Isnin, Februari 15, 2010

Marhaban Ya HabibAllah

Bulan kelahiran Junjungan Nabi SAW menjelang lagi. Sebagai umat baginda, sewajarnya kita bersungguh-sungguh bersyukur atas kelahiran baginda yang menjadi pembimbing dan penunjuk kita ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Menjadi umat Junjungan Nabi SAW adalah satu nikmat besar yang dianugerahkan kepada kita. Nian besarnya nikmat ini sehingga nabi besar Bani Israil, Sayyidina Musa AS, memohon untuk dijadikan sebagai umat Baginda Muhammad SAW. Maka kenapa kita jarang atau mungkin tidak mensyukuri nikmat ini ? ... Allahu .. Allah.

Marilah kita mempertingkatkan lagi kecintaan dan kerinduan kita kepada Junjungan Nabi SAW bersempena dengan bulan kelahiran baginda ini. Kita penuhkanlah masa kita yang banyak lapang itu dengan memeriahkan majlis-majlis mawlid, majlis-majlis di mana Junjungan Nabi SAW menjadi tajuk utama, majlis - majlis di mana sholawat dan salam dilantunkan, majlis-majlis di mana sirah dan madaih kepada Junjungan Nabi SAW dibacakan, majlis-majlis di mana akhlak dan keperibadian serta sunnah baginda diceritakan untuk dijadikan panduan. Mudah-mudahan kecintaan kita bertambah, dan terlebih penting moga kita mendapat kecintaan Baginda Muhammad SAW.

Tika kelahiran baginda
ke dunia nyata
zaman tersenyum gembira
seluruh alam bersukaria

Hanya Iblis durjana
dan syaitan - syaitan pengikutnya
bermuram duka

Kenapa pula antara kita
yang mengaku umat baginda
ada yang gusar serta duka
pabila melihat saudara-saudara seagama
menyambut gembira kelahiran baginda
memperingati kelahiran baginda
membesarkan kelahiran baginda
mentakzimkan kelahiran baginda
dengan sholawat atas baginda
dengan mendengar sirah baginda
dengan memuji-muja baginda
dengan menghayati sunnah baginda
Semuanya dengan penuh kesyukuran pada Yang Esa

Adakah telah terpedaya ia
dengan hasutan Iblis durjana
yang atas kelahiran baginda berdukacita ?


***************************************
Salam Untuk Junjungan

video

Tiada ulasan: