Khamis, Jun 28, 2007

Dua Kali Lipat

Imam an-Nawawi rahimahUllah dalam himpunan 40 hadits beliau yang masyhur memasukkan sepotong hadits iaitu hadits yang ke-36 di mana pada hujungnya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:

و من أبطأ به عمله لم يسرع به نسبه
"Sesiapa yang dilambatkan oleh amalannya, tidaklah dia dipercepatkan oleh nasab keturunannya."
Ini tidaklah bererti nasab yang mulia tidak mempunyai apa-apa perkiraan di sisi Allah s.w.t., kerana di sisi lain ada jaminan Junjungan s.a.w. bahawa setiap nasab akan terputus pada hari kiamat nanti selain nasab Baginda s.a.w. Tapi maksud yang dikehendaki ialah bahawa syarat untuk bermanfaatnya nasab yang mulia ialah amalan yang selari dengan ajaran para leluhur nasab yang mulia tersebut. Sungguh sesiapa yang mengaku bernasab kepada nasab yang mulia, tetapi amalannya menyalahi ajaran para leluhurnya, maka seolah-olah dia telah menconteng arang di muka para leluhurnya. Oleh itu adakah pelik jika dia mendapat kemarahan para leluhurnya? Perhatikanlah dengan benar wahai mereka-mereka yang bernasab mulia. Sewaktu memberi tausyiahnya, dalam majlis mawlid Subuh rangka peringatan Haul Habib Ali al-Habsyi pada 20 Rabi`ul Akhir 1428 / 8 Mei 2007 di Kota Surakarta (Solo), Habib Najib as-Saqqaf berpesan antara lain:-

"Ahlul Bait kalau melakukan amal yang baik, diberi pahala 2 kali dari orang-orang yang lain. Tetapi kalau Ahlul Bait menunjukkan amal yang bertentangan dengan amalnya Rasul, bertentangan dengan amalnya a-immah, bertentangan dengan amalnya ajdad, bertentangan dengan amalnya aslaf, dan tidak bertobat kepada Allah, diazab 2 kali oleh Allah. Quran yang berbicara bukan saya. Kerna itu bukan kebanggaan seorang mengatakan "Saya Ahlul Bait RasulAllah", bukan kebanggaan, tetapi justru di atas pundak orang-orang yang mengatakan Ahlul Bait Rasul di atas pundak mereka punya tanggungjawab yang besar - menyelamatkan umat, menebarkan akhlak, menunjukkan jalan yang benar, mengajarkan ilmu, ini namanya Ahlul Bait."

Allahu ... Allah, mudah-mudahan Allah memelihara terus Ahlul Bait Junjungan Nabi s.a.w. sepanjang zaman setiap masa dan ketika. Moga mereka terus menjadi panduan bagi umat sekaliannya dalam ilmu, amal dan ketaqwaan.

رب فانفعنا ببركتهم و اهدنا الحسنى بحرمتهم
و امتنا في طريقتهم و معافة من الفتن


Selasa, Jun 26, 2007

Habib Ja'far as-Saqqaf

Beliau adalah Habib Ja’far bin Syaikhan bin 'Ali bin Hasyim bin Syeikh bin Muhammad bin Hasyim as-Saqqaf, manakala bondanya pula ialah seorang wanita sholehah, Ruqayyah binti Muhammad Manqusy. Dilahirkan di kota Ghurfah, Hadramaut pada tahun 1298 H. Sebagaimana kebanyakan para Salaf Bani Alawi, semenjak kecil beliau mendapat pendidikan langsung dari ayahandanya. Selain beliau menuntut ilmu kepada ayahnya, beliau juga mengambil ilmu dari ulama-ulama besar zamannya, diantaranya: Habib 'Aidrus bin 'Umar al-Habsyi (pengarang ‘Iqdul Yawaaqit), Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi (shohibul Simthud Durar), Habib Ahmad bin Hasan al-Aththas, Habib Husain bin Muhammad al-Habsyi (Mufti Syafi`i Haramain) dan Habib Muhammad bin Salim as-Sary dan Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhor.

Dalam usia 40 tahun iaitu tahun 1338H, beliau berhijrah ke Indonesia. Mulanya beliau menetap di Surabaya sebelum berpindah ke kota santri Pasuruan. Habib Ja'far menghabiskan usianya untuk ibadah dan dakwah dengan bijaksana dan akhlak yang mulia. Beliau terkenal sebagai hafiz dan mufassir al-Quran yang hebat sehingga guru beliau, Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhor memberikan gelar "al-Quran berjalan" bagi beliau, di mana sering tatkala bertemu dengan Habib Ja'far, gurunya tersebut akan berkata: "Ahlan bil Quran wa ahlan bi ahlil Quran". Bahkan gurunya tersebut sering menyerahkan tugas menjadi imam kepada beliau kerana dalam bacaannya amat elok menurut hukum tajwid serta penuh kekhusyukan. Kekhusyukan dan kehadiran hati beliau ini meliputi para makmum sehingga mereka turut merasa kenikmatan khusyuk dan hudhur. Habib 'Alwi bin 'Ali al-Habsyi pernah berkata: "Ketika mendengar bacaan Habib Ja'far, aku mengikuti pendapat yang mengatakan bahawa membaca al-Fatihah di belakang imam dalam shalat jahriyyah tidak wajib kerana hudhur yang kurasakan dari bacaannya." Sehingga dikatakan juga oleh yang lain bahawa: "Kalau Habib Ja'far membaca al-Quran, maka setiap huruf yang beliau ucapkan itu seakan-akan berbentuk."

Selain dakwah keliling, beliau membuka majlis ta'lim dan majlis rohah di Pasuruan dengan dihadiri oleh ramai santri yang terdiri dari kalangan para ulama. Antara ulama yang melazimi majlisnya ialah Kiyai Haji Abdul Hamid bin 'Abdullah bin 'Umar BaSyaiban dan Kiyai Mas Imam bin Thohir.

Habib Ja'far sangat teguh menjaga ajaran leluhurnya para salafush sholeh Bani 'Alawi yang mulia. Beliau beramal sesuai amal mereka dan berakhlak persis akhlak mereka. Beliau juga setekun para leluhurnya dalam melaksanakan amal-ibadah, selalu bertaqarrub kepada Allah dengan melakukan berbagai kesholehan. Antara wiridannya setiap hari ialah mengkhatamkan kitab suci al-Quran dan memperbanyakkan sholawat atas Junjungan s.a.w. Malamnya indah dihiasi qiyamul lail dan menyendiri di tempat khusus untuk bermunajat dan bertaqarrub. Beliau juga terkenal amat memuliakan para tetamunya, sehingga urusan melayani para tetamunya dijalankan sendiri oleh beliau. Beliau sendirilah yang menuangkan minuman buat si tamu dan beliau menolak jika ada orang lain yang hendak menggantikannya. Pernah satu ketika salah seorang tetamunya menyarankan agar beliau membiarkan orang lain untuk menuangkan minuman kepada para tetamunya dengan katanya: "Jangan engkau sendiri yang melakukannya." Beliau spontan menjawab: "Apakah di hari kiamat kelak, ketika Rasulullah s.a.w. memberi manusia minum dari telaga Kautsar dengan tangan baginda sendiri, kau akan berkata kepada beliau:"Jangan engkau sendiri yang melakukannya." .... Allahu ... Allah, mudah-mudahan kita dapat meneguk minuman telaga Kautsar dari tangan baginda yang mulia. Sungguh memuliakan tetamu itu sebahagian daripada keimanan, dan berhati-hatilah kita tatkala melayani para tetamu kita, jangan sampai kita menjadikan tetamu kita tersebut sebagai pelayan kita. Ingat sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami:

سخافة بالمرء أن يستخدم ضيفه
"Bodohlah orang yang menjadikan tetamunya sebagai khadam (yakni tetamu pula yang jadi sibuk melayan tuan rumah dan bukan sebaliknya)".
Kehidupan berputar terus dan Habib Ja'far selalu mengisinya dengan kebaikan dan kebajikan. Sampai pada suatu saat dimana Allah hendak memanggilnya, maka berpulanglah beliau menuju mardhotillah pada hari Isnin, tanggal 14 Jumadil Akhir 1374 H dalam usia 76 tahun. Berita kewafatannya tersebar ke seluruh pelusuk dan penziarah tidak putus-putus berdatangan sehingga pemakaman beliau terpaksa diakhirkan sehingga ke petang Selasa. Jasad beliau lalu disemayamkan di tepi Masjid Jami` al-Anwar, Pasuruan, berdampingan dengan maqam Habib Hadi bin Shodiq Bin Syaikh Abu Bakar. Mudah-mudahan Allah meredhai beliau dan mengumpulkan beliau bersama para leluhurnya yang sholeh. Allahumma aamiin ..... al-Fatihah.

Ahad, Jun 24, 2007

Dzikrul Jalaalah

Tiada tuhan selain Allah
wujud sepanjang zaman

Tiada tuhan selain Allah
disembah setiap tempat

Tiada tuhan selain Allah
disebut setiap lidah

Tiada tuhan selain Allah
dikenali dengan keihsanan

Tiada tuhan selain Allah
setiap masa sentiasa mentadbir 'alam

Tiada tuhan selain Allah

(Kami mohon) keamanan, keamanan dari kehilangan iman dan dari fitnah godaan syaithan. Wahai Tuhan yang sifat keihsananNya kekal abadi, telah banyak keihsananMu terhadap kami, keihsananMu yang berkekalan. Wahai Tuhan yang Maha Penyayang, Wahai Tuhan yang Maha Penganugerah, Wahai Tuhan yang Maha Pengasih, Wahai Tuhan yang Maha Pemurah, Wahai Tuhan yang Maha Pengampun, Wahai Tuhan yang Maha Pemaaf, ampunkanlah kami dan rahmatkanlah kami, Engkaulah sebaik-baik Pengasih.
Dzikrul Jalaalah adalah satu doa yang biasa diamalkan oleh para ulama kita. Ianya merupakan amalan berzikir menyebut lafaz tahlil diikuti permohonan untuk keamanan dari hilangnya keimanan dan keamanan dari fitnah godaan syaithan yang terkutuk. Dan ianya diakhiri dengan memohon keampunan dan rahmat Allah s.w.t. Almarhum Buya al-Maliki rahimahUllah dalam "Khulaashatu Syawaariqil Anwaari min ad`iyatis Saadatil Akhyaar" menganjurkan agar ianya dibaca setelah membaca asma-ul husna. Bisa sahaja dzikir dan doa ini dibaca tanpa didahului asma-ul husna sebagaimana diamalkan oleh sebahagian guru kita. Ya ianya bisa diamalkan kapan sahaja, sebaiknya dengan dawam. Mudah-mudahan kabul dan terpelihara dari hilangnya iman tatkala menghembuskan nafas kita yang terakhir.... Allahumma aamiin.

Jumaat, Jun 22, 2007

Himbauan Ustaz Naufal

Dalam mukaddimah bagi karangannya yang sederhana tapi padat lagi berbobot dengan jodol "Jalan Nan Lurus : Sekilas Pandang Tarekat Bani 'Alawi", Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydrus menulis keprihatinannya mengenai musibah yang semakin berleluasa yang menimpa sebahagian generasi para Saadah 'Alawiyyin yang mulia. Aku rasa apa yang dinyatakan oleh Fadhilatul Ustaz tersebut sayogianya diberikan perhatian sewajarnya agar ianya tidak menjadi semakin parah yang mengakibatkan fitnah yang besar terhadap agama Islam yang mulia. Antara himbauan beliau :-

Dewasa ini tidak sedikit kaum 'Alawiyyin yang buta akan sejarah dan pandangan hidup leluhurnya. Mereka terbelenggu oleh kehidupan modern yang menggoda dan melalaikan. Keadaan ini diperburuk oleh sedikitnya buku-buku berbahasa Indonesia yang menjelaskan keluasan ilmu dan keindahan budi Bani 'Alawi. Akibatnya, mereka terseret arus dan memilih jalan hidup yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip kehidupan leluhurnya. Padahal, sebagai anak cucu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam, mereka memiliki tanggungjawab yang jauh lebih besar dari umat Islam lainnya. Mereka membawa nama besar baginda Muhammad shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam. Seorang 'Alawi harus (baca: wajib menurut Bahasa Malaysia) benar-benar mengerti sejarah leluhurnya, pandangan dan jalan hidup mereka, sehingga ia dapat meneladani dan melanjutkan perjuangan mereka di dalam menebarkan ajaran mulia Rasulullah shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam.
Sambutlah seruan ini wahai ikhwah terutama sekali para Saadah yang mulia. Jangan biarkan kejahilan menjerumuskan kita kepada kesesatan. Kembalilah kepada i'tiqad, pegangan, jalan, mazhab para leluhur yang mulia daripada kalangan salafus sholeh yang menerima pegangan mereka secara ambilan generasi kemudian daripada generasi terdahulu sehingga kepada al-Jaddul Akbar an-Nabiyul Mukhtar shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam. Pelajari dan pegang warisan para leluhur yang mulia ini, jangan ditukarkan dengan kesesatan para ahli bid`ah apa pun hiasan nama mereka. Bagi yang kurang berkemampuan untuk memahami kitab-kitab yang berbahasa 'Arab, jadikanlah buku Ustaz Naufal ini sebagai permulaan, di samping teruskan usaha untuk berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan rohah para ulama dan muballigh yang berjalan atas jalan mereka. Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita agar tidak tersesat dari jalan yang lurus tinggalan para salafush sholeh terdahulu. Moga-moga Allah peliharakan Ustaz Naufal al-'Aydrus serta memanjangkan usianya untuk manfaat bagi ilmu dan umat.

Rabu, Jun 20, 2007

TG Haji Salleh al-Masri

Tuan Guru Haji Muhammad Salleh al-Masri bin Baki bin Lundang dilahirkan dalam tahun 1875 di Rasah, Negeri Sembilan. Setelah meningkat dewasa, beliau melanjutkan pengajiannya ke Bersilam, Langkat, Sumatera dan berguru dengan Syaikh 'Abdul Wahhab. Beberapa tahun menimba ilmu di sana, beliau pulang ke tanahair dengan ilmu penuh di dada sehingga beliau digelar sebagai Faqih Muhammad Salleh. Sungguh pun demikian, dahaganya kepada pengetahuan tidak pernah padam, beliau tetap meneruskan pengajiannya dengan guru-guru lain seperti Tuan Guru Haji Zainal 'Abidin al-Fathani di Sungai Dua, Butterworth dan Tuan Guru Imam Haji Ahmad di Padang Lalang, Bukit Mertajam. Akhirnya, atas galakan dan dorongan Tuan Guru Imam Haji Ahmad, beliau memutuskan untuk melanjutkan pengajiannya ke Universiti al-Azhar asy-Syarif. Maka dalam tahun 1899 beliau berangkat ke Mesir untuk mengaji di al-Azhar asy-Syarif.

Sewaktu mengaji di sana, beliau menempuh berbagai kesulitan dan pancaroba. Tatkala di sana juga, ayahanda beliau kembali ke rahmatUllah lalu rentetan itu biaya pengajiannya terhenti. Hampir sahaja beliau menamatkan pengajiannya untuk pulang ke tanahair, tetapi hasrat tersebut diurungnya setelah seorang hartawan dari Bukit Mertajam tampil menghulurkan bantuan kepada beliau. Hartawan tersebut adalah Tuan Haji Abbas yang kemudiannya menjadi bapa mertua beliau. Pengajiannya di al-Azhar diteruskannya sehingga memperolehi ijazah B.A. Hons pada tahun 1905.

Sekembalinya ke tanahair, mertuanya tersebut telah mewaqafkan sebidang tanah di Bukit Mertajam kepadanya untuk dibina madrasah. Maka beliau telah mengasaskan Madrasah al-Masriyah dan mencurahkan tenaga dan segala ilmunya di madrasah tersebut. Pelbagai cabaran telah dihadapinya dengan tenang dan sabar semasa penubuhan madrasah tersebut. Akhirnya, berkat kesabaran dan kegigihan beliau, Madrasah al-Masriyah telah berkembang dengan pesat. Bertambah ramai penuntut-penuntut ilmu mendatangi madrasah tersebut dari bebagai pelosok dunia Melayu sehingga dari Kemboja dan Laos.

Pada penghujung Mei tahun 1971, Tuan Guru Haji Muhammad Salleh al-Masri telah berangkat ke Mekah. Setelah 10 hari di sana, beliau diserang penyakit dan pada 11 Jun 1971 beliau kembali ke rahmatUllah. Jenazah beliau disembahyangkan dalam Masjidil Haram yang mulia dan disemadikan di Jannatul Ma`ala. Mudah-mudahan Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Tuan Guru Haji Muhammad Salleh al-Masri ...... al-Fatihah.

Panutan Saadah Bani 'Alawi

Dalam menghadapi fitnah Wahabiyyah, jangan pula kita lupa bahawa puak Syiah juga tidak duduk diam untuk menyebarkan dakyah mereka kepada masyarakat kita yang sedari dahulu majoritinya Sunniyyun Syafi`iyyun. Syiah menyembunyikan kedok dakyah mereka dengan berbagai cara, nama dan samaran, antara yang paling lazim dilaungkan mereka ialah bahawa mereka adalah pengikut Mazhab Ahlul Bait. Benarkah dakwaan dan dakyah Syiah ini??????? Dakwaan dan dakyah ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi segelintir umat, sehingga sempat bikin kecoh di beberapa tempat di Indonesia dan Malaysia. Sebagaimana dimaklumi bahawa bumi kita sebelah Nusantara ini telah diberkati Allah dengan keberadaan sejumlah besar anak cucu Junjungan Nabi kita s.a.w. dan umumnya di Malaysia dan Indonesia, mereka-mereka ini adalah daripada keturunan Imam Ahmad bin 'Isa al-Muhajir yang terkenal dengan gelaran para Habaib dan Saadah Ba 'Alawi. Di samping itu ada juga keturunan Junjungan s.a.w. menurut susur galur nasab yang mulia daripada Imam Hasan r.a., Imam 'Aun r.a. dan Imam Musa al-Kazim.

Melihat ada kelompok Saadah yang berada di Malaysia dan Indonesia yang terpengaruh dan termakan dengan dakyah "Mazhab Ahlul Bait" puak Syiah, maka para ulama, pemuka, munshib dan sesepuh habaib yang berada Hadhramaut dan al-Haramain telah bertindak mengutus sepucuk surat kepada pihak Rabithah al-'Alawiyyah dan segala keturunan Ba 'Alawi di Indonesia dan Asia untuk menegaskan dan mengingatkan para 'Alawiyyin di mana pun mereka berada agar berpegang teguh dengan 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah selainnya termasuklah yang bertopengkan Mazhab Ahlul Bait. Surat tersebut telah ditandatangani antara lain oleh:-
  1. Habib 'Abdullah BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
  2. Habib Saalim asy-Syaathiri, Mudir Ribath Tarim;
  3. Habib Zain BinSumaith, Pimpinan ribath di Madinah;
  4. Habib 'Ali al-Masyhur BinHafidz, Ketua Majlis Fatwa Tarim;
  5. Habib Muhsin al-Muhdhaar, Pemuka Ba 'Alawi Shan`a;
  6. Habib Hasan al-Haddad, Munshib Maqam Imam al-Haddad;
  7. Habib 'Aidrus al-Kaaf, Mudir Kuliah Syariah al-Ahqaaf;
  8. Habib 'Ali BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
  9. Habib 'Aidrus BinSumaith, Pemuka Ba 'Alawi Tarim;
  10. Habib 'Umar BinHafidz, Pimpinan Darul Musthofa Tarim;
  11. Habib Muhammad bin Muhsin bin 'Ali al-Haamid;
  12. Habib Hasan bin Ahmad, Munshib Syaikh Abu Bakar;
  13. Habib Haamid Ba 'Alawi, Imam Masjid Ba 'Alawi Tarim;
  14. Habib Husain 'Aidiid, Imam Masjid Mawlal 'Aidiid Tarim;
  15. Habib Syaikh bin 'Abdullah al-Habsyi;
  16. Habib Sholeh al-Haamid, Munshib al-Haamid;
  17. Habib 'Abdur Rahman al-Habsyi, Munshib Maqam al-Habsyi;
  18. Habib Husain BalFaqih, Munsib BalFaqih;
  19. Habib Hasan BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
  20. Habib Haamid BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
  21. Habib 'Abdullah al-'Aththas, Munshib al-'Aththas;
  22. Habib Muhammad al-'Aidrus, Imam Masjid as-Saqqaf;
  23. Habib Muhammad as-Saqqaf, Imam Masjid 'Ali as-Saqqaf;
  24. Habib Ahmad al-Habsyi, cucu Imam Ali al-Habsyi;
  25. Habib Haasyim al-Habsyi ar-Rausy, Ketua Ulama Hadhramaut & Munshib ar-Rausy.
Antara pesanan mereka buat sekalian muslimin, umumnya dan Alawiyyin, khususnya, ialah:-

Dan kami menegaskan kepada kalian berhubung urusan ar-Rabithah al-'Alawiyyah agar tetap kukuh dan istiqamah atas segala kaedah, peraturan dan susunan yang telah disusun oleh para pengasas dan pengurusnya yang terdahulu yang berjalan atas thoriqah (perjalanan) Ahlus Sunnah wal Jama`ah, mengikut mazhab yang empat lagi Asyaa`irah serta bertasawwuf. Keluarga Abi 'Alawi (Ba 'Alawi) adalah satu bahagian yang tidak terpisah daripada golongan terbanyak umat ini (as-sawadul a'dhzam) iaitu Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Mereka dalam i'tiqad kepercayaan berpegang kepada manhaj al-'Asyaa`irah, dalam furu' fiqh berpegang dengan mazhab Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i al-Mutholibi serta menjalani manhaj tasawwuf yang suci dan jauh dari segala bid`ah dan penyelewengan. Maka jaga-jaga jangan sampai mengubah sesuatu dari apa yang telah mereka asaskan atau menyimpang dari jalan dan kaedah mereka atau menggantikannya dengan manhaj selain manhaj mereka, walau bagaimana pun rupa bentuknya. Maka thoriqah (perjalanan) mereka adalah (sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Haddad):-

Untaian mata rantai mereka yang sanadnya
Kepada Junjungan Nabi terpuji lagi pemuji termulia
Thoriqah petunjuk yang telah diambilkan dia
Dari sir orang-orang mulia
Para khalifah orang-orang mulia sebelumnya

Ayah mengambil daripada ayahandanya
Dan demikianlah berlanjut keadaannya

Alangkah mulianya segala ayahanda
Serta anak keturunan mereka


Begitulah antara himbauan para Habaib kita agar kita sentiasa berjalan atas jalan para salaf yang terdahulu dari kalangan ulama dan pemuka Ba 'Alawi. Awas jangan ada yang cuba menyimpang dari jalan yang ambilannya cukup terang dan nyata tersebut. Memandangkan silsilah dzahabiyyah para Saadah ini yang telah diambil oleh seorang anak daripada bapanya yang mengambil daripada bapanya sehingga ke para leluhurnya yang ke atas, maka Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi berkata:-

من لا سلك طريق ابآئه تخيب وضع
ٍ
Sesiapa (dari kalangan Ba'Alawi) yang tidak menjalani perjalanan para leluhurnya, nescaya dia akan kecewa dan terhina.

Oleh itu, Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi turut melantunkan doa yang berbunyi:-

اللهم إني أبرأ إليك من كل عقيدة لا يعتقدها أسلافنا الصالحون
Allahumma inni abra-u ilaika min kulli 'aqiidatin
laa ya'taqiduhaa aslaafunaash shoolihuun

Ya Allah, sesungguhnya aku berlepas diri kepadaMu daripada segala 'aqidah yang tidak dipegangi oleh para salaf kami yang sholeh.

اللهم آمين يا رب العالمين