Rabu, Jun 03, 2009

Mufti Pertama Singapura

Haji Mohd. Sanusi bin Haji Mahmood bin Abdul Rahim lahir di Singapura tanggal 3 Syawwal 1326H bersamaan 8 Oktober 1909. Beliau memulakan persekolahannya dalam aliran Inggeris di mana dalam tahun 1930 beliau lulus Senior Cambridge di Raffles Institution. Memandangkan kepada minatnya mendalam dalam pengajian agama, beliau telah belajar bahasa `Arab dengan Syaikh Haji Abdul Rahman Siddiq, ulama terbilang keturunan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang menjadi Mufti Kerajaan Inderagiri, Sumatera.

Pada tahun 1933, beliau berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan fardhu haji dan mendalami ilmu agamanya. Di sana beliau berguru dengan Syaikh Muhammad Amin al-Kutbi, Sayyid `Alwi al-Maliki, Syaikh Hasan Masyath, Syaikh Husain Palembang dan Syaikh `Abdul Hamid Banjar. Kesungguhannya untuk meneruskan pengajian agamanya akhirnya membawa beliau menjejakkan kaki ke Universiti al-Azhar pada tahun 1936. Beliau menerima syahadah al-ahliyyah daripada Universiti al-Azhar pada tahun 1938 dan menerima pula syahadah al-`alimiyyah dalam tahun 1940. Beliau meneruskan pengajiannya dengan para masyaikh di Mesir sehinggalah beliau pulang ke Singapura pada tahun 1947. Di Singapura beliau bekerja menjadi penterjemah dan kemudian menjadi Setiausaha Bersekutu Majlis Penasihat Islam Singapura. Beliau kembali ke Makkah pada tahun 1948 dan seterusnya ke Mesir pada tahun 1951 untuk berkhidmat menjadi kerani dan penolong attache kebudayaan di Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Beliau pulang semula ke Singapura pada tahun 1958 dan pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Qadhi Mahkamah Syariah Singapura. 1 Januari 1960, beliau menjawat jawatan Presiden Mahkamah Syariah Singapura. Pada tahun 1969, beliau dilantik menjadi Mufti Singapura yang pertama, jawatan yang dijawatnya sehingga 31 Januari 1971.

Beliau meninggalkan beberapa karya antaranya "Kamus Istilah Islamiah Sanusi", "Taman Mu'minin" dan "Mengenal Islam dan Hubungannya Dengan Sains & Teknologi". "Taman Mu'minin" adalah karya beliau yang menghimpunkan hadits-hadits pilihan yang diberi syarah yang ringkas mengenai kemasyarakatan dan kehidupan seharian setiap orang mu'min. Hadits yang pertama dimuatkan dalam karya beliau ini adalah hadits mengenai bid`ah yang masyhur itu. Dalam komentarnya, beliau menyatakan bahawa kalimah "Kullu" itu membawa dua makna, iaitu "al-jamii`" dan "al-majmuu`". Ikhwah bolehlah baca penjelasan beliau yang ese bubuh di bawah nanti. Moga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau di kalangan sholihin. .... al-Fatihah.


************************************

2 ulasan:

Us Harun berkata...

Assalamualaikum Abu Muhamamad..

Kalau tuan ada menyimpan buku "Taman Mukminin" tu, boleh x saya nak minta buat salinan. Atau pun ia masih byk terjual di kedai2. Syukran Tuan...

Harun (harunza@gmail.com)

Abu Muhammad berkata...

Wa 'alaikumus salam.

Insya-Allah, sila berikan alamatnya samada di sini atau emelkan kat abumuhdhusna@gmail.com