Khamis, Jun 25, 2009

Lailatur Raghaib

"Lailatur Raghaib" adalah nama yang diberikan oleh sesetengah umat, terutama sekali para pengamal thoriqat sufiyyah, bagi malam Jumaat pertama bulan Rajab. Menurut mereka, pada malam inilah bonda Junjungan Nabi s.a.w. mula mengandungkan baginda. Maka malam di mana Junjungan Nabi s.a.w. berpindah daripada sulbi ayahanda baginda yang mulia ke rahim bondanya mereka namakan "Lailatur Raghaib" yang, antaranya, membawa pengertian "malam yang amat menggembirakan atau malam kegembiraan atau malam pengharapan dan anugerah yang banyak." Inilah antara peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Rajab.

Imam al-Qasthalani dalam "al-Mawaahibul Laduniyyah bi Minahil Muhammadiyyah", juzuk 1, halaman 60-61 menulis:-

Telah berkata Sahl bin 'Abdullah at-Tustari [yakni Abu Muhammad Sahl bin 'Abdullah bin Yunus at-Tustari (200H - 283H) seorang 'alim lagi sufi yang wafat di Bashrah] sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Hafiz al-Khathib al-Baghdadi [ yakni Abu Bakar Ahmad bin 'Ali bin Tsabit al-Baghdadi (392h - 463H) seorang ahli tarikh dan ahli hadits bertaraf al-hafiz yang wafat di Baghdad] : "Tatkala Allah ta'ala berkehendak untuk menjadikan Junjungan Nabi s.a.w. di dalam perut bonda baginda, Siti Aminah, pada malam Jumaat di bulan Rajab, Allah pun memerintahkan malaikat Ridhwan penjaga syurga untuk membuka syurga Firdaus pada malam tersebut. Dan menyerulah penyeru di segala langit dan bumi: "Ketahuilah bahawasanya Nur yang tersimpan lagi terpelihara yang merupakan kejadian nabi yang membawa petunjuk, pada malam ini akan mengambil tempat dalam perut bondanya untuk menyempurnakan kejadian ciptaannya (yakni kejadian ciptaan jasad baginda yang mulia) dan keluar kepada manusia untuk membawa berita gembira dan memberi peringatan."
Mari kita perbanyakkan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w. sempena bulan Rajab yang mulia, bulan di mana proses kejadian jasad baginda s.a.w. bermula dan akhirnya lahirlah baginda ke alam dunia setelah sempurna 9 bulan dalam kandungan bondanya iaitu pada fajar Isnin 12 Rabi'ul Awwal tahun Gajah.

*************************
اهلا و سهلا بالنبي


4 ulasan:

vvvvv berkata...

ya bagaimana pula dengan solat raghaib di bulan rejab ya sidi? yang dianggap bid'ah yang makruhah?

Abu Muhammad berkata...

Ya sidi, begitulah pendapat kebanyakan para fuqaha' kita, termasuklah Imam an-Nawawi, Imam Ibnu Hajar dan lain-lain.

Tetapi ada juga yang memandangnya tiada mengapa kerana masih dapat dimasukkan dalam bab nawafil muthlaq asalkan jangan dii'tiqadkan kesunnahannya dengan tertentu bagi malam tersebut.

Kisah polemik berhubung perkara ini telah masyhur di antara Imam Taqiyuddin Ibnu Sholah dengan Imam 'Izzuddin bin Abdus Salam, di mana Ibnu Sholah masih memberi ruang kompromi bagi perlaksanaan sholat raghaib tersebut berbanding dengan 'Izzuddin yang bersikap tegas terhadapnya.

Syaikh 'Izzuddin bin 'Abdus Salam menulis risalah berjodol "at-Targhib ‘an Shalatir-Raghaib wa Bayani ma fiha min Mukhalafatis-Sunan al-Masyru‘ah".

Risalah ini dijawab pula oleh Imam Ibnu Sholah dengan risalahnya "ar-Raddu 'ala at-Targhib 'an Shalatir Raghaib".

Untuk makluman kedua-dua ulama ini adalah bermazhab Syafi'i.

vvvvv berkata...

bagaimana pula dengan qaul muktamad di dalam mazhab syafiie? adalah afdhal meninggalkan khilaful awla, atau masalah perkhilafan.. bukan kah begitu ya sidi?

Abu Muhammad berkata...

Yang mu'tamad adalah sebagaimana yang dipegang oleh kebanyakan fuqaha kita. Betul dalam keluar dari khilaf itu awla. Tetapi jangan pula kita menafikan hak seseorang untuk berpegang dengan pendapat yang satu lagi untuk amalan pribadinya kerana ianya turut dipegang segelintir ulama.