Rabu, Mac 03, 2010

Datuk Abdul Kadir Hassan

Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan rahimahUllah dilahirkan di Kampung Patingan @ Kampung No.6, Kuching, Sarawak pada 6 Ogos 1928 / 28 Safar 1347. Pendidikan formal beliau bermula di SRK Merpati Jepang (sekolah se jugak ni) sehingga Standard 4, kemudian beliau ke Madrasah Melayu. Di samping belajar di sekolah, beliau memperdalamkan lagi ilmu-ilmu agama dengan para ulama tempatan, antaranya, Guru Sulong bin Hussin, Tuan Guru Haji Yusuf bin Abdul Ghani. Datuk Abdul Kadir kemudiannya memasuki Madrasah al-'Arabiah al-Islamiah, sebuah sekolah 'Arab yang diasaskan oleh Datu Imam Tuan Guru Haji Abang Murshidi, sebelum melanjutkan pelajarannya ke Madrasah al-Juneid, Singapura. Antara guru-guru beliau yang lain adalah Ustaz Sharkawi bin Syaikh Othman, Syaikh Syazali bin Syaikh Othman, Syaikh Zainuddin bin Syaikh Othman (mereka ini adalah anak-anak Syaikh Othman Sarawak) dan ramai lagi ulama yang mengajar di Madrasah al-Islamiah dan Madrasah al-Juneid.

Setelah tamat di Madrasah al-Juneid, Datuk Abdul Kadir telah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Latihan Polis Singapura. Beliau juga giat berdakwah di merata masjid di Singapura dan sering dijemput menyampaikan khutbah di Masjid Sultan. Menyedari bahawa beliau perlu memberi sumbangan kepada masyarakat Sarawak yang lebih memerlukan khidmatnya, beliau meninggalkan kariernya di Singapura untuk pulang ke tanahair. Di Sarawak, beliau meneruskan tugasnya sebagai guru agama dan terus giat berdakwah. Di samping itu, beliau tetap berusaha untuk melanjutkan pengajian agamanya ke peringkat yang lebih tinggi, dan akhirnya dengan bantuan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini, beliau telah diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya ke Kolej Islam Malaya. Antara guru-gurunya di sana adalah Tan Sri Muhammad Abdul Rauf, Tan Sri Jalil Hasan, Ustaz Zulkifli Muhammad, Dr. Zaki Badawi dan Ustaz Nik Mohd. Mahyuddin. Setelah tamat pengajian di Kolej Islam pada tahun 1959, hasrat beliau untuk melanjutkan lagi pengajian ke Universiti al-Azhar terhalang kerana dasar kerajaan penjajah British pada masa itu yang tidak mahu pelajar-pelajar dihantar ke Mesir kerana waktu itu Mesir diperintah oleh Presiden Gamal Abdul Nasir.

Namun segalanya tidak menjejaskan semangat dan kegigihan beliau untuk terus mempertingkatkan ilmu agamanya. Dengan asas pendidikan agama yang kuat dan penguasaannya terhadap ilmu-ilmu alat, beliau sentiasa mentelaah kitab-kitab karya para ulama kita di samping sentiasa mengadakan muzakarah dengan sahabat-sahabat seperjuangan beliau dan ulama-ulama tempatan. Beliau juga amat teliti apabila memberikan jawapan terhadap sesuatu masalah berkaitan agama, dan sentiasa merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar seperti Sabilal Muhtadin, I`anatuth Tholibin dan Bughyatul Mustarsyidin. Kecintaannya kepada ilmu dan ulama sehingga beliau sanggup menyalin sendiri kitab-kitab yang tiada beredar dalam pasaran pada waktu tersebut.

Pada 1 Mei 1967, Datuk Abdul Kadir telah dilantik menjadi Mufti Negeri Sarawak. Perlantikannya itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. Majlis-majlis taklim beliau telah diteruskan, bahkan kelas pengajian kitab Sabilal Muhtadin di beberapa surau tetap diteruskan. Selain terkenal sebagai seorang ulama dan daie, Datuk Abdul Kadir juga boleh digolongkan sebagai seorang abid. Antara wirid beliau ialah membaca 3 juz al-Quran setiap hari dan setiap 10 hari beliau akan khatam seluruh al-Quran. Tahajjud dan qiyamullail sentiasa jadi amalan beliau di samping sholat dhuha yang dijadikannya rutin sebelum ke pejabat. Dalam bulan Ramadhan, beliau berpegang teguh dengan amalan berterawih 20 rakaat, walaupun ada trend pada masa tersebut di kalangan pemerintah yang gemar kepada terawih 8 rakaat. Beliau sanggup turun padang ke segenap pelusuk negeri untuk memperjelaskan kaifiat terawih dan sebab-sebab beliau menggalakkan ianya dilakukan 20 rakaat. Sungguhpun tegas dalam pendirian, beliau tetap mempunyai tasamuh yang tinggi. Beliau pernah dijemput menjadi imam terawih yang dilakukan oleh pendokong terawih 8 rakaat, beliau memenuhi jemputan tersebut tetapi setelah selesai 8 rakaat beliau mengundurkan diri dan meminta orang lain untuk mengimamkan witir. Beliau akan melanjutkan terawihnya kemudian. Inilah antara akhlak Datuk Abdul Kadir, beliau memang seorang yang lemah lembut dan tidak suka memaksa-maksa orang. Tutur katanya sungguh lembut sehingga menarik hati sesiapa yang berinteraksi dengan beliau hatta seorang budak kecil sekalipun.

Datuk Abdul Kadir telah kembali ke rahmatUllah pada hari Jumaat, 15 Januari 1988. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sentiasa ... al-Fatihah.

Fatwa Datuk Abdul Kadir mengenai Zikir Marhaban.

Soalan:-

Apa pandangan Islam terhadap zikir marhaban seperti diamalkan masyarakat Islam pada hari ini ?

Jawapan:-

  • Pada hakikatnya adalah merupakan sebagai puji-pujian dan mengucap salawat dan salam kepada Junjungan s.a.w.
  • Berdiri ketika sampai kepada bacaan Nabi dilahirkan lalu membawa "Marhaban Jaddal Husaini", "Ashraqal Badru 'Alaina" dan lain-lain seterusnya sebagai menghormati Nabi Muhammad s.a.w. adalah amalan-amalan yang baik dan tiada sekali-kali terlarang di dalam syarak, asal jangan berubah kalimat-kalimatnya yang boleh merosak makna.
  • Sayyid Zaini Dahlan, Mufti Besar Imam Syafiee di Mekah (wafat 1304H) berpendapat bahawa mengadakan Maulud Nabi dengan membaca kisah-kisah baginda dan berdiri dan membesarkan Nabi s.a.w. adalah suatu hal yang baik. Dan telah mengerja seperti itu banyak dari ulama-ulama yang menjadi ikutan Ummah. (I`anatuth Tholibin, Juz III halaman 363).
  • Imam Taqiyuddin as-Subki, seorang ulama yang terbesar dalam Mazhab asy-Syafiee (wafat tahun 657H) juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi.
  • Pendeknya tiadalah diragu-ragukan bahawa mengadakan Zikir Marhaban seperti yang berlaku di dalam masyarakat kita tiadalah sekali-kali tertegah dalam syarak malah ianya adalah termasuk di dalam pekerjaan yang baik.
******************************************

3 ulasan:

bingregory berkata...

Salam alaykum Ustaz. Another fascinating post! With your permission, I will post an English translation on my blog with links back to you. One question, do you mean here "(sekolah se jugak ni)" that this was your school also?

Abu Muhammad berkata...

wa 'alaikumus salam wa rahmatullah,

Yes, my primary school, 6 years in Merpati Jepang same class, one of Datuk Kadir's son is my classmate. In the evening we used to go to Datuk Kadir's house.

realShinJae berkata...

salam. dah 12 tahun meninggalkan sekolah 'madrasah' baru tahu siapa itu datuk haji abdul kadir hassan. how ignorant am i. nice posting though