Khamis, Ogos 20, 2009

Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf

Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf rahimahUllah dilahirkan di Kota Pekalongan, Jawa Tengah tetapi membesar di Kota Palembang. Sedari kecil beliau diasuh oleh waliyullah Habib Ahmad bin 'Abdullah bin Thalib al-'Aththas. Pada usia 7 tahun, beliau dihantar ke Hadhramaut untuk mendalami ilmu agamanya dengan para ulama di sana. Antara yang menjadi guru beliau adalah Shohibul Mawlid Simthud Durar, Habib 'Ali al-Habsyi rahimahUllah dan Habib 'Alwi bin 'Abdullah asy-Syahab rahimahUllah.

Habib Ahmad telah menjalani jalan tasawwuf dari kecil lagi dengan melakukan mujahadah dan riyadhah dengan disiplin yang tinggi. Beliau pulang ke Indonesia setelah menghabiskan masa 10 tahun belajar di Hadhramaut. Sekembalinya ke Indonesia, meskipun masih berusia muda, beliau telah terkenal sebagai seorang ulama yang zuhud dan khumul. Di Indonesia, beliau menjalankan kegiatan dakwah dan membuka majlis taklim di berbagai tempat Antara yang berkesempatan menjadi murid beliau adalah Habib Salim bin Ahmad BinJindan, Habib 'Alwi bin Ahmad Bahsin dan Habib Syaikhan al-Ghathmir yang akhirnya menjadi daie dan ulama yang terkenal. Ketinggian ilmunya Habib Ahmad turut mendapat pengiktirafan daripada waliyullah yang masyhur, Habib 'Alwi bin Muhammad al-Haddad @ Habib Kramat Empang Bogor rahimahUllah.

Selain berdakwah dan menyebarkan ilmu, beliau juga amat kuat melakukan amalan-amalan lain. Wirid sholawat beliau sahaja adalah 100,000 kali sehari. Adakah orang yang mengaku-ngaku mengikut sunnah dan menolak bid`ah ada bersholawat ke atas Shohibus Sunnah sebanyak itu. Ini belum lagi qiyam dan shiyamnya beliau ... Allahu ... Allah. Tatacara beliau menjalani kehidupan zuhud dengan menjauhi berlazat-lazat dengan nikmat duniawi yang sementara amat luar biasa sehingga beliau terkenal dengan kata-kata:-
Aku belum hendak bersenang-senang sebelum aku tahu:-
  1. Apakah aku akan mengucap kalimah tauhid di akhir hayatku?
  2. Apakah aku akan selamat dari siksa kubur?
  3. Apakah timbangan amalku akan lebih berat dari dosaku?
  4. Apakah aku akan selamat dari jembatan shirathal mustaqim?
Soalan-soalan inilah menyebabkan Habib Ahmad rahimahUllah tidak memandang kepada kenikmatan dunia yang sementara ini. Habib Ahmad al-Kaf menghembuskan nafas terakhir beliau di Kota Palembang pada 25 Jamadil Akhir 1375H / 25 Jun 1956 Masihi. Mudah-mudahan Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan kasihsayangNya kepada beliau dan leluhur beliau serta sekalian muslimin dan muslimat. Moga kita mendapat keberkahan daripada beliau dan nenda beliau, Junjungan Nabi SAW .... al-Fatihah.

**********************************************************
Sholawat dinisbahkan kepada Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf

Ya Allah, limpahkanlah sholawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad, sholawat yang dengan keberkatannya Engkau penuhkan hatiku dengan nur, kebaikan dan kegembiraan; Dan dengan keberkatannya Engkau rezekikan aku akan rezeki yang luas mencurah-curah; Limpahkanlah juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda beserta salam kesejahteraan sebanyak bilangannya segala sesuatu.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam. Minta izin mengamalkan shalawat Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf seperti di atas. Wassalam.