Selasa, Disember 30, 2008

Talqin - Raudhatuth Tholibin

Amalan membaca talqin setelah mayat dikebumikan adalah satu amalan yang diterima sebagai sunnat atau mustahab dalam mazhab Syafi'i. Dan amalan ini telah diamalkan oleh umat Islam di Nusantara ini sejak awal kemasukan Islam lagi, tanpa ada yang mempertikaikannya atau menolaknya. Maka kenapa kini amalan sebegini dijadikan sasaran untuk menghukum orang lain sebagai pelaku bid'ah yang tidak mengikuti sunnah? Jika pun tidak mahu bertalqin, maka sewajarnya berlapang dadalah kerana ianya termasuk dalam bab khilafiyyah pada furu', di mana dalam mazhab Syafi'i ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai sunnat atau mustahab. Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam kitab "Raudhatuth Tholibiin" seperti berikut:-

... Dan mustahab hukumnya mentalqinkan mayyit setelah dikebumi. Maka dikatakan: "Wahai hamba Allah anak hamba perempuan Allah, ingatlah dengan apa yang atasnya engkau keluar meninggalkan dunia, iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sesungguhnya syurga itu benar, neraka itu benar, kebangkitan itu benar, hari kiamat pasti datang tanpa keraguan, dan Allah akan membangkitkan sesiapa sahaja dari kubur. Sesungguhnya engkau telah redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi, al-Quran sebagai panutan, ka'bah sebagai qiblat dan kaum mukminin sebagai saudara". Telah warid dengannya hadits Junjungan Nabi s.a.w.
Selanjutnya Imam an-Nawawi meneruskan lagi:-

Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni para ulama asy-Syafi'iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah, Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya "at-Tahdzib" dan selain mereka. Qadhi Husain telah menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi'i, membaca talqin ini adalah mustahab . Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti hadits : "Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam menjawab fitnah kubur)," dan wasiat Sayyidina 'Amr bin al-'Aash: "Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor sembelihan dan membahagi-bahagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku (yakni Munkar dan Nakir)", sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shohihnya. Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan. Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi'i): " Dan duduklah orang yang membaca talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan."
Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Ianya adalah amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi'i. Bukan hanya kita di Malaysia yang bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap mempersenda-sendakan amalan orang lain, apatah lagi jika ianya yang punya dasar, dan diamalkan oleh para ulama dan awliya'. Negeri Sembilan Darul Khusus adalah negeri yang telah mewartakan fatwa berhubung talqin. Di mana dalam Warta Kerajaan Jil. 50 No. 19 bertarikh 11 September 1997 mewartakan fatwa berikut:-

1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati) dan atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata di sisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W. hingga akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang -

(a) membid'ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat.

(b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

(c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.


Isnin, Disember 29, 2008

Senjata Mukmin

الدعاء سلاح المؤمن
و
عماد الدين
و
نور السماوات و الأرض

Doa itu senjata mukmin
Tiang agama
Cahaya langit dan bumi













***********************************************************
Doakanlah kesejahteraan bagi saudara-saudara kita

video


اللهم انصر اخواننا في فلسطين على اليهود الغاصبين
اللهم اصلح احوال المسلمين في فلسطين

اللهم اصلح احوال المسلمين في كل مكان
و صلى الله على سيدنا محمد و على آله و صحبه و سلم

Ya Allah
Berilah bantuanMu kepada saudara-saudara kami di Palestin
Dalam menghadapi keganasan perampok Yahudi

Ya Allah perbaikkanlah hal ehwal umat Islam di Palestin
Ya Allah, perbaikkanlah hal ehwal umat Islam di setiap tempat

Ahad, Disember 28, 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430

Hari ini hari terakhir tahun 1429H. Mari kita bermuhasabah diri, melihat apa yang telah kita lakukan sepanjang 1429 yang akan melabuhkan tirainya petang ini. Segala kebajikan hendaklah disyukuri, manakala dosa kesalahan hendaklah dipohon keampunan. Perbaharuilah azam dan tekad untuk menjadi hamba Allah yang sejati, sentiasa tunduk patuh kepadaNya, mencari keredhaanNya, dengan penuh cinta kasih mahabbah yang hakiki.



Khamis, Disember 25, 2008

Dato' Kiyai Shamsuddin

Dato' Kiyai Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama tanahair yang disegani. Beliau lahir di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911. Menimba ilmu dari beberapa pesantren di Pulau Jawa sebelum berhijrah ke Malaysia,, antaranya ialah Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng yang masyhur. Beliau merupakan pendiri Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah yang didirikannya pada tahun 1940. Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim dan masih ada sehingga kini. Kini ianya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah.

Selain daripada terlibat terus dalam bidang pendidikan, Dato Kiyai juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis DiRaja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor. Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan ahli dalam ilmu-ilmu pertahanan diri. Semasa zaman "Bintang 3" beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama. Dato' Kiyai menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 (9 Januari 1997) meninggalkan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.

Di antara karya beliau adalah sebuah kitab himpunan sholawat berjodol "Majmuu'atush Sholawaat" yang mengandungi berbagai sholawat yang masyhur termasuklah Sholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`. Pada mukaddimahnya pula disebut, antara lain hadits "lawlak" yang tidak lepas dari khilaf ulama mengenainya. Ada ulama yang mentsabitkannya, ada yang menolaknya dan ada pula yang walaupun tidak mentsabitkannya tetapi menyatakan bahawa maknanya shohih. Insya-Allah wa bi 'awnihi, nantilah kita cuba bicarakan mengenainya. Apa yang zahir dari karya Dato' Kiyai ini, beliau nampaknya tergolong dalam kalangan ulama yang mentsabitkan hadits tersebut. Dalam mukaddimahnya tersebut beliau menulis antara lain:-

Sholawat itu satu amalan atau satu ibadah yang sangat-sangat besar pahalanya dan dituntut pada tiap-tiap orang mukminin memperbanyakkan sholawat atas Rasulullah (se)bagaimana firman Allah s.w.t.:

ان الله و ملائكته يصلون على النبي يا ايها الذين امنوا صلوا عليه و سلموا تسليما

Dan tiada syak lagi bahawa Rasulullah itu 'waashitah', bahkan Rasulullah itu:


اصل الإيجاد لكل مخلوق
كما قال ذو العزة و الجلال: لولاك لما خلقت الأفلاك

"Asal bagi kewujudan setiap makhluk", sebagaimana firman Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran (yakni dalam hadits qudsi) yang ertinya: " Jika tidak wujud Rasulullah, Allah ta'ala tidak menjadikan bumi dan langit."
Sungguh Junjungan Nabi itu adalah sebab bagi kewujudan segala yang ada di alam ini. Maka hendaklah kita sentiasa menjaga hubungan dengan orang yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Malanglah sesiapa yang memutuskan hubungan dengan baginda. Moga Allah merahmati Kiyai Haji Shamsuddin dan menempatkan beliau bersama para sholihin. Allahumma ... aamiin ... al-Fatihah.

Isnin, Disember 22, 2008

Rabu, Disember 17, 2008

Zikir Pagi Jumaat TG

Alhamdulillah, gagasan puak kaum muda(h) untuk membid'ahharamkan bahkan mensyirikkan beberapa amalan yang kita warisi daripada para ulama kita yang merupakan waris para nabi, nampaknya telah ditolak oleh kebanyakan masyarakat kita. Yang telah termakan dengan dakyah mereka, tak dapek ese nak kato apo-apo, sudah rezeki masing-masing, moga nantinya diberi hidayah dan taufiq. Antara amalan-amalan yang telah diserang oleh mereka adalah amalan bersholawat dengan Sholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`. Tentangan mereka bertambah hebat apabila ayam-ayam tambatan mereka yang punya gelar "Dr." mula berkokok. Dengan menjaja gelar-gelar bid'ah tersebut, serangan dilancarkan untuk menyesatkan bahkan mensyirikkan pengamal Sholawat Syifa`.

Namun, cahaya kebenaran pastikan sentiasa bersinar walaupun di balik kabut, hilang kabut tampaklah ia. Mari kita sama-sama hayati zikir yang diajar dan dialun oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul 'Aziz hafizahullah. Di antara zikir-zikir yang diamalkan oleh Tuan Guru tersebut adalah tahlil yang menjadi wirid Thoriqat Ahmadiyyah dan sholawat-sholawat yang dihukumkan bid'ah oleh para ahli bid'ah termasuklah Sholawat Syifa` dan Sholawat Tafrijiyyah. Maka sesiapa yang hendak menuduh zikirnya para sholihin itu bid'ah, atau menuduh sesiapa yang membaca Sholawat Syifa' itu syirik, maka eloklah fikir-fikirkan semula. Janganlah bersikap sebagaimana kata tok nenek kita dahulu - "tiada beban batu digalas".


***********************************************************
Zikir Amalan Tuan Guru Nik Aziz

video

Selasa, Disember 09, 2008

Penerangan Mufti Perak

Penerangan Shohibus Samahah Mufti Perak mengenai sikap Asri, mantan mufti termuda yang telah dipencenkan muda, dan jawapan terhadap beberapa isu yang ditimbulkannya. Moga Allah memberikan kita sekalian hidayah dan taufiqNya.

video



video

Jumaat, Disember 05, 2008

Ceramah Habib 'Umar

Ceramah Habib 'Umar BinHafiz di Pasuruan
video

Tanda ulama dunia, membenci kitab-kitab Imam al-Ghazali
Tanda ulama akhirat, mencintai kitab-kitab Imam al-Ghazali





Isnin, November 24, 2008

Akhlak Junjungan

Mawlid ad-Diba'ie adalah antara mawlid yang indah susunan katanya. Karya seorang ulama dan ahli hadits terkemuka berdarjat hafiz, Imam Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i. Beliau dilahirkan pada 4 haribulan Muharram tahun 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab tahun 944H.

Selain susunan kata yang indah cipta, jangan pula kita lupakan maksud susunan kata tersebut yang tiada lain selain cuba menggambarkan kepada kita akan kepribadian manusia pilihan yang menjadi ikutan dan idola kita. Imam ad-Diba`ie rhm. antara lain mensifatkan Junjungan Nabi s.a.w. seperti berikut:-

Adalah Junjungan Nabi s.a.w. itu, sebaik-baik manusia dari segi kejadian dan akhlaknya. Bagindalah orang yang paling benar menunjuki jalan Allah. Akhlak baginda adalah al-Quran dan sifat pemaaf menjadi tabiatnya. Baginda suka memberikan nasihat kepada manusia serta banyak membuat ihsan. Baginda memaafkan kesalahan orang terhadap dirinya, tetapi jika dicuaikan hak Allah, maka tiada siapa yang dapat menahan kemarahannya. Sesiapa yang melihat baginda sekali pandang akan merasa gerun kepadanya (kerana kehebatan baginda). Apabila dipanggil oleh orang miskin, baginda menyahut panggilan tersebut. Baginda berkata benar walaupun pahit. Baginda tidak pernah menaruh perasaan hendak menipu atau menyusahkan orang lain. Sesiapa yang melihat wajah baginda, nescaya nampak nyata yang ianya bukan wajah seorang pendusta.

Adalah Junjungan Nabi s.a.w. tidak pernah mengeji atau mencela orang. Jika baginda bergembira, wajahnya seolah-olah bulan purnama. Apabila baginda berkata-kata dengan manusia, maka seolah-olah mereka mengambil buah-buahan yang manis daripada mulut baginda. Apabila baginda tersenyum, maka senyumannya sejuk menawan seperti butir-butir embun berturunan. Apabila baginda bercakap-cakap, seolah-olah mutiara berguguran daripada percakapan baginda tersebut. Apabila baginda mengucapkan sesuatu, maka seolah-olah kasturi yang keluar daripada mulut baginda. Jika baginda lalu di suatu tempat, maka dapat diketahui bahawa tempat itu telah dilalui baginda kerana bau harum baginda masih tercium di tempat tersebut. Jika baginda duduk di suatu tempat, akan berkekalan keharuman baginda beberapa hari di tempat tersebut. Bau baginda sentiasa harum semerbak walaupun baginda tidak memakai sebarang wangian. Jika baginda berjalan bersama-sama para sahabat, maka seolah-olah baginda bulan purnama yang dipagar bintang. Jika baginda datang ke suatu tempat pada waktu malam, orang - orang yang ada di tempat tersebut merasakan seolah-olah berada di waktu Zuhur disebabkan cahaya baginda. Adalah Junjungan Nabi s.a.w. itu sangatlah pemurah orangnya. Baginda sangat berlembut terhadap anak-anak yatim dan para janda. Setengah sahabat yang pernah menceritakan sifat baginda menyatakan: " Tidak pernah aku melihat seorang yang berambut hitam memakai pakaian merah yang lebih kacak lagi tampan dari baginda Rasulullah s.a.w."
Allahu .. Allah, betapa hebatnya kejadian diri dan pribadi Junjungan Nabi s.a.w. yang mulia. Sungguh bagindalah ciptaan teragung Allah yang tiada tara. Moga sentiasa baginda kita jadikan idola dan ikutan serta contoh teladan sepanjang zaman. Dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis mawlid, diharap kita semakin memahami hal-ehwal dan prilaku manusia agung ini serta bertambah pula kecintaan kita kepada baginda.


Mawlid ad-Diba'ie

video

Jumaat, November 14, 2008

Ceramah Habib Salim - Haul 2008

Ceramah Habib Salim di Masjid Baitul Aman pada 1 November 2008 sempena Haul Imam al-Haddad
video

Sabar melakukan ketaatan diberi 300 darjat
Sabar daripada maksiat diberi 600 darjat
Sabar terhadap bala dan musibah yang datang diberi 900 darjat

Selasa, November 11, 2008

Ceramah Habib Taufiq3

Ceramah Habib Taufiq dalam acara Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. & Haul Habib Ja'far bin Syaikhan, Pasuruan, tahun 1429H (2008M).

video

Seorang mukmin jika dia dibacakan sejarah Rasul s.a.w.
Seorang mukmin jika dia dibacakan sifat-sifat Rasul s.a.w.
Pasti akan semakin cinta kepada beliau

اللهم صل و سلم و بارك عليه و على آله

Habib Salim asy-Syathiri

Habib Salim bin 'Abdullah bin 'Umar asy-Syathiri dilahirkan di Kota Tarim, Hadhramaut pada tahun 1359H. Ayahanda beliau, Habib 'Abdullah adalah pendiri Rubath Tarim yang telah melahirkan ribuan ulama dan santri dari segenap pelosok dunia Islam. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang sholih. Bonda Habib Salim, Syarifah Ruqayyah binti Muhammad bin Hasan Mawla Aidid, adalah seorang wanita yang sholihah yang gemar beruzlah untuk beribadah kepada Allah.

Tatkala berusia 3 tahun, Habib Salim menjadi yatim dengan pemergian ayahanda beliau ke rahmatUllah. Namun asuhan dan didikan agamanya tidak pernah terabai, belum pun genap umurnya 11 tahun beliau sudah hafal al-Quran. Beliau telah menimba berbagai ilmu pengetahuan dari sekitar 80 orang ulama-ulama besar Hadhramaut dan Haramain, antara guru beliau adalah:-
  1. Habib Muhammad al-Mahdi;
  2. Habib Abu Bakar;
  3. Habib Hasan bin 'Abdullah asy-Syathiri;
  4. Habib 'Alwi bin Syihabuddin;
  5. Habib Ja'far bin Ahmad al-'Aydrus;
  6. Habib 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki al-Hasani;
  7. Syaikh Hasan bin Muhammad Masyath;
  8. Syaikh 'Abdullah Sa`id al-Lahji asy-Syafi`i;
  9. Habib Hasan bin Muhammad Fad`aq;
  10. Syaikh Hasan bin Sa`id.
Sekembalinya beliau ke Yaman, beliau telah menggunakan masanya untuk berdakwah dan menyebar ilmu. Beliau pernah tinggal 15 tahun di Kota Aden dan menjadi guru dan khatib di Masjid Habib Abu Bakar al-'Adni bin 'Abdullah al-Aydrus. Pada tahun 1403, atas permintaan Habib Zain bin Ibrahim BinSmith dan Habib Muhammad al-Haddar, beliau bermukim di Kota Madinah dan mengasuh Rubath al-Jufri.

Telah banyak santri yang mengambil manfaat dari kedalaman ilmu beliau. Beliau dikenali memiliki keikhlasan yang tinggi, akhlak yang mulia serta sentiasa menjaga sunnah Junjungan Nabi s.a.w. Dakwah dan menyebarkan ilmu tidak menghalang dirinya untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah khususiyyah seperti sholat-sholat sunnat. Setiap Ramadhan, beliau menambah sembahyang malamnya sehingga 100 rakaat setiap malam.

Kini Habib Salim mengabdikan dirinya untuk mengasuh Rubath Tarim yang mempunyai sekitar 500 orang santri dari berbagai negara termasuklah Malaysia. Selain itu, beliau tetap melakukan rehlah dakwah ke berbagai pelosok dunia Islam. Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan yang sempurna serta melanjutkan usia ulama yang digelar sebagai "Sulthanul 'Ilmi" ini demi manfaat agama dan umat. Allahumma aamiin.

Khamis, November 06, 2008

Hol Imam Al-Haddad

Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad wafat pada 7 Dzul Qa`edah 1132H. Beliau adalah seorang waliyullah yang mencapai darjat quthub dan ahli dakwah yang unggul. Mufti negeri-negeri Hadhramaut, Habib 'Abdur Rahman dalam "Ghayatu Talkhis al-Murad" menyatakan bahawa Imam al-Haddad adalah mujaddid kurun yang ke - 11H. Maqamnya sebagai wali Quthub atau Sulthanul Awliya` telah diketahui umum dan diperakui oleh para ulama pada masa hayat beliau dan selepasnya.

Diceritakan bahawa Syaikh Abu Thayyib al-Maghribi telah bermusafir ke Maghribi untuk menziarahi kaum keluarganya di sana. Semasa di Maghribi, dia mendengar tentang seorang wali yang terkenal, lalu dia pun pergi menziarahi wali tersebut. Semasa berziarah dan melihat wali tersebut, terdetik dalam hatinya bahawa wali ini sudah tentu seorang Quthub. Tiba-tiba wali tersebut memandang tepat kepadanya dan menyatakan bahawa beliau bukanlah Quthub yang dicarinya kerana Quthub tersebut berada di Yaman, iaitu Sayyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad rhm.

Haul @ Hol Imam al-Haddad telah diperingati di berbagai tempat di Malaysia, alhamdulillah. Kenapa kita memperingati hol Imam besar ini? Bukan untuk bermegah-megah atau bersuka-suka, tetapi antaranya, sebagai ikhtiar "ngalap berkat" dan mendapat madad dan syafaat Imam al-Haddad pada hari di mana amalan kita dihisab. Mudah-mudahan pada hari tersebut, kita memperolehi syafaat Imam al-Haddad dan para leluhurnya terutama sekali Jadduhul A'dhzam, Junjungan Nabi s.a.w.

Sebagai pengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah, semestinya kita percaya kepada adanya syafaat daripada orang-orang yang diizinkan Allah s.w.t. untuk memberikannya. Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali r.a. dalam kitab "Ihya` Ulumiddin" menyatakan:-
"Dan hendaklah kita beriman yakni percaya dengan (adanya) syafaat para nabi, kemudian syafaat para ulama, kemudian syafaat para syuhada`, kemudian syafaat segala orang mukmin menurut jah dan kedudukannya di sisi Allah ta'ala."
Mudah-mudahan dengan kita memperingati al-Habib, maka al-Habib akan juga ingat kepada kita. Mudah-mudahan al-Habib sudi mendoakan kita agar sejahtera di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita dikumpulkan bersama beliau dalam syurga Firdaus beserta nendanya yang mulia Junjungan Nabi s.a.w. Allahu ... Allah, inilah kesudahan cita-cita kita, untuk dapat bersama mereka dalam keredhaan dan rahmat Ilahi Rabbi. ..... al-Fatihah bil qabul

*********************************

Ceramah Hol 1 - Habib Hasan al-'Aththas
video

Ceramah Hol 2 - Habib Hasan al-'Aththas
video

Rabu, November 05, 2008

Ceramah Habib Taufiq 2

video

Ceramah Habib Taufiq berkenaan kewafatan Nabi s.a.w.

Selasa, November 04, 2008

Ceramah Habib Taufiq

video
Ceramah Habib Taufiq di Pasuruan, Jawa Timur

Khamis, Oktober 30, 2008

Ceramah Habib Taufiq & Syed Najmuddin


Harap semua yang berada di sekitar Kuching & Kota Samarahan boleh meluangkan masa untuk hadir dalam majlis yang berkat ini.

Tentatif Program:-

5.30 - Bacaan Yaasin & Ratibul Haddad & Tahlil

6.27 - Sholat Maghrib
- Bacaan al-Quran
- Ucapan alu-aluan
- Ceramah oleh Ustaz Najmuddin

7.40 - Sholat Isya'
- Ceramah oleh Habib Taufiq

9.30 - Jamuan

Selasa, Oktober 21, 2008

Habib Taufiq as-Saqqaf

Habib Taufiq bin 'Abdul Qadir bin Husein as-Saqqaf @ as-Segaf, adalah seorang da'ie kondang yang berasal dari kota santri, Pasuruan, Jawa Timur. Beliau dilahirkan dalam tahun 1969. Sejak kecil, beliau telah menerima sebaik-baik asuhan dan didikan agama daripada ayahanda beliau, Habib 'Abdul Qadir as-Saqqaf rahimahullah, yang merupakan murid kepada Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf, murid Shohibul Mawlid, Habib 'Ali al-Habsyi. Begitulah seterusnya didikan yang diperolehinya melalui majlis-majlis ta'lim dan berguru langsung dengan tokoh-tokoh ulama dan awliya' yang terkenal di Kota Pasuruan dan di luarnya. Antara yang menjadi guru langsung beliau adalah Habib Ahmad bin Hadi al-Hamid dan Habib 'Umar bin Hasyim Ba'Agil, Surabaya.

Setelah menimba ilmu pengetahuan daripada para habaib dan ulama di berbagai daerah di Pulau Jawa, maka akhirnya beliau membuka madrasahnya di Kota Pasuruan, selain dari itu, beliau turut mengelola madrasah yang pernah diasuh oleh ayahandan dan datuk beliau, Habib Ja'far bin Syaikhan. Pada tahun 2003, beliau mengambil inisiatif untuk menaiktarafkan madrasahnya tersebut menjadi sebuah pondok pesantren yang menggunakan sistem halaqah dan mengkaji kitab-kitab salaf (baca: Ahlus Sunnah wal Jama'ah). Pondok Pesantren tersebut didirikannya di Jalan Sidogiri, KM1, Kraton, Pasuruan dan dinamakannya Pondok Pesantren Sunniyah Salafiyah. Pesantrennya kini telah berkembang pesat dengan sekitar 30 cawangan madrasah dan 13 pondok pesantren di berbagai daerah antaranya, Jawa, Bali dan Kalimantan.


Selain mengasuh madrasah dan pesantren serta majlis-majlis ta'lim, Habib Taufiq, turut turun gelanggang untuk berdakwah terus kepada massa umum termasuklah di tempat-tempat minoriti umat Islam seperti di Sampit, Bali, Tengger dan lain-lain. Bahkan, beliau turut menjadikan tempat-tempat tersebut sebagai sasaran dakwahnya dan sering mengirim santri-santrinya ke sana untuk berdakwah dan mendampingi masyarakat yang masih belum memeluk agama Islam ataupun yang baharu memeluk agama Islam. Selain daripada itu, beliau turut mempelbagaikan cara dakwahnya dengan mengadakan stesyen radio Islami yang dinamakannya Radio Suara Nabawiy. Melalui siaran radio tersebut, dakwahnya semakin luas jangkauannya ke masyarakat umum di pelbagai daerah. Beliau juga turut menerbitkan "Cahaya Nabawiy", sebuah majalah dakwah Islami.

Walaupun mempunyai jadual dakwah yang ketat, Habib Taufiq tetap meluangkan masa beliau untuk mengasuh majlis ta'lim yang sudah berlangsung turun-temurun daripada datuknya, Habib Ja'far bin Syaikhan dan kemudian diasuh oleh ayah beliau, Habib 'Abdul Qadir. Majlis ta'lim ini amat terkenal di Kota Pasuruan, dan diikuti oleh bukan sahaja masyarakat Pasuruan, bahkan juga masyarakat sekitarnya. Teks rasmi majlis ta'lim ini adalah kitab "Ihya' Ulumiddin" karya Hujjatul Islam al-Ghazali r.a., di mana ianya dibaca dan dikaji untuk diamalkan.

Sungguhpun tidak pernah mengecap pendidikan sekolah secara formal, ilmu dan dakwah beliau mengkagumkan ... Allahu ... Allah. Yang ada Phd dalam bidang dakwah pun belum tentu dapat menjalankan dakwah sebagaimana yang beliau lakukan. Sungguh benih yang baik elok, jika dicampak ke laut kan jadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung. Itu kalau main campak-campak, apatah lagi jika ianya sememangnya disemai elok-elok. Moga Allah sentiasa memberikan inayah dan rahmatNya kepada Habib Taufiq as-Segaf, memberikan beliau istiqamah atas jalan ilmu dan dakwah para salafush sholeh serta memberikan husnul khatimah sebagai hasanatan fid dunya buat beliau sebelum meraih hasanatan fil akhirah... Allahumma aamiin .... bi sirril-Fatihah.

Khamis, Oktober 16, 2008

Sholawatkan Junjungan s.a.w.

Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi, murid Imam al-Haddad yang mensyarahkan "Qasidah al-'Ainiyyah" telah menukilkan beberapa kelebihan sholawat dalam syarahnya tersebut. Sukacita hati perhamba pindahkan serba sedikitnya di sini moga ianya menjadi galakan buat memperbanyakkan sholawat atas Nabi Pilihan s.a.w. Biarlah berulang-ulang peringatan diberi, Tuhan Rabbul Jalil telah memfirmankan agar peringatan diberikan kerana ianya pasti akan memberi manfaat bagi hamba-hambaNya yang beriman.

Habib Ahmad bin Zain bin 'Alwi bin Ahmad al-Habsyi al-Hadhrami asy-Syafi'i rahimahullah dilahirkan sekitar tahun 1069H di Kota Ghurfah. Antara guru beliau yang mulia adalah Imam al-Haddad rahimahullah, di mana dikhabarkan bahawa beliau telah mentelaah dan mengaji lebih 70 buah kitab dalam berbagai disiplin ilmu di bawah bimbingan Imam al-Haddad. Beliau mengarang berbagai kitab dari sekecil-kecil "ar-Risalatul Jami'ah" sehinggalah yang besar seperti "as-Safinatul Kubra" yang 20 jilid. Beliau rahimahullah turut memberikan perhatian besar dalam pembangunan rumah-rumah Allah sehingga beliau telah mendirikan tidak kurang dari 17 buah masjid di pelbagai kota di Hadhramaut. Beliau meninggalkan dunia yang fana ini untuk bersama kekasihNya, Rabbul 'Izzah dan bersama para leluhurnya yang mulia di Kota Houthah pada asar Jumaat, 19 Sya'baan 1145H. Maka berkatalah Habib yang mulia, Ahmad bin Zain al-Habsyi, moga Allah merahmatinya sentiasa:-
Telah bersabda Junjungan Nabi s.a.w. : " Orang yang bakhil itu adalah orang yang ketika mana aku disebut di sisinya dia tidak mengucapkan sholawat ke atasku." Hadits diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Baginda 'Ali r.a. dan dihukumkannya sebagai hasan shohih.

Juga didatangkannya satu riwayat lagi:- "Sesiapa yang bersholawat ke atasku, para malaikat akan bersholawat ke atasnya. Sesiapa yang bersholawat ke atasku sekali, Allah bersholawat ke atasnya 10 kali, dihapuskan daripadanya 10 kesalahan dan diangkatkan baginya 10 darjat," - dalam satu riwayat - "ditulis baginya 10 kebajikan".

Telah warid hadits yang menyatakan:- "Sesiapa yang mengucapkan salam ke atasku 10 kali, maka seolah-olah dia memerdekakan seorang hamba." ........ "Sungguh akan datang kepadaku beberapa kaum (pada hari kiamat nanti) yang aku tidak mengenali mereka melainkan dengan banyaknya sholawat mereka ke atasku." ...... "Orang yang paling berjaya di antara kamu pada kedudukannya nanti di hari kiamat adalah sesiapa di antara kamu yang paling banyak bersholawat ke atasku."

Sayyidina Abu Bakar r.a. berkata:- "Sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. lebih kuat pada menghilangkan dosa-dosa daripada air sejuk memadamkan api; Dan salam ke atas baginda lebih utama daripada memerdekakan hamba."

Daripada Sayyidina 'Umar dan Sayyidina 'Ali radiyaAllahu 'anhuma:- "Sesungguhnya doamu terhenti di antara langit dan bumi (yakni tidak naik), sehinggalah engkau mengucapkan sholawat ke atas Nabimu."

Dan telah warid: "Doa yang dipanjatkan antara dua ucapan sholawat ke atasku tidak akan ditolak. Dan sesungguhnya Allah telah mewakilkan di kuburku satu malaikat yang diberi keupayaan untuk mendengar segala ucapan makhluk. Maka tiadalah seseorang yang bersholawat ke atasku sehinggalah ke hari kiamat, melainkan sampai kepadaku akan namanya dan nama bapanya: "Inilah si fulan anak si fulan yang telah bersholawat ke atasmu."

Dan telah datang riwayat bahawasanya Allah ta'ala telah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.: "Keadaanmu yang paling Aku sukai dan yang paling hampir denganKu (yakni dengan keredhaanNya), adalah ketika engkau memperbanyakkan ucapan sholawat ke atas Nabi Muhammad."

Dan telah warid: "Sholawat kamu ke atasku menyebabkan doa-doa kamu diterima, menyebabkan Tuhan kamu redha, menjadi zakat penyucian bagi badan (diri) kamu. Dan sesiapa yang bersholawat ke atasku dalam kitab (yakni dengan tulisan atau dengan mengucapkan sholawat apabila bertemu dengan nama Junjungan dalam sesebuah tulisan), maka sentiasalah para malaikat beristighfar baginya selama mana namaku masih berada dalam kitab tersebut."

Dan telah diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w.: "Sholawat ke atasku adalah nur." ...."Penyuci hati umatku dan pembersihnya daripada kekaratan adalah ucapan sholawat ke atasku."

Diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w. daripada Allah ta'ala (yakni hadits qudsi):- "Wahai Muhammad, Aku telah menjadikan engkau sebagai satu zikir daripada zikirKu, sesiapa yang menyebutmu maka dia telah berzikir kepadaKu, dan sesiapa yang mencintaimu, maka dia telah mencintaiKu."

Dan telah warid: "Sesiapa yang mengucapkan sholawat ke atasku pada hari Jumaat 80 kali, Allah akan mengampuni baginya dosa-dosa 80 tahun."
Allahu ... Allah, mari perbanyakkan ucapan sholawat dan salam atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Jangan lalai kerana kita pasti akan memerlukan syafaat baginda di hari pembalasan kelak. Yakinlah bahawa Allah ta'ala tidak akan mensia-siakan amal sholeh seseorang dan tiadalah balasan bagi kebaikan melainkan dengan kebaikan jua.

***************************************


MAKKI MADANI - O one from Makkah and Madinah
[translated from Urdu] (Shaam)

I am in difficulty, help solve my problems
O one from Makkah and Madinah
Call me to your house
O one from Makkah and Madinah

Your name is noble and shining with light
The star of our eyes
O one from Makkah and Madinah
It is like Eid when I gaze upon you
Bless me with your vision
O one from Makkah and Madinah

We are all lost in sin
However we are, accept us
O one from Makkah and Madinah
Your name is a lustre for broken hearts
O one from Makkah and Madinah

On the Day of Judgement, it will be on our tongues
‘Come and save us’
O one from Makkah and Madinah
For the sake of your grandchildren, solve our problems
O one from Makkah and Madinah


Isnin, Oktober 13, 2008

Ziarah Kubur - I'aanah

Mari ikhwah yang sudi kita telaah sikit kitab "I'aanatuth Thoolibiin" karya Sidi Abu Bakar al-Bakri ibn Muhammad Syatho berhubung ziarah kubur dan yang berhubung dengan ahwal si mati. Kitab ini adalah hasyiah bagi kitab “Fathul Mu’in”. Kitab mu’tabar yang menjadi sandaran dan pegangan dalam fiqh Mazhab Syafi’i. 'Allaamah Sayyid Abu Bakar al-Bakri bin Sayyid Muhammad Syatha ad-Dimyaathi rahimahullah adalah murid Sayyid Ahmad Zaini Dahlan al-Jilani al-Hasani rahimahullah dan guru kepada Syaikh ‘Utsman bin ‘Abdul Wahhab as-Sarawaki rahimahullah. Moga-moga ada manfaatnya, bagi sesiapa yang tak suka nak baca, tak dapek den nak nolongnya, silalah berangkat ke tempat lain, janganlah nak sibuk mengacau di sini, ambo dah tak kuasa nak melayannya.

Pada halaman 161, jilid 2, Sidi Abu Bakar rahimahUllah menulis:-


[Perkataannya muallif (yakni perkataan pengarang kitab “Fathul Mu’in” iaitu Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari rahimahullah, murid Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah: Dan sunnat ziarah kubur bagi lelaki] kerana nash hadits: “Dahulu aku telah menegah kamu untuk menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah akan dia (yakni kubur) kerana bahawasanya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” Dan juga diriwayatkan daripada Junjungan Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: “Sesiapa yang lalu di sisi kubur saudaranya (yakni saudara seagama) yang dia kenal sewaktu di dunia dahulu, lalu dia mengucapkan salam kepadanya melainkan si mati mengenalinya.”

Dan sunnah muakkad ziarah tersebut pada hak kaum kerabat, terutama sekali kubur dua ibubapa, walaupun kubur mereka berada di negeri atau tempat lain. Telah diriwayatkan oleh Imam al-Haakim daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang menziarahi kubur dua ibubapanya atau salah seorang daripada mereka, pada setiap hari Jumaat sekali, diampuni Allah akan dia dan jadilah dia anak yang berbakti kepada kedua orang tuanya.” Dalam satu riwayat lain: “Sesiapa yang menziarahi kubur dua ibubapanya setiap Jumaat atau salah seorang daripada mereka, lalu dia membaca di sisinya surah Yaasin, nescaya diampunkan baginya sebanyak bilangan ayat atau huruf (yakni ayat atau huruf yang terkandung dalam surah Yaasin).” Dan dalam riwayat lain: “Sesiapa yang menziarahi kubur ibubapanya atau salah seorang daripada mereka, maka seolah-olah dia mengerjakan haji (yakni diberi pahala mengerjakan haji sunnat).” Dan diriwayatkan: “Bahawasanya ada orang yang tatkala ibubapanya meninggal dunia, dia dalam keadaan mendurhakai mereka. Lalu dia berdoa kepada Allah bagi kedua ibubapanya setelah mereka meninggal dunia (yakni keinsafannya untuk berbakti kepada ibubapanya hanya muncul setelah ibu bapanya meninggal dunia), maka ditulis Allah baginya yang dia termasuk dalam golongan anak yang berbakti kepada orang tuanya.” Segala khabar (yakni hadits) ini memberi pengajaran bahawa sesiapa yang menziarahi kubur ibubapanya maka dia telah berbakti kepada mereka berdua dan tidak mendurhakai mereka lagi tidak mensia-siakan / memperlecehkan hak mereka berdua. Dan adalah Imam Ibnu Waasi’ menziarahi kubur pada hari Jumaat dan dia berkata:- “Telah sampai kepadaku (hadits) bahawasanya orang mati mengetahui orang-orang yang menziarahi mereka pada hari Jumaat dan sehari selepasnya (yakni hari Sabtu).”

Juga telah warid: “ Bahawasanya roh-roh orang mukmin datang pada setiap malam ke langit dunia dan mereka berhenti di hadapan rumah-rumah mereka. Setiap seorang daripada mereka menyeru dengan suara sedih 1000 kali: “Wahai ahli keluargaku, wahai kaum kerabatku, wahai anakku, wahai orang yang mendiami rumah-rumah kami, berpakaian dengan pakaian kami, berbahagi harta kami, tidak adakah sesiapa antara kamu yang mengingati kami dan memikirkan keadaan kami yang berada dalam kejauhan, kami berada dalam tahanan yang panjang dan kawalan yang ketat? Kasihanilah kami, moga-moga Allah akan mengasihi kamu, dan janganlah kamu bakhil kepada kami sebelum kamu menjadi seperti kami. Wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya kelebihan yang ada pada tangan kamu sekarang, dahulunya ada pada tangan kami. Malangnya kami tidak menafkahkan sebahagian daripadanya untuk jalan Allah, maka perkiraan hisab serta penyesalan atas kami sedangkan manfaatnya bagi orang lain. Maka apabila tidak memperolehi sesuatu (yakni hadiah, sedekah, doa, istighfar dan sebagainya daripada orang hidup kepada mereka), pergilah roh-roh tersebut dengan kekecewaan dan hampa.” Dan telah warid juga bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: “Tidaklah orang mati itu di dalam kuburnya melainkan seperti orang yang kelemasan memohon pertolongan. Dia menunggu datangnya doa-doa kepadanya daripada anaknya atau saudaranya atau temannya. Apabila diterimanya (doa-doa tersebut), maka ianya adalah sesuatu yang terlebih kasih baginya daripada dunia dan segala isinya (yakni menerima hadiah berupa doa adalah lebih disukai si mati daripada memperolehi dunia dan segala isinya).

Allahu ... Allah, moga kita tidak lupa berbakti kepada mereka-mereka yang telah pergi dahulu. Perhatikanlah pesanan Imam al-Haddad rahimahUllah:-

Dan janganlah seseorang itu lupa mendoakan kaum kerabatnya yang telah meninggal dunia serta mengucapkan istighfar memohon keampunan mereka serta bersedekah bagi pihak mereka. Jika dia melupakannya, maka dia juga akan dilupakan oleh anak cucunya yang datang selepasnya setelah dia mati. Jadilah apa yang berlaku kepadanya sebagaimana perlakuannya terhadap mereka yang telah pergi sebelumnya. Sesungguhnya sesiapa yang ingat akan diingat dan sesiapa yang lupa akan dilupai. Dan janganlah seseorang itu lupakan orang-orang matinya (yakni istimewanya kaum kerabatnya yang telah meninggal dunia) daripada doa-doanya, istighfarnya dan sedekahnya, lalu nanti dia akan dilupakanSesiapa yang ingat akan diingat; Dan sesiapa yang lupa akan dilupa". Dan kebaikan itu pasti akan diberi balasan baik, Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang melakukan kebaikan.
Maka jika kita ingin agar anak-cucu kita nanti sering ingatkan kita dalam doa dan amalan mereka, maka sewajarnya kita hendaknya ingat akan leluhur kita dan mereka-mereka yang telah mendahului kita kembali ke rahmat yang Maha Esa.


***************************************
Perihal Ziarah Kubur - Syaikh Nur



Selasa, Oktober 07, 2008

Habib Hadi al-Haddar

Habib Hadi bin 'Abdullah bin 'Umar bin 'Abdullah bin Sholeh al-Haddar adalah seorang ulama lagi wali yang dilahirkan pada tahun 1325H (1908M) di Banyuwangi, Jawa Timur. Beliau sejak kecil lagi telah menunjukkan pribadi dan akhlak yang luhur, sehingga sesama kanak-kanak pun beliau tidak pernah bergaduh walaupun diganggu. Dari kecil juga beliau amat menjaga makan-minumnya agar tidak ada secuil pun makanan yang syubhah apatah lagi haram masuk ke tubuhnya.

Tatkala berusia 9 tahun, bonda beliau, Syarifah Syifa' binti Musthofa as-Saqqaf, meninggalkan dunia yang fana ini. Habib Hadi kemudian dibawa ayahandanya ke Qathan, Hadhramaut. Di Hadhramaut, selain menuntut ilmu daripada ayahandanya, Habib Hadi turut menimba ilmu pengetahuan dengan para ulamanya. Habib 'Abdullah bin 'Umar, ayahanda Habib Hadi, meninggalkan dunia yang fana ini ketika Habib Hadi baru berusia 11 tahun. Maka tinggallah Habib Hadi di Hadhramaut bersama adiknya, Habib Muhammad bin 'Abdullah dalam kehidupan yang amat sederhana. Habib Hadi menjaga adiknya tersebut dengan penuh kasih-sayang dan tanggungjawab. Beliau sentiasa mendahulukan adiknya berbanding dirinya.

Setelah ayahandanya meninggal dunia, Habib Hadi belajar dengan Habib Muhammad bin Hadi As-Saqqaf (gambar di sebelah) di Kota Seiwun. Habib Muhammad bin Hadi ini adalah murid dari Habib Ali bin Muhammad bin Husein Al-Habsyi, Shohibul Mawlid Simthud Durar. Di majlis ta'lim Habib Muhammad ini, Habib Hadi belajar bersama dengan Habib 'Abdul Qadir bin Husein As-Saqqaf (ayahanda Habib Taufik as-Saqqaf, Pasuruan). Selain belajar, Habib Hadi tidak pernah lalai melakukan amal-amal nafil sebagai upaya bertaqarrub kepada Allah. Setiap malam, Habib Hadi bermunajat, berdzikir dan mengamalkan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala siang harinya beliau berpuasa. Kesungguhannya ini telah terlihat sejak kecil lagi, dan inilah antara sebab gurunya, Habib Muhammad, memberikan kedudukan yang istimewa kepada beliau di tengah murid-muridnya. Dalam mengajar, Habib Muhammad selalu menyediakan tempat duduk di sampingnya dalam keadaan kosong, dan tidak pernah ada seorang pun dari murid-muridnya yang berani menempati tempat duduk yang kosong itu. Tempat duduk yang kosong itu adalah tempat duduk Habib Hadi bin Abdullah Al-Haddar.

Pada umur 20 tahun, Habib Hadi pulang ke Indonesia melalui Surabaya. Ketibaannya isambut oleh saudara-saudaranya yang ketika itu sudah berjaya dalam perniagaan mereka i Surabaya, seperti Habib Ahmad (pemborong jalanan), Habib Muhamad (pedagang beras), Habib Mustafa (saudagar kopra). Tetapi, Habib Hadi menolak semua sambutan yang meriah, bahkan beliau menolak pakaian yang sudah dipersiapkan oleh saudara-saudaranya tersebut.

Walaupun saudara-saudaranya telah menjadi saudagar yang berjaya, namun Habib Hadi tidak terpikat untuk bergabung dengan saudara-saudaranya tersebut. Sebaliknya beliau mengambil keputusan untuk menjual kain sarung dan kain batik di pasar. Melihat beliau berjualan kain di pasar, menyebabkan saudara-saudaranya marah dan mengambil keputusan untuk memaksanya bekerja dengan mereka di perlabuhan. Demi untuk tidak menghampakan saudara-saudaranya tersebut, Habib Hadi akur dan beliau diberikan amanah bekerja di bahagian menimbang kopra. Hari pertama memulakan kerja, Habib Hadi singgah ke pasar dahulu sebelum ke perlabuhan. Di pasar beliau membeli nisan dan nisan tersebut dibawanya ke tempat kerja di perlabuhan. Nisan kayu itu diletaknya di bawah timbangan dan selalu ditaburi bunga yang masih segar. “Saya kalau menimbang kopra selalu ingat nisan yang ada di bawah timbangan. Dengan mengingat nisan ini, saya selalu ingat akan mati, maka timbangannya harus betul. Karena yang saya timbang ini akan dipertanggungjawabkan, kelak di hari kiamat,” kata Habib Hadi mengomentari tingkahnya yang selalu membawa nisan saat bekerja.

Ternyata pekerjaannya itu tidak sesuai dengan jiwanya, maka kemudian beliau berhenti kerja. Beliau menumpukan lebih masa beribadah dan menghadiri majlis-majlis ta'lim dan acara-acara haul para ulama dan habaib yang tersebar di seluruh Jawa. Untuk menafkahi keluarganya, Habib Hadi kembali berdagang kain. Dalam berdagang, beliau sentiasa bersikap jujur. Beliau memberitahu harga yang sebenarnya barang yang dijualnya kepada pembelinya. "Boleh kamu kasih (beri) ongkosnya, atau lebihkan sedikit dari barang ini,” kata Habib Hadi kepada para pembelinya. Pernah Kiyai Haji Hasan 'Abdillah, salah seorang ulama ternama di Glenmoore, Banyuwangi, berkata kepada Habib Hadi:- "Habib, anda tidak ditipu sama orang dengan berjualan seperti itu? Biar orang-orang menipu saya. Yang penting, saya tidak menipu sama orang lain,” kata Habib Hadi kepada KH Hasan 'Abdillah.

Habib Hadi wafat pada usia 65 tahun dengan meninggalkan 8 orang anak (1 putra, 7 perempuan), pada Khamis, 4 Muharam 1393 H (8 Februari 1973). Jenazah beliau kemudian dishalati dengan diimami Habib 'Abdul Qadir bin Husein As-Saqqaf Pasuruan (gambar di sebelah) dan dimakamkan di komplek makam Blambangan, Lateng, Banyuwangi. Moga-moga Allah mencucurkan rahmat kasih sayangNya yang tidak berkesudahan ke atas beliau serta memasukkan beliau dalam diwan awliya'Nya yang dimuliakan....... al-Fatihah.

Isnin, Oktober 06, 2008

Hadiah Surah al-Ikhlash

Ketahuilah wahai diri, bahawa Imam 'Abdullah al-Haddad menganjurkan agar diamalkan membaca suratul Ikhlash sebanyak sebelas (11) kali dan dihadiahkan pahalanya kepada saudara-saudaramu yang telah mendahuluimu kembali ke rahmatullah. Ini adalah anjuran daripada seorang ulama dan waliyullah yang menjadi ikutan dan panutan dirimu, maka apa perlu engkau mendengar suara-suara sumbang yang membid'ahsesatkan amalan-amalan seumpama bertahlil dan hadiah pahala ini. Cukuplah bagimu jika hanya Imam yang mulia ini sahaja yang menganjurkannya, apatah lagi jika bukan hanya beliau seorang sahaja tetapi ribuan bahkan jutaan ulama dan awliya' yang sependapat dengan beliau. Tetaplah engkau istiqamah dengan amalan yang telah engkau terima daripada para ulama dan leluhurmu terdahulu. Jangan dihiraukan celaan para pencela.

Wahai diri, telah berkata Imam yang mulia al-Imam al-Habib al-Quthub al-Ghauts 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad r.a. dalam karyanya yang bernilai tinggi "Sabilul Iddikar" pada halaman 63, antara lain:-

Dan hadiah al-Quran (yakni hadiah pahala bacaannya) yang sangat memberi manfaat kepada orang mati, kendatipun seluruh al-Quran adalah adalah bermanfaat lagi berkat, adalah bacaan 11 kali surah al-Ikhlash yang agung. Dan hal ini (yakni manfaat amalan tersebut) telah dilihat dalam mimpi-mimpi yang berkat (yakni ru'yatush sholihah / mimpi-mimpi yang benar sebagaimana disabdakan oleh Junjungan bahawa ianya adalah 1/46 daripada nubuwwah).

Maka sewajarnya seseorang itu membaca surah al-Ikhlash menurut bilangan tersebut (yakni 11 kali), sama ada pada setiap malam atau pada setiap hari, atau lebih kerap daripada itu ataupun kurang daripada itu, walaupun hanya setiap malam Jumaat, dan dihadiahkannya pahala yang sedemikian itu kepada dua ibubapanya, para gurunya dan mereka-mereka yang mempunyai hak atasnya.
Wahai diri, amalkanlah anjuran Imam al-Haddad r.a. ini, mudah-mudahan bermanfaat buat ibubapamu, guru-gurumu dan saudara-saudaramu yang telah berpulang dan juga bermanfaat buat dirimu yang bakal menyusuli mereka.

**********************************************
Cara Membaca Surah al-Ikhlas - Ust. Asbahanie



Selasa, September 30, 2008

'Eidun Sa'idun

Selamat Menyambut Hari Raya 'Aidil Fithri yang mulia. Mudah-mudahan ibadah puasa serta segala amal ibadah yang telah kita lakukan diterima Allah s.w.t. sebagai amal sholeh. Moga mendapat rahmat yang berkekalan. Moga Allah jadikan kita istiqamah atas jalan yang lurus, 'aqidah yang shohih Ahlus Sunnah wal Jama'ah dan amal sholeh yang maqbul.

ليس العيد لمن لبس الجديد
و لا لمن اكل القديد
و لكن العيد لمن طاعته تزيد
و خاف الوعيد


Sekadar berpakaian baru tidak bererti berhari raya
Makanan lazat juga tidak semestinya
Tapi orang yang bertambah ketaatannya
Serta takutnya akan janji balasan seksa
Itulah yang sebenarnya berhari raya.

Maaf Zahir & Batin


Ahad, September 28, 2008

Tujuh Likur 1429

Malam tujuh likur satu empat dua sembilan
Sepanjang hayat pasti dalam kenangan
Dengan izin Malikul Hannan

Malam penuh kemuliaan Ramadhan
Senja melabuh tirai umat mensyukuri hidangan
Kala itulah dia pergi mengadap ar-Rahman
82 tahun hayat dikandung badan
Kehendak ar-Rahman
Sudah tiba masa perpisahan

Hati penuh kesedihan
Bukan kerana menentang kehendak ar-Rahman
Tapi itulah lumrah insan
Apabila terjadinya perpisahan
Hatta Junjungan basyar pilihan
Tatkala si bocah sayyid Ibrahim mengadap Tuhan
Berlenangan air mata kesedihan
Mengalir di pipi Junjungan
Tiada lain sabda Junjungan
Itulah tanda rahmat kasih sayang dalam hati tersimpan

Apa yang pasti tiada keraguan
Perpisahan tidak berarti terputus jalinan
Kasih sayang sesama insan
Tiadalah kematian
Melainkan satu perpindahan

Jalinan dihubungkan
Dengan amalan kebajikan
Yang sabda Junjungan
Pada mereka dibentangkan
Pasti dalam kebajikan
Mereka punya bahagian
Juga doa saban waktu diucapkan
Tambah lagi zikir istighfar tahlil mendaras al-Quran
Sholawatkan Nabi jangan dilupakan
Silaturrahmi dihubungkan
Moga dengannya hubungan berpanjangan
Selagi ada matahari dan bulan
Selagi ada hayat dikandung badan
Sampai menyusul di hari kemudian
Dengan penuh harapan pada Malikul Hannan
Biar sama-sama menjejaki taman-taman jinaan
Berkat syafaat Rasul Junjungan
Dengan kemurahan rahmatnya ar-Rahman
Ya Rahman Ya Rahman Ya Rahman

اللَّهُ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَيٌّ لا يَمُوتُ،
اغْفِرْ لأُمِّيٍ، ولَقِّنْهَا حُجَّتَها، وَوَسِّعْ عَلَيْهَا مُدْخَلَهَا،
بِحَقِّ نَبِيِّكَ وَالأَنْبِيَاءِ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِه،
فَإِنَّكَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

******************************

Isnin, September 22, 2008

Habib 'Ali Kwitang

Pendiri majlis ta'lim yang pertama di Jakarta sewaktu zaman kolonial Belanda. Majlis taklim yang dipimpinnya dahulu sehingga kini masih tetap lestari dengan dihadiri puluhan ribu hadirin. Beliau adalah Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman bin 'Abdullah bin Muhammad al-Habsyi. Lahir di Kwitang, Jakarta, pada 20 Jamadil Awwal 1286H / 20 April 1870M. Ayahanda beliau adalah Habib 'Abdur Rahman al-Habsyi seorang ulama dan daie yang hidup zuhud, manakala bonda beliau seorang wanita sholehah bernama Nyai Hajjah Salmah puteri seorang ulama Betawi dari Kampung Melayu, Jatinegara, Jakarta Timur.

Habib 'Abdur Rahman ditakdirkan menemui Penciptanya sebelum sempat melihat anaknya dewasa. Beliau meninggal dunia sewaktu Habib 'Ali masih kecil. Sebelum wafat, Habib 'Abdur Rahman berwasiat agar anaknya Habib 'Ali dihantar ke Hadhramaut untuk mendalami ilmunya dengan para ulama di sana. Tatkala berusia lebih kurang 11 tahun, berangkatlah Habib 'Ali ke Hadhramaut. Tempat pertama yang ditujunya ialah ke rubath Habib 'Abdur Rahman bin 'Alwi al-'Aydrus. Di sana beliau menekuni belajar dengan para ulamanya, antara yang menjadi gurunya ialah Shohibul Mawlid Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi, Habib Hasan bin Ahmad al-'Aydrus, Habib Zain bin 'Alwi Ba'Abud, Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas dan Syaikh Hasan bin 'Awadh. Beliau juga berkesempatan ke al-Haramain dan meneguk ilmu daripada ulama di sana, antara gurunya di sana adalah Habib Muhammad bin Husain al-Habsyi (Mufti Makkah), Sayyidi Abu Bakar al-Bakri Syatha ad-Dimyati, (pengarang I'aanathuth Thoolibiin yang masyhur) Syaikh Muhammad Said Babsail, Syaikh 'Umar Hamdan dan ramai lagi.

Habib 'Ali tidak pernah jemu menuntut ilmu. Terbukti apabila dia kembali ke tanahairnya, beliau tetap menekuni para ulama dan habaib sepuh untuk menuntut ilmu daripada mereka. Antara gurunya ialah Habib 'Utsman bin 'Abdullah BinYahya (Mufti Betawi), Habib Husain bin Muhsin al-'Aththas, Habib 'Alwi bin 'Abdur Rahman al-Masyhur, Habib 'Umar bin Idrus al-'Aydrus, Habib Ahmad bin 'Abdullah bin Thalib al-'Aththas dan Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhor. Habib 'Ali mula aktif berdakwah setelah mendapat dorongan daripada habaib sepuh yang menjadi guru beliau, antaranya Habib Utsman dan Habib Ahmad bin Abdullah al-Aththas.

Dalam rangka memantapkan tugas dakwahnya, Habib 'Ali telah membangunkan Masjid ar-Riyadh di Kwitang serta di samping masjid tersebut didirikannya sebuah madrasah yang diberi nama Madrasah Unwanul Falah. Ramai ulama Betawi / Jakarta yang pernah belajar di madrasah ini sekaligus menjadikan mereka murid Habib 'Ali Kwitang. Antara murid yang terkenal adalah K.H. 'Abdullah Syafi'i, K.H. Thahir Rohili dan K.H. Fathullah Harun (ayahanda Dr. Musa Fathullah Harun, bekas pensyarah UKM). Lebih 80 tahun, Habib 'Ali berdakwah menyeru umat ke jalan Allah. Dalam dakwahnya, Habib 'Ali sering menasihat umat agar sentiasa berbudi luhur, menjaga ukhuwwah dan meneladani akhlaknya Junjungan Nabi s.a.w. Salah satu kaedah untuk beliau mengumpul masyarakat ialah dengan menggelar majlis-majlis mawlid, di mana tausyiah akan disampaikannya di sela-sela bacaan mawlid tersebut. Habib 'Ali terkenal sebagai ulama yang mencintai majlis-majlis mawlid, bahkan beliaulah yang telah memasyarakatkan majlis mawlid di Betawi dan menjadi penerus kepada majlis mawlid Simthud Durar yang dipelopori oleh Habib Muhammad bin Idrus al-Habsyi (foto di sebelah) yang wafat tahun 1919M.

Sungguh dunia ini tempat kediaman yang sementara. Pada tanggal 20 Rajab 1388H bersamaan 13 Oktober 1968, kembalilah ulama dan wali ini ke rahmatUllah dengan meninggalkan anak dan murid-murid sebagai penerus perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Moga-moga rahmat Allah dan keredhaanNya sentiasa bersama beliau......al-Fatihah.