Sabtu, Januari 06, 2007

Birrul Waalidain

Allah telah memerintahkan kita untuk sentiasa berbakti terhadap orang tua kita melalui firman-firmanNya yang mulia dan melalui sabdaan kekasihNya Junjungan Nabi s.a.w. Antaranya ialah sebagaimana firmanNya dalam surah al-Isra` ayat ke 23 yang berbunyi:-

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa..."
Kewajipan untuk berlaku ihsan terhadap ibu bapa ini telah sedia maklum diketahui kita. Berbakti terhadap kedua orang tua ini amatlah besar kelebihan dan ganjarannya bagi anak yang sholeh dan taat kepada mereka. Imam al-Baihaqi, Imam as-Sayuthi, Imam Ibnu 'Asakir dan Imam Ibnu an-Najjar telah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
"Setiap anak yang baik terhadap kedua ibu-bapanya, yang memandang kepada mereka dengan pandangan rahmat (penuh kasih-sayang), maka ditulis baginya untuk setiap pandangannya itu (seumpama) pahala haji yang mabrur." Sahabat bertanya: "Kalau dia memandangnya pada setiap hari 100 kali ?" Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: "Ni'mat-ni'mat Allah itu lebih besar dan lebih baik lagi."
Allahu ... Allah ... Begitu besar ganjaran yang disediakan Allah bagi anak yang sholeh dan berbakti kepada kedua orang tuanya, sehingga setiap pandangan kasih-sayangnya terhadap mereka dinilai dengan pahala haji sunnat yang mabrur. Allahu ... Allah, penuh catatan amalan anak yang sholeh dengan pahala-pahala haji sunnat yang mabrur....Allahu Akbar. Bersyukurlah kita atas ihsan dan karunia Allah s.w.t. ini dengan sebenar-benar syukur, syukur yang menjanjikan tambahan ni'mat. Jika ada yang hendak mengetahui darjat hadits ini, maka aku katakan jika pun sanadnya dhoif, ini hanya untuk fadhoilul a'maal dan sebagai targhib, sedangkan hukum birrul waalidain itu telah sedia maklum bersandarkan nash al-Quran dan al-hadits yang shohih. Jadi tok sahlah nak menimbulkan kekecohan di sini, nak pakai pakai, tak nak pakai sudah.

Bagi mereka yang sudah tidak punya kedua orang tua hidup di dunia, maka jangan lupa mendoakan kesejahteraan buat mereka setiap masa dan ketika, setidak-tidaknya selepas menunaikan sholat fardhu yang lima. Sudah semestinya kita peruntukkan doa-doa kita buat mereka. Doa-doa kita tersebut bukan sahaja bermanfaat buat mereka tetapi ianya juga mendatangkan ganjaran pahala dan keberkatan bagi diri kita untuk kehidupan duniawi dan ukhrawi. Bahkan ada riwayat yang menyatakan bahawa perbuatan meninggalkan doa untuk kedua ibu bapa ini akan menyebabkan terputusnya rezeki atau terputusnya keberkatan rezeki, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam Tarikhnya dan ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Anas r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang hamba meninggalkan berdoa untuk kedua ibubapanya, terputuslah daripadanya rezeki."
Begitu juga hendaklah kita sering menziarahi pusara mereka kerana itu juga merupakan satu sunnah dan satu kebaktian bagi mereka. Di samping, kita juga dijanjikan dengan ganjaran pahala dan keampunan yang tiada tara. Imam ath-Thobrani dalam al-Awsath meriwayatkan:-
"Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripadanya pada setiap hari Jumaat, diampunkan baginya dan dia dicatat sebagai anak yang berbakti (terhadap orang tuanya)."
Setelah itu, hendaklah juga kita berlaku ihsan kepada kaum kerabat dan rakan taulan mereka yang masih hidup, serta melakukan lain-lain kebajikan atas nama mereka. Dulu aku pernah mendengar seorang ustaz, aku lupa sama ada Pak Yazid atau Ustaz Ghazali Hasbullah, menyebut dalam ceramahnya bahawa duduknya seseorang dalam majlis-majlis ilmu akan menggembirakan ibu-bapanya dan datuk-neneknya, tapi tidaklah aku mengetahui hadits sandaran yang menyebut persis seperti itu.

Tetapi, memang ada hadits Junjungan yang menyatakan bahawa segala amalan kita akan dibentangkan di hadapan kaum kerabat kita yang telah meninggal dunia, dan amalan kita yang baik akan menyebabkan mereka bergembira. Imam al-Haddad dalam kitab "Sabilul Iddikar" mukasurat 65 menulis:-
Dan ketahuilah bahawasanya segala amalan orang hidup dibentangkan kepada orang mati dari kalangan keluarga dan kerabatnya. Maka apabila mereka melihat amalan tersebut baik, bergembiralah mereka dengannya dan bersukacitalah mereka serta mereka mendoakan agar mereka-mereka yang masih hidup tersebut tetap dan istiqamah atas amalan baik itu. Dan jika mereka melihat amalan orang hidup tadi adalah sebaliknya, mereka berdukacita dan kecewa dengan apa yang mereka lihat itu, lalu mereka mendoakan agar yang masih hidup tadi diberi hidayah dan taufiq untuk melakukan amal kebajikan dan sholih.

Dan telah bersabda Junjungan Nabi s.a.w.:-Sesungguhnya amalan-amalan kamu dibentangkan (yakni diperlihatkan) kepada kaum kerabat amu dan keluarga kamu yang telah meninggal dunia. Maka jika amalan itu baik, mereka bergembira dan jika sebaliknya mereka berdoa: 'Ya Allah, jangan Engkau matikan mereka sehingga Engkau hidayahkan mereka sebagaimana Engkau menghidayahi kami.

Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-Segala amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada hari Jumaat, maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka yang hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyakiti orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat yang menyebabkan kesedihan kepada si mati).
Mudah-mudahan Allah menjadikan kita sebagai penyejuk mata kedua ibu bapa kita, penyejuk mata para anbiya dan para awliya serta sholihin. Allahumma aaamiin.. bi hurmatil Fatihah.

3 ulasan:

~albazrah~ berkata...

Oh Malunya kalau yang dibentangkan pada hari Jumaat kepada para anbiya' dan kerabat itu amalan yang tak bermanfaat dan sia-sia.

bombshell berkata...

ya sheikh....
ana nak mintak kebenaran nak copy
tuan punya artikel ni untu ruang surau ofis ana...diharap ilmu-ilmu bermanfaat ini memberi keberkatan sehingga akhirat....shukran

Abu Muhammad berkata...

tafadhdhaliy