Khamis, Mei 28, 2009

Antara Taqlid & Ijtihad

Taqlid kepada mazhab dan kecenderungan kepada ajaran sufi berthoriqah kerapkali ditohmah sebagai penyebab kepada kejumudan dan kemunduran umat Islam. Maka ada yang termakan dengan tohmahan tersebut dan tertarik dengan seruan untuk membebaskan diri dari taqlid. Kita tidaklah anti kepada ijtihad, tapi kita nyatakan bahawa biarlah yang berijtihad itu, mereka-mereka yang punya kelayakan untuk berijtihad dan bukannya setiap orang awam atau setiap penuntut ilmu. Kenapa dan apa perlunya kita membebankan orang awam untuk mengetahui segala dalil yang digunakan oleh para mujtahidin atau imam mazhab yang dipelajarinya sebelum dibenarkan untuk beramal dengan pandangan mazhab tersebut. Belajar hukum-hakam pun sudah cukup membebankan mereka, apatah lagi jika dimestikan bahawa setiap hukum yang dipelajari mesti diketahui dalilnya. Tidakkah memadai bagi mereka mengetahui hukum sebagaimana dinyatakan oleh para imam mazhab dan ulama yang muktabar serta berpegang dengannya walaupun tidak mengetahui sumber hukum tersebut atas kepercayaan bahawa hukum tersebut telah diistinbathkan oleh para ulama tersebut daripada sumber-sumber hukum dalam Islam seperti al-Quran, al-Hadits, Ijma` dan Qiyas. Tidakkah memadai bagi orang awam memahami hukum-hakam Islam dan mengamalkannya. Lainlah jika sekiranya hukum tersebut dikeluarkan oleh orang sembarangan, yang tiada kita ketahui asal-usul dan keilmuannya.

Sejarah telah membuktikan bahawa taqlid dan thoriqah tidak sekali-kali menyebabkan umat menjadi jumud dan beku. Sebaliknya, seruan ijtihad dan bebas dari bertaqlid kepada mazhab tertentu yang diserukan oleh kaum mutassallif abad kita ini, amatlah meragukan dan sehingga kini yang dihasilkannya adalah perpecahan dan kehinaan yang berpanjangan kepada umat ini. Seruan tersebut masih tidak membuahkan apa-apa hasil dan natijah yang boleh dibanggakan. Seruan agar umat berijtihad tanpa mengira samada mereka itu berkelayakan atau tidak, adalah satu seruan yang merbahaya dan boleh meruntuhkan agama serta memecahkan perpaduan umat. Kalaupun nak berijtihad, maka biarlah ianya dilakukan oleh ulama yang mencapai darjat mujtahid. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi telah mengarang satu buku yang amat baik menjelaskan tentang bahaya fahaman al-la madzhabiyyah (bebas mazhab). Karyanya tersebut berjodol "al-La Madzhabiyyah akhtharu bid`atin tuhaddidusy Syarii`atal Islamiyyah" (Bebas Mazhab bid`ah yang paling bahaya yang meruntuhkan Syariat Islam). Eloklah sesiapa yang ingin mengetahui berhubung bahaya ini membaca dan mentelaah karya ulama Syria ini dengan hati yang bersih dan ikhlas untuk mencari kebenaran. Rasanya telah ada pun terjemahannya dalam Bahasa Melayu, tapi kepada yang nak jadi mujtahid kenalah baca yang asal dalam Bahasa `Arab. Cam ne nak jadi mujtahid kalau masih bertaqlid dengan terjemahan orang lain!!!!!

Realiti dari sejarah telah membuktikan bahawa Islam dahulunya berkembang dan gemilang di bawah tangan mereka - mereka yang bermazhab dan sufi. Seruan agar pintu ijtihad dibuka luas hatta kepada golongan awam yang fatihah pun lintang-pukang adalah seruan yang diterbitkan oleh musuh-musuh Islam untuk memusnahkan perpaduan umat. Jelas kesannya, umat mula berpecah belah sesama sendiri, sehingga mereka bergaduh isu remeh temeh, dan meninggalkan pembangunan dalam bidang-bidang lain. Apa tidaknya, bila ahli ekonomi dan perbankan sibuk membicarakan hukum-hukum khilaf mazhab dan meninggalkan bidang ekonomi dan perbankan yang sepatutnya mereka bangun. Sayang sekali "ijtihad" mereka digunakan dalam perkara-perkara yang telah diijtihadkan oleh para ulama mujtahidin yang terdahulu. Sungguh ijtihad para juhala` itu lebih berbahaya dari taqlidnya mereka kepada ulama yang mujtahid. Marilah kita merenungi sepotong hadits yang diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" yang walaupun dinilai sebagai dhoif oleh para muhadditsin tetapi ianya memiliki makna yang shohih yang tidak bercanggah dengan roh syariat Islam. Tambahan pula ianya turut dinukil oleh para muhadits lain dalam karya-karya mereka seperti oleh Imam as-Sayuthi dalam "al-Jami`ush Shoghir fi ahaaditsil Basyirin Nadzir" iaitu hadits yang ke - 11. Tidaklah kita pedulikan penilaian al-Albani yang memaudhu`kan hadits ini, kerana jika dia yang memaudhu`kannya, maka ada ulama lain yang tidak mengeluarkannya dari senarai hadits walaupun dinilaikan sebagai dhoif. Jika al-Albani berhak untuk berijtihad bahawa hadits tersebut maudhu`, maka apa pula yang menegah para muhaddits terdahulu berijtihad untuk tidak memaudhu`kan riwayat tersebut. Berbalik kepada sabdaan tersebut, maka Junjungan Nabi s.a.w. diriwayatkan sebagai bersabda:-

Penyakit / Kebinasaan bagi agama itu ada tiga: (i) faqih yang fajir; (ii) pemimpin yang jahat; dan (iii) mujtahid yang jahil.
Tanpa memperhatikan kepada sanad hadits di atas, adakah kita tidak setuju bahawa mujtahid yang jahil itu membinasakan agama? Bukankah yang dinyatakan itu adalah satu kebenaran yang tidak boleh ditolak. Semoga Allah merahmati semua mujtahid yang benar-benar layak berijtihad dan dibersihkanNya umat ini dari segala fitnah yang timbul daripada mujtahid-mujtahid gadungan.

**********************************************************************
Pahlawan agama yang bermazhab dan berjasa mendaulatkan Islam

1 ulasan:

asrill berkata...

Assalaimukalaikum wbt, tuan pentadbir . Saya mencari buku Allahyarham bekas Mufti Sabah, hampir setahun baru jumpa dalam minggu lepas. Tahun lepas, saya lihat di surau, tapi takkan nak pinjam. Terusan mencari. Hinggalah menjumpai. Alhamdulillah, kepada keluarga allahyarham, semoga kalian sentiasa dibawah rahmatNya. Amin.