Rabu, Januari 31, 2007

Madad Ya Bu Zainil 'Abidin

Alhamdulillah, berkesempatan nak buat update. Sempena 10 Muharram telah berlalu, biarlah ku tulis sedikit berhubung Sayyidusy Syabab Ahlil Jannah, Syahidul Karbala`, Abu Ali Zainil 'Abidin Imam Husain r.a. Ketika hari 'asyura` disambut sebagai hari kemenangan dan keselamatan para nabi 'alaihimus sholatu was salam, ianya dinodai dengan peristiwa berdarah yang telah meragut nyawa cucu kesayangan Junjungan Nabi s.a.w. Setiap muslim yang beriman mesti dan wajib mencintai keluarga Junjungan s.a.w., lebih-lebih lagi cucu baginda Imam Hasan r.a. dan Imam Husain r.a. Padang Karbala`, yang setengah riwayat menyatakan bahawa Junjungan s.a.w. pernah mencium tanahnya yang dibawa malaikat kepada baginda, lalu baginda menyatakan: "Baunya karab / kurab (kesedihan) dan bala` (bencana)", pada tanggal 'asyura` menyaksikan pembantaian Imam Husain dan ahli keluarganya oleh tangan-tangan para durjana yang tega hati mereka menzalimi dan membunuh cucu kesayangan Junjungan Nabi s.a.w. Dengan wajah manakah para pendurjana ini hendak menghadap, menatap dan bertentang muka Junjungan Nabi s.a.w., sedangkan cucu baginda mereka bunuh. ... Allahu ... Allah. Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam "ash-Showaa`iqul Muhriqah" menulis:-
Imam al-Bukhari dalam "al-Adabul Mufrad", Imam at-Tirmidzi dan Imam Ibnu Majah telah meriwayatkan daripada Ya'la bin Murrah bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:- Husain adalah daripada aku (yakni darah daging Junjungan Nabi s.a.w.) dan aku daripadanya; Allah mengasihi orang yang kasihkan Husain. Hasan dan Husain adalah dua cucu daripada segala cucu."
Jika seseorang yang kasihkan Imam Husain dengan sebenar-benar kasih, bukan cinta kasih yang kosong yang penuh bid`ah dholalah dan ratapan jahiliyyah seperti perlakuan puak Syiah, akan dikasihi Allah, maka seseorang yang membenci Imam Husain pasti akan dimurkai Allah s.w.t.

Peristiwa gugurnya Imam Husain sebagai seorang syahid di Padang Karbala` telah diketahui oleh Junjungan Nabi s.a.w. dengan makluman para malaikat, antaranya Sayyidina Jibril a.s. sebagaimana dikhabarkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam al-Hakim daripada Umm al-Fadhl bin al-Harits bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
"Telah mendatangi aku akan Jibril dan dia mengkhabarkan kepadaku yang umatku akan membunuh anakku ini, yakni Sayyidina Husain, dan Jibril telah membawa untukku segumpal tanah berwarna merah."
Beberapa ulama antaranya Imam al-Baghawi dalam Mu'jamnya, Imam Abu Haatim dalam Shohihnya dan Imam Ahmad telah meriwayatkan hadits yang mafhumnya bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
"Telah memohon izin malaikat penjaga alam daripada Tuhannya untuk menziarahiku, maka diizinkan. Malaikat tersebut (setengah riwayat menyatakan bahawa malaikat tersebut ialah Jibril a.s.) telah datang menziarahiku ketika aku berada di rumah Ummu Salamah." Junjungan s.a.w. bersabda kepada Ummu Salamah: "Wahai Ummu Salamah, jagalah pintu bagi kami dan jangan benarkan sesiapa masuk." Ketika Ummu Salamah mendatangi pintu rumah, tiba-tiba al-Husain meluru masuk dan melompat datang kepada Junjungan Nabi s.a.w. Lalu Junjungan s.a.w. merangkulnya dan menciumnya. Maka berkata malaikat: "Adakah engkau mengasihinya?" Junjungan menjawab: "Ya". Malaikat tersebut seterusnya berkata: "Bahawasanya umatmu akan membunuhnya, dan jika engkau mahu akan kutunjukkan tempat dia dibunuh," maka ditunjukkanlah tempat tersebut dan didatangkannya segumpal tanah merah (setengah riwayat menyatakan ianya sebagai ketulan pepasir merah atau kerikil-kerikil merah) lalu diambil oleh Ummu Salamah dan dimasukkannya dalam pakaiannya.
Allahhhhhhh.......................... sebak hati, terbayang anak kita yang kecil yang bermanja dengan kita, jika kita punya rasa cinta terhadap anak kita, maka gambarkanlah kecintaan Junjungan s.a.w. terhadap cucu baginda al-Husain, laknat Allahlah ke atas orang yang telah membunuh buah hati Junjungan Nabi s.a.w.

Seterusnya Ibnu Ahmad dalam tambahannya kepada al-Musnad menyambung riwayat tersebut yang Junjungan s.a.w. memberikan tanah / kerikil tersebut kepada Ummu Salamah dan berpesan kepadanya bahawa apabila tanah/ kerikil tersebut mengeluarkan darah maka itulah tanda yang Imam Husain telah terbunuh. Ummu Salamah telah menyimpan tanah / kerikil tersebut dalam sebuah bekas kaca. Diriwayatkan bahawa Ummu Salamah mendengar pada malam terbunuhnya Imam Husain akan suara yang berkata:-


Wahai para pembunuh bodoh yang membunuh Imam Husain
Bergembiralah kamu dengan 'azab dan kehinaan
Telah dilaknat kamu atas lidah anak Daud (Nabi Sulaiman a.s.)
Dan Nabi Musa serta Pembawa Injil (Nabi Isa a.s.)

Lalu Ummu Salamah menangis dan membuka bekas yang mengandungi tanah/kerikil tersebut dan melihatnya berdarah. Allahu ... Allah. Mudah-mudahan Allah merahmati dan meredhai Imam Husain r.a. dan semoga keberkatan terus mengalir kepada kita dan kepada semua pencinta Husain yang mencintainya dengan sebenar-benar kecintaan.....al-Fatihah.

Madad Ya Maulana Ya Husain
Madad Ya Bu Zainil 'Abidin
Madad Ya Maulana Ya Husain
Madad Ya Bu Zainil 'Abidin
Madad Madad
Madad Madad
Madad Madad
Madad Madad
Madad Ya Maulana Ya Husain

Tiada ulasan: