Jumaat, Jun 05, 2009

Sholawat al-Fatih


Sholawat al-Fatih adalah salah satu lafaz sholawat yang masyhur diamalkan. Sholawat ini dinisbahkan kepada dua orang wali yang besar, pertamanya kepada Sulthanul Awliya` Syaikh 'Abdul Qadir al-Jilani r.a. dan yang kedua ialah kepada Quthubusy Syaikh Muhammad al-Bakri r.a. Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan beberapa ulama lain seperti Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani menisbahkan sholawat ini kepada Syaikh Abdul Qadir, manakala ramai ulama lain seperti Syaikh Ahmad ash-Showi al-Maliki menisbahkannya kepada Syaikh Muhammad al-Bakri. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam karyanya "Afdhalush Sholaawat 'ala Sayyidis Saadat" menyatakan bahawa menurut Syaikh Ahmad ash-Showi, Syaikh 'Abdul Rahman al-Kabir al-Kuzbari rahimahUllah, ahli hadits terbilang negeri Syam, telah menisbahkan Sholawat al-Fatih ini kepada Syaikh Muhammad al-Bakri dan penisbahan inilah yang nampaknya yang lebih kuat.

Sholawat al-Fatih sebagaimana di atas adalah lafaz yang biasa diamalkan sebagai wirid oleh pengamal Thoriqah Tijaniyyah, di samping itu terdapat juga lafaz-lafaz lain dengan perbezaan kecil. Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani menulis dalam karya beliau "al-Jawharul Mawhub wa Munabbihaatul Quluub":-
Telah menyebut oleh kebanyakan daripada ariffin bahawasanya sholawat ini bagi membukakan asrar dan yang ajaib-ajaib yang terhairan oleh akal. Barangsiapa mengekali atasnya tiap-tiap hari seratus (100 ) kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah ta`ala.
Kalam Syaikh Wan 'Ali ini dinukil beliau daripada perkataan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan dan Sidi Ahmad turut menyatakan bahawa sholawat ini bermanfaat bagi semua peringkat. Oleh itu wajar dilazimi agar memperolehi keberkatannya.

*********************************************
Bacaan Sholawat Fatih oleh Syaikh Hasan Cisse



1 ulasan:

mizi_ berkata...

assalamu alaikum

Sebahagian dari salawat ini telah di riwayatkan dari Sayyidina Ali Karamullah wajhah dalam satu hadith dalam kitab al-Shifa' oleh Qadhi 'Iyadh al-yahsubi.

Semasa mi'raj ALLAH ta'ala telah mengurniakan kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam
' pembuka dan pengkhatam '

(ja'altuka fatihah wa khatiman)
lihat kitab shifa'