Khamis, Februari 25, 2010

Jom Mawlid ....

Alhamdulillah, Mawlid ad-Dhiya-ul Lami' karya al-Habib 'Umar BinHafiz telah mulai berkumandang di merata tempat. Karya mawlid walaupun ringkas tetapi berisi padat serta dengan gaya bahasa yang amat menawan hati. Keindahan dan sir yang ada dalam mawlid tersebut pasti akan dapat dirasai oleh yang benar-benar menghayati bait-baitnya. Walaupun begitu, janganlah pula kita mengabaikan karya-karya mawlid lain yang telah ada sebelumnya dan yang telah sekian lama dibaca serta diamalkan di rantau kita, istimewanya seperti Mawlid ad-Diba`ie, Mawlid al-Barzanji, Mawlid Simthud Durar dan Mawlid al-'Azab. Biarlah kita memperolehi segala asrar dan doa para awliya` yang terkandung dalam karya-karya mawlid tersebut. Sentiasalah bersikap tawadhu dengan mengandalkan doa para awliya dan shulaha` berbanding doa diri kita yang hina ini. Janganlah bersikap sombong dan merasa berpada dengan amalan sendiri, nanti kita akan kerugian.

Berbalik kepada majlis mawlid, maka ese nukilkan penerangan Imam Ibnul Jawzi rahimahUllah mengenai keistimewaan majlis di mana sholawat dan salam diucapkan ke atas Sayyidina Muhammad SAW. Untuk pengetahuan, Imam Ibnul Jawzi adalah seorang ulama besar, muffasir dan muhaddits yang bermazhab Hanbali. Beliau yang nama penuhnya al-Imam al-'Allaamah al-Haafiz 'Abdur Rahman bin Abul Hasan 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin 'Ubaidillah al-Baghdadi al-Hanbali dilahirkan kira-kira dalam tahun 510H dan wafat pada 13 Ramadhan 597H. Beliau meninggalkan banyak karangan sehingga dikatakan melebihi 400 buah karangan. Imam Ibnul Jawzi al-Hanbali rahimahUllah menulis dalam karya beliau "Bustaanul Waa`idhziin Wa Riyaadhus Saami`iin" pada halaman 293 sebagai berikut:-

Keharuman Majlis Sholawat Nabi

Telah diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Tidak duduk (yakni hadir) sesuatu kaum dalam sebuah majlis kemudian mereka berpisah atau bersurai tanpa bersholawat ke atasku melainkan perpisahan mereka itu atas bau busuk bangkai himar." Apabila saja sesuatu majlis di mana para hadirin yang menghadirinya tidak bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW di dalamnya, akan menyebabkan mereka berpisah atau bersurai atas bau busuk bangkai himar (keldai), maka tidaklah menghairankan jika majlis yang di dalamnya diucapkan ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW akan menyebabkan para hadirin yang menghadirinya mendapat bau wangi yang paling harum dan paling baik. Dan yang sedemikian itu adalah kerana Junjungan Nabi SAW adalah makhluk yang terbaik dan yang paling suci, yang mana apabila Junjungan SAW bersabda dalam sesuatu majlis, nescaya penuhlah majlis tersebut dengan bau harum mewangi semerbak kasturi. Maka demikianlah juga pada majlis yang disebut di dalamnya akan Junjungan Nabi SAW (yakni dengan bersholawat, mendengar hadis-hadis Junjungan SAW, mendengar ajaran-ajaran Junjungan SAW dan mendengar sirah atau kisah-kisah yang berkaitan dengan Junjungan SAW), nescaya akan terbitlah bau harum semerbak mewangi yang menembusi tujuh petala langit hinggalah ke arasy, keharumannya dicium oleh segala makhluk Allah ta`ala yang di bumi selain daripada jin dan manusia. Kalaulah manusia dan jin dapat mencium bau harum tersebut, nescaya lupalah mereka akan segala urusan penghidupan mereka, kerana terlalu sibuk meni'mati kelazatan dan keni'matan bau harum tersebut. Manakala, setiap malaikat dan makhluk Allah ta`ala selain jin dan manusia, yang mencium bau harum tersebut akan berdoa memohon keampunan untuk orang-orang yang hadir dalam majlis tersebut, dan akan dituliskan bagi mereka yang hadir itu pahala sebanyak bilangan makhluk Allah ta`ala yang mencium bau harum tersebut serta diangkat darjat mereka menurut bilangan makhluk-makhluk tersebut. Maka setiap orang masing-masing akan mendapat pahala yang sedemikian tadi tanpa mengira berapa jumlah mereka yang berhimpun dalam majlis tersebut, sama ada hanya seorang ataupun seratus ribu orang, dan apa yang ada di sisi Allah daripada pahala dan ganjaran adalah terlebih banyak lagi. Maka wahai pencinta-pencinta Rasulullah SAW hendaklah kamu bersholawat ke atas Sang Kekasih nescaya Allah Tuhan yang Maha Tinggi akan memberikan kamu minuman kerohanian penghubung kasih, memakaikan kamu dengan pakaian keindahan dan kesempurnaan serta menghiasi kamu dengan kitabnya yang mulia.
Perkataan Imam Ibnul Jawzi ini turut dipetik Buya Habib Muhammad al-Maliki rahimahUllah dalam karya beliau "Ma-dza fi Sya'baan" pada mukasurat 38 - 39. Maka janganlah bermalas-malas untuk menghadirkan diri kita dalam majlis di mana Junjungan Nabi SAW dipuji, disebut, disanjung, dicerita, dikisah, disholawatkan serta diutus ucapan salam kesejahteraan. Sesungguhnya setiap masa dan ketika kita mengharapkan rahmat Allah SWT dan syafaat Junjungan Rasulullah SAW.

****************************************************
Mawlid ad-Dhiya ul-Lami'

1 ulasan:

azizi berkata...

Assalamualaikum Sidi Abu Muhammad,
Mana boleh saya dapatkan rakaman maulid dhiya' al-lami' ini?

Terima kasih.