Selasa, Disember 28, 2010

Sandaran Tawassul Lepas Wafat

KITA menyambung bicara kita tentang tawassul dalam latar kehangatan beberapa isu-isu agama yang timbul dalam masyarakat seperti penangkapan pengikut fahaman Syiah, ancaman faham Pluralisme Agama dan fatwa tentang peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah.

Di samping, sikap dan pendirian majoriti umat yang tercermin antara lainnya dalam suara majoriti mufti-mufti, kedengaran juga di sana-sana suara-suara sumbang dan syadz (ganjil/asing). Ada yang mempertikaikan penggunaan undang-undang terhadap aliran menyeleweng malah ada juga ilmuwan yang bukan ulama yang cuba menghujah bahawa Syiah bukanlah aliran yang bermasalah.

Suka kita mengambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada diri dan para pembaca sekalian untuk berwaspada terhadap pandangan-pandangan yang menyalahi majoriti umat ini. Khalayak awam yang punya tumpuan dan kehidupan mereka masing-masing tidaklah dibebankan untuk meneliti setiap hujah dan dalil yang cuba dikemukakan. Nanti terhenti dan terganggu pula kehidupan masyarakat. Inilah rahsianya prinsip-prinsip mengutamakan ijmak ataupun suara majoriti umat (sawad al-a'zam) dalam Islam.

Umat Nabi Muhammad SAW tidak akan bersepakat atas suatu yang batil. Bagi orang awam, cukuplah sandarannya untuk menolak pandangan mereka ini dengan bersandar dengan sekian ramai para ulama dan ilmuwan Islam lain yang bersama suara majoriti. Menganggap bahawa semua mereka ini jahil, leka, tersalah ataupun sudah dibeli oleh kepentingan duniawi adalah suatu sikap prasangka yang melampau terhadap Islam dan umat Islam.

Mungkin dalam isu bertawassul ini juga suara-suara yang sama akan membangkang pandangan majoriti yang sedang kami bentangkan. Semoga kita sentiasa ditawfiqkan untuk memakai pandangan yang terbaik.

Bertawassul selepas kewafatan Nabi SAW memang ada sandarannya. Antaranya, telah meriwayatkan Ibnu Abi al Dunya di dalam kitab Mujabi al Du'a', katanya: "Telah menyampaikan kepada kami Abu Hasyim, aku mendengar Kathir ibnu Muhammad ibnu Kathir ibnu Rifa'ah berkata 'telah datang seorang lelaki kepada Abdul Malik ibnu Sa'id ibnu Abjar, lalu dia memerhatikan perutnya dan berkata, "Kamu mengidap satu penyakit kronik yang sukar untuk sembuh." Katanya: "Penyakit apakah yang aku hidapi?" Jawabnya: "Al Dubailah, iaitu kanser dan bisul besar yang tumbuh dalam perut. Biasanya, ia boleh meragut nyawa orang yang menghidapnya."

Beliau berkata: "Maka lelaki itu berpaling dan berdoa: "Allah, Allah, Allah adalah Tuhanku, aku tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepada-Mu dengan Nabi-Mu; Muhammad; Nabi pembawa rahmat SAW, wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu dan Tuhanku agar Dia merahmatiku (dengan menyembuhkan) penyakit yang menimpaku."

Ibnu Rifa'ah berkata: "Abdul Malik ibnu Said menyentuh perut lelaki itu, lalu berkata, 'kamu telah pun sembuh dan penyakit itu tidak ada lagi padamu'."

Berkata Ibnu Taimiyyah: "Doa ini dan doa lain yang sepertinya, telah diriwayatkan, bahawa ia telah digunakan oleh Salaf. (Ibnu Taimiyyah, Qa'idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah H: 91)."

Kita sedia maklum, bahawa Ibnu Taimiyyah mengetengahkan hadis ini untuk menjelaskan maksudnya dan memfokuskannya seperti mana yang dikehendakinya. Namun, yang penting bagi kita di sini ialah pengakuannya bahawa Salaf telah menggunakan doa sedemikian dan terhasilnya penyembuhan dengan doa tersebut. Inilah ketetapan daripada permasalahan ini yang penting bagi kita. Adapun ta'liq (komen)nya ke atas hadis ini, ia hanya pendapatnya sahaja. Bagi kami, itu tidak penting kecuali adanya penetapan nas untuk dijadikan dalil atas apa yang kami inginkan, dan Syeikh Ibnu Taimiyyah juga berhak menggunakan hadis tersebut sebagai dalil sebagaimana yang diingininya.

Sebahagian daripada mereka berbunyi dan bersuara lantang mengenai hadis Tawassul Nabi Adam AS dan hadis Uthman ibnu Hunaif RA dan lain-lainnya. Mereka beria-ia menolaknya dengan segala kekuatan, berdebat, berdialog, berdiri dan duduk serta melakukan bermacam-macam cara. Semua yang mereka lakukan tidak ada faedahnya kerana walau bagaimana hebat sekalipun usaha mereka untuk menolak hadis-hadis yang berkaitan dengan bab ini, ulama besar terlebih dahulu telah pun mengemukakan pendapat mereka.

Ternyata ulama-ulama besar tersebut lebih sempurna akalnya, lebih luas ilmunya, lebih jauh pengalamannya, lebih dalam kefahamannya dan lebih banyak cahaya, ketakwaan dan keikhlasannya daripada mereka. Misalnya, Imam Ahmad ibnu Hanbal RH. Beliau berkata mengenai keharusan bertawassul sebagaimana yang dinaqalkan daripadanya oleh Ibnu Taimiyyah dan al 'Iz Ibnu Abdul Salam. Ibnu Taimiyyah sendiri menyatakan di dalam salah satu pendapatnya tentang keharusan bertawassul secara khusus dengan Nabi SAW. Kemudian diikuti pula, oleh Muhammad ibnu Abdul Wahhab yang menafikan tuduhan bahawa dia mengkafirkan orang yang bertawassul. Bahkan, jelas di dalam kitab Fatawanya, beliau menegaskan bahawa tawassul hanyalah menyentuh masalah cabang agama dan bukannya berkaitan tentang masalah usul. Semuanya ini akan diperincikan di dalam kitab Mafahim yang kita bentangkan sedutannya di sini, insya-Allah.

Dalam hal ini, Syeikh al Allamah al Muhaddith Abdullah al Ghumari telah menulis sebuah risalah khusus yang membicarakan tentang hadis ini yang diberi tajuk, Misbah al Zujajah fi Fawaid Solat al Hajah. Beliau telah mengupasnya dengan kupasan yang amat baik dan berguna, bahkan telah menghasilkan sesuatu yang mampu menyembuhkan dan mencukupkan pelbagai keperluan. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan.

- Panel Penyelidikan Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

(sumber Utusan Malaysia)

Selasa, Disember 21, 2010

Bertawassul selepas kewafatan Nabi SAW

SESUDAH kita menghuraikan tentang bolehnya bertawassul dengan Nabi SAW sebelum hayat Baginda SAW, mari pula kita melihat hukum tawassul semasa hayatnya dan selepas wafat Baginda SAW. Untuk itu marilah kita merujuk kepada beberapa dalil utama yang berkaitan.

Diriwayatkan daripada Uthman ibn Hunaif RA berkata: Aku mendengar, seorang lelaki buta datang kepada Rasulullah SAW, lalu mengadu tentang penglihatannya yang hilang. Dia berkata, "Wahai Rasulullah! "Doakanlan keafiatan untukku." Maka Rasulullah SAW bersabda, "Jikalau kamu mahu, aku akan lewatkannya (tidak mendoakannya supaya dia dapat balasannya di Akhirat) dan jikalau kamu mahu, aku akan mendoakan keafiatan untuk kamu." Lelaki itu menjawab "Doakanlah." Maka Baginda SAW menyuruh lelaki buta itu berwuduk dan memperelokkan wuduknya serta melakukan solat dua rakaat, kemudian berdoa dengan doa ini:

"Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajjuh kepada-Mu dengan (hak) Nabi-Mu; Muhammad SAW; Nabi pembawa rahmat, wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu, agar engkau tunaikan hajatku ini. Ya Allah! Syafaatkanlah dia untukku dan syafaatkanlah aku padanya."

Telah berkata al-Hakim: Hadis ini adalah sohih sanadnya dan tidak dikeluarkan oleh al Bukhari dan Muslim (Al Mustadrak, Jld 1, H: 519). Telah berkata al-Zahabi tentang hadis ini: Ia adalah sohih. Telah berkata al-Tirmizi di dalam bab-bab Berdoa di bahagian akhir kitab Sunannya: Ini ialah hadis hasan sohih gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan daripada wajah ini daripada hadis Abu Ja'far, dan dia bukan al Khatmi.

Aku berkata: Yang benarnya, Abu Ja'far ialah al Khatmi al Madani sebagaimana yang didatangkan dengan jelas di dalam riwayat-riwayat al-Tabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi. Al-Tabrani menambah di dalam al Mu'jam al Soghir bahawa namanya ialah 'Umair ibn Yazid dan dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai).

Telah berkata al 'Allamah al Muhaddith Abdullah ibn Siddiq al Ghumari di dalam risalahnya Ittihaf al Azkiya': Tidak diterima akal, para hafiz bersatu di dalam mentashihkan hadis yang ada di dalamnya sanadnya yang majhul, terutamanya al-Zahabi, al-Munziri dan al-Hakim.

Telah berkata al-Munziri: Ia juga diriwayatkan oleh al-Nasaie, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah di dalam Sohihnya.(al Targhib wa al Tarhib pada kitab al Nawafil, bab al Targhib fi Solat al Hajah (Jld 1, H: 474).

Kesimpulan daripada kisah yang diberikan, Uthman ibn Hunaif RA yang merupakan periwayat hadis ini dan menyaksikan kisah tersebut, telah mengajar orang yang mengadu kepadanya tentang kelewatan Khalifah Uthman RA menunaikan hajatnya doa ini yang terkandung di dalamnya tawassul dengan Nabi SAW dan seruan kepada Baginda SAW untuk meminta tolong dengan Baginda SAW selepas kewafatannya. Setelah lelaki itu menyangka bahawa hajatnya terlaksana disebabkan pemberitahuan Uthman ibn Hunaif RA kepada Khalifah RA, lekas-lekas Uthman ibn Hunaif RA menafikannya. Lantas beliau menceritakan kepadanya tentang peristiwa yang telah didengari dan dilihatnya untuk menjelaskan bahawa hajatnya diterima kerana tawassul, doa dan istighathahnya dengan Rasulullah SAW. Bahkan, dia menguatkan lagi hal tersebut dengan sumpahnya bahawa dia tidak memberitahu khalifah tentang aduan lelaki itu. Maka jelaslah bahawa ada asas yang kukuh bagi membolehkan bahkan menggalakkan bertawassul dengan Nabi SAW semasa hayatnya dan selepas wafat Baginda SAW.

- Panel Penyelidikan Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

(sumber Utusan Malaysia)

Ratibul Haddad - Maslakul Akhyaar

Maka inilah sedikit keterangan Habib 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil BinYahya rahimahUllah mengenai ratib yang sangat berkat bagi al-Quthubul Awliya` 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad RA sebagaimana termaktub dalam "Maslakul Akhyaar fil Ad`iyyah wal Adzkaar al-waridah 'an an-Nabiyyil Mukhtaar shallaAllahu 'alaihi wa sallam". Pada halaman 61 - 62, dinyatakan:-
Ini ratib al-Habib 'Abdullah al-Haddad radhiyaAllahu 'anhu wa nafa`anaa bih dibaca tiap-tiap malam sebelumnya sembahyang 'Isya` atau sesudahnya. Maka pahalanya amat besar dan faedahnya amat banyak bagi yang membaca akan dia di dalam hal ehwalnya dunia akhirat. Dan telah diamalkannya oleh ulama di keliling negeri dan lagi ada tersebut segala pahalanya dengan dalilnya di dalam syarahnya karangan Syaikh al-'Allaamah 'Abdullah BaSaudaan, ada kira-kira 17 kuras besarnya, ada di dalamnya penuh daripada segala hadis dan segala nash ulama awliya` menyatakan tiap-tiap satu zikir-zikir daripada segala zikir-zikir yang ada di dalamnya dengan pahalanya dan segala wajah adab lafaznya, adanya. Dan lagi ini ratib telah diamalkannya oleh segala ulama di keliling negeri Mekah dan Madinah dan Hadhramaut dan lain-lain negeri pula.
Sayogia hendaknya kita amalkanlah ratib yang ringan ini agar ianya menjadi tali untuk memperkukuhkan hubungan kita dengan Raja sekalian 'alam.

Sabtu, Disember 11, 2010

Salam Ma`al Hijrah

Rasanya belum terlambat bagi kawan untuk mengucapkan "Salam Ma`al Hijrah" kepada kalian. Moga tahun baru ini disambut dengan kejayaan azam tahun lepas kita, dan diikuti dengan azam baru untuk menjadikan tahun ini lebih baik dan lebih bererti dalam kehidupan kita dunia akhirat dari tahun lepas.

Hendaknya azam utama kita adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Menjadikan Allah sebagai tujuan dan matlamat hidup dan mati kita. Utamakanlah Allah dalam segala perkara dan urusan, jangan dikesampingkan Dia demi yang selainNya. Inilah kayu ukur bagi kedudukan kita di sisiNya, sebagaimana sabda Junjungan Nabi SAW yang berbunyi:-

"Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, dia perhatikanlah bagaimana kedudukan Allah di hatinya; Maka sesungguhnya Allah 'azza wa jalla meletakkan seseorang hamba itu di sisiNya sebagaimana si hamba meletakkanNya dalam dirinya."
Hadis ini walaupun dhoif tetapi mempunyai makna yang shohih serta ianya disokong oleh beberapa hadis lain yang hampir serupa sebagaimana riwayat Imam ad-Daraquthni daripada Sayyidina Anas RA dan riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah RA dan Sayyidina Samurah RA sebagaimana termaktub dalam "al-Hilyah" karya Imam Abu Nu`aim.

Oleh itu, sentiasalah meletakkan Allah SWT di tempat teratas dalam diri kita, mudah-mudahan Allah meninggikan kedudukan kita di sisiNya. Dan ingat juga kata-kata hikmah - " Tanda mencintai Allah SWT, mencintai kekasihNya, Junjungan Nabi SAW." Selamat Tahun Baru Hijrah 1432, moga dirahmati dan dikasihi serta diberkati Allah sentiasa, sepanjang tahun dan masa, serta jangan lupa mendoakan kawan yang faqir ini dalam segala doa kalian.