Selasa, November 30, 2010

Nasihat Habib Abu Bakar Gresik

" .... Keberkahan majlis bisa diharapkan bila yang hadir beradab dan duduk di tempat yang mudah mereka capai. Jadi keberkahan majlis itu pada intinya adalah adab, sedangkan adab dan pengagungan itu letaknya di hati.

Oleh kerana itu, wahai saudara-saudaraku, aku anjurkan kepada kalian, hadirilah majlis-majlis kebaikan. Ajaklah anak-anak kalian ke sana dan biasakan mereka untuk mendatanginya agar mereka menjadi anak-anak yang terdidik baik, lewat majlis-majlis yang baik pula.

Sekarang ini aku jarang melihat para pelajar yang menghargai ilmu. Banyak ku lihat mereka membawa mushhaf atau kitab-kitab ilmu lainnya dengan cara tidak menghormatinya. Lebih dari itu mereka mendatangi tempat-tempat pendidikan yang tidak mengajarkan kepada anak-anak kita untuk mencintai ilmu, tapi mencintai nilai semata-mata ...... Aku pun teringat pada nasihat Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas: "Ilmu adalah alat. Meskipun ilmu itu baik, ia hanya alat, bukan tujuan. Oleh kerananya, ilmu harus diiringi adab, akhlak dan niat-niat yang shalih. Ilmu demikianlah yang dapat mengantarkan seseorang kepada ketinggian maqam ruhaniah."

- [Dipetik dari Majalah al-Kisah, No. 23/Tahun VIII]

Rabu, November 24, 2010

Berkat Majlis Mawlid

Majlis mawlid adalah majlis di mana kaum muslimin berhimpun memperingati Junjungan Nabi SAW, menceritakan sirah baginda yang agung, memuji-muji Allah kerana telah mengutuskan baginda sebagai rahmat bagi sekalian alam, berzikir, membaca ayat - ayat al-Quran, bersholawat dan membaca qasidah puji-pujian bagi Allah dan kekasihNya, Junjungan Nabi SAW. Sungguh ini adalah antara cara untuk kita meninggikan sebutan Junjungan Nabi SAW. Jika dahulu, apabila kaum musyrikin mencaci Junjungan Nabi dengan mendendangkan syair-syair yang mencemuh baginda, maka cemuhan kaum jahiliyyah tersebut telah dijawab pula oleh para sahabat melalui syair-syair mereka yang membela, memuji dan mengagungkan Junjungan Nabi SAW. Maka sejarah yang berulang sekarang, di mana puak kafir mencaci-maki, mencemuh, merendah-rendahkan Junjungan Nabi SAW dengan berbagai cara, maka wajar jika sekiranya kita mengadakan majlis-majlis di mana Junjungan Nabi SAW diagungkan, dibesarkan, ditakzimkan, dipuji dan dipuja kerana perutusan baginda, kerana akhlak baginda, kerana baginda adalah rahmat bagi sekalian alam. Maka amat tidak wajar bagi seseorang yang mengaku dirinya muslim pengikut Junjungan Nabi SAW untuk merasa benci kepada saudara-saudara seagama yang mengadakan perhimpunan memuji dan mengagungkan Junjungan Nabi SAW.... amat tak patuuuttttt. Sewajarnya majlis-majlis mawlid ini dilestarikan, sebagai tindakbalas terhadap perlakuan puak-puak yang mencemuh dan mencaci Junjungan Nabi SAW. Makin hebat musuh Allah mencemuh Junjungan Nabi SAW, sepatutnya makin hebat lagi kita mengagungkan baginda.

Maka tersebutlah satu kisah dalam "Targhiibul Musytaaqiin" karangan Imam an-Nawawi ats-Tsani, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahUllah, diceritakan oleh Syaikh Abdullah bin 'Isa al-Anshari tentang jirannya seorang wanita yang sholehah. Jirannya itu mempunyai seorang anak lelaki yang juga sholeh. Wanita yang sholehah ini tidak mempunyai harta selain satu dinar hasil kerja tenunnya. Tatkala wanita tersebut meninggal dunia, wang satu dinar tersebut diwarisi oleh anaknya. Anaknya yang sholeh tersebut berkata kepada dirinya bahawa wang satu dinar hasil kerja ibunya itu hanya akan dibelanjakan untuk tujuan akhirat.

Pada suatu hari, pemuda anak perempuan sholehah tersebut keluar dari kediamannya kerana suatu keperluan, dia melalui satu perhimpunan orang sedang membaca al-Quran dan mengadakan Mawlidin Nabi SAW pada bulan Rabi`ul Awwal. Lalu dia pun duduk bersama mereka dan mengikuti majlis mawlid tersebut. Pada malamnya, pemuda tersebut telah bermimpi seolah-olah kiamat telah berlaku dan seorang penyeru menyeru: "Di manakah si fulan anak si fulan", disebutnya nama-nama orang yang dalam satu perhimpunan lalu digiringlah mereka ke syurga, dan adalah pemuda tersebut termasuk dalam kalangan mereka. Tatkala memasuki syurga, si penyeru tadi berkata: "Bahawasanya Allah telah memberi bagi setiap kamu sebuah mahligai dalam syurga." Maka masuklah si pemuda tadi ke dalam mahligainya, tidak pernah dia melihat mahligai yang seumpamanya dari segi keelokan dan keindahannya, ianya dipenuhi bidadari dan pada segala pintunya dijaga oleh khadam. Pemuda tersebut melihat bahawa ada mahligai-mahligai lain yang lebih elok daripada mahligainya, lalu dia pun berkehendak untuk memasukinya. Tatkala berdetik hatinya untuk memasuki mahligai tersebut, berkatalah khadam kepadanya: "Ini bukanlah untukmu, bahawasanya ini diperuntukkan bagi orang yang membuat mawlid Rasulullah SAW."

Keesokan harinya, pemuda tersebut awal-awal pagi lagi terus menggunakan satu dinar warisan daripada ibunya tersebut untuk mengadakan Mawlid Nabi SAW kerana sukacitanya dengan mimpinya itu. Dia menghimpunkan para faqir untuk berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan membaca Mawlid Nabi SAW. Dia juga menceritakan tentang mimpinya itu kepada mereka, lalu semua mereka merasa gembira mendengar ceritanya itu. Pemuda tersebut telah bernazar untuk tidak akan meninggalkan mengadakan mawlid selama hayatnya.

Kemudiannya, si pemuda tadi telah bermimpi lagi dan dalam mimpinya itu dia telah bertemu dengan ibunya. Ibunya berada dalam keadaan yang amat baik, berhias dengan segala perhiasan syurga dan berwangian dengan bauan syurga. Pemuda tersebut mencium tangan ibunya dan ibunya mengucup kepalanya lalu berkata: "Moga Allah membalasmu dengan kebaikan, wahai anakku, malaikat telah datang kepadaku membawa segala perhiasan ini." Si pemuda bertanya kepada ibunya: "Dari manakah ibu memperolehi kemuliaan ini?" Si ibu menjawab: "Kerana engkau telah mempergunakan satu dinar yang engkau warisi daripadaku untuk mengadakan mawlid Penghulu orang-orang terdahulu dan orang-orang yang kemudian, dan inilah balasan bagi orang yang mengagungkan Nabinya dan mengadakan mawlid baginda."

Di sini kita sekadar berkongsi kisah mimpi seorang yang sholeh yang diberitakan oleh seorang yang sholeh dan dinukilkan pula oleh seorang yang sholeh. Moga ada keberkatannya pada kesholehan mereka, sehingga kita pun digolongkan dalam kalangan mereka. Mudah-mudahan sahaja mimpi yang dimimpikan itu adalah suatu mubasysyiraat sebagaimana yang disabdakan oleh Junjungan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:-


"Tiadalah tinggal daripada kenabian / nubuwwah melainkan khabar-khabar gembira." Para sahabat bertanya: "Apakah itu al-mubasysyiraat?" Junjungan SAW bersabda: "Mimpi yang baik."

********************************
Why We Celebrate Mawlidin Nabi ?

video

Jumaat, November 19, 2010

Tahlil - Pandangan Dr. Luqman

MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil.

Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) yang juga merupakan Pengerusi, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Hj. Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam.

Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu.

“Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya.

Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.

“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya.

Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama.

Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui.

“Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah.

“Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya.

Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu.

Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda.

Tahlil arwah:

Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)

Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.” Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.

Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu. HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi.

Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan.

Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar. Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.

Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).

Sumber: Persatuan Ulama Malaysia

Rabu, November 17, 2010

Selamat Hari Raya Korban

Selamat hendaknya kita semua, selamat di dunia dan lebih-lebih lagi selamat di akhirat. Mari kita meriahkan hari raya akbar ini dengan amalan-amalan sholeh, dengan takbir dan tahmid, juga sholawat atas Junjungan Nabi SAW, juga dengan ibadah khusus padanya iaitu menumpahkan darah haiwan-haiwan korban serta bersedekah dengan dagingnya kepada para faqir dan miskin. Sesungguhnya Imam ath-Thabrani rahimahUllah meriwayatkan Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu 'anhuma menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Wang yang dinafkahkan untuk menyembelih haiwan korban pada hari raya 'Aidil Adha adalah harta yang paling dicintai Allah." Oleh itu, jangan lalai, jalan leka, jangan alpa, untuk meraih kecintaan Allah SWT. Moga sholat, puasa, haji, zikir, takbir, sholawat, korban dan lain-lain ibadah kita diterima Allah SWT.

Selasa, November 16, 2010

WACANA ILMU (26/11/2010)

Jom ngaji Ihya bersama al-Fadhil Ustaz Fuad Kamaluddin.
Tarikh : 26 November 2010
Tempat: Masjid Al-Azhar KUIS
Masa: 7.00 malam - 10.30 malam

Khamis, November 11, 2010

Kelebihan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah sememangnya ditunggu-tunggu sekalian umat. Dalam bulan ini ada beberapa amalan yang hanya dilakukan dalamnya, antaranya ibadah haji dan juga korban. Selain dari itu, beramal di dalamnya dijanjikan dengan gandaan pahala berkali lipat. Maka inilah antara peluang - peluang keemasan setelah Ramadhan untuk kita mempergiatkan lagi amal ibadah kita. Imam Ahmad RA meriwayatkan dalam musnadnya daripada Sayyidina Ibnu 'Umar radhiyAllahu 'anhuma meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:

"Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah dan yang paling dikasihi padaNya untuk beramal dalamnya melainkan hari-hari yang sepuluh ini (yakni hari-hari 10 pertama bulan Zulhijjah), maka hendaklah kamu memperbanyakkan di dalamnya ucapan-ucapan tahlil, takbir dan tahmid."
Dan bagi yang berkemampuan untuk melaksanakan puasa sunnat dan berqiyamullail, maka berpuasa pada hari-hari awal Zulhijjah, terutamanya hari yang ke-9, juga mempunyai fadilat yang istimewa. Diriwayatkan bahawa berpuasa sehari pada awal bulan haram ini akan dinilai seumpama dengan ganjaran berpuasa setahun, manakala qiyam pada malam-malamnya dinilai seperti mendirikan qiyam pada malam Lailatul Qadr ... Allahu ... Allah... 'adzim. Ini diberitakan antara lain oleh Imam at-Tirmidzi dalam Sunannya sebagai berikut:-

"Tidak ada hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk beribadah kepadaNya melebihi sepuluh hari bulan Zulhijjah. Berpuasa pada setiap hari daripadanya menyamai ganjaran berpuasa setahun, dan beribadah pada setiap malam daripadanya menyamai ganjaran beribadah pada Lailatul Qadr."
Walaupun Nahhaas bin Qahm, salah seorang rawi hadits ini dikritik oleh Imam Yahya bin Sa`id dari segi kekuatan hafalannya, Imam at-Tirmidzi tetap menilai hadits ini sebagai hadits hasan gharib. Oleh itu, maka hendaklah kita merebut peluang ini untuk beribadah dengan lebih gigih lagi demi mencari keredhaan Allah SWT. Mudah-mudahan segala ibadah kita diberi ganjaran yang berlipat kali ganda sebagaimana dinyatakan dalam hadits di atas. Sesungguhnya tiadalah perkara tersebut sukar bagi Allah yang Maha Agung.

Isnin, November 08, 2010

Berkat Berbakti Kepada Ibu

Kisah-kisah pertemuan seseorang, terutamanya kaum sholihin, dengan Nabi Khidhir 'alaihis salam banyak dikisahkan dalam karya-karya besar karangan tokoh-tokoh ulama Islam. Imam al-Qusyairi rahimahUllah tidak ketinggalan menulis kisah-kisah tersebut dalam karya-karya beliau. Antara yang dibawanya adalah sebuah kisah mengenai bagaimana pertemuan seorang lelaki saleh bernama Bilal al-Khawwash dengan Sayyidina Khidhir AS. Kisah ini tercatat pada halaman 405 dalam karya agung Imam al-Qusyairi yang berjodol "ar-Risalah al-Qusyairiyyah".

"... Aku telah mendengar Bilal al-Khawwash berkata: " Adalah satu waktu, ketika aku berada di padang Tih Bani Israil (yakni padang pasir tempat Bani Israil berkeliaran apabila terhalang memasuki bumi Palestin), tiba-tiba muncul seorang lelaki berjalan bersamaku. Kemunculannya secara tiba-tiba tersebut amat menghairankan aku, lalu aku diilhamkan bahawa lelaki tersebut adalah Nabi Khidhir AS. Aku pun bertanya kepadanya: "Demi Allah, siapakah engkau?" Baginda menjawab: "Saudaramu al-Khidhir." Maka aku berkata lagi kepadanya: "Aku mohon untuk bertanya kepadamu". Nabi Khidhir berkata: "Tanyalah". Maka aku bertanya: " Apa yang engkau kata mengenai Imam asy-Syafi`i rahimahUllah ta`ala?" Baginda menjawab: "Dia tergolong dalam kalangan wali awtad (yang menjadi pasaknya agama)." Aku bertanya lagi: " Bagaimana pula dengan Imam Ahmad bin Hanbal?" Baginda menjawab: "Dia seorang lelaki yang shiddiq." Aku bertanya lagi: " Bagaimana pula dengan Bisyr bin al-Harits al-Haafi?" Baginda menjawab: " Allah belum lagi mencipta seseorang seumpamanya setelah dia meninggal dunia. Kemudian aku bertanya lagi: "Apakah penyebabnya sehingga aku dapat bertemu denganmu?" Baginda menjawab: "Dengan sebab kebaktianmu kepada ibumu."
Allahu ... Allah, tidak dimungkiri lagi bahawa kedua orang tua kita, teristimewanya ibu, adalah manusia - manusia penting dalam kehidupan kita. Mereka itu adalah antara sebab bagi kebahagiaan kita dunia dan akhirat. Betapa tidak, jika Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa berbakti kepada mereka dan Junjungan Nabi SAW telah menggandengkan keredhaan Allah SWT dengan keredhaan mereka berdua. Sebahagian fuqaha` menghukumkan wajib bagi seseorang memutuskan sholat sunnatnya apabila ibunya memanggilnya berulang-ulang. Benarlah kata sebahagian bijakpandai bahawa ibubapa itu adalah seumpama wali-wali keramat bagi anak-anak mereka. Malang sekali jika kita mendurhakai mereka, baik sewaktu hayat mereka maupun setelah mereka berpulang ke rahmat Allah. Kita disuruh berbakti kepada mereka sewaktu mereka hidup di alam dunia, juga setelah mereka berpindah ke alam baqa. Ketaatan kepada mereka juga mempunyai andil besar dalam melancarkan perjalanan kerohanian seseorang untuk menuju keredhaan Allah dan ma'rifatUllah. Dengan berbakti kepada mereka, nescaya perjalanan yang dijalani seseorang akan dimudahkan Allah SWT dan menghasilkan kejayaan. Moga Allah menjadikan kita anak-anak yang sentiasa berbakti kepada dua ibubapa kita, ketika hayat mereka dan setelah kewafatan mereka.

**********************
Doa Untuk Ayah Ibu

video

Selasa, November 02, 2010

Tempat Amalan

Dalam satu syair dikhabarkan dengan bait yang indah bahawa mati itu akan datang secara tiba - tiba, tanpa mengira samada yang didatangi itu berada dalam apa jua keadaanya, samada berada dalam ketaatan dan ingat jalan pulang atau lupa lalai penuh kealpaan. Kematian yang pasti datang menemui kita, mestilah kita sambut dengan penuh kehormatan, kerana utusan Allah yang diperintahkan untuk mengambil nyawa kita itu adalah malaikat yang dimuliakan Allah. Janganlah kita menghina utusan Allah tersebut dengan mempersembahkan kebencian kita untuk bertemu dengan Pencipta kita. Kebencian yang dikeranakan kekurangan bekal kita untuk perjalanan tersebut, kerana hati kita masih bertaut dengan dunia - dunia yang fana, kerana kasih kita akan makhluk yang mengatasi kasihkan Pencipta. Di situlah timbul kebencian kita untuk menerima utusan kematian pabila ajal menjelang tiba. Kita tidak suka untuk menemui Allah, sedangkan kematian adalah tuhfatul mu'min (hadiah yang dianugerahkan kepada orang beriman), hadiah pertamanya adalah menemui Sang Pencipta SWT, menemui kekasihNya Junjungan Nabi SAW, belayar ke negeri abadi yang penuh kenikmatan sejati dan keluar dari negeri fana yang penuh ranjau duri pancaroba. Tapi malangnya, kita tidak bersedia, kita sibuk dengan kenikmatan duniawi yang fana dengan menggadaikan kenikmatan abadi. Aduhhhhhhhhhhhhhhh bagaimana hendak kita kembali kepadaNya. Kembali kita membawa apa???? Kubur itu tempat menghimpunkan segala amalan kita, yang baik dibalas baik, yang buruk, buruk juga balasannya. Dan itu hanyalah permulaan ...... Allahu Allah. Yang dapat kebebasan, berbahagia sepanjang masa, yang terbelenggu pasti menderita.

Oleh itu, wahai diri janganlah engkau alpa akan negeri kembali. Dunia yang engkau anggap luas dan indah ini, jangan sampai melalaikan engkau kepada keindahan negeri yang abadi. Gunakanlah dunia yang sebentar ini untuk meraih kenikmatan yang hakiki. Itu tanda kebijaksanaan, bijak sana dan bukannya bijak sini. Sana itu abadi, manakala sini pasti akan sirna suatu hari nanti. Bersedialah untuk kembali kepadaNya. Apabila kita memasuki gerbang barzakh, yang akan dibawa adalah amalan kita untuk diperkira baik buruknya, maqbul mardudnya ... Allahu ... Allah.

Marilah kita renungi satu cerita yang dinukil oleh Sayyidul Ulama al-Hijaz, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahUllah dalam syarah beliau bagi nazam 'aqidatul 'awwam bagi Sidi Ahmad al-Marzuqi rahimahUllah dengan jodol "Nuruzh Zholaam". Pada halaman 30 karya tersebut dinyatakan sebagai berikut:-

".... Diceritakan bahawasanya ketika wafat Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti an-Nabi SAW, jenazah baginda diusung ke tanah perkuburan oleh empat orang, iaitu Sayyidina 'Ali, Sayyidina Hasan, Sayyidina Husain dan Sayyidina Abu Dzar al-Ghifari, radhiyaAllahu 'anhum ajma`in. Tatkala jenazah baginda diletakkan di sisi kuburnya, maka berkatalah Sayyidina Abu Dzar: "Adakah engkau tahu siapa yang kami hantar kepadamu, inilah Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti Rasulillah SAW, isteri Sayyidina 'Ali al-Murthada, bonda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain." Lalu mereka mendengar satu seruan dari kubur tersebut berkata: "Bukanlah aku tempat (membangga-banggakan) kebangsawanan dan nasab keturunan. Bahawasanya aku tempatnya segala amal salih, maka tiada yang selamat daripadaku (yakni dari azab kubur) melainkan orang yang banyak kebajikannya, sejahtera hatinya (yakni hatinya bersih dari segala penyakit hati), dan tulus amalannya.
Allahu ... Allah, inilah jugalah pesanan Baginda Nabi SAW kepada anakanda kesayangannya tatkala hayat mereka di dunia, iaitu jangan hanya mengandalkan keturunan tetapi beramallah. Ini tidaklah bererti menafikan keutamaan dan fadhilat berketurunan mulia seumpama Sayyidah Fatimah, tetapi ianya adalah pengajaran agar jangan hanya mengandalkan kemuliaan keturunan dengan meninggalkan amal-amal salih dan membersihkan jiwa dari segala mazmumah. Ianya mendidik agar sentiasa menjejaki jalan para leluhur yang mulia agar keturunan mereka juga turut mulia sebagaimana leluhur mereka terdahulu. Sungguh pelik dan mengherankan, jika ada orang yang kemuliaan keturunan dan kebangsawanannya tidaklah melebihi atau setara dengan Sayyidah Fatimah az-Zahra`, tetapi hanya bergantung dan berbangga-bangga dengan kebangsawanannya. Bukalah mata, janganlah tertipu dengan nasab keturunan, dan apa yang penting jangan bikin malu kompeni, jangan memalukan para leluhur yang mulia. Menapaklah atas tapak-tapak kesalihan mereka, agar kamu pun akan terpimpin sebagaimana mereka yang terdahulu terpimpin menuju keredhaan Allah SWT dan menjadi penyejuk mata Baginda Nabi SAW. Moga kubur kita nanti diluaskan Allah dan dijadikanNya satu taman dari taman-taman syurga ... Allahumma aamiiin bi jaahi Sayyidil Mursalin.

***************************
Menanti Di Barzakh

video