Jumaat, Disember 09, 2011

Nur Muhammad - Mulla `Ali al-Qari


Imam Mulla `Ali bin Sulthan al-Harawi al-Qari @ Mulla `Ali al-Qari rahimahullah adalah seorang ulama ahli hadis yang bermazhab Hanafi. Ketinggian ilmu dan pribadi beliau diakui umat sehingga digelar sebagai " al-Imam Naashirus Sunnah wa Qaami`ul Bid`ah - Imam Pembela Sunnah dan Pembasmi Bid`ah". Beliau  sempat berguru dan menjadi murid kepada Mufti Makkah, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, ulama besar bermazhab Syafi`i, pengarang kitab "Tuhfah" yang masyhur. Imam Mulla `Ali al-Qari rahimahullah adalah antara ulama yang menerima riwayat hadits masyhur yang menyatakan bahawa seawal-awal penciptaan Allah adalah Nur Muhammad SAW. Dalam karya mawlid beliau yang berjodol "al-Mawridur Rawiy fi Mawlidin Nabiy SAW" beliau telah menukilkan hadits tersebut yang menyatakan:-



Seawal-awal Makhluk : an-Nur al-Muhammadiy
 Telah dikatakan: Telah diriwayatkan oleh Imam `Abdur Razzaq dengan sanad daripada Sayyidina Jaabir bin `Abdullah al-Anshari yang berkata:: " Wahai Rasulallah, demi ayah dan ibuku yang menjadi tebusan bagimu, khabarkanlah kepadaku mengenai apa yang mula pertama dicipta Allah ta`ala sebelum segala sesuatu." Junjungan s.a.w. bersabda:- "Wahai Jabir, bahawasanya Allah telah mencipta, sebelum segala sesuatu, akan nur nabimu daripada nurNya (yakni nur yang menjadi milikNya). Lalu dengan kudratNya berputar nur tersebut (yakni menjalani satu proses yang Allah sahaja Maha Mengetahui hakikatnya) menurut kehendakNya, dan pada waktu itu belum ada lauh, belum ada qalam, belum ada syurga, belum ada neraka, belum ada malaikat, belum ada langit, belum ada bumi, belum ada matahari, belum ada bulan, belum ada jin dan belum ada manusia. Ketika Allah ta`ala berkehendak untuk menciptakan makhluk, dibahagiNya nur tersebut kepada empat bahagian, maka dijadikanNya daripada bahagian pertama, qalam, dan daripada bahagian kedua, lauh, dan daripada bahagian ketiga, arsy. Kemudian dibahagiNya bahagian keempat kepada empat bahagian lagi, lalu diciptakanNya daripada bahagian pertama akan malaikat penanggung arsy (hamalatul-arsy), dan daripada bahagian kedua, kursiy; dan daripada bahagian ketiga, malaikat-malaikat lain. Kemudian dibahagiNya pula bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu dijadikan daripada bahagian pertama akan segala langit; dan daripada bahagian kedua, segala bumi; dan daripada bahagian ketiga, syurga dan neraka. DibahagiNya lagi bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu diciptaNya daripada bahagian pertama, nur absharil mu`minin (nur pandangan orang-orang mu`min); daripada bahagian kedua, nur hati-hati mereka iaitu ma'rifatu billah ta`ala (yakni ma`rifat akan Allah ta`ala); dan bahagian ketiga, nur ucapan mereka iaitu tauhid "la ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah."
Aku (yakni Imam Mullah `Ali al-Qari) berkata: Dan pengertian inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah ta`ala: "Allah (Pemberi) cahaya kepada langit dan bumi. Perumpamaan nurNya - iaitu Nur Muhammad SAW - adalah seperti misykah (lubang yang tidak tembus cahaya yang dibuat pada dinding rumah untuk meletakkan pelita/lampu agar sinar pancaran cahayanya kuat dan tidak berselerak) yang berisi sebuah lampu ........
Mudah-mudahan bertambah faham kita mengenai konsep Nur Muhammad yang sering dijadikan modal oleh sesetengah pihak untuk menyesatkan pihak yang berpegang dengan makhluk terawal diciptakan Allah ini. Sentiasalah berlapang dada, adakah kamu hendak menghukum ulama-ulama seperti Imam Mulla `Ali al-Qari sebagai sesat kerana menerima Nur Muhammad ? Kalau berani terpulanglah, nanti tanggung sendiri. Jangan jadi pepatah tok nenek kita, tiada beban batu digalas. Pandai-pandai kome le....

5 ulasan:

Mohamad Rizal berkata...

terima kasih ustaz atas ilmu ini. sangat bermanfaat

Muhammad Ilham berkata...

pencerahan yg amat brmanfaat..syukran jazaakallah syeikh.

Azlan berkata...

Salam, setelah saya selidiki, saya dapati hadith yg diriwayatkan dari Imam Abdur Razzaq mengenai awal penciptaan adalah dari Nur Muhammad adalah hadith mawdhuk atau disebut hadith palsu. Jika ada sumber yg benar, harap boleh kemukakan. Wallahua'lam.

Abu Muhammad berkata...

Salam.

Tak apalah saudara azlan, menurut penyelidikan ese para ulama dan muhadditsin berbeza pendapat mengenai hadits tersebut. Ada yang mensabitkannya dan ada pula yang menolaknya.

Yang menolaknya seperti yang ditaqlidkan oleh saudara itu hanya sekadar berhujjah bahawa ianya tiada dalam musannaf abdur razak.

Namun ese lebih percaya akan perkataan Imam al-Qasthalani yang menyatakan bahawa ianya diriwayatkan oleh Abdur Razzaq. Dan perkataan al-Qasthalani ini telah dipegang oleh ramai ulama yang datang kemudian.

Saudara bacalah betul-betul segala entri yang telah ese postkan sebelum berkomentar seperti ulama muhaddits yang pakar jarh wa ta'dil. Beradablah wahai saudara dengan para ulama walaupun kamu berbeza pendapat dengan mereka.

Allah yahdik.

Unknown berkata...

saudara azlan , enta ngaji hadis dr syeikh mana ? Sedap hukum maudhu'....~