Jumaat, April 23, 2010

Gandaan Pahala Sedekah

Allah asy-Syakur yang dengan kemurahanNya sentiasa memberi balasan yang berganda-ganda bagi setiap amalan hambaNya. Allah SWT juga telah menjadikan berbagai cara dan jalan agar hamba-hambaNya boleh menggandakan saham akhirat mereka. Oleh itu, kita selaku hamba yang dhoif lagi banyak dosa dan taqsir hendaklah sentiasa mencari-cari jalan agar amalan kebajikan kita dapat digandakan ganjarannya di akhirat nanti. Jangan hanya tahu mencari-cari jalan menggandakan saham - saham duniawi tetapi mengabaikan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat. Imam as-Sayuthi RHM menjelaskan bahawa sedekah seseorang boleh digandakan ganjarannya seperti berikut:-
  1. Sedekah yang diberi balasan 10 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada orang yang sihat tubuh badannya serta tidak berhajat kepada sedekah.
  2. Sedekah yang diberi balasan 90 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada orang buta dan orang yang terkena musibah (yakni yang perlukan bantuan).
  3. Sedekah yang diberi balasan 900 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada kerabat yang berhajat.
  4. Sedekah yang diberi balasan 100,000 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada ibubapa.
  5. Sedekah yang diberi balasan 900,000 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada orang alim atau faqih.
Inilah formula untuk menggandakan pahala setiap pemberian kita. Moga dimanfaatkan, jangan hanya pemurah dengan rakan - rakan tetapi kedekut dengan ibubapa sendiri. Hari-hari belanja kawan makan, tetapi ibubapa sendiri seposen haram pun tak merasa titik peluh kita .... Allahu ... Allah.

Khamis, April 08, 2010

Doa Habib Abdul Qadir

Telah menjadi kebiasaan para pencinta Junjungan Nabi SAW daripada kalangan ulama untuk mengungkapkan kecintaan mereka kepada Junjungan Nabi SAW melalui susunan indah kata-kata pujian dan sholawat atas Junjungan Nabi SAW. Perkara ini dilakukan sejak zaman para sahabat Junjungan Nabi SAW lagi, di mana kita dapati ada di antara para sahabat RA yang menyusun syair-syair dan lafaz-lafaz sholawat buat kekasih mereka Junjungan Nabi SAW. Mentelaah karya-karya silam, kita akan berjumpa dengan berbagai lafaz sholawat yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Ali RA atau Sayyidina Ibnu Ma`sud RA atau Sayyidina Ibnu 'Abbas RA dan lain-lain sahabat. Kemudian para tabi`in turut berbuat sedemikian, antara yang masyhur sighah sholawat yang dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i RA. Begitu jugalah dengan wiridan dan amalan-amalan lain seperti doa-doa dan zikir mentakzimkan Allah SWT. Mereka turut menyusun berbagai rupa dan gaya doa serta munajat kepada Ilahi. Perkara ini tiadalah diingkari melainkan oleh kelompok yang memandang agama ini dengan sempit. Tertolaklah akan perkataan ahli bid`ah yang kerjanya membid`ahkan orang yang menyusun lafaz-lafaz zikir, doa, munajat dan sholawat atas Junjungan Nabi SAW.

Dalam rangka memperingati pemergian al-Quthub al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf rhm. dinukilkan sebuah doa susunan al-Habib. Moga-moga ada manfaatnya bagi kita dan bagi al-Habib biarlah ianya menjadi antara amalan dan ilmu yang disebardan diwariskan bagi kita sekalian. ..... al-Fatihah


Selasa, April 06, 2010

Baqiyyatus Salaf

" البقاء لله "Yang kekal abadi hanya Allah. Maka malam Isnin kelmarin, setelah sholat maghrib almarhum Baqiyyatus Salaf wa Sayyidul Khalaf al-Quthub al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdur Rahman bin 'Ali bin 'Umar bin Saqqaf bin Muhammad bin 'Umar bin Thaha as - Saqqaf telah selamat dimakamkan di perkuburan Ma`ala, Makkah al-Mukarramah. Habib 'Abdul Qadir adalah seorang pendidik yang sejati, antara murid beliau adalah Habib 'Umar BinHafiz dan Habib 'Ali al-Jufri. Entah berapa ramai lagi yang telah tersentuh oleh beliau sehingga berubah menjadi pencinta Ilahi yang sejati. Sungguh beliau quthubnya umat ini, keprihatinannya buat umat Junjungan Nabi SAW sangat menyerlah dalam qasidah, munajat dan ibtihalat beliau. Beliau mewarisi bukan sahaja ilmunya para salaf tetapi juga akhlak dan ibadah mereka. Habib 'Ali al-Jufri pernah menceritakan bahawa akhlak dan kepribadian Junjungan Nabi SAW wujud pada diri Habib 'Abdul Qadir, yakni beliau menghidupkan segala sunnah, akhlak dan kepribadian kekasihnya Junjungan Nabi SAW dalam diri dan amalan beliau. Benar sungguh laqab "Baqiyyatus Salaf" yang diberikan kepada beliau, dan semoga beliau terus menjadi keberkatan bagi kita dan anak cucu kita sekalian... al-Fatihah.

Wajah ayahanda Habib 'Abdul Qadir,
Habib Ahmad bin 'Abdul Rahman as-Saqqaf,
ulama dan wali terbilang.


Align Centre*****************************************************
Cerita Syaikh Yahya Tentang Habib 'Abdul Qadir

video

Ahad, April 04, 2010

Belasungkawa

Subuh hari ini, Ahad, tanggal 19 Rabi`ul Akhir 1431H bersamaan 4 April 2010M menyaksikan pemergian almarhum almaghfurlah al-Habib al-Quthub 'Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdul Rahman as-Saqqaf rahimahUllah di Jeddah. Insya-Allah, jenazah almarhum akan disemayamkan selepas 'asar di Makkah al-Mukarramah. Moga-moga yang patah tumbuh, yang hilang berganti. Sama-samalah kita mendoakan pemergian almarhum dan memohon agar kita turut memperolehi keberkatan almarhum...... al-Fatihah.

اقرأوا على موتاكم يس