Ahad, Julai 15, 2007

Imam Taqiyuddin al-Hishni

"Kifayatul Akhyar" adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi`i yang amat masyhur. Ianya telah berulang kali dicetak dan tersebar ke segenap penjuru dunia Islam. Pengarangnya adalah Imam Abu Bakar bin Muhammad bin 'Abdul Mu'min bin Hariz bin Mu`alla bin Musa bin Hariz bin Sa`id bin Dawud bin Qaasim bin 'Ali bin 'Alawi bin Naasyib bin Jawhar bin 'Ali bin Abi al-Qaasim bin Saalim bin 'Abdullah bin 'Umar bin Musa bin Yahya bin 'Ali al-Ashghar bin Muhammad at-Taqiy bin Hasan al-'Askari bin 'Ali al-'Askari bin Muhammad al-Jawaad bin 'Ali ar-Ridha bin Musa al-Kaadhzim bin Ja'far ash-Shoodiq bin Muhammad al-Baaqir bin Zainal 'Abidin 'Ali bin al-Husain bin 'Ali bin 'Abi Tholib at-Taqiy al-Husaini al-Hishni. Beliau yang lebih dikenali sebagai Imam at-Taqiy @ Taqiyuddin al-Hishni adalah seorang ulama besar dan ahli sufi bermazhab Syafi`i serta berpegang dengan i'tiqad Imam Abul Hasan 'Ali al-Asy'ari. Seorang yang zahid dan sentiasa menyeru ke arah ma'ruf dan mencegah kemungkaran tanpa takutkan sesiapa hatta para pemerintah dan penguasa.

Beliau dilahirkan dalam tahun 752H di Kota al-Hishn dalam negeri Syam kemudian berpindah ke Kota Dimasq di mana beliau meneruskan pengajiannya. Di antara guru-gurunya ialah:-
  1. Syaikh Abul 'Abbas Najmuddin Ahmad bin 'Utsman bin 'Isa al-Jaabi;
  2. Syaikh Syamsuddin Muhammad bin Sulaiman ash-Sharkhadi;
  3. Syaikh Syarafuddin Mahmud bin Muhammad bin Ahmad al-Bakri;
  4. Syaikh Syihaabuddin Ahmad bin Sholeh az-Zuhri;
  5. Syaikh Badruddin Muhammad bin Ahmad bin 'Isa;
  6. Syaikh Syarafuddin 'Isa bin 'Utsman bin 'Isa al-Ghazi;
  7. Syaikh Shadruddin Sulaiman bin Yusuf al-Yaasufi.
Beliau juga mempunyai karya-karya besar dan bernilai tinggi dalam berbagai lapangan. Antaranya:-
    1. Daf'u Syubahi Man Syabbaha Wa Tamarrada Wa Nasaba Dzalika Ila asy-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad;
    2. Syarah Asmaullah al-Husna;
    3. At-Tafsir;
    4. Syarah Shohih Muslim (3 jilid);
    5. Syarah al-Arbain an-Nawawi;
    6. Ta'liq Ahadits al-Ihya;
    7. Syarah Tanbih (5 jilid);
    8. Kifayatul Akhyar;
    9. Syarah an-Nihayah;
    10. Talkhish al-Muhimmaat (2 jilid);
    11. Syarah al-Hidayah;
    12. Adab al-Akl wa asy-Syarab;
    13. Kitab al-Qawaa`id;
    14. Tanbihus Saalik;
    15. Qami`un Nufuus;
    16. Siyarus Saalik;
    17. Siyarush Sholihaat;
    18. Al-Asbaabul Muhlikaat;
    19. Ahwal al-Qubur;
    20. al-Mawlid.
Beliau terkenal bukan sahaja kerana ketinggian ilmunya, bahkan kerana kewaliannya. Berbagai karamah telah berlaku ke atas beliau. Antaranya pernah diceritakan bahawa sewaktu para mujahidin berperang di Cyprus, maka beliau telah dilihat berjuang bersama-sama para mujahid tersebut sehingga mereka memperolehi kemenangan. Apabila para pejuang tersebut menceritakan hal tersebut kepada murid-murid beliau, maka murid-murid tersebut menyatakan bahawa beliau sentiasa bersama mereka di Dimasq dan tidak pergi ke mana-mana. Begitu juga beliau sering dijumpai berada di Makkah dan Madinah mengerjakan haji sedangkan pada masa yang sama beliau tetap berada di Dimasqh. Beberapa keramatnya telah disebut oleh Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam "Jaami` Karaamaatil Awliya`" juz 1 halaman 621- 622.

Beliau wafat pada tahun 829H dan dikebumikan di Dimasq. Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucurkan rahmatNya dan kasih-sayangNya kepada beliau yang telah menghabiskan umurnya untuk mengabdi kepadaNya serta menyebar luas ilmu agama. ..... al-Fatihah.

3 ulasan:

Ku Keng berkata...

shukran ya sayyidi

Ayman Rosland berkata...

Syukran Ya Aba Muhammad!!

Nak tanya skit.Bukankah kitab ini sudah diterjemah oleh Syed Ahmad Semait (Almarhum)?Bukan Sidi bagi pendapat tentang qualiti terjemahan kitab tersebut??

Abu Muhammad berkata...

Kitab yang telah diterjemahkan ialah Kifayatul Akhyar yang diterjemah oleh Ustaz Syed Ahmad, KH Syarifuddin Anwar & KH Mishbah Musthafa dan dieditsemula oleh Ustaz Syed Ahmad.

Ambo belum habis membaca betul-betul karya terjemahan tersebut, cuma sekadar membelek-beleknya sahaja, macam biasa terjemahannya memang berkualiti, terang dan jelas, insya-Allah bertepatan dengan yang asal, cuma ada juga ambo ngak brapa setuju, misalnya binatang "dhabuk" atau "dhubu`" yang diberierti sebagai (semacam kijang). Ambo berpendapat bahawa dhubu` tidak seperti kijang, tapi entahlah jika "hyena" tu spesis kijang. Allahu a'la wa a'laam.