Rabu, Julai 28, 2010

Hidupkanlah Malam

Allah SWT Yang Maha Mulia berfirman dalam surah al-Israa` ayat 79 yang kira-kira bererti:- "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu - pada hari akhirat - ditempat yang terpuji." Menghidupkan malam dengan ibadah adalah satu anjuran. Ianya juga suatu riyadhah dan mujahadah yang bermanfaat dalam menguatkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta Mulia Raya. Maha Pencipta telah menjanjikan berbagai anugerah berupa rahmat, keredhaan, diterima segala pinta, ganjaran yang berganda-ganda bagi hamba yang ikhlas menjalankan ibadah malam tersebut tatkala manusia sedang seroooooonnnnnoooooooookkkkkkkkkkkk tidur atas kasur yang empuk. Masa kembali sudah semakin hampir, masihkah kita hendak menghabiskan masa yang masih berbaki dengan membuta sepanjang malam. Belumkah sampai masanya bagi kita untuk menghidupkan malam kita berkhalwat dan bertaqarrub dengan Allah SWT? Kalau tidak sekarang, bila lagi wahai roh dan jasad? Adakah hendak menunggu berpisah antara roh dan jasad, baru sibuk menangisi kerugian yang sudah pasti. ...Allahu .. Allah.

Abu asy-Syaikh dan Ibnu Hibban menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:- "Satu sholat di masjidku menyamai (ganjaran) 10,000 sholat; satu sholat di Masjidil Haram menyamai 100,000 sholat; satu sholat di ribath (perbatasan atau medan perang yang memisahkan antara kaum muslimin dan pihak musuh) menyamai 2,000,000 sholat; dan yang lebih banyak pahala daripada yang sedemikian itu adalah pahala 2 rakaat yang dilakukan seseorang hamba pada pertengahan malam."

Allahu ... Allah, adil dan pemurahnya Allah. RahmatNya sungguh amat meratai sekalian umat, bukan hanya terbatas kepada penduduk dua tanah yang mulia sahaja. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan meraih pahala yang lumayan ini. Berhubung hadits Abusy Syaikh di atas, Syaikh Sayyid Sabiq turut memuatkannya dalam "Fiqhus Sunnah" dengan penyataan bahawa bahawa hafiz al-Mundziri memuatkan hadits ini dalam kitab beliau "at-Targhib wa at Tarhib" tanpa sebarang komen.

Khamis, Julai 22, 2010

Takziah Nabi Khidhir

Kisah takziah yang disampaikan oleh Nabi Khidhir AS kepada ahli keluarga dan sahabat-sahabat Junjungan Nabi SAW, bukanlah satu cerita rekaan semata-mata. Kisah tersebut mempunyai sumber asalnya daripada khazanah ilmu Islam, walaupun kesahihannya dipertikaikan. Imam al-Baihaqi rahimahUllah menyebutkan 2 hadits mursal yang membawa kisah takziah tersebut, dan beliau menyatakan:- "Kedua-dua sanad ini walaupun dho`if tetapi saling kuat menguatkan satu sama lain dan menjadi bukti bahawa kisah tersebut mempunyai asal (sumber) daripada hadits Ja'far". Perkataan Imam al-Baihaqi ini ese petik dari notakaki Syaikhul Azhar al-Imam ad-Duktur asy-Syaikh Abdul Halim Mahmud rahimahUllah pada tahqiq beliau bagi kitab "Lathaaiful Minan" halaman 97. Tuan-tuan juga bolehlah rujuk pada karya Imam al-Baihaqi yang masyhur "ad-Dalaailun Nubuwwah", nescaya akan berjumpa dengan riwayat kisah tersebut. Oleh itu, janganlah dihairankan sangat atau terus dikarutkan akan kisah takziah tersebut. Mungkin kita tidak pernah mendengarnya, tetapi apa yang kita tidak tahu tidak semestinya salah atau karut. Ilmu itu amat luas dan tiadalah ilmu itu terbatas kepada 4 orang sahaja, iaitu Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah, Bin Wahab dan Ibnul Qayyim pegangan segelintir puak. Jangan miskinkan umat ini daripada ilmu dan ulama.

Kita lihat kisah takziah tersebut yang dikisahkan oleh seorang ulama besar yang antara gurunya ialah Imam Ibnu Daqiqil 'Eid rahimahUllah. Beliau yang kumaksudkan adalah asy-Syaikh al-Imam al-`Allaamah al-Muhaqqiq al-Mutqin al-Hafiz al-Faqih al-Adib an-Nahwi Fathuddin Abul Fathi Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ya'muri ar-Rab`i al-Andalusi al-Mishri rahimahUllah. Beliau masyhur dengan gelaran Ibnu Sayyidin Naas, nisbah kepada datuknya yang ke-12 iaitu Imam Sayyidin Naas bin Abul Walid. Beliau ini dilahirkan pada bulan Dzul Qa`idah tahun 671H di Kaherah, Mesir dan dibesarkan dalam keluarga ulama. Ayahanda beliau adalah salah seorang ulama besar ketika itu. Selain belajar daripada ayahandanya, pada usia 4 tahun lagi, beliau dibawa ayahanda menghadiri pengajian-pengajian ilmu dan majlis-majlis dzikir. Sikap mencintai ilmu ini yang disemai sedari kecil menyebabkan beliau amat bersungguh-sungguh menuntut ilmu pengetahuan walaupun hadir sendirian walaupun usianya masih kecil. Keghairahannya menuntut ilmu menyebabkan beliau sanggup berpergian ke berbagai tempat demi mencari ilmu sehingga jumlah guru-gurunya hampir 1,000 orang ... Allahu ... Allah. Ibnu Sayyidin Naas menguasai berbagai disiplin ilmu pengetahuan seperti fiqh, hadits, sejarah dan bahasa.

Selain meninggalkan anak-anak murid yang ramai, Imam Ibnu Sayyidin Naas, turut meninggalkan berbagai karya, antaranya:-
  1. `Uyuun al-Atsar fi funuun al-maghaazi wasy-syamaail was-siyar;
  2. Nurul 'Uyuun fi Talkhish Siratil Amiinil Ma`muun SAW;
  3. Tahshilul Ishaabah fi Tafdhiil ash-Shahaabah;
  4. Busyral Labiib bi dzikril Habiib;
  5. Minahul Midah
  6. al-Maqaamaatul 'Aliyyah fil Karaamaatil Jaliyyah;
  7. an-Nafhusy Syadzi fi Syarhi Jaami`it Tirmidzi.
Imam al-Hafiz Ibnu Sayyidin Naas rahimahUllah kembali ke rahmatUllah pada pagi Sabtu 11 Sya'baan 734H. Telah melayati jenazah beliau oleh ramai manusia dan beliau dikebumikan di al-Qurafah di sebelah al-Hafiz Ibnu Abi Jamrah rahimahUllah. Moga Allah merahmati beliau, guru-guru beliau serta sekalian ulama dan sekalian umat Junjungan Nabi SAW.... al-Fatihah.

Maka kemudian daripada itu, tercatatlah dalam karya ulama ini yang berjodol "Nurul 'Uyuun fi Talkhish Siratil Amiinil Ma`muun SAW" halaman 133 sebagai berikut:-

.... Kemudian para sahabat mendengar satu suara dari arah pintu rumah Junjungan SAW berkata: "Jangan kamu mandikan dia, sesungguhnya dia suci dan disucikan. Kemudian mendengar pula mereka satu suara lain yang menyatakan: "Kamu mandikanlah baginda, sesungguhnya suara tadi adalah Iblis dan aku adalah al-Khidhir," dan dia memberikan ucapan takziah kepada mereka dengan katanya:- "Sesungguhnya pada Allahlah ketenangan atas setiap musibah (yakni carilah ketenangan/kesabaran tatkala menghadapi musibah dengan kembali kepada Allah), penggantian segala apa yang punah, pemerolehan segala apa yang luput, maka berpeganglah kamu dengan Allah dan hendaklah kamu berharap kepadaNya. Sesungguhnya yang mendapat musibah yang sebenar adalah orang yang ditegah daripada memperolehi pahala (yakni dia tidak mendapat pahala daripada musibahnya kerana dia tidak sabar atau redha tatkala mendapat musibah).
Allahu Allah, moga Allah jadikan kita insan bertaqwa yang sabar dan redha atas segala ujian, dugaan dan musibah. Moga dakwaan kita sebagai hamba Allah itu benar, bukan hamba yang berlagak tuan yang bebas merdeka mendurhakai tuannya.

Selasa, Julai 20, 2010

Asy`aariyyah Pegangan Umat

Dengar bebetul, Dr. Yusuf al-Qardhawi menegaskan bahawa aqidah yang menjadi pegangan al-Azhar asy-Syarif, bahkan yang menjadi pegangan sekalian umat Islam adalah aqidah al-Asy`aariyyah. Maka sesiapa yang cuba hendak menyalah-nyalahkan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah al-Asy`aariyyah tolonglah berhenti sejenak untuk berfikir dan merenungi kenyataan yang berlaku zaman berzaman. Sesungguhnya Allah sentiasa memelihara agamaNya ini dari kesesatan. Janganlah termakan dengan dakyah badwi-badwi berkaki ayam yang kini berlumba-lumba membina pencakar langit. Moga Allah jaga pegangan kita sekalian dan memberi kaum-kaum yang sesat petunjuk.

*************************************************
Penjelasan Syaikh Yusuf al-Qardhawi mengenai 'aqidah umat

video

Isnin, Julai 19, 2010

Ziarah Kubur Wali

Habib Abu Bakar bin 'Abdullah al-'Aththas adalah di antara gurunya al-Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi, Shohibul Mawlid. Habib 'Ali menceritakan bahawa kali pertama beliau bertemu dengan Habib Abu Bakar al-'Aththas di Syihr, jantungnya hampir berhenti kerana melihat Habib Abu Bakar diliputi cahaya yang terang menerang. Dengan beliau, Habib 'Ali sempat mengkhatamkan kitab "ar-Rasyafaat" karya Habib 'Abdul Rahman bin 'Abdullah BilFaqih. Habib 'Ali amat menyanjungi Habib Abu Bakar al-'Aththas kerana kealiman, kewarakan dan kewalian beliau.

Tersebut dalam "Fawaaidul Mukhtaarah li Saaliki Thoriiqil Aakhirah", himpunan Ustaz 'Ali bin Hasan BaHarun (anakanda almarhum Habib Hasan bin Ahmad BaHarun rahimahUllah) daripada pengajaran yang disampaikan oleh guru beliau, al-'Alim al-'Allaamah al-Faqih al-Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahUllah, pada halaman 497 bahawa seseorang telah bertanya kepada al-Habib Abu Bakar bin 'Abdullah al-'Aththas rahimahUllah:
"Apakah yang akan diberi kepada orang yang menziarahi kubur seorang wali?" Habib Abu Bakar menjawab: " Dia akan diberi salah satu dari dua pemberian, yang pertama - setidak-tidaknya - dosa-dosanya diampuni Allah; Dan yang kedua - ini yang tertinggi - dia diberikan martabat wali yang diziarahinya."
Allahu .. Allah.... ya terpulang samada mau percaya atau tidak, rahmat Allah itu amat luas. Cuma bila martabat diberikan insya-Allah harapannya kita mampu memikulnya, jika tidak terbenamlah gamaknya dek ditimba maqam. Pesanan orang bijak pandai, bila ziarah maqamnya awliya, mohonlah kepada Allah agar dianugerahkan iman, ilmu, taqwa, makrifat, akhlak dan seumpamanya yang telah Allah kurniakan kepada Shohibul Maqam. Jangan diminta akan maqamnya beliau kerana khuatir tidak tertanggung, ya kalau diberi ambil saja.

*****************************
Makam Imam Syafi`i RA

video

" ..... Dan bahawasanya Imam asy-Syafi`i dan Imam Abi Hanifah dan Imam Malik bin Anas dan Imam Ahmad bin Hanbal dan setinggalnya (yakni bakinya) ulama ahli ijtihad itu sekaliannya tetap atas hidayah yang sempurna daripada Allah ta`ala pada hukum i'tiqad dan lainnya. Maka wajib atas tiap-tiap seorang yang bukan ahli ijtihad bahawa ia taqlid yakni mengikut pada hukum fiqh akan salah suatu daripada mazhab mereka itu ..... { Petikan kitab ushuluddin "I'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah", halaman 7 karya Syaikh Muhammad Mukhtar bin 'Athoorid Bogor rahimahUllah.}

Selasa, Julai 06, 2010

Ancaman Wahabiah - Dr. Uthman

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

ALIRAN WAHHABIAH:

ANCAMAN TERHADAP AKIDAH

DAN KESELAMATAN NEGARA

OLEH:

AL-FAQIR ILA’LLAH MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

Pertama, penulis ini memerhatikan aliran dan gerakan Wahabiah ini lebih daripada dua puluh tahun; dengan rasa bertanggungjawab ia ingin menyatakan bahawa kita di Malaysia ini beraliran Ahlissunnah wal-Jamaah, bermazhab fiqh Syafie. Kita berjaya dan benar dalam memahami agama dan mengamalkannya dalam aliran yang terjamin oleh Nabi dan Quran ini, dengan tidak melupai ada perlara-perkara yang masih tidak sempurna di kalangan kita. Kita wajib mengelak diri daripada Wahabiyah. Mereka yang dari awal bermazhab dengan mazhab Wahhabiah ini jangan mengembangkannya kepada Orang Islam di negara ini.

Kedua pihak pemerintah mesti memutuskan untuk terus berpegang kepada aliran Ahlisunnah ini dan menguatkuasakannya. Jangan terpesona dengan slogan pembaharuan atau reformasi dangkal yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang beraliran demikian. Malaysia mencapai kejayaan selama ini bukan kerana aliran dangkal itu. Ia berjaya dalam rangka Ahlisunnah wal-Jamaah yang disertakan dengan sikap positif menerima perkara-perkara baharu yang penting dalam konteks kerangka ajaran yang sudah ada; dalam negara-negara OIC ia terkenal dengan kejayaannya. Untuk apa hendak kita gantikan ini dengan aliran Wahabiah? Untuk menjadi kacau bilau seperti beberapa kawasan yang mengamalkan aliran yang seperti itu? Adakah kita berjaya kerana tidak membaca usalli? Tidak berselawat kepada nabi? Tidak bermazhab? Tidak membaca berzanji? Tidak berkunut? Tidak mengadakan tahlil arwah? Tidak berwirid selepas sembahyang? Ajaran ‘pembaharuan’ apa ini? Adakah ini pemikiran sejahtera? Maha suci Allah.

Ketiga, untuk menulis dengan ringkas, kita boleh tegaskan bahawa ajaran tauhid itu ada tiga, tauhid rububiah, tauhid uluhiah, tauhid asma’ wassifat yang dihuraikan oleh mereka itu bukan cara Ahlissunnah, itu cara Wahhabiah.Wahabiah mengajarkan tauhid rububiah ialah mempercayai Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki daln lain-lain; tauhid uluhiah ialah menyembahNya dan taat kepadaNya. Tiap-tiap satunya terasing daripada yang lain. Sebab itu, kata mereka, penyembah berhala, bertauhid rububiah sebab ia percaya Tuhan menjadikan alam, hanya ia tidak bertauhid secara uluhiah. Sebab itu dia kafir, lalu berlaku hukum Syara’ sebagaimana yang diketahui itu. Orang yang mengucap syahadat kalau ia tidak mengamalkan Islam dengan baik, ia bertauhid rububiah sahaja, hukumnya sama dengan penyembah berhala; dia dijadikan objek jihad menentangnya. Sebab itu mereka menyerang Orang Turki Othmaniah kerana katanya mereka ia bertauhid rububiah sahaja, tidak bertauhid uluhiah. Maka halal darahnya. Maha suci Allah.

Sebab itu kemudian mereka mengebom bank, membunuh orang yang tidak berdosa, membunuh ‘orang yang bertauhid rububiah’ sahaja. Tidak ada kitab Ahli sunnah yang mengatakan bahawa penyembah berhala ahli tauhid; yang dikatakan dalam kitab Ahlisunnah – dalam Quran dan Sunnah – ialah mereka musyrikin.

Keempat, mereka berkata bahawa orang yang berdoa di kubur orang soleh dan meminta dengan keberkatan mereka supaya Tuhan menyembuhkan penyakit, mengangkatkan bala, itu syirik. Dengan itu halal darah mereka. Dalam Ahlissunnah itu harus, sebab itu orang Islam berdoa di kubur nabi saw untuk mendapat syafaatnya dan hajatnya dunia dan akhirat.

Kelima kita dalam Ahlisunnah mendapat pengajaran bahawa Tuhan bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna, tidak ada sifat yang kekurangan. Ia ada, sedia kala, kekal, bersalahan dengan sifat-sifat makhluk yang baharu, berdiri sendiri (bukan dijadikan oleh sesiapa, tidak memerlukan sesiapa atau apa-apa dari sekalian makhluk), Maha Esa, mempunyai sifat hidup, ilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat, berkata-kata; keadaanNya hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat dan keadaannya berkata-kata. Ini sekurang-kurang yang perlu diketahui dan diyakini. Sifat-sifatNya tidak terkira.

Keenam, sekali lagi kita tegaskan, tauhid tiga kategori yang terpisah-pisah ini – tauhid rububiah asing, tauhid uluhiah asing, tauhid asma wassifat asing tidak ada dalam Ahlissunnah; sebab terasing tauhid yang tiga itu, mereka boleh berkata penyembah berhala ahli tauhid rububiah. Orang yang tak sempurna taatnya hanya bertauhid rububiah; orang berdoa di kubur hanya bertauhid rububiah-sebab itu maka semua halal darah dan harta mereka. Tauhid cara huraian seperti ini sudah tersebar dalam setengah IPT-IPT di Malaysia. Kalau ini tersebar dengan meluas dan pengaruhnya mendalam, percayalah, maka ia menjadi ‘sarang’ tempat bertelur dan membesar fahaman keganasan, anti-establishment, dan fahaman menentang pihak berotoriti yang tidak bersefahaman dengan mereka. Ini terbukti dalam wacana mereka (‘Tarikh Najdin’, ‘Unwan al-Majdi’, dan ‘Kitab al-Syubuhat’ antara lainnya). Sesiapa yang memandang ringan tentang perkara itu –mengatakan itu tuduhan melulu, nanti dulu, itu helah setengah orang—akan menyesal dengan tidak berkesudahan. Dijauhkan Allah. Ia akan membawa kepada kerosakan akidah, mengancam keselamatan negara, dan konflik yang tidak berkesudahan, kemusnahan sistem negara, dan bila itu berlaku, dijauhkan Allah, kuasa luar akan menuduh negara kita pusat keganasan; dan pihak yang sinis, sebagaimana yang biasa berlaku, tidak akan membantu kita bila perkara buruk ini berlaku.

Ketujuhnya di setengah IPT sudah ada pensyarah-pensyarah yang memaksa pelajar memberi huraian ini – bukan hanya untuk perbandingan akademik – dan kalau tidak berbuat demikian pelajar itu akan mendapat akibat yang buruk dalam ujiannya. Ini perlu diberi perhatian oleh pihak rasmi negara. Nampaknya ‘proses membuat rekrut’ juga ada berlaku, mungkin untuk gerakan akan datang; kita perlu berwaspada tentang hal ini dan jangan membiarkannya berkembang.

Kelapannya, natijah daripada ‘tauhid Wahhabi’ seperti itu maka mereka tidak memandang taat kepada ulil-amri itu sebagai kewajipan. Mereka dengan senang sekali keluar menentang ulil-amri, pihak berkuasa, ini jelas dalam sejarah dan teks-teks ajaran mereka, walhal dalam Ahlil-Sunnah kita tidak boleh keluar menentang, bermusuh dengan ulil-amri, ‘kecuali bila zahir daripada mereka kekufuran yang nyata’. Berwaspadalah wahai ulil-amri dan umat Islam Malaysia supaya umat dan agama serta negara tidak binasa. Jangan menempah penyesalan yang jalan kembali kepada kesejahteraannya sudah tidak ada lagi. Allahumma sallimna wal-Muslimin.

Kesembilannya, sebagai kesimpulan, ringkasnya kita tidak boleh bersikap naif dan membenarkan aliran Wahabiah ini diamal dan disebarkan dalam negara, termasuk memberi ‘tempat penting’ kepada orang Wahhabi. Kita tidak membenarkan Wahhabiah disebar kepada Orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlisunnah. Kita tidak mengganggu orang Wahhabi yang asal pegangannya demikian (tetapi jangan ia kembangkan kepada orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlissunnah). Kalau tidak mereka yang terkena pengaruh ini akan berkembang bersama dalam aliran keganasan antarabangsa yang akan menganiaya Muslimin dan negara. Kita boleh ingatkan bahawa baru-baru ini dalam ‘Saudi Gazette’ ada berita bagaimana ada gerakan bahawa menteri di sana akan ditangkap, disembunyikan dan sesuatu akan dilakukan terhadap mereka yang menjalankan gerakan ini, dan memang mereka sekarang dalam berjaga-jaga. Orang yang sinis, yang menganggap dirinya ‘tahu semua’ memang akan mengatakan itu hanya ‘conspiracy’, sebagaimana yang biasa berlaku.

Penulis ini hanya dengan rasa ikhlas ingin menegaskan: berjaga-jagalah atas nama keselamatan negara dan keselamatan agama serta keamanan, supaya negara ini tidak menjadi ribut dan daif seperti kawasan-kawasan lain dalam dunia Islam. Wallahu a’lam.

Fahaman Wahabi Berbahaya !!!

Kepada yang nak marah sebab tajuk posting di atas, tolonglah jangan marah kat ese, sebab itu bukan pernyataan daripada ese. Ese cuma memanjangkan berita yang sudah lama beredar dalam ruangan maya ini. Berita tersebut telah dilaporkan juga oleh beberapa rakan bloggers dan dipetik dari laporan akhbar Wathan pada 26 April yang lalu.

April lalu telah berlangsung satu seminar di Kaherah yang disertai oleh ulama Universiti al-Azhar asy-Syarif dan pakar-pakar Gerakan Islam dengan tema: FAHAMAN WAHABIAH BAHAYA YANG MENGANCAM ISLAM DAN DUNIA. Mereka menegaskan bahawa fahaman Wahabiah adalah satu fahaman dan gerakan yang merupakan musuh paling merbahaya bagi umat Islam dan dunia, yang mana bahayanya tidak kurang jika dibandingkan dengan Gerakan Zionis (Jangan marah ya, lagi sekali dimaklumkan bahawa ini bukan pernyataan ese). Ini adalah kerana Wahabiah menyebarkan pemikiran - pemikiran dan sikap serta tindakan yang bengis, bersifat ganas (terrorist), kebencian dan sikap mudah mengkafirkan mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka. Sikap dan tindak-tanduk mereka yang mengaibkan ini telah merosakkan usaha gerakan lain untuk mempertahankan Islam di Palestin dan Iraq. Maka antara kewajipan syarie ialah untuk menentang pemikiran ini serta pendokong-pendokongnya dengan segala cara yang sedia ada. Inilah yang dinyatakan di dalam Simposium Islam Perbincangan Khusus (al-Mutakhasisah) dan Diperkembangkan (al-Muwassa’ah) yang telah dianjurkan kelmarin di Kaherah dengan tajuk: AL-WAHABIAH: ANCAMAN BERBAHAYA KEPADA ISLAM DAN DUNIA

Dan panel-panel pembentangan penyelidikan serta perbincangan adalah terdiri daripada:
  • Syaikh Dr. Abdul Rahman as-Subki - ulama al-Azhar asy-Syarif;
  • Al-Mufakkir Dr. Ahmad al-Saayih – Professor Aqidah dan Falsafah Islam di al-Azhar al-Syarif;
  • Al-Mustasyar (Penasihat) Ahmad Abduh Maher – ulama’ besar yang mempunyai kepakaran/pengkhususan tentang Gerakan-gerakan Islam di Mesir;
  • Prof. Abdul al-Fattah ‘Asakir – Pemikir Islam yang terkenal;
  • Dr. Abdullah Al-Sa’daawi;
  • Dr. Ahmad Syawqi al-Fanjari;
  • Dr. Ali Abdul Jawwad – Pakar berkenaan kajian Gerakan-gerakan Islam;
  • Dan beberapa ulama’ dan pakar-pakar yang lain.
Simposium ini telah merumuskan beberapa cadangan dan kesimpulan, dan yang paling penting adalah seperti berikut:

Pertama:

Para pakar dan ulama menegaskan dalam kajian mereka (terdapat tujuh (7) pembentangan penyelidikan) dan perbincangan mereka bahawa sesungguhnya: al-Wahabiah sebagai satu dakwah/seruan dan pemikiran yang berdiri atas prinsip menolak pihak lain dan mengkafirkannya. Dan sesungguhnya ia mengancam keamanan dan kesejahteraan di seluruh negara-negara Islam kerana ianya menyebarkan pemikiran-pemikiran terrorist/keganasan dan jenayah yang sangat merbahaya. Pemikiran-pemikiran inilah yang menyebabkan pemuda-pemuda Muslim mengkafirkan serta melakukan keganasan terhadap masyarakat dan para pemerintah dengan bersandarkan alasan/sebab yang amat remeh. Dan dunia waktu kini tidak berdepan dengan kesulitan/kepayahan daripada mana-mana pergerakan atau dakwah sepertimana yang ia dapati daripada al-Wahabiah seperti yang berbentuk (al-Qaedah) ataupun rupa bentuk pergerakan Islam yang lain. Dan sesungguhnya kalaulah tidak kerana harta/dana Saudi, al-Wahabiah tidak akan tersebar, dan kalaulah tidak kerana sikap kepura-puraan Amerika, ia pasti dapat ditentang dan ditundukkan. Akan tetapi Amerika dan Saudi mendapat manfaat daripada pemikiran pelik/terpesong ini yang disandarkan secara palsu kepada Islam dan yang dinamakan al-Wahabiah ini. Ianya digunakan pada sesuatu masa untuk melancarkan serangan keganasan kepada dunia atau pada masa yang lain untuk melakukan pemerasan/peras ugut.

Kedua:

Para peserta simposium menegaskan bahawa sesungguhnya al-Wahabiah mempunyai sikap/pendirian yang negatif terhadap wanita dan ilmu, muzik dan segala bentuk kesusasteraan, serta terhadap penganut agama Kristian, bahkan terhadap pengikut -pengikut lain-lain mazhab dalam Islam (seperti Syi’ah, al-Asya`irah dan lain-lain). Dan ia sesungguhnya adalah satu bentuk dakwah/seruan kepada Jahiliyyah. Dan kebanyakan kesan-kesan Wahhabi adalah dalam bentuk keganasan dalam pemikiran dan beragama, menolak realiti dan intelek. Dan oleh sebab itu, sebahagian (pengkaji) menganggapnya sebagai (sebuah agama yang baru) selain daripada agama Islam - suatu agama yang menyeru kepada terrorisma/keganasan dan pembunuhan atas nama Allah, sedangkan Allah “bebas” daripada (dakwaan mereka itu). Dan apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan, bahkan di Saudi - yang merupakan penaja kepada pemikiran ini – dari pembunuhan dan keganasan dengan mudah menguatkan lagi bahawa kita sedang berdepan dengan satu gerakan dakwah/seruan yang menyeru kepada jenayah dan pembunuhan dan bukannya dakwah/seruan kepada Islam yang toleransi dan sederhana (tidak ekstrim).

Ketiga:

Para ulama dan pakar di dalam simposium ini membuat tuntutan berhubung pentingnya menyediakan satu strategi yang Islamik di peringkat antarabangsa yang mengambil kira aspek kebudayaan serta politik untuk menentang al-Wahabiah. Dan sesungguhnya perlu bagi al-Azhar asy-Syarif memainkan peranan dalam hal ini kerana ianya adalah satu institusi Islam yang bersikap sederhana (tidak ekstrim) sebelum ia dirosakkan oleh al-Wahabiah dan golongan yang menamakan diri mereka sebagai pendakwah pembaharuan daripada golongan Salafiyyin yang keras/melampau. Sesungguhnya sekiranya al-Azhar asy-Syarif kembali menjadi institusi yang menerangi dengan sikap bersederhanaanya dan tidak melampau, maka sesungguhnya ia mampu untuk menolak dengan kekuatan akan sikap melampau Wahabi yang memusuhi roh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang bersifat sederhana dan tidak melampau.

Sumber:

Akhbar Watan [ وطن ] di : http://watan.com/10/news.html//35‐news‐extra/21652‐2010‐
04‐26‐20‐24‐39.html
Tarikh Berita: 26 April 2010

Isnin, Julai 05, 2010

Seminar 20 & 21 Julai 2010


SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN II

"AL-ASHA`IRAH & CABARAN MUTAKHIR "

Tarikh: 20 & 21 JULAI 2010

Tempat : Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,
Kuala Lumpur

Jumaat, Julai 02, 2010

SholatUllah 'ala Thohal Yamani

Pagi - pagi sayyidul ayyam ini eloklah kita jangan lupa memperbanyakkan sholawat dan salam ke atas Sayyidil Anam. Telah datang anjuran untuk bersholawat dengan sebanyak-banyaknya pada hari dan malam Jumaat, dan juga telah datang berbagai hadits dan atsar mengenai keutamaan bersholawat pada hari dan malam yang mulia ini. Imam Abu Nu`aim meriwayatkan bahawa Baginda 'Ali RA menyatakan:-

من صلى على النبي صلى الله عليه و سلم يوم الجمعة مائة مرة جاء يوم القيامة
و معه نور لو قسم ذلك النور بين الخلق كلهم لوسعهم

Sesiapa yang bersholawat atas Junjungan Nabi SAW pada hari Jumaat 100 kali, nescaya dia akan datang pada hari kiamat kelak dengan suatu nur yang jika dibahagi-bahagikan nur tersebut kepada sekalian makhluk pasti ianya akan meratai mereka semua bahkan berlebih lagi.
Sebelum beredar sila layan dulu qasidah karya Shohibul Mawlid, al-Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi. Moga kecintaan kepada Junjungan SAW bertambah dan sholawat ke atas baginda diperbanyakkan lagi.

video