bukunya "Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu". Kertaskerja Ustaz Uthman boleh tuan-tuan perolehi daripada internet dan buku Tuan Guru Haji Wan Shoghir di lain posting kita bicarakan. Ada budak-budak nakal yang cuba memperlekehkan Ustaz Uthman sebab pegangannya, bahkan samseng Wahhabi siap kejar Ustaz Uthman kat mana-mana beliau membentang kertaskerjanya untuk didebat kononnya. Bagi akulah, lekeh-lekeh Ustaz Uthman boleh karang kertaskerja dan buku-buku yang ilmiyyah dan bermutu (i.e. bukan cut & paste atau pilih-pilih ikut selera.) dan boleh karang pula terjemahan "Fathul Mu`in". Tapi kalau dah tak suka, nak buat macam mana. Baiklah kat sini aku nak nukil sikit kesimpulan yang Ustaz Uthman buat dalam kertaskerjanya itu:-
  • Daripada pembentangan riwayat-riwayat di atas berdasarkan dokumentasi para mufassirin dan muhaddithin yang merupakan imam-imam dalam bidangnya, ada beberapa kesimpulan yang boleh dibuat. Antaranya ialah: bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sudah ada hakikatnya, nurnya, sebelum sekelian makhluk dijadikan. Bahkan nurnyalah yang merupakan makhluk pertama yang dijadikan oleh Tuhan, sebagai kekasihNya. Ia juga punca bagi sekelian makhluk yang lain, baik alam tinggi atau alam bawah atau alam rendahnya, alam yang boleh dipandang dengan mata atau alam yang tidak boleh dipandang dengan mata. Ia makhluk yang terawal dicipta dan yang terkemudian sekali dibangkit dengan jasad dan rohnya dalam sejarah alam ini. Namun kewujudannya sebagai nabi dan rasul diketahui oleh sekalian nabi dan rasul dalam seluruh sejarah umat manusia, antaranya, khususnya jelas daripada hadith-hadith berkenaan dengan Isra' dan Mi'raj yang banyak dinukil oleh ibn Kathir dalam Tafsirnya berkenaan dengan ayat awal Surah bani Israil.
  • Nampaknya tidak timbul keperluan untuk sesiapa terlintas pada mindanya dan terfikir bahawa ulama tafsir, hadith, sirah, syama`il dan lainnya yang berbicara berkenaan dengan Nabi, meminjam idea itu daripada mana-mana punca lain; tidak ada tercatit dalam sejarah berlaku "peminjaman" idea ini dalam ulama kita, kecuali ada penyelidikan kemudian yang mengikuti kaedah yang boleh diterima oleh ahli ilmu kita. Nampaknya ia timbul daripada sumber Ahlis-Sunnah sendiri. Ini jelas sampai para nabi dan rasul membuat perjanjian dengan Tuhan untuk beriman kepadanya dan membantunya bila ia zahir dalam sejarah perjuangannya. Riwayat tentangnya berada dalam generasi-generasi anbia dalam sejarah nampaknya diterima oleh ulama yang berotoritas dalam ilmunya dalam umat ini.
  • Kalau terlintas di minda bahawa ini adalah tidak munasabah pada akal, maka banyak perkara yang boleh dikatakan tidak munasabah pada akal yang berfikir secara 'biasa', misalnya teori quantum tentang dunia yang ada ini dengan benda-bendanya tidak 'pejal' bahkan ia sama ada bersifat sebagai gelombang atau zarrah yang tidak menentu sifatnya, samaada gelombang atau zarrah. Yang kelihatan pejal, keras pada pandangan mata, pada neraca teori quantum adalah tidak demikian. Kalau mengikut fikiran secara'biasa' e = mc2 adalah tidak munasabah; tetapi pada ahlinya ia bukan sahaja 'munasabah' tetapi ada kebenarannya yang sangat nyata. Atau lihat sahaja benih manusia yang terpancar ke dalam rahim, kemudian selepas sembilan bulan lebih kurang ia menjadi manusia kecil yang bergerak, hidup, demikian seterusnya, kemudian berkata-kata dalam beberapa bulan. Orang boleh berkata sekarang: itu memang demikian. Ya, memang demikian yang berlaku dalam sunnah Tuhan. Demikian pula kita boleh sebutkan demikian sunnah Tuhan dalam hubungan dengan kejadian alam daripada nur Nabi kita s.a.w.

Kalau nak artikel penuh http://www.geocities.com/traditionalislam/Nur_Muhammad.htm . Jadi masuk akal ke semua ulama kat Negeri Sembilan termasuk Shohibus Samahahnya semua sesat sebab dok sokong Konsep Nur Muhammad. Jangan jang, karang ekau plak yang terojun norako sebab menyosatkan orang yang tak sosat. Ingat jang, jangan tak ingat.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Khamis, Mei 11, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 11


Habib Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil BinYahya al-'Alawi al-Husaini asy-Syafi`i, Mufti Betawi yang terkenal menulis dalam kitabnya "az-Zuhrul Baasim fi Athwaari Abil Qaasim s.a.w. ":-
  • ....Maka sekalian anbiya` 'alaihimus sholatu was salam dijadikan mereka itu daripada cahaya Nabi Muhammad s.a.w. dan memberi tasbih oleh cahaya itu pada Allah ta`ala, maka sekalian malaikat memberi tasbih pada Allah ta`ala dengan tasbihnya cahaya itu di dalam masa 2000 tahun. Maka kemudian daripada itu, maka dijadikan oleh Allah ta`ala akan Nabi Adam a.s. (yakni jasad baginda) dan ditaru(h) padanya cahaya Nabi Muhammad s.a.w., maka diperintah oleh Allah ta`ala akan sekalian malaikat bersujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Maka setelah itu diambil maka diambil oleh Allah ta`ala akan Nabi Adam a.s. perjanjian bahawa ia memelihara akan cahaya itu turun - temurun. Maka dengan taqdir Allah berpinda(h)-pinda(h)lah itu pada anak cucu Nabi Adam dari nabi-nabi dan wali-wali hingga pada Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Isma`il a.s. dan turun-temurun pula hingga pada 'Abdul Muthallib ibnu Hasyim iaitu kake(k)nya Rasulullah s.a.w. yang masyhur di negeri Makkah mempunyai pangkat besar lagi murah dua tangannya memberi sedekah dan jamu-jamuan pada orang-orang hingga binatang-binatang di hutan diberi makan padanya. Pada masa diperanakkan 'Abdullah anaknya 'Abdul Muthallib, maka berpindahlah cahaya Nabi Muhammad dari 'Abdul Muthallib kepada anaknya 'Abdullah itulah ayahanda Rasulullah s.a.w..........

Allahu.... Allah. Adakah Habib Utsman ini orang tasawwuf yang jahil ? Silalah tuan-tuan selidik kisah dan riwayat hidup dan rehlah ilmiyyahnya serta usaha dakwahnya.

  • Jangan mudah membuat tuduhan
  • Nanti padahnya kan kembali ke diri
  • Jangan ingat hanya kita sahaja yang duduk mengaji
  • Para ulama dahulu tak reti
  • Kalau kita takut dan taqwa pada Ilahi
  • Para ulama dahulu berlebihlah lagi
  • Jangan ingat kita protaz, kita uspro, kita ustaz, kita doktor, kita profesor
  • Memadai sudah menjadi lesen menyesatkan ulama obor Islam dunia Jawi
  • Demi Allah, dengan inayah Rabbi
  • Ulama berjasa kan sentiasa ku junjung tinggi
  • Begitulah harapanku buat kalian segala ikhwah yang dihormati
  • Kamu berbalah sesama sendiri
  • Janganlah sampai mencemar duli
  • Para ulama kita yang mulia lagi 'ali.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Sabtu, Mei 06, 2006

Imam Nawawi tidak usolli ?

Tajuk posting aku kali ini merupakan nukilan tajuk soal-jawab yang dipostkan kat laman web al-Firdaus.com, nak penuh addressnya sini http://www.al-firdaus.com/index.php?module=ContentExpress&func=display&btitle=CE&mid=&ceid=135 dinyatakan jugak komen THTL (Tuan Hasan Tuan Lah, mufti siber yang protaz (istilah geng Majalah I, nasib baik bukan prostat) yang menyatakan:-
  • Komen THTL: Setelah memerhati isu ini sekian lama, maka saya telah membuat kajian sedikit sebanyak dalam hal ini dan inilah rumusan saya: Isu lafaz usyalli ini tercetus dari satu ucapan al-Imam Syafi'iy ra: "Jika seorang berniat haji atau umrah, ia mendapat pahala walaupun tidak melafazkannya, sedangkan solat seseorang itu tidak sah kecuali dengan mengucapkan." Ulama' Syafi'iyah, iaitu Syaikh Abu Abdillah az-Zubairy dalam mentafsir ucapan Imam Syafi'iy ini telah mentafsirkan: "Solat itu tidak sah kecuali dengan mengucap lafaz niat." Aliran dan fahaman azZubairy inilah yg tersibar luas di nusantara. Sedangkan Imam syaraf an-Nawawi menjelaskan maksud `mengucapkan' itu ialah lafaz takbiratul ihram dan bukannya Usyalli. Ini disahkan oleh Imam Jalaluddin asSyuyuti dan alQadhi Abu Rabi' Umar as-Syafi'iy. Yang sebenarnya isu usyalli ini tidak ujud dalam madzhab Syafi'iy hinggalah ia disibarkan oleh azZubairy.

Betul ke komen Protaz kita ni ? Betul ke ulama Syafi`i tak mengajar berlafaz niat ushalli ? Betul ke Imam an-Nawawi tak ushalli ? Atau Protaz kita ni dah buang tabiat nak jadi prostat, sampai mencarut tak faham ibarat kitab fiqh kita. Sebenarnya aku malas nak bahas dengan geng-geng mufti siber dan protaz-protaz ni. Dulu puas gak aku layan karenah depa kat ahkam online, sampai wa kena ban, kena block tak leh nak masuk dan post lagi kat dunia depa...ha....ha...ha...ha.

Geng-geng ni terutama 2 tokoh utama depa, THTL dan Hafiz Firdaus memang terkenal memandai-mandai menokok tambah dan mengubah-ubah aqwal mazhab kita. Seolah-olah mereka lebih alim daripada ulama-ulama kita yang betul-betul berpegang dengan mazhab, seolah-olah hanya mereka yang faham aqwal mazhab Syafi`i. Aku nasihatkan kat Sunniyun Syafi`iyyun, kalau kamu nak tahu aqwal Syafi`iyyah, kamu tanyalah ulama-ulama kita yang betul-betul pegang mazhab, bukan kepada mereka-mereka yang bebas mazhab.

Berbalik kepada persoalan talaffuz bin niyyah ini, sebenarnya yang ditolak oleh ulama - ulama kita adalah perkataan az-Zubairy yang MEWAJIBKAN talaffuz bin niyyah. Faham betul-betul, mereka bukan menolak talaffuz bin niyyah, tetapi menolak qaul yang MEWAJIBKANnya. Dan qaul yang muktamad dalam mazhab talaffuz bin niyyah itu hukumnya SUNNAT / MANDUB / MUSTAHAB. Pendapat yang mewajibkan itu hanyalah qil dalam mazhab. Imam an-Nawawi sendiri dalam kitab karangannya "Minhajuth - Tholibin" mukasurat 9, Bab Sifat ash-Sholah, menyatakan:-

  • Niat itu dengan hati dan DIMANDUBKAN bertutur (i.e. berlafaz) sebelum takbiratul ihram.

Kat mana pulak, THTL dapat fatwa songsang yang isu ushalli tidak ada dalam mazhab Syafi`i ? Elok rasanya THTL buat kajian lagi.

Nur Muhammad s.a.w. 10

Ikhwah, Imam al-FakhrurRazi dalam tafsirnya yang masyhur "Mafaatihul Ghaib" juzuk 6, menyatakan bahawa sujudnya para malaikat sebagai tanda hormat kepada Nabi Adam a.s. adalah dikeranakan Nur Muhammad a.s. yang berada di dahi Nabi Adam a.s. Imam asy-Syahrastani dalam 'Milal wan Nihal" juga menceritakan bahawa gajah-gajah Abrahah menyungkur sujud menundukkan kepadanya kepada Abdul Mutallib kerana Nur Muhammad s.a.w. yang ada di dahinya. Inilah antara bukti kewujudan dan kebesaran Nur Muhammad s.a.w. yang merupakan roh Junjungan kita.
Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Rabu, Mei 03, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 9

Syaikh Ismail Haqqi rhm. pengarang kitab tafsir "Ruhul Bayan" pada jilid 2, mukasurat 370 menyatakan pula:-
  • "....Dan dinamakan Junjungan Rasul itu sebagai nur kerana seawal-awal sesuatu yang dizahirkan/diwujudkan Allah dengan nur qudrahNya (yakni dengan kekuasaanNya) dari kegelapan 'adam (ketidakwujudan) adalah Nur Muhammad s.a.w. sebagaimana dinyatakan dalam hadis: "Seawal-awal yang diciptakan Allah ialah nurku".......

Insya-Allah wa bi 'awnihi, kita akan lihat ramai lagi ulama kita yang berpegang dengan Nur Muhammad s.a.w. Jadi sesiapa yang nak memfatwakan sesat pegangan Nur Muhammad secara mengkhinzir buta, berhati-hatilah. Aku dah lihat satu blog Mamat yang belajar kat sekolah wahhabi di San`a menuduh aku sesat sebab isu Nur Muhammad. Alhamdulillah, simpanan aku buat hari esok.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Selasa, Mei 02, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 8


Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthofa al-Fathani adalah antara ulama kita yang mendokong konsep Nur Muhammad sebagai seawal-awal penciptaan. Perkara ini dapat kita lihat dalam berbagai karangan beliau, dari karangan kitab tawhid seperti "Sabilus Salam" sehinggalah ke kitab sirah beliau "Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaaqib". Dalam "Badrut Tamam" mukasurat 3, beliau rhm. menulis, antara lain:-
  • (Telah datang di dalam hadis) bahawasa awal barang yang dijadikan Allah ta`ala itu nur nabi kita Muhammad s.a.w. dan datang pada kaifiyyat menjadikan nur yang mulia itu beberapa riwayat yang berbilang-bilang. Dan hasil sekaliannya bahawasa Allah s.w.t. tatkala bergantung iradahNya dengan menjadikan sekalian makhluk, menjadilah Ia akan nur Sayyidina Muhammad s.a.w. dahulu daripada dijadikan langit dan bumi dan arsy dan kursi dan luh dan qalam dan syurga dan neraka dan malaikat dan sekalian yang lainnya dengan bagian-bagian ribu tahun..........

Kalau nak tahu lebih lanjut, sila dapatkan kitab tersebut yang insya-Allah masih ada dalam pasaran berkat usaha gigih Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shoghir Abdullah (moga dilanjutkan usia dan diberkati usahanya). Dah dapat kitab, pergilah mengaji dengan tuan-tuan guru kita yang khumul, yang diumpamakan "mengikut resmi padi, makin tunduk makin berisi". Insya-Allah, betul ikutan tuan-tuan dengan jalan para ulama 'amilin yang menjadi waris salafus sholihin.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.