Selasa, Januari 06, 2009

Karbala` - Habib Ali

10 Muharram, hari 'Asyura kita disunnatkan berpuasa demi mencari keredhaan Allah dengan menuruti ajaran Junjungan Nabi s.a.w. Juga dengan harapan agar puasa tersebut menjadi kaffarah bagi dosa-dosa kita pada tahun lepas. 'Asyura juga membawa kita mengenang perjuangan Imam Husain r.a. menentang pemerintahan yang zalim dan fasiq. Imam Husain telah gugur syahid dalam peristiwa Karbala' yang masyhur yang sewajarnya diperingati untuk dijadikan teladan dalam memperjuangkan kebenaran hingga ke titisan darah yang terakhir. Jangan pulak korang kata ambo ini Syiah, INGATLAH bahawa Imam Husain adalah kekasih kita Ahlus Sunnah wal Jama'ah, bagaimana kita tidak mencintai buah hatinya Junjungan Nabi s.a.w., hanya golongan munafik sahaja yang akan membenci dan memusuhi keluarga Junjungan Nabi s.a.w. yang mulia. Moga Allah menetapkan kemuliaan bagi segala keturunan Junjungan Nabi.

Akibat pembantaian tentera Yazid, maka gugurlah sebagai syahid Imam Husain di Karbala`. Tidak cukup dengan dibunuh, penjenayah-penjenayah tersebut bertindak lebih biadap dengan memenggal kepala Imam Husain yang mulia agar jenazahnya tidak dikenali. Maka walaupun Imam Husain gugur syahid di padang Karbala`, hanya jasad baginda sahaja yang dimakamkan di sana bersama dengan pengikut-pengikut baginda, manakala kepala baginda yang mulia telah dibawa berkeliling beberapa kota sehingga kini bersemayam di Kota Kaherah. Dahulu pernah ada seorang ustaz (malas ambo nak sebut namanya) yang mengatakan bahawa tidak benar kepala Imam Husain dimakamkan di Kaherah. Sesungguhnya pendapat ini menyalahi pendapat kebanyakan ulama dan awliya'. Mufti Mesir, Dr. 'Ali Jum'ah dalam "al-Bayan" halaman 319 - 321, menyatakan antara lain:-
Ahli- ahli sejarah dan (keterangan) kitab-kitab sirah sepakat bahawa jasad Imam Husain r.a. dimakamkan di tempatnya di Karbala`. Adapun kepala baginda yang mulia, maka ianya telah dibawa berkeliling sehingga berhenti di 'Asqalan - bandar perlabuhan Falestin - di tepi laut Mediterranean, yang hampir dengan pelabuhan - pelabuhan Mesir dan Baitul Maqdis. Keberadaan kepala baginda yang mulia di 'Asqalan kemudian dipindahkan ke Mesir disokong oleh majoriti ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh terkemuka, antaranya Ibnu Muyassar, al-Qalqasyandi, 'Ali bin Abu Bakar yang dikenali sebagai as-Saayih al-Harawi, Ibnu Iyaas, Sibth al-Jauzi dan al-Hafiz as-Sakhaawi. ..... Dan telah menulis al-'Allaamah asy-Syabrawi - mantan Syaikhul Azhar - sebuah kitab berjodol "al-Ittihaaf" mensabitkan dengan yakin bahawa kepala Imam Husain berada di makamnya yang terkenal di Kaherah. Beliau turut menyenaraikan ulama-ulama yang mensabitkan sedemikian, iaitu al-Imam al-Muhaddits al-Mundziri, al-Hafiz Ibnu Dihyah, al-Hafiz Najmuddin al-Ghaithi, al-Imam Majduddin bin 'Utsman, al-Imam Muhammad bin Basyir, al-Qadhi Muhyiddin bin 'Abdudzh Dzhahir, al-Qadhi 'Abdur Rahim, 'Abdullah ar-Rifaa'ie al-Makhzumi, Ibnu an-Nahwi, asy-Syaikh al-Qurasyi, asy-Syaikh asy-Syablanji, asy-Syaikh Hasan al-'Adawi, asy-Syaikh asy-Sya'raani, asy-Syaikh al-Munaawi, asy-Syaikh al-Ajhuuri, Abul Mawahib at-Tunisi dan lain-lain lagi.

Syaikh Muhammad Zakiyuddin Ibrahim juga telah menulis berhubung perkara ini sebuah risalah dengan jodol " Ra'sul Imam al-Husain bi masyhadihi bil Qahirah tahqiqan muakkidan hasiman " yang penuh dengan dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang memuaskan hati. Berdasarkan kepada pemaparan tadi, tenanglah hati ini untuk berpegang dengan apa yang dipegang oleh kebanyakan ahli sejarah bahawa adalah kepala Imam Husain r.a. telah memuliakan Kaherah al-Mahrusah.
Mari kita hayati kisah syahidnya Imam Husain sebagaimana dituturkan oleh Habib 'Ali al-Jufri. Moga dapat diambil pengajarannya, menambahkan lagi rasa cinta kasih kepada keluarga Junjungan Nabi s.a.w., serta mengobarkan semangat jihad menentang kezaliman dan penindasan dalam jiwa kita.

**************************************************
Kisah Karbala` - Habib 'Ali al-Jufri

video

مدد يا مولانا يا حسين
مدد يا بو زين العابدين

3 ulasan:

Izudin Abqori berkata...

Salam.
Tak! Kito tak kata pun demo ni Syiah. Jauh sekali. Huhu.

Bagus sungguh maklumat yang demo tulis itu. Kito akhirnya telah juga berjaya menangkis segala was-was kito tentang kepala Saidina Husain yang suci itu selepas membaca entri demo ini. Apatah lagi, apabila buku Al-Bayan telah berada di tangan kito sekarang.

Amat berguna entri ini. Bangga sungguh kito untuk selepas ini berulang-alik ke Masjid Husain. Tapi sayang, kebanyakan rakyat Malaysia samada pelajar atau yang datang melancong lebih suka melihat dunia di Khan Al-Khalili daripada bertawassul sekejap dua di maqam beliau. Demo rasa macamana dengan pendapat kito ni?

Sedih benar video itu. Terima Kasih.

refah00 berkata...

sedih dengar cerita ni

ahyimy berkata...

Akibat pembantaian tentera Yazid - saya rasa perkataan yg lebih sesuai supaya tidak mengakibatkan sapa-sapa yg tidak mengikuti sejarah tersebut mengatakan Yazid terlibat ialah Musuh Islam yang menyamar sebagai tentera Yazid.