Selasa, Julai 29, 2008

Wahhabi Bukan Sunni

Alhamdulillah, terima kiriman daripada Sidi Abu Zahrah, antaranya kitab "ad-Durratun Naafi'ah fi Asyraathis Sa'ah" karya Syaikh Utsman Jalaluddin Penanti. Dulu ambo ada kitab ni, tapi pastu pass three pass four tak return return, nasib baik Sidi Abu Zahrah kasi copy se, syukran jazilan. Insya-Allah, dah dapat ni kena tunai janji plak nak kasi secopy kat kawan (harap sabar no. ambo gi sepotet dulu, nanti ambo anta se).

Berbalik kepada Syaikh Utsman Penanti, sapa yang tak kenal ilmu, warak dan ketokohan beliau. Murid Tok Kenali dan pengasas pondok Manabi'ul Ulum yang terkenal sehingga sekarang. Rupa-rupanya beliau sejak dahulu lagi telah memberi peringatan mengenai kebejatan puak Wahhabi ni. Dalam kitabnya itu, beliau terang-terang menyatakan bahawa PUAK WAHHABI IALAH PUAK YANG KELUAR DARIPADA AHLUS SUNNAH WAL JAMA'AH. Ni kalu nak marah ngan ambo tak kene ni, sebab ni bukan kata ambo tapi kata orang alim besar Tanah Melayu, Tok Syaikh Utsman Penanti rahimahUllah.

Moh kita tengok tulisan Syaikh Utsman Penanti pada halaman 15-16 dalam bab "Kenyataan Alamat Kiamat Yang Telah Jatuh", dinyatakan, antara lain:-

....... Puak Mariqin (yang mencarikkan dan yang merosakkan agama) dan telah menyuruh oleh Nabi s.a.w. akan bahawa kami berperang bersama - sama dengan 'Ali akan puak Mariqin itu, maka tiada kami lihat akan mereka itu kemudian daripada itu. Maka difaham daripada hadis ini bahawasanya zaman segala sahabat Nabi ada puak yang merosakkan agama, maka istimewa pula pada masa kita ini.

Dan diriwayat daripada Abi Sa'id akan hadis yang marfu' (yang berhubung sanadnya dengan Nabi) bahawasanya lagi akan dikeluarkan daripada ahli puak Mariqin ini oleh satu kaum yang membaca ia akan kitab Allah (Quran) pada hal otaknya masih basah, maka tiada melampaui ia akan halqum mereka itu (di dalam hati) bahkan pada mulut jua, lagi mencarik oleh mereka itu akan agama sebagaimana mencarik oleh anak panah akan tempat lontar, lagi membunuh mereka itu akan ahli Islam dan meninggalkan oleh mereka itu akan segala kafir yang menyembah akan berhala daripada bunuh. Bersabda Nabi: "Demi Allah, jikalau aku dapat akan mereka itu di dalam masa aku, nescaya aku bunuh akan mereka itu sebagai bunuh kaum 'Aad dan kaum Tsamud."

Dan dikehendakkan dengan suatu kaum itu ialah kaum yang keluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama'ah seperti kaum Wahhabi dan kaum Rafidhi dan yang lain daripada mereka itu, kerana diriwayat hadis Ibnu 'Umar daripada Nabi s.a.w. bersabda ia akan keluar oleh manusia daripada pihak masyriq Madinah, hal keadaan mereka itu membaca oleh mereka itu akan Quran padahal tiada melampaui ia akan segala halqum mereka itu. Tiap-tiap diputuskan suatu kurun, nescaya digantikan oleh kurun yang lain pula hingga akhir mereka itu berhubung dengan keluar dajjal bersama-sama dengan Nabi 'Isa a.s. Kerana puak Wahhabi dan Rafidhi itu diam mereka itu pada pihak masyriq Makkah Madinah dan mereka itulah membaca akan Quran tiada melampaui ia akan halqum mereka itu. Bahkan pada mulut jua, tiada mesra ia pada memberi faedah ia akan mengikut mereka itu akan barang yang menyuruh ia akan mereka itu.
Allahu ... Allah, begitulah tulisan Syaikh Utsman Penanti berhubung puak Wahhabi yang dianggapnya sebagai terkeluar daripada kelompok Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Lihat sahaja betapa mudahnya puak-puak ini mengeluarkan hujjah dengan nas al-Quran yang ditafsir mengikut fahaman mereka, tetapi sayang nas-nas tersebut digunakan untuk menghukum orang yang tidak sefaham dengannya sebagai kafir, musyrik, mubtadi' dan sebagainya. Ini bid'ahhhhhh, harrraaaaaaaaaaaammmmmmm, sesaaaaattttttt dan sebagainya. Hujjah orang lain deme tak nak dengar, khilafiyyah dianggap sebagai perkara pokok dan usul agama. Bukannya nak bawak orang ke jalan Allah tetapi nak memecahbelahkan perpaduan umat yang telah sedia ada. Ngan kapiaq tak berani pulak deme nak berhujjah, dengan kapiaq buleh plak deme tasamuh. Macam Mamat kat Indera Kayangan tu, dengan kapiaq buleh plak kata- tak pa buleh jawab salam orang kapiaq sebab ada khilaf ulama dalam hal ini, bahkan sampai buleh hukumkan wajib menjawab salam kapiaq zaman ini atas alasan ianya kewajipan dari segi nas dan dakwah, tetapi kenapa masuk bab-bab Barzanji, marhaban, baca yaasin, talqin, tahlil, kamu garang sangat, takkah itu pun termasuk perkara khilaf? Kalu ko tak nak, itu ko punya pasal, karang ko mati kita humban je dalam lubang kubuq. Tapi yang ko sibuk ngan orang nak buat tahlil, buat talqin apasal. Betul sungguhlah apa yang Tok Syaikh Utsman tulis dalam kitabnya tersebut, rahmat Allah atas beliau .... al-Fatihah.

Ahad, Julai 27, 2008

Tradisi Khatam Bukhari

Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawwal 194 di Kota Bukhara. Beliau rahimahUllah adalah seorang amirul mukminin dalam bidang ilmu hadits. Kitab "Jami'ush Shohih" karyanya diakui sebagai kitab kedua paling shohih setelah al-Quran. Ramai ulama yang mensyarahkan karya ini, antaranya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani dengan "Fathul Bari", Imam al-Qasthalani dengan "Irsyadus Sari" dan Imam Badruddin al-'Ayni dengan "Umdatul Qari". Selain mensyarahkannya, maka ada pula ulama yang meringkaskannya agar kandungan kitab asalnya dapat dimanfaati pula oleh golongan awam yang mungkin kesibukan untuk mentelaah kitab asalnya. Antaranya yang terkenal adalah Imam az-Zabidi dengan "at-Tajridush Shorih", Imam al-Qasthalani dengan "Jawahirul Bukhari"nya dan Imam 'Abdullah bin Abu Jamrah dengan "Mukhtashar"nya.

Sungguh kitab shohih karya Imam al-Bukhari ini telah mendapat pandang istimewa para ulama. Selain dibaca untuk mendapat petunjuk daripada sabdaan Junjungan Nabi s.a.w., para ulama turut menyatakan keistimewaan lain bagi pembacaan kitab ini. Contohnya Imam 'Abdullah bin Abi Jamrah menukilkan dalam mukhtasharnya bagi kitab tersebut menyatakan seperti berikut:-
فوقع لي أن يكون كتاب البخاري لكونه من أصحها و لكونه رحمه الله تعالى كان من الصالحين و كان مجاب الدعوة و دعا لقارئه. و قد قال لي من لقيته من القضاة الذين كانت لهم المعرفة و الرحلة عمن لقي من السادة المقر لهم بالفضل: إن كتابه ما قرئ في وقت شدة إلا فرجت و لا ركب به في مركب فغرقت قط

Aku memilih untuk menjadikan kitab al-Bukhari ini kerana ianya adalah kitab hadits yang paling shohih, juga kerana pengarangnya Imam al-Bukhari rhm. adalah seorang sholih yang mustajab doanya dan beliau telah mendoakan para pembacanya. Telah memberitahuku para qadhi yang ahli ma'rifah lagi luas perjalanan mereka (yakni dalam mencari ilmu) yang telah aku temui, daripada para pemuka agama yang diakui keutamaan mereka bahawasanya kitab Imam al-Bukhari ini tidaklah dibaca oleh seseorang pada waktu kesusahan melainkan dilepaskan dia dari kesusahan tersebut dan tidak tenggelam kenderaan yang membawa kitab tersebut sekali-kali.
Oleh itu, tidak pelik jika menjadi tradisi sebahagian ulama untuk menjadikan pembacaan dan pengajian kitab hadits ini sebagai wirid mereka. Di kalangan para habaib, tradisi membaca hingga khatam kitab Shohih al-Bukhari terutama sekali dalam bulan Rajab telah berjalan sudah ratusan tahun. Menurut penjelasan Habib Salim asy-Syathiri, tradisi Khatam Bukhari pada bulan Rajab telah dimulakan oleh Syaikh Abul Khair Ahmad bin Manshur asy-Syammadz, seorang ulama ahli hadits yang 'abid dari Kota Zabid. Beliaulah yang telah mengajak kaum muslimin untuk membaca dan mentelaah sehingga tamat akan Shohih al-Bukhari di Masjid Jami' Zabid.

Kota Zabid ini telah melahirkan ramai ulama terkemuka, antaranya ialah Imam Zainuddin Ahmad bin 'Abdul Lathif az-Zabidi (w. 893H) . Beliau inilah yang telah menulis ringkasan Shohih al-Bukhari yang diberinya jodol "at-Tajridush Shorih li ahaadits al-Jami' ash-Shohih". Maka di sesetengah tempat, Khataman al-Bukhari dilaksanakan dengan membaca dan menamatkan kitab mukhtashar ini. Sungguh tradisi yang mendekatkan umat kepada kitab panduan kedua setelah al-Quran yang suci sepatutnya tetap dilestari dan dimakmurkan. Dan hendaknya mereka-mereka yang mendakwa diri mereka pengikut sunnah, jangan menuding jari kepada para ulama kami dengan menuduh mereka tidak mempedulikan hadits, bahkan para ulama kami sentiasa menjunjung tinggi sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. bahkan menjadi tradisi mereka untuk mengkhatamkan setidak-tidaknya Shohih al-Bukhari setiap tahun. Maka kamu yang mendakwa ahli hadits, berapa kali sudah kamu khatam dan telaah karya Imam Bukhari ini?

**************************

Isnin, Julai 21, 2008

Tawassul - Buya Maliki

Menurut mazhab dan pegangan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, perbuatan bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. adalah dibenarkan tanpa mengira sama ada tawassul dengan baginda s.a.w. tersebut dilakukan sewaktu baginda masih berada di alam dunia yang fana ni ataupun setelah keberangkatan baginda ke alam barzakh dan alam baqa. Ini adalah kerana kita Ahlus Sunnah wal Jama'ah beri'tiqad bahawa yang memberi bekas dan yang berkuasa hanya Allah dan orang yang dijadikan wasilah tidak mempunyai kuasa dan tidak memberi bekas, hanyasanya mereka dijadikan wasilah kerana maqam kedudukan dan kemuliaan mereka di sisi Allah yang Maha Berkuasa. Jadi keadaan hidup atau mati mereka, tidak menjadi halangan untuk menjadikan mereka wasilah. Yang penting adalah maqam dan darjat keutamaan mereka di sisi Allah s.w.t.

Telah tsabit bahawa Nabi Adam a.s. bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. sebelum kelahiran baginda di alam dunia ini. Ini adalah kerana yang dijadikan wasilah tersebut adalah keadaan maqam dan darjat Junjungan di sisi Allah s.w.t., maka perkara ini tidaklah bersangkutan dengan kehidupan baginda di alam dunia ini. Baginda adalah seorang nabi dan rasul yang paling utama dan paling mulia hatta sebelum baginda memulakan kehidupan duniawi baginda, dalam kehidupan duniawi baginda dan selepas kehidupan duniawi ini. Tidakkah para nabi dan rasul yang diutuskan sebelum baginda telah menyatakan keimanan mereka kepada kerasulan baginda. Bukankah para nabi terlebih lagi diri Junjungan s.a.w. adalah ma'shum sejak dilahirkan. Bi'tsah dan mulanya turun wahyu hanyalah sebagai titik permulaan menjalankan tugas-tugas kerasulan menyeru umat kepada Allah s.w.t. Maka kata-kata yang mengatakan bahawa sebelum menerima wahyu, Junjungan Nabi s.a.w. hanya seorang "budak kampung" adalah perkataan yang buruk adab dan mencarik kemuliaan Junjungan Nabi s.a.w. Marilah kita renungi firman Allah yang Maha Agung dalam surah ash-Shaff ayat 6:-

"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi 'Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama Ahmad". Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"
Sebagai umat Islam, kita tentu beriman dengan adanya kehidupan akhirat, maka maklumlah kita bahawa maqam dan kedudukan serta darjat ketinggian baginda Muhammad s.a.w. tetap tinggi bahkan terus meninggi biarpun baginda telah berpindah ke alam barzakh. Maka apa masalahnya jika seseorang bertawassul dengan baginda setelah kewafatan baginda. Orang yang menegah bertawassul dengan Junjungan s.a.w. selepas kewafatan baginda adalah orang yang tidak tahu ukuran darjat dan maqam Junjungan Nabi s.a.w. 'Allaamah al-Muhaddits Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani rhm. dalam "Mafaahiim yajibu an tushahhah" halaman 50 menyatakan sebagai berikut:-

Beberapa faedah penting dari hadits tawassul Nabi Adam

Dalam hadits tersebut tawassul dengan Junjungan Rasulullah s.a.w. adalah sebelum alam ini menerima kemuliaan baginda dengan kewujudan (keberadaan) Junjungan s.a.w. padanya. Maka sesungguhnya pokok pangkal bagi keabsahan tawassul adalah orang dijadikan wasilah hendaklah ada padanya kadar kemuliaan yang tinggi di sisi Tuhannya 'azza wa jalla. Dan tidaklah disyaratkan keadaan orang tersebut hidup di alam dunia.

Dan dari itu, diketahui bahawasanya pendapat yang mengatakan tawassul tidak boleh dilakukan dengan seseorang melainkan pada waktu hidupnya di dunia, adalah pendapat orang yang menurut hawa nafsu tanpa petunjuk daripada Allah.
Allahu ... Allah, sungguh kalam orang yang menafikan bertawassul dengan para kekasih Allah selepas kewafatan mereka adalah kalam yang bahaya dan itulah sebenarnya yang boleh membawa kepada syirik kerana seolah-olah memberi gambaran orang yang hidup boleh memberi bekas, manakala orang yang mati sudah tidak boleh memberi bekas. Sedangkan di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang memberi bekas hanya Allah 'azza wa jalla. Allahumma, janganlah Engkau jadikan kami dari kalangan orang - orang yang menurut hawanafsunya dan kosong daripada petunjukMu.

*******************************
يا سيدي يا رسول الله


Rabu, Julai 16, 2008

Sidi 'Abdullah Shadaqah Dahlan

Sayyid 'Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan al-Jilani adalah seorang ulama besar yang dilahirkan pada tahun 1290/1291H (1874/1875M) di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau lahir dalam keluarga ulama yang sholeh. Ayahanda beliau adalah saudara kandung Syaikhul Islam Mufti Haramain Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan, ulama dan mufti Hejaz yang masyhur, manakala bonda beliau adalah saudara perempuan Sidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi. Nasab penuh beliau adalah Sayyid 'Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan bin Ahmad Dahlan bin 'Utsman Dahlan bin Ni'matUllah bin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Abdullah bin 'Utsman bin 'Athoya bin Faaris bin Musthofa bin Muhammad bin Ahmad bin Zaini bin Qaadir bin 'Abdul Wahhaab bin Muhammad bin 'Abdur Razzaaq bin 'Ali bin Ahmad bin Ahmad (Mutsanna) bin Muhammad bin Zakariyya bin Yahya bin Muhammad bin Abi 'Abdillah bin al-Hasan bin Sayyidina 'Abdul Qaadir al-Jilani, Sulthanul Awliya` bin Abi Sholeh Musa bin Janki Dausat Haq bin Yahya az-Zaahid bin Muhammad bin Daud bin Muusa al-Juun bin 'Abdullah al-Mahd bin al-Hasan al-Mutsanna bin al-Hasan as-Sibth bin Sayyidinal-Imam 'Ali & Sayyidatina Fathimah al-Batuul radhiyaAllahu`anhum ajma`in.

Tatkala beliau berusia 6 tahun, ayahandanya wafat, Sidi Ahmad Zaini Dahlan telah mengambil tugas ayahandanya untuk menjaga dan memberi pendidikan yang sempurna kepadanya. Pamannya ini turut mengasihi dirinya serta memberikan perhatian besar terhadapnya. Beliau berada di bawah asuhan pamannya ini sehinggalah ulama besar Hejaz ini wafat di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1304H (1887M).

Setelah pemergian pamannya yang mulia, Sayyid 'Abdullah kembali ke Kota Makkah dan menyambung pengajiannya dengan para ulama di sana, antaranya dengan pamannya Sidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi, Syaikh Muhammad Husain al-Khayyath, Habib Husain bin Muhammad al-Habsyi dan lain-lain ulama terkemuka. Kedalaman ilmunya diakui para ulama sehingga beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Imam dalam Masjidil Haram di Maqam Ibrahim (tempat bagi Imam mazhab Syafi'i) serta menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram yang mengendali halaqah ilmu di Babus Salam.

Sayyid 'Abdullah terkenal sebagai ulama yang suka mengembara dari satu tempat ke satu tempat demi menyebarkan risalah dakwah dan ilmu. Beliau telah merantau ke banyak tempat seperti Zanzibar, Yaman, India, Mesir, Bahrain, Iraq, Syam, India, Sri Lanka, Tanah Melayu, Singapura, Jawa dan Sulawesi. Beliau juga telah mendirikan berbagai madrasah di tempat-tempat tersebut. Apa yang menarik ialah sewaktu di Tanah Melayu beliau telah dilantik menjadi Syaikhul Islam (Mufti) Kedah kedua. Namun jawatan tersebut hanya disandangnya kira-kira setahun iaitu dari 1904 sehingga 1905 dan dilepaskannya kerana beliau berhasrat untuk kembali ke Makkah.

Setelah lama berkelana, akhirnya Sayyid 'Abdullah telah memilih untuk menetap di Desa Ciparay Girang, Karang Pawitan dalam daerah Garut, Jawa Barat. Di situlah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1943, setelah menjalani hidup yang penuh ketaatan dan keberkatan. Beliau meninggalkan beberapa karangan, antaranya:-
  1. Irsyad Dzil Ahkam;
  2. Zubdatus Sirah an-Nabawiyyah;
  3. Tuhfatuth Thullab fi qawa'idil i'raab;
  4. Khulaashah at-Tiryaaq min samuum asy-Syiqaaq;
  5. Irsyadul Ghaafil ila maafiith thoriiqatit Tijaaniyyati minal baathil;
  6. Fatwa fi ibthal thoriqah wahdatil wujud.
Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas Sayyidi 'Abdullah Shadaqah Dahlan al-Jilani al-Hasani. ...... al-Fatihah.

Selasa, Julai 15, 2008

Nur Muhammad 20

Hadits Jabir berhubung Nur Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam 'Abdur Razzaq terus menjadi pertikaian. Sebahagian mentsabitkannya, manakala sebahagian lagi menolaknya dengan alasan ianya tidak dijumpai termaktub dalam Musannaf beliau. Sebahagian menjadikan ketakwujudan atau mungkin ketakjumpaan hadits tersebut dalam Musannaf sebagai alasan untuk menolak dan membid'ahsesatkan konsep Nur Muhammad. Manakala sebahagian lagi yang menolak tsabitnya hadits Jabir tersebut, tidak pula menolak konsep Nur Muhammad, cuma menolak pentsabitan hadits tersebut. Walau apa pun, wujudnya perbezaan pendapat ini jelas menunjukkan bahawa perkara ini termasuk dalam perkara khilafiyyah yang berlaku di kalangan ulama. Maka sewajarnya kita menjaga adab dalam perkara ini demi keutuhan ukhuwwah dan perpaduan umat sejagat.

Majalah Dakwah Bulanan yang dibawah penyeliaan dan pimpinan Habib Taufiq as-Segaf, "Cahaya Nabawiy" edisi No. 63 Tahun VI Rajab 1429, turut memuatkan jawapan pengasuh ruangan Istifta'nya, Ustaz Muhibbul Aman Aly, berhubung hadits Nur Muhammad ini.

Hadits tentang Nur Nabi Muhammad SAW ini diriwayatkan oleh Imam Abdur Rozaq. Hadits ini disebutkan oleh beberapa ulama dengan riwayat dari Abdur Rozaq, diantaranya disebutkan oleh Syekh Sa'dud Din at-Taftazani dalam kitab "Syarh Burdatul Madikh", Syekh Sulayman al-Jamal dalam kitab "Syarh al-Syamail", Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami dalam kumpulan fatwa haditsnya, Syekh Ahmad al-Showi al-Maliki dalam kitab "Bulghotus Salik", Syekh Abdulloh al-Khifaji dalam kitab "al-Siroh al-Halabi" dan ulama-ulama lainnya. Ada sebahagian orang yang meragukan keberadaan hadits ini, karena redaksi hadits ini tidak ditemukan dalam kitab Musnad (kumpulan hadits) Abdur Rozaq yang beredar saat ini, tetapi alasan ini tidak kuat, karena terbukti para ulama dahulu banyak mengutip hadits ini dari riwayat Abdur Rozaq. Ini bererti redaksi hadits ini termuat dalam manuskrip kitab Musnad Abdur Rozaq yang beredar pada zaman dahulu, dan yang beredar saat ini bukan manuskrip yang lengkap sebagaimana yang diterima oleh para ulama pada masa dahulu.

Pada tahun 1428H / 2007M, Syekh 'Isa bin Abdulloh al-Khimyari, seorang ulama ahli hadits, mengaku telah menemukan manuskrip kuno kitab Musnad Abdur Rozaq yang didalamnya tertulis beberapa hadits yang tidak ditemukan dalam cetakan yang beredar saat ini. Termasuk di dalamnya hadits tentang Nur Muhammad SAW ini. Meskipun penemuan ini masih diragukan oleh sebahagian kalangan, yang jelas hadits ini telah banyak dinukil oleh para ulama terdahulu. Ini sudah cukup membuktikan keberadaannya. Terlepas dari perbedaan pendapat para ahli hadits tentang kesahihannya.
Beginilah kedudukan hadits Nur Muhammad yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir r.a. Dalam penolakan sebahagian, sebahagian pula menerima dan mentsabitkannya. Apa yang jelas, para ulama daripada kalangan habaib Bani 'Alawi pada umumnya menerima dan berpegang dengan hadits tersebut sebagaimana termaktub dalam karya Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi yang termasyhur "Simthud Durar" yang menyatakan sebagai berikut:-





Jumaat, Julai 11, 2008

Mudahnya Sifat 20

Membaca entri Fadhilatul Ustaz Mahfuz berhubung komen Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengenai pengajian tauhid berasaskan sifat 20, terpanggil ambo nak tulis sikit mengenai pengajian kaedah sifat 20 ni. Sejak zaman berzaman, umat Islam di Nusantara belajar mengenal Allah melalui kaedah pengajian sifat 20. Ambo ingatlah tok nenek kita zaman dulu-dulu, atau setidak-tidaknya tok nenek ambolah, pun belajar nak kenal Allah melalui pengajian sifat 20 nilah. Maka amatlah malang jika sekarang ini timbul golongan yang mencemoh pengajian sifat 20. Ada yang mengatakan bahawa ianya adalah mengikut cara falsafah Yunani yang berbelit-belit dan menyusahkan. Mungkin pihak yang mencemoh pengajian tersebut tidak memahami kaedah pengajiannya dengan sebenar kerana untuk orang awam dan orang yang baru masuk Islam, pengajian Sifat 20 untuk mengenal Allah amatlah mudah. Memadai bagi mereka untuk mengaji setakat nazam 'Aqidatul 'Awam atau nazam tauhid yang masyhur.

Ini adalah kerana bagi orang awam dia hanya perlu mengetahui 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil dan 1 sifat yang harus bagi Allah. Dan ini sudah tentu tidak bermakna menghadkan sifat-sifat kesempurnaan dan kebesaran Allah kepada hanya 20 sifat sahaja. Seterusnya pengetahuan terhadap sifat-sifat tersebut hanya perlu disokong dengan satu dalil secara ijmal sahaja, sama ada naqli ataupun aqli. Maka di mana susah dan payahnya bagi orang awam untuk belajar mengenal Allah? Apa yang lebih dari itu, seperti mengenal pecahan sifat-sifat tersebut, persoalan ta'alluq dan sebagainya, maka itu semua dihukumkan sebagai "ghawamidhul ilmil kalam" yang tidaklah menjadi keperluan untuk diketahui oleh orang awam. Apa yang perlu bagi orang awam ialah mempertingkatkan keyakinan mereka terhadap sifat- sifat tersebut bagi memperkukuhkan keimanan dan ketaatan mereka kepada Zat yang disifati dengan segala sifat kesempurnaan tersebut yakni Allah s.w.t.

Jika dikatakan bahawa kaedah pembelajaran tersebut gagal menanamkan keimanan yang kukuh dalam diri umat Islam. Maka ini hanyalah sangkaan dan tuduhan yang tidak berasas. Lihat sahaja penyebar-penyebar Islam di rantau kita yang telah mengIslam tok nenek kita. Tiada keraguan bahawa bahawa mereka mempunyai keimanan yang kukuh dan mereka adalah pendokong al-'Asyairah. Merekalah yang memperkenalkan uslub mengenal Allah melalui kaedah pengajian sifat 20. Bandingkanlah dengan mereka-mereka yang mencemoh pengajian sifat 20, setakat mana sumbangan mereka - mereka ini terhadap Islam? Berapa ramai "oghe utei" yang telah mereka Islamkan?

Alhamdulillah, walaupun mendapat cemohan, pengajian sifat 20 masih diajar oleh tuan-tuan guru kita yang mulia. Bahkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pun pernah mengajar tauhid mengikut kaedah pengajian Sifat 20 dan kuliah pengajian Sifat 20 beliau telah dirakam dan disebar kepada masyarakat. Maka sewajarnya janganlah dicemoh kaedah pengajian Sifat 20 ni. Ambo setuju jika dikatakan bahawa yang wajib adalah mengenal Allah dengan sebenar-benar ma'rifat, akan tetapi janganlah kerana kita dah jumpa jalan lain untuk kenal Allah, jika ada, maka kita mencemoh dan memperkecilkan jalan atau uslub atau kaedah yang telah sekian lama membawa ramai orang kepada mengenal Allah s.w.t serta mentaatiNya. Demikianlah juga dengan kaedah pengajian membaca al-Quran, janganlah sebab dah ada Qiraati, dah ada Iqra', maka kita pandang kaedah Baghdadi dengan sebelah mata sahaja. Takut-takut ada bebudak yang tak kenal huruf alif sebab dia hanya kenal bunyinya sahaja. Allahu ... Allah.

************************
عقيدة العوام

Ahad, Julai 06, 2008

Bulan Allah

Rajab bulan mulia yang termasuk dalam senarai bulan-bulan haram yang empat. Berbagai peristiwa penting berlaku dalam bulan ini, antaranya yang ialah peristiwa isra' dan mi'raj di mana Junjungan Nabi s.a.w. dianugerahkan dengan amalan utama bersholat lima waktu sehari-semalam. Malang sekali, tempat bermulanya mi'raj Junjungan Nabi s.a.w. ke langit dan seterusnya ke Mustawa masih belum dibebaskan daripada penjajahan Zionis. Justru, ketika memperingati peristiwa isra' dan mi'raj, jangan lupa kepada nasib tanah suci Baitul Maqdis. Hulurkanlah bantuan menurut kemampuan bagi membela nasib Baitul Maqdis dan jangan lupa berdoa agar Allah memeliharanya dan mengembalikannya kepada kita suatu hari nanti.

Keadaan umat yang menyedihkan, ditindas dan dizalimi berterusan, seharusnya membawa keinsafan untuk kita memperkukuhkan ukhuwwah dan bukannya saling bermusuhan walaupun berbeza pendapat. Khilafiyyah dalam hukum-hakam furu' tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk bermusuhan. Berbalik kepada Rajab, sebagaimana dalam bulan-bulan haram yang lain, antara amalan yang dianjurkan kita melakukannya dalam bulan - bulan tersebut adalah berpuasa sunnat. Antara anjuran tersebut adalah sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang menyatakan:-

صم أشهر الحرم

"Berpuasalah pada bulan-bulan haram."

Maka tidaklah menjadi persoalan sangat bagi mereka-mereka yang melaksanakan puasa sunnat dalam bulan Rajab ini, walaupun hadits-hadits yang menceritakan kelebihan berpuasa dalam bulan ini dinilai dhoif atau tidak tsabit kesahihannya oleh ramai muhadditsin. Ini adalah kerana berpuasa dalam bulan Rajab termasuk dalam galakan atau anjuran umum untuk berpuasa dalam bulan-bulan haram. Justru, berpuasa dalam bulan-bulan haram termasuklah bulan Rajab, telah menjadi amalan para salaf terdahulu antaranya Sayyidina Ibnu 'Umar r.a. dan Imam al-Hasan al-Bashri.

Menurut Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam "Lathoiful Ma'aarif" walaupun hadits-hadits berhubung kelebihan berpuasa secara khusus dalam bulan Rajab tidak sahih, akan tetapi ada diriwayatkan daripada Abu Qilaabah yang menyatakan:-

في الجنة قصر لصوام رجب

"Dalam syurga ada mahligai bagi orang-orang yang berpuasa dalam bulan Rajab."

Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa Abu Qilaabah adalah sebesar-besar tabi'in, maka tidaklah dia berkata sedemikian melainkan ianya telah disampaikan kepadanya (yakni disampaikan daripada sahabat yang menerimanya daripada Junjungan Nabi s.a.w.).

Maka, hentikanlah bid'ah membid'ah, keji-mengeji dan sebagainya, sesiapa yang hendak berpuasa biarkanlah mereka, sesiapa yang tidak mahu, maka terpulang. Renungilah keadaan umat ini, dan fikirkanlah serta berusahalah untuk mengembalikan kedaulatan Islam di bumi Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsha.


Rabu, Julai 02, 2008

ٌRiyaadhus Shaalihiin

"Riyaadhus Shaalihiin" adalah karya Imam Muhyiddin Abu Zakaria an-Nawawi. Ianya adalah antara karya beliau yang masyhur dan luas sebarannya. Kitab yang mengandungi sabdaan-sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. ini telah diberi perhatian oleh para ulama sehingga ada yang mensyarahkannya dalam jilid-jilid yang besar dan tebal.

Antara yang memuji karya ini dan berwasiat agar ianya dijadikan panduan dan rujukan setiap masa dan ketika adalah Habib 'Idrus bin Salim bin 'Alawi al-Jufri, pendiri Lembaga Pendidikan al-Khairat. Antara bait syair pujian beliau atas kitab ini adalah sebagai berikut:-

رياض الصالحين كتاب علم
كتاب قد حوى علما كثيرا
عليك بدرسه في كل يوم
و لا تعدل به ليلا سميرا


Riyaadhush Shaalihin himpunannya ilmu
Kitab yang sarat muatan ilmu
Pelajarilah ia setiap hari tanpa jemu
Ketika malam jadikan dia teman diskusimu