Selasa, September 30, 2008

'Eidun Sa'idun

Selamat Menyambut Hari Raya 'Aidil Fithri yang mulia. Mudah-mudahan ibadah puasa serta segala amal ibadah yang telah kita lakukan diterima Allah s.w.t. sebagai amal sholeh. Moga mendapat rahmat yang berkekalan. Moga Allah jadikan kita istiqamah atas jalan yang lurus, 'aqidah yang shohih Ahlus Sunnah wal Jama'ah dan amal sholeh yang maqbul.

ليس العيد لمن لبس الجديد
و لا لمن اكل القديد
و لكن العيد لمن طاعته تزيد
و خاف الوعيد


Sekadar berpakaian baru tidak bererti berhari raya
Makanan lazat juga tidak semestinya
Tapi orang yang bertambah ketaatannya
Serta takutnya akan janji balasan seksa
Itulah yang sebenarnya berhari raya.

Maaf Zahir & Batin


Ahad, September 28, 2008

Tujuh Likur 1429

Malam tujuh likur satu empat dua sembilan
Sepanjang hayat pasti dalam kenangan
Dengan izin Malikul Hannan

Malam penuh kemuliaan Ramadhan
Senja melabuh tirai umat mensyukuri hidangan
Kala itulah dia pergi mengadap ar-Rahman
82 tahun hayat dikandung badan
Kehendak ar-Rahman
Sudah tiba masa perpisahan

Hati penuh kesedihan
Bukan kerana menentang kehendak ar-Rahman
Tapi itulah lumrah insan
Apabila terjadinya perpisahan
Hatta Junjungan basyar pilihan
Tatkala si bocah sayyid Ibrahim mengadap Tuhan
Berlenangan air mata kesedihan
Mengalir di pipi Junjungan
Tiada lain sabda Junjungan
Itulah tanda rahmat kasih sayang dalam hati tersimpan

Apa yang pasti tiada keraguan
Perpisahan tidak berarti terputus jalinan
Kasih sayang sesama insan
Tiadalah kematian
Melainkan satu perpindahan

Jalinan dihubungkan
Dengan amalan kebajikan
Yang sabda Junjungan
Pada mereka dibentangkan
Pasti dalam kebajikan
Mereka punya bahagian
Juga doa saban waktu diucapkan
Tambah lagi zikir istighfar tahlil mendaras al-Quran
Sholawatkan Nabi jangan dilupakan
Silaturrahmi dihubungkan
Moga dengannya hubungan berpanjangan
Selagi ada matahari dan bulan
Selagi ada hayat dikandung badan
Sampai menyusul di hari kemudian
Dengan penuh harapan pada Malikul Hannan
Biar sama-sama menjejaki taman-taman jinaan
Berkat syafaat Rasul Junjungan
Dengan kemurahan rahmatnya ar-Rahman
Ya Rahman Ya Rahman Ya Rahman

اللَّهُ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَيٌّ لا يَمُوتُ،
اغْفِرْ لأُمِّيٍ، ولَقِّنْهَا حُجَّتَها، وَوَسِّعْ عَلَيْهَا مُدْخَلَهَا،
بِحَقِّ نَبِيِّكَ وَالأَنْبِيَاءِ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِه،
فَإِنَّكَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

******************************

Isnin, September 22, 2008

Habib 'Ali Kwitang

Pendiri majlis ta'lim yang pertama di Jakarta sewaktu zaman kolonial Belanda. Majlis taklim yang dipimpinnya dahulu sehingga kini masih tetap lestari dengan dihadiri puluhan ribu hadirin. Beliau adalah Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman bin 'Abdullah bin Muhammad al-Habsyi. Lahir di Kwitang, Jakarta, pada 20 Jamadil Awwal 1286H / 20 April 1870M. Ayahanda beliau adalah Habib 'Abdur Rahman al-Habsyi seorang ulama dan daie yang hidup zuhud, manakala bonda beliau seorang wanita sholehah bernama Nyai Hajjah Salmah puteri seorang ulama Betawi dari Kampung Melayu, Jatinegara, Jakarta Timur.

Habib 'Abdur Rahman ditakdirkan menemui Penciptanya sebelum sempat melihat anaknya dewasa. Beliau meninggal dunia sewaktu Habib 'Ali masih kecil. Sebelum wafat, Habib 'Abdur Rahman berwasiat agar anaknya Habib 'Ali dihantar ke Hadhramaut untuk mendalami ilmunya dengan para ulama di sana. Tatkala berusia lebih kurang 11 tahun, berangkatlah Habib 'Ali ke Hadhramaut. Tempat pertama yang ditujunya ialah ke rubath Habib 'Abdur Rahman bin 'Alwi al-'Aydrus. Di sana beliau menekuni belajar dengan para ulamanya, antara yang menjadi gurunya ialah Shohibul Mawlid Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi, Habib Hasan bin Ahmad al-'Aydrus, Habib Zain bin 'Alwi Ba'Abud, Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas dan Syaikh Hasan bin 'Awadh. Beliau juga berkesempatan ke al-Haramain dan meneguk ilmu daripada ulama di sana, antara gurunya di sana adalah Habib Muhammad bin Husain al-Habsyi (Mufti Makkah), Sayyidi Abu Bakar al-Bakri Syatha ad-Dimyati, (pengarang I'aanathuth Thoolibiin yang masyhur) Syaikh Muhammad Said Babsail, Syaikh 'Umar Hamdan dan ramai lagi.

Habib 'Ali tidak pernah jemu menuntut ilmu. Terbukti apabila dia kembali ke tanahairnya, beliau tetap menekuni para ulama dan habaib sepuh untuk menuntut ilmu daripada mereka. Antara gurunya ialah Habib 'Utsman bin 'Abdullah BinYahya (Mufti Betawi), Habib Husain bin Muhsin al-'Aththas, Habib 'Alwi bin 'Abdur Rahman al-Masyhur, Habib 'Umar bin Idrus al-'Aydrus, Habib Ahmad bin 'Abdullah bin Thalib al-'Aththas dan Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhor. Habib 'Ali mula aktif berdakwah setelah mendapat dorongan daripada habaib sepuh yang menjadi guru beliau, antaranya Habib Utsman dan Habib Ahmad bin Abdullah al-Aththas.

Dalam rangka memantapkan tugas dakwahnya, Habib 'Ali telah membangunkan Masjid ar-Riyadh di Kwitang serta di samping masjid tersebut didirikannya sebuah madrasah yang diberi nama Madrasah Unwanul Falah. Ramai ulama Betawi / Jakarta yang pernah belajar di madrasah ini sekaligus menjadikan mereka murid Habib 'Ali Kwitang. Antara murid yang terkenal adalah K.H. 'Abdullah Syafi'i, K.H. Thahir Rohili dan K.H. Fathullah Harun (ayahanda Dr. Musa Fathullah Harun, bekas pensyarah UKM). Lebih 80 tahun, Habib 'Ali berdakwah menyeru umat ke jalan Allah. Dalam dakwahnya, Habib 'Ali sering menasihat umat agar sentiasa berbudi luhur, menjaga ukhuwwah dan meneladani akhlaknya Junjungan Nabi s.a.w. Salah satu kaedah untuk beliau mengumpul masyarakat ialah dengan menggelar majlis-majlis mawlid, di mana tausyiah akan disampaikannya di sela-sela bacaan mawlid tersebut. Habib 'Ali terkenal sebagai ulama yang mencintai majlis-majlis mawlid, bahkan beliaulah yang telah memasyarakatkan majlis mawlid di Betawi dan menjadi penerus kepada majlis mawlid Simthud Durar yang dipelopori oleh Habib Muhammad bin Idrus al-Habsyi (foto di sebelah) yang wafat tahun 1919M.

Sungguh dunia ini tempat kediaman yang sementara. Pada tanggal 20 Rajab 1388H bersamaan 13 Oktober 1968, kembalilah ulama dan wali ini ke rahmatUllah dengan meninggalkan anak dan murid-murid sebagai penerus perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Moga-moga rahmat Allah dan keredhaanNya sentiasa bersama beliau......al-Fatihah.

Rabu, September 17, 2008

Sholawat Badar Kiyai 'Ali

Sholawat Badar adalah rangkaian sholawat berisikan tawassul dengan nama Allah, dengan Junjungan Nabi s.a.w. serta para mujahidin teristimewanya para pejuang Badar. Sholawat ini adalah hasil karya Kiyai Ali Manshur, yang merupakan cucu Kiyai Haji Muhammad Shiddiq, Jember. Oleh itu, Kiyai 'Ali Manshur adalah anak saudara/keponakan Kiyai Haji Ahmad Qusyairi, ulama besar dan pengarang kitab ""Tanwir al-Hija" yang telah disyarahkan oleh ulama terkemuka Haramain, Habib 'Alawi bin 'Abbas bin 'Abdul 'Aziz al-Maliki al-Hasani, dengan jodol "Inarat ad-Duja".

Diceritakan bahawa karya ini ditulis oleh Kiyai 'Ali Manshur sekitar tahun 1960, tatkala kegawatan umat Islam Indonesia menghadapi fitnah Partai Komunis Indonesia (PKI). Ketika itu, Kiyai 'Ali adalah Kepala Kantor Departemen Agama Banyuwangi, juga menjadi Pengurus Cabang Nahdlatul Ulama di situ. Keadaan politik yang bercelaru saat itu dan kebejatan PKI yang bermaharajalela membunuh massa, bahkan ramai kiyai yang menjadi mangsa mereka, menyebabkan terlintas di hati Kiyai 'Ali, yang memang mahir membuat syair 'Arab sejak nyantri di Pesantren Lirboyo Kediri lagi, untuk menulis satu karangan sebagai sarana bermunajat memohon bantuan Allah s.w.t. Dalam keadaan sedemikian, Kiyai 'Ali tertidur dan dalam tidurnya beliau bermimpi didatangi manusia-manusia berjubah putih - hijau, dan malam yang sama juga, isteri beliau bermimpikan Kanjeng Nabi s.a.w. Setelah siang, Kiyai 'Ali langsung pergi berjumpa dengan Habib Hadi al-Haddar Banyuwangi dan menceritakan kisah mimpinya tersebut. Habib Hadi menyatakan bahawa manusia-manusia berjubah tersebut adalah para ahli Badar. Mendengar penjelasan Habib yang mulia tersebut, Kiyai 'Ali semakin bertekad untuk mengarang sebuah syair yang ada kaitan dengan para pejuang Badar tersebut. Lalu malamnya, Kiyai 'Ali menjalankan penanya untuk menulis karya yang kemudiannya dikenali sebagai "Sholawat al-Badriyyah" atau "Sholawat Badar". Apa yang menghairankan ialah keesokan harinya, orang-orang kampung mendatangi rumah beliau dengan membawa beras dan lain-lain bahan makanan. Mereka menceritakan bahawa awal-awal pagi lagi mereka telah didatangi orang berjubah putih menyuruh mereka pergi ke rumah Kiyai 'Ali untuk membantunya kerana satu kenduri akan diadakan di rumahnya. Itulah sebabnya mereka datang dengan membawa barangan tersebut menurut kemampuan masing-masing. Tambah pelik lagi apabila malamnya, hadir bersama untuk bekerja membuat persiapan kenduri orang-orang yang tidak dikenali siapa mereka.

Menjelang keesokan pagi, serombongan habaib yang diketuai oleh Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman al-Habsyi @ Habib 'Ali Kwitang tiba-tiba datang ke rumah Kiyai 'Ali. Tidak tergambar kegembiraan Kiyai 'Ali menerima tetamu istimewanya tersebut. Setelah memulakan perbicaraan bertanyakan khabar, tiba-tiba Habib 'Ali Kwitang bertanya mengenai syair yang ditulis oleh Kiyai 'Ali tersebut. Tentu sahaja Kiyai 'Ali terkejut kerana hasil karyanya itu hanya diketahuinya dirinya seorang dan belum dimaklumkan kepada sesiapa pun. Tapi beliau mengetahui, ini adalah satu kekeramatan Habib 'Ali yang terkenal sebagai waliyullah itu. Lalu tanpa lengah, Kiyai 'Ali Manshur mengambil helaian kertas karangannya tersebut lalu membacanya di hadapan para hadirin dengan suaranya yang lantang dan merdu. Para hadirin dan habaib mendengarnya dengan khusyuk sambil menitiskan air mata kerana terharu. Setelah selesai dibacakan Sholawat Badar oleh Kiyai 'Ali, Habib 'Ali menyeru agar Sholawat Badar dijadikan sarana bermunajat dalam menghadapi fitnah PKI. Maka sejak saat itu masyhurlah karya Kiyai 'Ali tersebut. Selanjutnya, Habib 'Ali Kwitang telah menjemput ramai ulama dan habaib ke Kwitang untuk satu pertemuan, antara yang dijemput ialah Kiyai 'Ali Manshur bersama pamannya Kiyai Ahmad Qusyairi. Dalam pertemuan tersebut, Kiyai 'Ali sekali lagi diminta untuk mengumandangkan Sholawat al-Badriyyah gubahannya itu. Maka bertambah masyhur dan tersebar luas Sholawat Badar ini dalam masyarakat serta menjadi bacaan popular dalam majlis-majlis ta'lim dan pertemuan. Moga Allah memberikan sebaik-baik ganjaran dan balasan buat pengarang Sholawat Badar serta para habaib tersebut..... al-Fatihah.

Allahu ... Allah, inilah kisah bagaimana terhasilnya penulisan Sholawat Badar oleh Kiyai 'Ali Manshur. Cerita ini telah ambo dengar daripada beberapa kerabat Kiyai Haji Ahmad Qusyairi di Kota Pasuruan. Juga ianya dimuatkan dalam buku "Antologi NU : Sejarah - Istilah - Amaliah - Uswah " karangan H. Soeleiman Fadeli & Mohammad Subhan dengan kata pengantar Kiyai Haji 'Abdul Muchith Muzadi. Benar atau tidak, percaya atau tidak, itu tidak penting, apa yang nyata ialah Sholawat Badriyyah ini adalah karyanya Kiyai 'Ali Manshur dan telah diterima serta diamalkan oleh para ulama dan habaib yang menjadi pegangan dan panutan kita. Maka sempena memperingati peristiwa Perang Badar al-Kubra, marilah kita bermunajat memohon keselamatan dunia akhirat dengan bertawassulkan Junjungan Nabi s.a.w. dan para pejuang Badar radhiyAllahu 'anhum ajma'in.

**************************

Ahad, September 14, 2008

Haul ke-4 Buya Maliki

Genap 4 tahun pemergian Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas bin 'Abdul 'Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki. Sungguh pemergiannya akan sentiasa diingati oleh ramai yang pernah tersentuh oleh akhlak dan ilmunya beliau. Beliau telah menghadapi puak Wahhabi di "front line" mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan sehingga puak Wahhabi tak bisa memperkotak-katik pegangan Sunni yang sejati. Bagaimana bisa mereka untuk menolak hujjah beliau, apabila beliau berhujjah dengan perkataan ulama kebanggaan mereka sendiri, iaitu Syaikhun Najdi Ibnu 'Abdul Wahhab dan Syaikh Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Apa yang boleh dilakukan oleh mereka-mereka yang telah terbungkam lidahnya untuk berhujjah ialah menzalimi beliau melalui kedudukan dan kekuasaan mereka dengan merampas kebebasan dan hak beliau untuk menyampaikan ilmu dan dakwah.

Semua ujian pancaroba tersebut, dihadapi beliau dengan tenang dan tabah. Ulama Wahhabi telah memvonis beliau sebagai sesat lagi menyesatkan. Alhamdulillah, segala tuduhan tersebut secuit pun tidak mengugat kedudukan beliau sebagai seorang ulama besar yang dihormati dunia Islam. Dunia Islam bangkit membela beliau, dari Maghribi sehinggalah Indonesia para ulamanya membela beliau. Hatta di Saudi pun, tuduhan Wahhabi tersebut hanya laku di kalangan Wahhabi yang fanatik.

Moga rahmat Allah sentiasa dicucuri atas Buya al-Maliki al-Hasani dan keberkatannya dilimpahkan ke atas kita semua. ...al-Fatihah.

*************************************


اللهم .... امين يا رب العالمين

Selasa, September 09, 2008

Sekadar paparan


Ni sekadar paparan buat tatapan ikhwah sekalian, kalu ambo beri komen nanti terbatal plak pahlo poso ambo. Bacalah yo, kemedian pikiaq-pikiaqlah sendiri. Bagi sesiapa yang rabun, ambo bubuh sket cuplikannya:-
Justeru, tegas beliau, Asri seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya berkaitan perkara tersebut dan tidak menyindir rakan-rakan sejawatan secara terbuka kerana ia satu langkah tidak beretika.
Beliau yang secara terbuka menegur mufti muda itu berkata, forum terbaik bagi Asri untuk menyampaikan kritikan adalah melalui Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dianggotai mufti-mufti yang jauh lebih berpengalaman.

"Masalahnya beliau kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih senang menghadiri program yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah (kepartian).

"Jadi sudah tiba masanya mufti tersebut ditakdib (diperadabkan), bimbang nanti dia terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat sehingga ada kecenderungan merendah-rendahkan orang lain,'' katanya.


- Utusan Malaysia : 8 Ramadhan 1429H / 8 September 2008