Rabu, Mei 23, 2007

Allahu Rabbi

Allahu Rabbi atau RabbiyAllah adalah ucapan biasa di mulut orang-orang Islam yang beriman. Ucapan tersebut membawa maksud " Allah Tuhanku", dan bagi orang yang beriman jika dikatakan Allah itu Tuhan, maka sudah tentu ketuhanan sebagaimana dimaksudkan dan dikehendaki oleh ajaran tawhid yang dibawa oleh Junjungan Nabi s.a.w.

Ikhwah, Imam at-Tirmidzi telah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
ما من عبد مسلم يقول: حين يصبح وحين يمسي ثلاث مرات
رضيت بالله رباً وبالإسلام ديناً وبمحمد صلى الله عليه وسلم نبياً
إلاّ كان حقاً على الله أن يرضيه يوم القيامة
Tidaklah seseorang Muslim yang berkata tatkala berpagi-pagi dan berpetang-petang 3 kali: "Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan (Rabb), Islam sebagai agama dan Muhammad s.a.w. sebagai nabi", melainkan menjadi hak bagi Allah meredhainya pada hari kiamat.
Imam an-Nawawi dalam kitabnya "al-Adzkar" mengomentari hadits ini dengan menyatakan bahawa ianya diriwayatkan dalam kitab Imam at-Tirmidzi daripada Tsauban r.a. Pada sanadnya ada perawi yang bernama Sa`iid bin al-Marzabaan Abu Sa`ad al-Baqaal al-Kufi yang merupakan maula bagi Hudzaifah bin al-Yamaan dan perawi ini adalah seorang yang dhoif dengan ittifaq para hafiz hadits. Akan tetapi Imam at-Tirmidzi menilai hadits ini sebagai hasan shohih gharib daripada wajah ini, barangkali hadits ini sahih di sisinya menerusi jalan sanad yang lain. Selanjutnya Imam an-Nawawi telah membawa penguat hadits tersebut dengan riwayat hadits yang seumpamanya daripada Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa-i dengan segala sanad yang elok bagus (jayyid) daripada seorang lelaki yang pernah menjadi khadam Junjungan Nabi s.a.w. Manakala Imam al-Haakim dan Imam Abu Abdillah dalam "al-Mustadrak 'ala ash-Shohihain" juga telah meriwayatkan hadits ini dan menyatakan bahawa segala sanadnya adalah shohih. Begitulah antara komentar Imamuna an-Nawawi berhubung sanad dan kekuatan hadits tersebut.

Lihatlah wahai 'Uqala`, hadits ini menunjukkan kebatilan orang yang cuba memisah-misah dan membahagi-bahagi tauhid sehingga dikatakannya bahawa tauhid uluhiyyah itu satu suku dan tauhid rububiyyah itu suku yang lain. Allahu ... Allah, sedangkan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah tetap berpegang bahawa tauhid itu wahid (satu), Allah itu adalah Rabb dan Ilaah, tanpa perlu disuku-sukukan. Tidaklah kita berpegang dengan ajaran yang kononnya orang musyrik itu mentauhidkan Allah secara rububiyyah tetapi tidak secara uluhiyyah. Ini adalah dakwaan batil, ajaran bid`ah yang telah dipelopori oleh segelintir serpihan umat ini. Nanti bila masuk kubur pun Munkar dan Nakir akan tanya kita "man Rabbuka?", idak pung deme tanya kita "man Ilaahuka?". Jika Rabb dan Ilaah itu berbeza, dan jika dikatakan bahawa orang musyrik pun percaya Allah sebagai Rabb, maka kenapa kita ditanyai mengenai Rabb, sewajarnya kita ditanya mengenai Ilaah atau kedua-duanya sekali, kerana mengikut pemahaman puak tauhid tiga dalam satu itu, tidak memadai kita beriman dengan Allah sebagai Rabb sahaja kerana Rabb dan Ilaah itu dua perkara yang berbeza.

Lihat dalam hadits tersebut Junjungan Nabi s.a.w. mengajar kita untuk mengucapkan dan mentasdiqkan bahawa kita redha Allah sebagai Rabb. Jika orang musyrik pun dikatakan percaya dan mengimani juga Allah sebagai Rabb mereka, maka kenapa Junjungan mengajar kita untuk mengucapkan "aku redha Allah sebagai Rabb (radhitu billahi Rabban) ? Kenapa Junjungan s.a.w. tidak mengajar kita untuk mengucapkan "aku redha Allah sebagai Ilah (radhitu billahi Ilaahan) untuk membezakan kita dengan orang musyrik yang kononnya turut percaya Allah sebagai Rabb juga. Atau Junjungan Nabi s.a.w. mengajar kita untuk melafazkan (radhitu billahi rabban wa ilaahan) Fikirkanlah wahai 'Uqala` dan se lagi, jangan pulak memandai nak tambah wa bil Islamil Hadari diinan, itu Nabi tak ajar.

Rabu, Mei 16, 2007

al-Mu`allim

Guru, teacher, mu`allim, cikgu, adalah antara gelaran yang diberikan kepada seseorang yang menjalankan tugas mengajar dan mendidik. Satu profession yang diberi penghargaan khas oleh Junjungan Nabi s.a.w. sehingga baginda sendiri mengaku bahawa baginda diutuskan sebagai seorang mu`allim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam ad-Darimi, Imam ath-Thabrani dan ath-Thoyaalisi bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:

انما بعثت معلما
Bahawasanya aku diutuskan sebagai seorang mu`allim

Junjungan Nabi s.a.w. telah menunjukkan satu pengiktirafan yang besar kepada seseorang yang mahu mengajar sehingga dalam peperangan Badar al-Kubra, tawanan-tawanan musyrikin diberi peluang untuk menebus diri mereka dengan mengajar 10 anak-anak kaum muslimin untuk menulis dan membaca. Justru, kita sewajarnya memberikan pengiktirafan kepada para guru yang benar-benar menjalankan tanggungjawab mengajar dan mendidik murid-murid mereka supaya menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan tanahair. Sungguh mereka menjalankan tugas yang sangat mulia. Segala ilmu yang benar mereka taburkan tidak akan dipersia-siakan Allah, bahkan dianggap sebagai amal jariah yang pahalanya akan terus mengalir walaupun si guru telah tiada lagi di dunia. Sebenarnya, kita semua tidak terlepas daripada tugas mengajar dan mendidik, setidak-tidaknya kepada ahli keluarga dan rakan taulan kita. Tugas mengajar ilmu yang bermanfaat pasti mendatangkan ganjaran yang besar daripada Allah. Ianya juga dianggap sebagai satu sedekah, bahkan seafdhal-afdhal sedekah, sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w.:

أفضل الصدقة ان يتعلم المراء المسلم علما ثم يعلمه اخاه المسلم

Seafdhal-afdhal sedekah itu bahawa seorang muslim itu belajar akan suatu ilmu, kemudian dia mengajarkannya kepada saudaranya yang Islam

Kepada semua guru-guru kuucapkan Selamat Hari Guru. Mudah-mudahan kamu dapat menjalankan tugas kamu dengan sebaiknya dan penuh kesabaran, almaklumlah murid-murid tu macam-macam perangai dan pe`elnya. Kepada yang bertugas jauh di pendalaman, moga lebih tabah lagi. Ingatlah bahawa segala jerih payah tersebut akan diberi ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah yang Maha Pemurah.

A tribute to the Teacher of teachers
***************************************

*****************************************
اللهم صل و سلم على سيدنا محمد و على اله و صحبه اجمعين

Ahad, Mei 13, 2007

Sholawat Sidi Syamsuddin

Ini adalah sholawat yang dinisbahkan kepada Sayyidi Syamsuddin Muhammad al-Hanafi seorang waliyUllah yang dikatakan memegang maqam Quthub selama 46 tahun 3 bulan. Sholawat ini adalah sholawat ke-40 yang dicatat oleh Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam "Afdhalush Sholawat". Syaikh Yusuf turut menukilkan kisah bahawa Sidi Syamsuddin telah diperintahkan oleh Junjungan Nabi s.a.w. untuk menjadikan sholawat ini sebagai wirid dalam khalwatnya sebelum terbenam matahari. Sholawat ini merupakan antara shighah jami` yang menghimpunkan pahala dan rahsia yang banyak. Kandungannya ialah permohonan kita kepada Allah untuk menggandakan pahala ucapan sholawat dan salam yang kita ucapkan untuk baginda s.a.w. dan ahli keluarga serta para sahabat dengan gandaan yang besar lagi agung, iaitu sebanyak atau seluas ilmu Allah yang tiada kesudahan, baik dari segi bilangan, berat maupun isipadu. Allahu ... Allah.... hanya Allah sahaja yang mengetahui kadarnya.

Jumaat, Mei 11, 2007

Takziah

إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ

ً

Allahu ... Allah, apa sudah jadi dengan manusia pada masa ini. Kekejaman dan keganasan telah semakin lumrah dalam masyarakat kita yang mengaku bertamadun ini. Beberapa hari lepas aku tidak berkesempatan membaca suratkhabar dan mendengar berita, hari ini aku terkejut mendengar peristiwa yang telah menimpa Allahyarham Ustazah Anizah Othman, seorang graduan UIA yang telah sanggup pergi ke pendalaman bumi Sarawak untuk mengajar dan mendidik anak-anak bangsa. Aku harap pihak polis dapat menangkap "binatang" yang telah melakukan kekejaman terhadapnya dengan "cepat dan betul". Dan aku mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustazah Anizah Othman, mudah-mudahan Allah memberi kesabaran yang pahalanya tanpa kira-kira bagi mereka. Mudah-mudahan Allah membalas segala amalan dan pengorbanan Allahyarham dengan sebaik-baik balasan serta menempatkannya dalam syurga yang penuh kenikmatan. .......al-Fatihah.

Selasa, Mei 08, 2007

Habib Sholeh al-'Aidrus

"Pakar Hadits Kota Malang", itulah gelaran yang telah diberikan kepada Habib Sholeh bin Ahmad bin Salim al-'Aidrus, seorang ulama dan muballigh kenamaan di majlis - majlis ta'lim di Jawa Timur. Reputasinya sebagai ulama dan muballigh sudah diakui kaum Muslimin di Jawa Timur. Ilmu agamanya pun cukup mendalam. Wajah ulama yang shaleh ini selalu tampak bersih, tutur katanya halus dan dengan gaya bertutur yang enak didengar. Selain rajin memberi ceramah dan pengajian di berbagai tempat, beliau juga menjadi pengajar tetap Pondok Pesantren Darul Hadits Al-Faqihiyyah, Malang, Jawa Timur.

Beliau dilahirkan di Kota Malang pada 18 Jun 1957. Sejak kecil berada di lingkungan yang taat beragama. Pendidikan dasar Habib Sholeh terasah sejak ia masuk Madrasah Ibtidaiyah At-Taroqi, Malang, yang dikelola ayahandanya, Habib Ahmad bin Salim al-'Aidrus yang cintakan ilmu dan mengabdikan dirinya untuk mengajar di madrasah tersebut selama hampir 30 tahun. Ayahandanya juga terkenal dengan kewarakannya dan hanya mahu makan dari hasil titik peluhnya sendiri serta kehidupannya sehari-hari sangat sederhana.

Berbalik kepada Habib Sholeh, selepas lulus dari madrasah, beliau melanjutkan pengajiannya ke tahap tsanawiyah di Pesantren Darul Hadits al-Faqihiyyah Malang. Di sana beliau menimba ilmu terutama sekali berhubung hadits daripada Habib 'Abdullah bin Abdul Qadir bin Bilfagih yang terkenal sebagai ahli hadits yang mempunyai daya hafalan yang menakjubkan. Habib 'Abdullah menghafal banyak hadits dengan sanadnya sekali, bahkan nama-nama kitab rujukan beserta halaman mukasuratnya turut berada dalam ingatan beliau.

Setelah menimba ilmu di pesantren tersebut, akhirnya Habib Sholeh melanjutkan pengajiannya ke Makkah al-Mahmiyyah. Beliau memasuki ribath Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alwi al-Maliki al-Hasani pada tahun 1977. Setelah kira-kira 10 tahun mengaji di kota suci tersebut, akhirnya pada tahun 1988, beliau pulang ke tanahairnya untuk mengembangkan dakwah dan ilmu. Sekembalinya dari pengajian, beliau mendirikan rumahtangga dengan salah seorang putri Habib 'Abdullah bin Abdul Qadir Bilfagih dan sekaligus ditugaskan mengajar di Pesantren Darul Hadits tersebut. Selain dari itu, beliau turut membuka majlis ta'lim di rumahnya dan di berbagai tempat. Selain berdakwah melalui majlis-majlis ta'lim tersebut, beliau juga giat mengarang, setakat ini beliau telah mengarang kira-kira 11 buah kitab berbahasa 'Arab, antaranya:-
  1. asy-Syaafiyah fi Bayaani Isthilaahaatil Fuqahaa` asy-Syafi`iyyah;
  2. Faidhul 'Allam fi Akhkamis Salam;
  3. an-Nasyrul Fa’ikh fi Tartibil Fawatih;
  4. Is’aful Muhtaj fi Syarhi al-Qilat al-Murajahah fil-Minhaj;
  5. Nailul 'Arab fi Muqaddimatil Khuthab;
  6. Lawami’un Nuris Sani fi Manaqibil Imam Muhammad al-Maliki al-Hasani;
  7. al-Injaz fi Matsali Ahlil Hijaz.
Mudah-mudahan Allah melanjutkan usia beliau dan memberikannya kekuatan untuk terus menyebarkan ilmu Islam kepada umat ini.

Sabtu, Mei 05, 2007

Sayyid Ja'far - Mufti Madinah (2)

Sayyid Ja'far bin Sayyid Hasan bin Sayyid 'Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul al-Barzanji adalah seorang ulama besar keturunan Junjungan Nabi s.a.w. dari keluarga Saadah al-Barzanji yang masyhur berasal dari Barzanj di Iraq. Beliau dilahirkan di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1126H. Segala usul Sayyid Ja'far semuanya merupakan ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amal, keutamaan dan kesholehan. Habib Prof. Dr. Muhammad bin 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki (jika ada orang berbangga-bangga dengan gelar Dr.nya dalam bidang hadits, maka aku nyatakan bahawa al-Habib Muhammad al-Maliki ini juga telah meraih gelar Dukturahnya dalam bidang hadits pada usianya 25 tahun dari Harvard dan Oxfordnya dunia Islam iaitu Universiti al-Azhar asy-Syarif, oleh itu jika kamu berbangga-bangga dengan kesarjanaan versi dukturah ini, maka simpanlah dulu Dr. kamu tu dalam poket) dalam "Haul Ihtifaal bi dzikra al-Mawlid an-Nabawi asy-Syarif" menulis pada halaman 99 :-

Al-'Allaamah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji adalah MUFTI ASY-SYAFI`IYYAH di Kota Madinah al-Munawwarah. Telah berlaku perselisihan tentang tarikh kewafatannya, di mana sebahagiannya menyebut yang beliau meninggal pada tahun 1177H. Imam az-Zubaidi dalam "al-Mu'jam al-Mukhtash" menulis bahawa beliau wafat tahun1184H, di mana Imam az-Zubaidi pernah berjumpa dengan beliau dan menghadiri majlis pengajiannya di Masjid Nabawi yang mulia. Beliau adalah pengarang kitab mawlid yang masyhur dan terkenal dengan nama "Mawlid al-Barzanji". Sebahagian ulama menyatakan bahawa nama karangannya tersebut sebagai "I'qdul Jawhar fi mawlid an-Nabiyyil Azhar". Mawlid karangan beliau ini adalah di antara kitab mawlid yang paling tersohor dan paling luas tersebar ke pelosok negeri 'Arab dan Islam, baik di Timur maupun di Barat. Bahkan ramai kalangan 'Arab dan 'Ajam yang menghafalnya dan mereka membacanya dalam perhimpunan-perhimpunan agama yang munasabah. Kandungannya merupakan khulaashah (ringkasan) sirah nabawiyyah yang meliputi kisah lahir baginda, perutusan baginda sebagai rasul, hijrah, akhlak, peperangan sehingga kewafatan baginda................

Kitab "Mawlid al-Barzanji" ini telah disyarahkan oleh al-'Allaamah al-Faqih asy-Syaikh Abu 'Abdullah Muhammad bin Ahmad yang terkenal dengan panggilan Ba`ilisy yang wafat tahun 1299H dengan satu syarah yang memadai, cukup elok dan bermanfaat yang dinamakan "al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji" yang telah banyak kali diulang cetaknya di Mesir.
Ikhwah lihat, bagaimana Habib Muhammad menyatakan bahawa Sayyid Ja'far adalah seorang 'allaamah, seorang muhaddits lagi musnid yang menjadi sanad dan sandaran umat. Jadi bagaimana kita tergamak membuka mulut kita dan menggerakkan lidah kita yang tidak bertulang untuk mencemoh dan merendah-rendahkan pribadi seperti Sayyid Ja'far, Mufti Syafi`iyyah di Kota Madinah. Allahu ... Allah.

Sebagaimana dinyatakan oleh Buya al-Maliki di atas, mawlid Sidi Ja'far al-Barzanji ini telah disyarahkan pula oleh para ulama kenamaan umat ini. Antara yang masyhur mensyarahkannya ialah Syaikh Muhammad bin Ahmad 'Ilyisy al-Maaliki al-'Asy'ari asy-Syadzili al-Azhari yang mengarang kitab "al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji". Beliau ini adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif, bermazhab Maliki lagi Asy`ari dan menjalankan Thoriqah asy-Syadziliyyah. Beliau lahir pada tahun 1217H (1802M) dan wafat pada tahun 1299H (1882M). Beliau bukanlah calang-calang ulama pula, ketinggian ilmunya dapat dilihat dalam kitab-kitab karangannya yang bernilai tinggi, antaranya : "Hidaayatul Muriid li 'Aqiidati Ahlit Tauhiid", "Syarah al-'Aqaa-idul Kubra lis Sanusi", "Haasyiah 'ala Syarhish Shoghir lid-Dardiir", "Minhul Jaliil 'ala Mukhtashar Khaliil" dan "Hidaayatus Saalik ila Aqrabil Masaalik fi Furu`il Fiqhil Maaliki".

Selain Syaikh Ba`ilisy, ulama kita kelahiran Banten, Pulau Jawa, yang terkenal sebagai ulama dan penulis yang produktif dengan banyak karangannya. Sayyidul 'Ulama-il Hijaz, an-Nawawi ats-Tsani, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi turut menulis syarah yang lathifah bagi "Mawlid al-Barzanji" dan karangannya itu dinamakannya "Madaarijush Shu`uud ila Iktisaa-il Buruud". Manakala, seorang keturunan Sayyid Ja'far al-Barzanji yang mempunyai nama yang sama dengan beliau, iaitu Sayyid Ja'far bin Sayyid Isma`il bin Sayyid Zainal 'Abidin bin Sayyid Muhammad al-Hadi bin Sayyid Zain yang merupakan suami kepada satu-satunya anak Sayyid Ja'far al-Barzanji, telah juga menulis syarah bagi "Mawlid al-Barzanji" tersebut yang dinamakannya "al-Kawkabul Anwar 'ala 'Iqdil Jawhar fi Mawlidin Nabiyil Azhar". Sayyid Ja'far ini juga adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif. Beliau juga merupakan seorang Mufti Syafi`iyyah. Karangan-karangan beliau banyak, antaranya: "Syawaahidul Ghufraan 'ala Jaliyal Ahzan fi Fadhaa-il Ramadhan", "Mashaabiihul Ghurar 'ala Jaliyal Kadar" dan "Taajul Ibtihaaj 'ala Dhau-il Wahhaaj fi Israa` wal Mi'raaj". Beliau juga telah menulis sebuah manaqib yang menceritakan perjalanan hidup dan ketinggian nendanya Sayyid Ja'far al-Barzanji dengan jodol "ar-Raudhul A'thar fi Manaqib as-Sayyid Ja'far". Allahu ... Allah, dunia Islam kaya dengan khazanah keilmuan. Luas melaut ilmu para ulama kita. Cuma kail kita yang panjang sejengkal tak mampu menduga kedalaman lautan tersebut... Allahu...Allah. Oleh itu, janganlah jadi seumpama "katak di bawah tempurung" atau dalam shighah Mr. Sammy - "tempurung atas katak", hanya kenal sorang dua ulama terus menyerang dan menghukum orang lain yang tidak sefaham. Kepada yang merasakan Mufti Sidi Ja'far al-Barzanji hanya seorang lelaki seperti dirinya atau beranggapan dia mufti, aku pun mufti, eloklah cari kitab-kitab tersebut dan kaji pribadi dan sejarah hidup Sidi Ja'far al-Barzanji yang mawlid karangannya telah lumrah jadi bahan bacaan dan amalan umat ini. Lepas tu cari cermin tengok muka sendiri dan buat perbandingan.

Berbalik kepada Sidi Ja'far al-Barzanji, selain dipandang sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid Nabawi dan mengajar di dalam masjid yang mulia tersebut. Beliau terkenal bukan sahaja kerana ilmu, akhlak dan taqwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk hujan pada musim-musim kemarau. Diceritakan bahawa satu ketika di musim kemarau, sedang beliau sedang menyampaikan khutbah Jumaatnya, seseorang telah meminta beliau beristisqa` memohon hujan. Maka dalam khutbahnya itu beliau pun berdoa memohon hujan, dengan serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya sehingga seminggu, persis sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Junjungan Nabi s.a.w. dahulu. Menyaksikan peristiwa tersebut, maka sebahagian ulama pada zaman itu telah memuji beliau dengan bait-bait syair yang berbunyi:-

سقى الفروق بالعباس قدما * و نحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك و سيلة لهم و هذا * وسيلتنا إمام العارفينا

Dahulu al-Faruuq dengan al-'Abbas beristisqa` memohon hujan
Dan kami dengan Ja'far pula beristisqa` memohon hujan
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan
Dan ini wasilah kami seorang Imam yang 'aarifin

Sidi Ja'far al-Barzanji wafat di Kota Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi`, sebelah bawah maqam nenda-nenda beliau dari kalangan anak-anak perempuan Junjungan Nabi s.a.w. Allahu ... Allah. Bertuah sungguh Sayyid Ja'far. Karangannya membawa umat ingatkan Junjungan Nabi s.a.w., membawa umat kasihkan Junjungan Nabi s.a.w., membawa umat rindukan Junjungan Nabi s.a.w. Setiap kali karangannya dibaca, pasti sholawat dan salam dilantunkan buat Junjungan Nabi s.a.w. Juga umat tidak lupa mendoakan Sayyid Ja'far yang telah berjasa menyebarkan keharuman pribadi dan sirah kehidupan makhluk termulia keturunan Adnan. Allahu ... Allah.

اللهم اغفر لناسج هذه البرود المحبرة المولدية
سيدنا جعفر من إلى البرزنج نسبته و منتماه
و حقق له الفوز بقربك و الرجاء و الأمنية
و اجعل مع المقربين مقيله و سكناه
و استرله عيبه و عجزه و حصره و عيه
و كاتبها و قارئها و من اصاخ إليه سمعه و اصغاه

Ya Allah ampunkan pengarang jalinan mawlid indah nyata
Sayyidina Ja'far kepada Barzanj ternisbah dirinya
Kejayaan berdamping denganMu hasilkan baginya
Juga kabul segala harapan dan cita-cita
Jadikanlah dia bersama muqarrabin berkediaman dalam syurga
Tutupkan segala keaiban dan kelemahannya
Segala kekurangan dan kekeliruannya
Seumpamanya Ya Allah harap dikurnia juga
Bagi penulis, pembaca serta pendengarnya

و صلى الله على سيدنا محمد و على اله و صحبه و سلم
و الحمد لله رب العالمين

Khamis, Mei 03, 2007

Titihan Mulia

Waduh, cbox aku dah jadi macam kata Allahyarham Pak Abas Astro: "macam-macam ada", sehingga aku pun lost sewaktu membacanya. Dari apa yang dapat ku tangkap ianya nampak macam menjurus kepada bahasan mengenai titihan nasab yang mulia, iaitu titihan zuriat keturunan Junjungan Nabi s.a.w. daripada anakanda baginda Sayyidatina Fathimah az-Zahra` r.'anha.

Aku mengakui kelebihan dan keutamaan serta kemuliaan titihan nasab ini. Ianya merupakan satu nikmat yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang telah dijadikanNya tergolong dalam nasab tersebut. Akan tetapi ianya juga merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang mesti dipikul oleh mereka-mereka yang bernasab kepada nasab yang mulia ini. Tanggungjawabnya ialah mereka yang memiliki nasab yang mulia ini hendaklah sentiasa memuliakan darah Junjungan Nabi s.a.w. yang mengalir dalam tubuh mereka. Memuliakannya dengan sentiasa mematuhi ajaran nenda mereka Junjungan Nabi s.a.w. Jika kami yang tidak ternasab dalam titihan yang mulia ini, yakni dalam tubuh kami Allah tidak rezekikan mengalir darah atau DNA Junjungan Nabi s.a.w. dikehendaki untuk sentiasa taat kepada ajaran baginda, maka kamu keturunan yang mulia, anak cucu baginda seharusnya menjadi contoh utama dan pertama dalam mentaati ajaran baginda s.a.w. Kamu wahai habaib kami yang mulia diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjaga titihan mulia yang mengalir dalam diri kamu. Nama baik Junjungan dan segala ahli keturunan baginda yang mulia jangan sekali-kali kamu khianati dengan cemar dosa dan maksiat. Jangan kotori titihan mulia ini dengan kederhakaan kepada Allah s.w.t. dan kepada ajaran Nenda kamu yang mulia s.a.w. Inilah amanah dan tanggungjawab kamu wahai habaib yang mulia.

Aku teringat kata-kata salah seorang guruku yang berketurunan asy-Syathiri yang mulia. Di mana guruku ini sekian tahun telah tinggal dan berdakwah di Negara Brunei Darus Salam. Dimaklumi bahawa di sana para saadah dipandang tinggi dan dimuliakan oleh masyarakat. Sama seperti generasi ibu-bapa ku dahulu, amat memuliakan keturunan mulia ini berbanding masyarakat zaman aku sekarang. Guruku itu amat tidak menyukai orang membesar-besarkan dirinya kerana nasabnya tersebut, bila dia menyuarakan rasa hatinya itu, maka masyarakat menjawab bahawa mereka sebenarnya memuliakan beliau kerana mungkin dalam diri beliau mengalir setitik darah Junjungan Nabi s.a.w. Justru kita memuliakan para habaib anak keturunan baginda Nabi s.a.w. adalah kerana baginda s.a.w. Allahu ... Allah, jagalah kehormatan titihan mulia ini, baik umat biasa seperti diriku ini, apatah lagi mereka-mereka yang dalam diri mereka mengalir titihan ini. Sungguh kamu diberi kemuliaan yang tiada tara, dalam silsilah nasab kalian ada Junjungan Nabi s.a.w., mana ada nasab yang semulia nasab kalian, penghormatan kepada nasab kalian tetap menjadi junjungan umat ini, TAPI harus kamu ingat akan amanah dan tanggungjawab yang berat atas pundak kamu IAITU tetap istiqamah menjaga nama baik dan kemuliaan tersebut.

Mari kita lihat kalam Imam al-Haddad dalam kitabnya "al-Fushuul al-'Ilmiyyah wal Ushul al-Hikamiyyah" dalam Fasal ke-25 halaman 88 - 91, beliau rahimahUllah antara lain menulis:-

... Dan telah berlaku atas lidah sebahagian manusia, apabila dikatakan kepadanya "seseorang dari kalangan Ahlil Baitin Nabawi telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi ajaran agama dan bercampur-baur perbuatannya antara makrufat dan maksiat", maka mereka menjawabnya dengan kata-kata: "Mereka itu Ahlul Bait Rasulillah s.a.w., Rasulullah adalah pemberi syafaat bagi mereka, dan barangkali dosa-dosa tidak memudaratkan mereka". Maka ini adalah ucapan yang amat buruk, yang memudaratkan diri orang yang berkata dan juga memudaratkan diri orang jahil yang diperkatakan itu. Bagaimana seseorang boleh berkata sedemikian sedangkan Kitab Allah yang mulia telah menunjukkan bahawasanya Ahlul Bait digandakan bagi mereka pahala atas segala kebajikan mereka dan demikian juga diganda hukuman terhadap dosa kesalahan mereka, sebagaimana difirmankan Allah ta`ala:-

يٰنِسَآءَ ٱلنَّبِيِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا ٱلْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيراً وَمَن يَقْنُتْ مِنكُنَّ للَّهِ وَرَسُولِهِ وَتَعْمَلْ صَالِحاً نُؤْتِهَآ أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقاً كَرِيماً

Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. Dan sesiapa yang di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang sholeh, Kami beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. [Surah al-Ahzab: 30 - 31)

Dan para isteri Junjungan Nabi s.a.w. adalah dari kalangan Ahlil Bait baginda s.a.w. Maka sesiapa yang berkata atau menyangka yang dengan meninggalkan ketaatan dan melakukan maksiat tidak akan memudaratkan seseorang kerana kemuliaan nasabnya atau kerana kesholehan datuk neneknya, maka dia telah mendustai Allah dan menyalahi ijmak kaum Muslimin. ...........

.... Dan adapun sesiapa daripada kalangan Ahlil Bait yang tidak menjalani jalan-jalan para salaf mereka yang suci, di mana telah masuk pada mereka sesuatu percampuran antara taat dan maksiat kerana kejahilan. Maka sewajarnya juga mereka dimuliakan dan dihormati kerana hubungan kekerabatan mereka dengan Junjungan Nabi s.a.w., dan sesiapa yang berkemampuan memberi nasihat maka hendaklah dia tidak meninggalkan menasihati mereka dan mendorong mereka untuk mengikut perjalanan shalafush sholeh mereka yang terdahulu dari segi ilmu, amal-amal sholeh, akhlak yang baik, sirah perjalanan hidup yang diredhai. Khabarkanlah kepada mereka bahawasanya mereka terlebih utama dan lebih berhak untuk berbuat sedemikian berbanding manusia lain. Dan maklumkan juga bahawa nasab semata-mata tidak bermanfaat dan tidak menjadikan darjat seseorang itu tinggi, selagi mana dia mengabaikan ketaqwaan, mencintai dunia, meninggalkan ketaatan dan mencemar diri dengan berbagai perbuatan yang menyalahi ajaran agama. Para penyair terutamanya dari kalangan para Imam dan ulama telah memberi penekanan mengenai perkara ini dalam syair-syair mereka, sehingga dikatakan oleh sebahagian mereka:-

لعمرك ما الإنسان إلا ابن دينه * فلا تترك التقوى اتكالا على النسب
فقد رفع الإسلام سلمان فارس * و قد وضع الشرك الحسيب ابا لهب

Sungguh tidaklah manusia melainkan anak agamanya
Maka jangan kau tinggal taqwa demi mengunggulkan nasab
Dengan Islam telah ditinggikan darjat Salman orang Farsi
Manakala syirik merendahkan orang berbangsa si Abu Lahab


Al-Mutanabbi pula bersyair:


إذا لم تكن نفس الشريف كأصله * فماذا الذي تغني رفاع المناصب

Pabila diri si Syarif tidak jadi seperti asal keturunannya

Maka apalah faedah ketinggian nasab keturunannya itu


Dan penyair lain berkata:-


و ما ينفع الأصل من هاشم * إذا كانت النفس من باهله

Tidak berfaedah asal keturunan daripada Hasyim
Jika jiwa dirinya daripada Baahilah

***************
Allahu .... Allah. Nasab keturunan Bani Hasyim yang merupakan semulia-mulia nasab Bangsa Quraisy tidak mendatangkan apa-apa jika diri orang itu mempunyai jiwa Baahilah iaitu satu suku 'Arab yang terkenal dengan keburukan akhlak dan perangai mereka. Harap jangan ada sesiapa yang tersinggung. Aku tidak berniat untuk merendahkan sesiapa, hajatku hanya satu agar semua pihak, baik Saadah, baik Habaib, baik Asyraf, baik ghair munashib, untuk sama-sama memuliakan titihan mulia tersebut. Ambillah perhatian dengan kalam Imam al-Haddad tersebut, sungguh ianya adalah kalam Imam dan Pemuka Ahlil Bait Nabawi yang mulia. Mudah-mudahan dapat kita jadikan pedoman dalam kehidupan.