Isnin, Oktober 19, 2009

Hikayat Angkat Suara

Imam Bukhari rahimahUllah dalam kitab Shohihnya meriwayatkan bahawa pernah dalam satu peperangan antara kaum muslimin dengan pihak kaum musyrikin, ada seorang lelaki yang berada dalam barisan kaum Muslimin yang begitu hebat memerangi kaum musyrikin. Kehebatannya berjuang amat mengkagumkan, akan tetapi Junjungan Nabi SAW tatkala melihat kepada lelaki tersebut telah menyatakan bahawa dia adalah ahli neraka. Maka kelakuan lelaki tersebut telah diperhatikan oleh sebahagian sahabat dan didapati bahawa lelaki yang begitu hebat melawan kaum musyrikin tersebut telah membunuh dirinya apabila tidak tahan menanggung kecederaan yang dialaminya dalam peperangan tersebut. Maka benarlah sabdaan Junjungan Nabi SAW bahawa lelaki itu menjadi ahli neraka. Junjungan diriwayatkan bersabda: "Bahawasanya ada hamba Allah yang beramal dengan apa yang dilihat oleh manusia sebagai amalan ahli syurga, sedangkan sebenarnya dia adalah ahli neraka. Dan ada pula yang beramal dengan apa yang dilihat oleh manusia sebagai amalan ahli neraka, sedangkan dia adalah ahli syurga. Sesungguhnya segala amalan itu dikira dengan kesudahannya."

Allahu ... Allah, inilah hadits yang amat menakutkan kita. Ketahuilah bahawa walaupun kita kini beramal dengan berbagai amalan sholeh, tetapi kita tidak tahu bagaimana kesudahan kita nanti. Adakah akan berterusan serta meningkat ataupun akan surut dan akhirnya hilang? Berapa ramai orang yang dahulunya sewaktu belajar, amalan sholehnya subhanAllah, qiyamullailnya tak pernah tinggal, tetapi setelah punya kerjaya, sholat 5 waktu yang fardhu pun dah tak menentu.. Allahu ... Allah. Dan tidak kurang yang kita lihat, orang yang dahulunya perangainya setan pun tabik, tetapi akhirnya diberikan keinsafan, sukakan ilmu dan ulama serta beramal dengan amalan-amalan sholeh. Sungguh benar kata-kata yang sering diucapkan oleh 'ami Salim Syihab hafizahUllah, murid Buya Maliki rahimahUllah di Pontianak: Baik jadi mantan penjahat daripada jadi mantan orang sholeh. Oleh itu, jika kita telah sedikit sebanyak melaksanakan amalan-amalan sholeh, janganlah berbangga dan jangan sekali-kali merasa aman daripada suul khatimah. Sungguh dikatakan bahawa tanda-tanda seseorang itu bakal mendapat suul khatimah apabila dia telah terlalu yakin atau omputih kata udah overconfidence yang dia akan mati husnul khatimah. Ini adalah kerana apabila timbul perasaan tersebut, dia akan lupa dan merasa aman daripada makrallah menjadikannya sasaran mudah bagi setan dan nafsu sehingga akhirnya bukan husnul khatimah yang diperolehi tetapi suul khatimah. Oleh itu jangan lupa pada firmannya Allah SWT dalam surah al-A'raaf ayat 99 yang berbunyi:-

Dan juga hendaklah kita sentiasa ingat akan sabdaan Junjungan SAW:-

Maka tersebutlah satu kisah di mana seorang yang hidupnya atas maksiat tetapi akhirnya mendapat rahmat dan hidayah Allah SWT sehingga memperolehi husnul khatimah, mati dalam keadaan diberikan kesempatan bertaubat berkat sholawat atas Junjungan Nabi SAW. Kisah ini tercatat pada halaman 361 kitab "Nuzhatul Majalis" karya Syaikh 'Abdul Rahman ash-Shafuri asy- Syafi`i rahimahUllah, seperti berikut:-

Hikayat: telah berkata sebahagian orang sholeh: Adalah bagiku seorang jiran yang suka melampaui batas, maka aku telah menyuruhnya bertaubat, tetapi tidak endahkannya (yakni setakat pengetahuan orang yang bercerita tersebut). Apabila dia mati, aku telah bermimpi melihatnya di dalam syurga. Maka aku bertanya kepadanya: "Dengan apa engkau mencapai kedudukan ini?" Dia menjawab: "Aku telah hadir pengajian seorang ahli hadits dan aku mendengar beliau menyatakan bahawa sesiapa yang meninggikan suaranya dengan ucapan sholawat ke atas Rasulullah s.a.w. wajib baginya syurga. Lalu aku pun mengangkatkan suaraku dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW dan ikut sama mengangkat suara akan segala yang hadir, maka Allah telah mengampuni kami sekalian.

Syaikh Wan Ahmad bin Musthofa al-Fathani rahimahUllah dalam karyanya "Hadiiqatul Azhaar war Riyaahiin" menukil satu kisah tersebut seperti berikut:-
... Dihikayatkan bahawasanya berkata setengah daripada ahli tashawwuf: "Adalah bagiku seorang yang berhampir rumahnya dengan rumahku yang melampaui atas dirinya dengan maksiat. Tiada diketahui ia akan hari yang ia ada padanya daripada kemarinnya daripada bersangatan mabuknya. Dan adalah aku mengajarkan dia dan menasihatkan dia, maka tiada ia terima dan aku suruhkan dia dengan taubat, maka tiada ia taubat. Maka tatkala mati ia, aku lihatkan dia di dalam mimpiku ia pada setinggi-tinggi tempat dan atasnya pakaian yang hijau daripada pakaian syurga iaitu pakaian kemuliaan dan kebesaran. Maka kataku baginya: `Dengan apa sebab engkau dapat akan martabat yang tinggi?' Katanya: `Hadir ku pada satu ketika akan majlis zikir, maka aku dengar akan orang 'alim yang ada di situ berkata ia: "Barangsiapa sholawat ia atas Nabi s.a.w. dan mengangkatkan suaranya nescaya wajiblah baginya syurga," dan mengangkat orang 'alim itu akan suaranya dengan sholawat atas Nabi dan mengangkatku dan sekalian yang hadirin akan suara mereka itu sekalian, maka diampunkan bagi kami sekalian pada hari itu, dan adalah habuanku daripada ampunan dan rahmat itu bahawa memurah Allah ta`ala atasku ini ni'mat.
Allahu .. Allah, tidaklah mustahil bagi Allah untuk memberikan hidayahnya kepada seseorang hambanya untuk bertaubat dan kembali kepadaNya hatta sebelum hamba tersebut menemui ajalnya. Sungguh, pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi seseorang hamba sehinggalah terjadi salah satu dari dua perkara, pertama bila nyawa sudah di tenggorokan dan kedua, pabila matahari terbit dari sebelah barat. Selagi hayat di kandung badan, maka selagi itulah peluang bertaubat masih terbuka luas bagi sesiapa yang ingat bertaubat. Maka janganlah dipersia-siakan, sesungguhnya dalam hadits telah disebut bahawa setiap amalan itu dikira pada kesudahannya. Untuk pengetahuan, kisah yang sama sebagaimana disebut dalam "Nuzhatul Majalis" turut dinukil oleh Raisul Muhadditsin 'Allaamah Maulana Muhammad Zakaria dalam "Fadhail-e-Darood" yang diterjemahkan dengan jodol "Fadhilat Shalawat" pada halaman 156. Sayogia saudara-saudari, khasnya para karkun dan mastura, membaca karya mawlana tersebut agar bertambah kesungguhan kita bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW.

Kisah tersebut pastinya bukan untuk menyuruh orang berbuat maksiat, tetapi menyuruh agar yang berbuat maksiat tetap menaruh harapan untuk kembali ke jalan Allah serta memperolehi rahmatNya, selagi ada hayat dikandung badan. Wahai ahli-ahli maksiat, kembalilah kamu ke jalanNya. Sungguh Allah SWT tetap menerima kamu, jika taubatmu tulus kepadaNya. Oleh itu, marilah kita angkat suara untuk tatkala sholawat ke atas Junjungan teristimewanya dalam majlis-majlis sholawat dan mawlid. Angkatlah suara tu pabila mendengar nama Junjungan SAW disebut, jangan malu-malu, biar meriah dan hidup majlis memperingati dan membesarkan Junjungan SAW. Ingat angkat suara tau, bukan angkat kaki, kalau angkat kaki itu mungkin dah terkena virus Wahabi.... maaf cakap.

******************************************************
Bacaan Taslim oleh Syaikh Abdul Basith rahimahUllah

video

2 ulasan:

abuhusnie berkata...

Salam, minta izin copy.

abuhusnie berkata...

Salam, minta izin untuk copy