Ahad, Jun 07, 2009

Bid`ah Yang Sesat - Syaikh 'Utsman

Beramal secara lazim dengan salah satu mazhab yang empat telah menjadi amalan dan pegangan majoriti umat Islam sejak pembukuan dan pembentukan mazhab-mazhab tersebut dahulu lagi. Ianya bukan sahaja menjadi amalan kalangan awam umat Islam tetapi juga amalan dan pegangan pemuka dan ulama mereka. Adalah sesuatu yang pelik, jika setelah 1000 tahun, lebih kurang, maka timbul golongan yang mengharamkan kita berpegang dengan mazhab sedangkan kita masih tergolong dalam kategori orang awam. Insya-Allah, kita akan cuba membawa nukilan daripada para ulama kita yang kepercayaan berhubung masalah berpegang dengan mazhab ini. Kali ini kita lihat sedikit pandangan tuan guru yang amat `alim, pengasas pondok pengajian yang terbilang, wali Allah yang mustajab doanya, Syaikh 'Utsman Jalaluddin Penanti, pengasas Pondok Penanti @ Madrasah Manaabi`ul 'Uluum wa Mathaali`un Nujuum. Maka berkatalah tuan guru rahimahUllah dalam karangannya "Mathaali`ul Anwaar wa Majaami`ul Azhaar" juzuk pertama halaman 60 seperti berikut:-
"Bermula segala Imam yang empat itu, mereka itulah segala Imam bagi jumhur ulama yang dibangsakan kepada Islam, yang ialah yang telah dimasyhurkan segala mazhab mereka itu dan telah dihimpunkan dia dan telah dikekal akan dia hingga akhir zaman.

Adapun yang lain daripada mereka, maka hampir lebih daripada 100 daripada imam-imam yang mujtahid yang mutlak, akan tetapi tiada harus bagi kita bahawa mentaqlid akan mereka itu kerana segala mazhab mereka itu tiada dihimpunkan dia dan tiada ada pula orang-orang yang menolong akan dia daripada segala sahabat-sahabat bagi mereka itu. Maka menjadi matilah oleh segala mazhab mereka itu.

....... dan sanya lagi akan datang bahawasanya telah ijma` ulama daripada empat mazhab atas bahawa orang-orang yang keluar daripada mazhab yang empat ialah bid`ah yang sesat, wal `iyaadzubillahi min dzalik. Dan lagi akan datang kami hendak menyebut akan dalil-dalil dan akan qarinah-qarinah di atas benar dan betul bagi mazhab yang empat itu dan dalil - dalil bagi ketiadaan harus bagi kita keluar daripada mazhab yang empat itu pada masa kita ini kerana terputus mujtahid yang mutlak kemudian daripada 400 (tahun) daripada hijrah...."
Sudah tentu apa yang dinyatakan oleh Syaikh 'Utsman adalah bagi orang awam setelah pembukuan mazhab yang empat tersebut. Manakala bagi orang yang telah mencapai darjat ijtihad, maka hendaklah mereka beramal dengan ijtihad mereka. Jadi janganlah suka membid`ahkan pengikut mana-mana mazhab yang empat dan jangan pula suka menjadi pengamal mazhab yang kelima, iaitu mazhab caca merba, mazhab campur-campur atas nama tarjih atau sebagainya, tanpa alasan dan sebab yang munasabah, tanpa menjaga dan mempedulikan syarat - masyruth, usul dan kaedah yang digunapakai dalam mazhab-mazhab tersebut.

2 ulasan:

T H E . M A L A Y . P R E S S berkata...

setelah 1000...bermakna dalam tempoh 1000 tahun itulah puak2 ni mencari jalan terbaik untuk merosakkan aqidah umat Islam - 'infiltration in Islam' by using the Islam itself.

al-fagir abu zahrah berkata...

salam, apa sidi punya kitab syaikh utsman jalaluddin penanti ni? kalau ada ambo nak lah secopy :)