Sabtu, April 30, 2011

Syaikh Ibrahim al-Fathani

Syaikh Ibrahim bin Daud bin `Abdul Qadir al-Fathani asy-Syafi`i al-Makki adalah ulama keturunan Jawi yang lahir di Makkah pada tahun 1320H. Beliau mendapat didikan awal daripada ayahandanya sendiri sehingga berjaya menghafal al-Quran dalam usia kecil, kemudian ayahandanya mengajar beliau karya as-Sayyid Husain al-Maliki sebelum memasukkan beliau ke Madrasah al-Hasyimiyyah.

Selain belajar secara formal di madrasah tersebut, beliau turut menuntut dengan para ulama di luar, dan antara guru beliau adalah Syaikh Muhammad bin `Abdul Qadir al-Fathani, Syaikh Muhammad `Ali bin Husain al-Maliki, Syaikh Yahya Aman, Syaikh Sa`id Yamani, Sayyid `Abbas bin `Abdul `Aziz al-Maliki, Syaikh Muhammad Habibullah as-Syinqithi al-Mishri al-Maliki, Syaikh `Umar BaJunaid, Syaikh `Umar al-Mahrasi, Sayyid Muhammad Amin Kutubi, Syaikh `Isa Rawwas dan ramai lagi, rahimahumUllah.

Setelah menamatkan pengajian, beliau mengajar dalam Masjidil Haram serta di beberapa tempat dan madrasah di Makkah. Beliau juga pernah dilantik menjadi qadhi. Di antara karangan beliau adalah:-
  1. Syarah `ala Riyadh ash-Shalihin;
  2. Mandhzumah fi Isthilaahaat al-Minhaaj;
  3. Nazam al-Hamziyyah fi Madhi Khairil Bariyyah SAW;
  4. Nahjul Burdah;
  5. Al-Futuuhaat ar-Ramadhaaniyyah wan Nafahaat ar-Rabbaniyyah;
Syaikh Ibrahim meninggal dunia dalam usia 93 tahun di Makkah pada hari Selasa 11 Sya`baan 1413H dan dimakamkan di Jannatul Ma`ala. ............ al-Fatihah.

Khamis, April 28, 2011

Al-Azhar Adalah Asy`ari

Siapa yang tidak kenal dengan Universiti al-Azhar asy-Syarif. Pusat pengajian ulung yang telah melahirkan ramai ulama yang berjasa di seluruh pelusuk dunia Islam. Alhamdulillah, dalam menghadapi serangan kaum salafi gadungan yang menuduh aqidah al-Asy`ari dan al-Maaturidi sebagai sesat dan keluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah, maka para ulama al-Azhar turut dengan lantang mempertahankan pegangan majoriti umat Islam tersebut. Bahkan Syaikhul Azhar, Prof. Dr. Ahmad ath-Thayyib hafizahUllah menegaskan bahawa al-Azhar berpegang dengan `aqidah al-Asy`ari dan al-Maaturidi, fiqh para Imam yang empat dan tasawwuf Imam Junaid. Bahkan, al-Azhar asy-Syarif akan tetap kekal atas `aqidah al-Asy`ari dan pemikiran sufi yang shahih. Inilah antara pernyataan beliau di hadapan ratusan pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di al-Azhar sebagaimana dilaporkan dalam akhbar "al-Hayat". Beliau juga menyifatkan puak-puak yang mengaku "salafi" yang ada pada masa kita ini, yang suka menyesatkan secara sembrono umat Islam yang tidak sefaham dengan mereka sebagai "Khawarij al-`Ashri" - puak Khawarij zaman moden.

Maka kepada puak-puak "Khawarij al-`Ashr", bersederhanalah, perkara furu` yang menjadi khilaf fiqh janganlah dijadikan sebagai perkara `aqidah pula sehingga tergamak menyamakan umat yang bersyahadah dengan kaum musyrikin. Janganlah mudah-mudah menyesatkan pegangan majoriti umat Islam. Sungguh puak-puak ekstrem ini telah menanam dakyah mereka dalam negara kita sehingga ada yang telah secara terang - terangan memproklamir bahawa al-`Asyairah sebagai sesat dan bukan Ahlus Sunnah wal Jama`ah.... Allahu ... Allah... tanggung depan Allah nanti. Ada jugak balaci mereka yang tergamak menyesatkan Imam-Imam Muslimin sebesar Imam Ibnu Hajar al-`Asqalaani rahimahUllah kerana beliau berpegang dengan `aqidah al-Asy`ari. Mereka mencanangkan ke sana ke mari akan fatwa-fatwa songsang sesetengah puak badwi "Khawarij al-Ashr" yang menjajah bumi Hejaz tempat al-Haramain. Mereka kini juga tidak segan silu membawa tokoh-tokoh mereka ke tempat kita dengan menempelkan gelar-gelar tertentu untuk mengelirukan orang awam. Maka berhati-hatilah wahai ikhwah sekalian dan tetap teguhlah kita atas pegangan `aqidah yang sebenar. Janganlah didengar dakyah-dakyah puak "Khawarij al-Ashr" yang bertopengkan pegangan Salaf. Sesungguhnya kitalah pengikut salaf yang sebenar, tiadalah khalaf itu melainkan kesinambungan bagi salaf.

Oleh itu, diharap para ulama kita, teristimewanya para Azhariyyun, agar semakin gigih memperjuang dan mempertahankan ajaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar yang berteraskan `aqidah al-`Asyairah yang mubarakah yang menjadi anutan majoriti umat Islam di seluruh dunia sepanjang masa. Janganlah dibiarkan puak-puak "Khawarij al-`Ashr" mencemuh dan menuduh `aqidah kita ini sebagai bid`ah dan sesat.

*******************************
Keratan Akhbar al-Hayat


Rabu, April 27, 2011

Akhlak Wahai Sayyid

Antara tujuan Junjungan Nabi SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan dan keluhuran akhlak terpuji. Bagindalah contoh suri tauladan unggul bagi sekalian umat. Maka hakislah kemuliaan seseorang itu walaupun dia memiliki susur nasab yang mulia dek kerana akhlak yang bejat. Dari itulah, maka al-`Arif Billah Mawlay al-`Arabiy ad-Darqawi al-Hasani (wafat tahun 1239H/1823M) rahimahUllah dalam warkahnya menulis, antara lain sebagai berikut:-

Dengarlah wahai faqir, bahawasanya aku telah menegur sebahagian syurafa` (yakni para syarif yang bernasab kepada Junjungan Nabi SAW) - moga-moga Allah meredhai mereka - yang melakukan kesalahan kepada sebahagian manusia: "Sesiapa yang mendakwa dirinya seorang syarif, sedangkan akhlak perilakunya keji, maka dia adalah seorang pendusta, kerana syarif yang sebenar adalah seorang yang mulia akhlaknya. Bagaimana dia boleh berakhlak keji, sedangkan dia berasal daripada Junjungan Nabi SAW - yang mana Allah telah berfirman memuji baginda : " Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang amat agung." Oleh itu, wahai saudaraku, sekiranya engkau tidak bersifat dengan sifat baginda, tidak berperangai dengan perangai baginda, maka dari arah mana jadinya engkau daripada baginda ? Dan dari pintu mana engkau hendak bertaqarrub dengan baginda ? Kerana tiadalah bagi Junjungan Rasulullah SAW itu selain daripada akhlak yang mulia dan kebaikan yang unggul semata-mata, sekali-kali baginda tidak memiliki akhlak dan perangai selainnya. Dan Allahlah sandaran atas apa yang kami nyatakan.
Oleh itu, wahai para saadah yang dimuliakan, jagalah akhlak kalian. Jangan sombong, sentiasalah tawadhu dan bersikap khumul sebagaimana para leluhur kalian terdahulu. Jauhilah sikap sukakan kemasyhuran sehingga memaksa-maksa untuk disanjung dan dijunjung. Tugas dan tanggungjawab kalian amat besar kerana kalian adalah pemanggul panji-panji Baitun Nubuwwah. Perilaku dan akhlak kalian menjadi contoh dan tauladan bagi kami, umat nenda kalian yang lemah ini. Bantulah kami untuk menghidupkan akhlak mulia sebagaimana anjuran Paduka Junjungan Baginda Muhammad SAW.


*************************************
Akhlak Nabawiyyah - Hb Taufik

video

Jumaat, April 15, 2011

Jom Mengundi Esok

Esok proses demokrasi akan dilaksanakan. Marilah kita menggunakan hak kita untuk memilih dengan bijak sana, jangan hanya bijak sini. Biarlah fikiran itu menjangkau jauh sehingga ke sana nanti, yakni fikirkanlah dengan saksama apakah kesan undi kita itu kepada kita nanti, adakah dikira sebagai ibadah justru berpahala atau maksiat lalu berdosa. Lihatlah pribadi calon juga di samping partinya, janganlah kita memilih calon-calon yang korup dan khianat kepada amanah, jika kita tahu seseorang calon itu seorang yang sedemikian, tapi terus juga kita sokong dan beri undi kita, maka percayalah bahawa kita sebenarnya telah bersyarikat dengannya dalam korupsi dan pengkhianatannya. Moga Allah memberikan kita panduan untuk memilih calon yang tepat dan mudah-mudahan Allah menjadikan yang terbaik bagi negeri kita, SARAWAK DARUL HANA, memakmurkannya serta memperkembangkan lagi agama Islam yang tinggi kepada segala anak negerinya. Untuk difikir-fikirkan, ambil yang jernih tinggalkan yang keruh, bacalah perutusan khas PKMS.

****************************************

PERUTUSAN KHAS PILIHANRAYA

PERSATUAN KEBANGSAAN MELAYU SARAWAK

Perutusan ini ditujukan kepada semua ahli PKMS khasnya bersempena dengan Pilihanraya Negeri pada 16 April 2011. Sudah tentu keputusan pilihanraya ini akan menentukan keputusan Pilihanraya Parlimen yang akan datang.

PKMS sedia maklum, sebagai sebuah badan bukan kerajaan, (NGO, Non-Governmental Organisation) pendirian rasmi PKMS dalam pilihanraya ini adalah ‘NEUTRAL’ atau berkecuali iaitu tidak memihak ke mana-mana pihak. Walaupun dalam tahun 1986 ada pihak hendak memperalatkan PKMS untuk kepentingan pihak tertentu, tetapi gagal.

Sebagai sebuah NGO yang tertua di Sarawak, yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan negeri atau pusat, PKMS berpendirian bahawa survival dan keutuhan masyarakat Melayu di Sarawak adalah faktor utama dalam penentuan pemilihan calon-calon pilihanraya. Selain dari itu, faktor-faktor lain yang boleh diambilkira yang berkait rapat dengan survival masyarakat Melayu di Sarawak adalah seperti berikut:

  • Faktor ekonomi.

Tidak dinafikan taraf ekonomi majority orang Melayu di Sarawak masih jauh ketinggalan. Dasar Ekonomi Baru dahulu gagal membantu mereka. Program transformasi terlalu awal untuk dinilai oleh mereka. Peluang pekerjaan yang dikatakan cukup dalam masa 25 tahun lagi di bawah SCORE pun tidak akan disaksikan oleh yang mengatanya disebabkan oleh faktor usianya. Tidak hairanlah jika harapan hanya tinggal harapan bagi majority orang Melayu.

PKMS mahu calon-calon yang bertanding mempunyai wawasan jelas dan benar bagi mempertingkatkan taraf ekonomi majority orang Melayu lebih-lebih lagi dalam konteks sekarang, di mana kadar inflasi yang sentiasa meningkat, susut nilai ringgit yang amat ketara berbanding matawang lain terutama Singapore Dollar dan Brunei Dollar dan kuasa pembeli yang menurun setiap hari dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan oleh penurunan subsidi, GST dan cukai import yang tinggi telah menambahkan lagi penderitaan rakyat. Adakah semuanya ini akibat mandat dua per tiga daripada para pengundi atau pembangkang yang berdiam diri?

Berbagai program ekonomi hendaklah di atur baik di Bandar atau luar Bandar oleh pemegang dana rakyat agar taraf kehidupan masyarakat Melayu dapat di pertingkatkan, hak keistimewaan Melayu dipertahankan tanpa pagar makan padi mahupun musuh dalam selimut, dan KEMISKINAN MASYARAKAT MELAYU DAN SELURUH RAKYAT SARAWAK DAPAT BENAR-BENAR DIHAPUSKAN bukan melalui pembohongan dengan menggunakan statistik.

  • Gejala Sosial.

Masyarakat Melayu khasnya belia-belia Melayu kini adalah golongan tertinggi dalam kes-kes jenayah seperti ragut, pecah rumah dan rogol dan penyalahgunaan dadah. Apakah pelan dan program jangka panjang yang disarankan oleh calon-calon yang bertanding supaya keberkesanannya boleh dinilai oleh pengundi? Gejala sosial ini jika tidak diatasi segera masyarakat Melayu Sarawak akan menyebabkan keberhasilan modal insan yang kurang bernilai untuk keluarga dan Negara.

  • Visi Calon

PKMS mempunyai keyakinan calon-calon yang bertanding harus mempunyai komitmen total ke arah memperjuangkan kesejahteraan orang Melayu baik dari segi ekonomi ataupun sosial bermula dengan penggubalan undang-undang sehingga perlaksanaan yang berkesan. Kepekaan dan keberanian calon-calon dalam mengadakan program-program dengan penglibatan secara langsung kaum belia Melayu khasnya ahli-ahli PKMS harus diberi keutamaan.

Ahli-ahli PKMS, kaum belia PKMS dan SELURUH MASYARAKAT MELAYU SARAWAK seharusnya menggunakan peluang ini memilih calon-calon Melayu yang berwawasan, berhemah tinggi, berintegriti, sanggup bekerjasama dengan badan-badan berkecuali, NGO-NGO Melayu, mudah didekati dan berinisiatif tinggi untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial masyarakat Melayu.

Semoga Allah S.W.T memberi ahli-ahli sekalian keberanian untuk mengubah apa yang boleh di ubah, dan ketenteraman untuk menerima apa yang tidak boleh di ubah, dan kebijaksanaan untuk mengetahui perbezaan di antaranya. Amin, dan Selamat Mengundi.

Dikeluarkan oleh PKMS Pusat,

14 April 2011

Rabu, April 13, 2011

Bonda Junjungan SAW - Sy. Manshur 'Ali

Tatkala kembali dari Thaybah menuju ke Makkah, di satu tempat bernama Abwa`, kembalilah Sayyidah Aminah radhiyaAllahu `anha ke rahmatUllah. Beliau meninggalkan Junjungan Nabi SAW yang ketika itu baru berusia 6 tahun. Junjungan Nabi SAW tidak pernah lupakan bonda baginda, baginda telah meminta izin untuk menziarahi kubur bondanya itu dan telah diizinkan. Perkara ini dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa-i rahimahumUllah sebagai berikut:-

"Sayyidina Abu Hurairah RA berkata bahawasanya Junjungan Nabi SAW telah menziarahi kubur bonda baginda, lalu baginda telah menangis dan para sahabat yang ada bersama turut menitiskan air mata mereka. Kemudian baginda bersabda: " Aku telah meminta izin daripada Tuhanku untuk beristighfar baginya, tapi Dia tidak mengizinkannya, lalu aku meminta keizinanNya untuk menziarahi kuburnya, maka aku dizinkan. Oleh itu ziarahilah kamu akan segala kubur kerana sesungguhnya perbuatan tersebut mengingatkan akan kematian."
Hadits ini kerap dinukilkan oleh segelintir manusia untuk memberikan tanggapan bahawa bonda Junjungan Nabi SAW itu adalah tergolong daripada kalangan orang musyrik atau kafir yang menjadi penghuni neraka yang ditegah kita memohon keampunan Allah bagi pihak mereka. Adakah pandangan ini benar ? Syaikh Manshur 'Ali Naasif rahimahUllah, seorang ulama al-Azhar yang disebut oleh Musnid Dunya Syaikh Yaasin al-Fadani dalam "al-Kawaakib ad-Daraari " halaman 376 sebagai gurunya, dalam karya beliau yang masyhur "at-Taaj al-Jaami' lil Ushuul fi Ahaadiitsir Rasul SAW", menyangkal pendapat tersebut. Beliau menuliskan penjelasannya itu pada halaman 382 sebagai berikut:-

Ziarah Junjungan Nabi SAW akan kubur bonda baginda. Beliau adalah as-Sayyidah Aminah binti Wahb rahimahAllahu wa radhiya `anha. Ketika Junjungan Nabi SAW menziarahi kuburnya, baginda telah menangis kerana bondanya tidak sempat menemui zaman Islam dan menikmati nikmat Islam. Baginda tidak diberi keizinan untuk beristighfar bagi bondanya kerana Islam adalah syarat bagi membolehkan beristighfar baginya sedangkan bonda Nabi SAW telah wafat atas agama kaumnya sebelum Junjungan Nabi membawa syariat Islam. Akan tetapi ini tidak menafikan yang bonda Junjungan Nabi SAW akan memasuki syurga kerana sesungguhnya beliau termasuk dalam golongan ahlul fatrah dan jumhur ulama berpendapat bahawa mereka adalah golongan yang selamat daripada dimasukkan ke neraka, di mana Allah telah berfirman: "Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul" - iaitu kepada setiap umat. Bahkan telah warid dan sahih di sisi para awliya` yang kasyaf bahawasanya Allah ta`ala telah menghidupkan ayahanda dan bonda Nabi SAW setelah baginda diutuskan menjadi rasul, lalu mereka berdua telah beriman dengan baginda SAW. Maka dari itu, jadilah keduanya daripada golongan ahli syurga dengan pasti. Sebahagian ulama telah bersyair menyatakan:-

Telah kuyakini bahwa ayah bonda Junjungan Nabi
Dihidupkan Tuhan al-Karimul Bari
Atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Baginda Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dia yang lemah lagi dari hakikat berlepas diri


Dan hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan pelik untuk diterima akal, kerana sesungguhnya anugerah Allah itu luas dan permuliaanNya kepada kekasihNya adalah tersangat murah lagi luas, Allahu a'laam.
Oleh itu, amatlah penting untuk kita merujuk kepada para ulama yang muktabar dalam ikhtiar kita memahami sesuatu ayat al-Quran al-Karim atau al-Hadits asy-Syarif. Sentiasalah melihat akan kelemahan diri kerana dengan begitu kita akan sentiasa tawadhu dengan para ulama yang tentu lebih alim daripada kita yang baru belajar ini serta dapatlah kita memahami segala ajaran Islam menurut pandangan para pakarnya dan tidaklah kita meraban mengkhinzir buta.

Khamis, April 07, 2011

Tuan Mukhtar Bogor rahimahUllah

Tuan Mukhtar Bogor : 'Ulama Ahli Syariat & Haqiqat
(oleh: almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir rahimahullah)

DI MEKAH pada satu ketika dulu sekurang-kurangnya ada tiga orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menguasai banyak bidang disiplin ilmu. Ketiga-tiganya pula adalah merupakan yang paling ramai muridnya, terutama bagi masyarakat dunia Melayu.

Yang pertama, ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 25 tahun, mulai 1300 H/1882 M hingga tahun 1325 H/1908 M. Yang kedua Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi (1276 H/1860 M - 1334 H/ 1916 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 29 tahun, mulai 1305 H/1888 M hingga tahun 1334 H/1916 M. Yang ketiga ialah ulama yang diriwayatkan ini, nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid al-Bughri al-Batawi al-Jawi. Lahir di Bogor, Jawa Barat, pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278 H/14 Februari 1862 M, wafat di Mekah, petang Ahad, 17 Shafar 1349 H/13 Julai 1930 M. Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 28 tahun, mulai 1321 H/ 1903 M hingga tahun 1349 H/1930 M.

Sungguh pun Tuan Mukhtar Bogor menguasai banyak bidang disiplin ilmu termasuk ilmu-ilmu hadis, yang sering dibicarakan terutama oleh golongan tajdid, namun beliau tetap berpegang dengan Mazhab Syafie, pengikut setia Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi. Dalam tasawuf tetap berpegang kukuh dengan imam-imam kaum sufi yang muktabar seperti Imam Abu Qasim Juneid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, dan lain-lain.

PENDIDIKAN

Beliau memperoleh pendidikan dari orang tuanya sendiri, terutama tentang al-Quran sekaligus beliau hafiz kitab suci Islam itu. Dalam tahun 1299 H/1881 M melanjutkan pelajarannya di Betawi/Jakarta, belajar kepada al-`Allamah al-Habib Utsman bin Aqil bin Yahya, Mufti Betawi. Melalui ulama Arab keturunan Rasulallah s.a.w tersebut Tuan Mukhtar Bogor hafal matan-matan ilmu yang pelbagai. Matan-matan itu ialah: Matn al-Milhah, Matn al-Alfiyah dan Matn al-Qathar semuanya dalam bidang ilmu nahu, Matn al- Ghayah wa at-Taqrib, Matn al-Irsyad, Matn az-Zubad semuanya dalam fikh dan termasuk juga akidah. Ketika belajar di Betawi juga, Tuan Mukhtar telah mahir dalam riwayat-riwayat ilmu Qiraat.

Ulama-ulama yang pernah mengajar Tuan Mukhtar, yang bersanad, yang beliau sebut dalam tulisannya, ialah: Sayyid Muhammad Amin bin Sayyid Ahmad ar-Ridhwan al-Madani, Sayyid Abu Bakri Syatha dan saudaranya Sayyid Umar Syatha, Sayyid Abdul Karim an-Naji ad-Daryandi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Mushthafa Afifi dan Syeikh Muhammad Zainuddin al-Jawi as-Sumbawi. Ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia ini menghasilkan beberapa buah karangan di antaranya yang masih diajarkan sampai sekarang ialah Sirajul Huda (akidah) dan Minhajus Salam (fikh). Guru-guru yang lain beliau sebut pula Syeikh Muhammad al-Minsyawi, Sayyid Umar as-Syami, Sayyid Husein al-Habsyi, Sayyid Yusuf an-Nabhani, Sayyid Muhammad bin Ja'afar al-Kattani dan Syeikh Abdul Qadir al-Halabi.

Ada beberapa buah kitab yang dikhatamkan Tuan Mukhtar di bawah bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani, kitab-kitab itu ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatuth Thalibin. Kedua-dua kitab itu adalah mengenai fikh yang sekaligus Tuan Mukhtar belajar juga kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha, iaitu pengarang kitab I'anatuth Thalibin itu. Kitab fikh Mazhab Syafi'ie yang besar-besar Tuhfah dan Nihayah, Tuan Mukhtar juga belajar kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha. Tuan Mukhtar Bogor juga secara langsung khatam dua buah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Yang sebuah dalam bahasa Arab, iaitu Tashil Nail al-Amani tentang nahu. Yang bahasa Melayu ialah Faridatul Faraid tentang akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Mengenai ilmu hadis terutama kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Tuan Mukhtar belajar dari awal hingga akhir kedua-dua kitab itu kepada Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi. Mengenai ilmu tafsir pula Tuan Mukhtar belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki juga adalah guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

MENGAJAR

Dalam catatan sejarah Tuan Mukhtar Bogor adalah seorang yang sangat rajin belajar, mengajar, membaca dan sangat kuat beramal. Praktik mengajar dilakukan di Masjid al-Haram dan di rumah beliau sendiri. Mengajar di Masjid al-Haram dilakukan antara Maghrib dan Isyak. Dan sesudah Isyak disambung lagi. Yang hadir ketika beliau mengajar di dalam Masjid al-Haram sekitar 400 orang yang terdiri dari para pelajar dan termasuk para ulama.

Biasanya beliau mengajar sesudah Subuh, jika di rumah, ialah ilmu nahu, ilmu sharaf dan balaghah. Sesudah Asar mengajar kitab Ihya' Ulumid Din karangan Imam al-Ghazali. Pelajaran yang singkat tentang ilmu falak dan miqat dilaksanakan pada hari Selasa, iaitu mengajar kitab susunan beliau sendiri.

Setiap malam Jumaat, Tuan Mukhtar Bogor mengadakan majlis zikir dan doa yang ramai manusia menyertai majlis itu. Setiap selesai melakukan zikir dan doa diiringi dengan jamuan makan secara berjemaah.

Selain melakukan zikir dan doa berjemaah Tuan Mukhtar Bogor memang dikenali sebagai seorang yang zahid, banyak melakukan ibadat, banyak membaca selawat atas Nabi s.a.w, banyak membaca al-Quran dan lain-lain sejenisnya. Sungguhpun Tuan Mukhtar Bogor berkekalan membaca al-Quran sebagai amalan, namun beliau masih mampu mengamalkan zikir-zikir jenis Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.

Selain hal-hal yang tersebut di atas Tuan Mukhtar Bogor juga dikenali sebagai seorang yang pemurah, beliau menampung para pelajar yang tiada berkemampuan dengan bimbingan pelimpahan ilmu, sekali gus diberi makan dan pakaian seperti yang beliau lakukan terhadap keluarganya sendiri.

Di antara murid-murid Tuan Mukhtar Bogor yang menjadi ulama besar yang mendapat tempat dalam masyarakat ialah: Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang, Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor, Sayyid Muhsin bin Ali al-Masawi, pengasas Madrasah al-Ulumid Diniyah, Mekah, Kiyai Ahmad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (adik Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi yang sangat terkenal), Kiyai Haji Hasyim al-Asy'ari, pengasas Nahdhatul Ulama Indonesia, Kiyai Haji Manshur bin Abdur Rahman Bogor al-Batawi, Sayyid Muhammad Ahyad bin Idris Bogor, ulama ini adalah menantu kepada Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang), Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama Kajang (1324 H/1908 M - 1413 H/ 1992 M) dan ramai lagi. Sewaktu artikel ini saya tulis masih ramai murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup, di antaranya di Malaysia ialah Tuan Guru Haji Hasyim (Pimpinan Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan), Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman (Pimpinan Pondok Lubuk Tapah, Kelantan). Selain yang masih hidup di Malaysia juga masih ramai di Patani, Indonesia dan di Mekah. Semua murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup pukul rata yang berusia melebihi usia 80 tahun ke atas.

PENULISAN

Syeikh Muhammad Mukhtar Bogor menghasilkan karya yang tersebar berupa cetakan ada yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang telah diketahui dan dijumpai adalah sebagai yang tersebut di bawah ini:

  • Taqribul Maqshad fil Amali bir Rub`il Mujaiyab, diselesaikan hari Khamis, 15 Syaaban 1308 H. Kandungan membicarakan ilmu falakiyah. Cetakan kedua Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1331 H. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Jumadil Awwal 1347 H. Selain cetakan sebuah manuskrip salinan yang ditemui, pada akhir salinan dinyatakan, "Saidi wa Ihsan Haji Abdur Rahman bin al-Haji Ibrahim Khathib Melabuh al-Jawi min ahali al-Juhur Baharu''. Maksudnya Saidi dan Ihsan bin Haji Abdur Rahman bin Haji Ibrahim, Khathib Melabuh yang berasal dari kekeluargaan Johor Bahru. Salinan telah dilakukan pada tengah hari Rabu, 15 hari terakhir bulan Rejab 1313 H.
  • Ushulud Din I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, diselesaikan hari Khamis, 24 Zulkaedah 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, sifat dua puluh. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H.
  • Ar-Risalatul Wahbatil Ilahiyah fi Bayani Itsqati ma'alal Maiyiti minal Huquqi was Shiyam was Shalati, diselesaikan malam Ahad, 2 Muharram 1327 H. Kandungan membicarakan fidyah sembahyang, puasa dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
  • As-Shawa'iqul Muhriqah lil Auhamil Kazibah fi Bayani Hillil Baluti war Raddu `ala man Harramahu, diselesaikan: Malam Isnin, 8 Muharram 1329 H. Kandungan membicarakan hukum boleh makan belut. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1329 H
  • It-hafus Sadatil Muhadditsin bi Musalsalatil Ahaditsil Arba'in, diselesaikan: 8 Rabiulawal 1345 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai sanad/silsilah keilmuan dan amalan. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Jumadilawal 1345 H Ditashhih oleh Syeikh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • Khutbah al-Jumaat, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan Khutbah Jumaat, khutbah yang pertama dan khutbah yang kedua. Dicetak tidak terdapat nama percetakan.
  • Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Cetakan yang pertama Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, atas perbelanjaan pemiliknya Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki, 1330 H.
  • Mukhtashar Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah al-'Arabiyah, Mekah, 13/2/1352. Pada halaman 7 pengarang mencatatkan bahawa syarah kitab ini dicetak pertama kali di Mekah tahun 1330 H dan cetakan yang kedua, tahun 1345 H di Mesir. Bahawa beliau telah mencantumkan 30 hadis berserta dengan syarahnya di dalam kitab tersebut.