Sabtu, Disember 29, 2012

Abu Talib Mukmin ?

Entri ini ese tulis dengan berat hati kerana ianya berhubung kait dengan seorang individu yang telah berjasa memelihara dan membela Junjungan Nabi SAW. Namun, atas pertanyaan bertalu-talu beberapa ikhwan tentang pencerahan yang dibuat oleh beberapa asatizah kita yang dianggap sebagai saling bertentangan, maka ese tuliskan juga entri ini dengan harapan agar persoalan yang telah ditimbulkan dapat ditanggapi dengan sewajarnya. 

Jika kita katakan bahawa ustaz si fulan menyatakan Abu Talib beriman, manakala ustaz si fulan pula mengatakan bahawa Abu Talib tidak beriman, maka ese katakan bahawa perbezaan pandangan dalam hal ini adalah wajar kerana sememangnya para ulama muktabar Ahlus Sunnah wal Jama`ah tidak pernah sependapat mengenai keimanan Abu Talib. Kebanyakan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah berpandangan bahawa, menurut nash yang mereka kaji dan teliti, Abu Talib tidak pernah masuk Islam atau menyatakan keimanannya sehingga hembusan nafasnya yang terakhir. Sungguhpun begitu, ada juga ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang mempunyai pandangan yang berbeza. Bagi mereka ini, Abu Talib adalah seorang mukmin. Di antara tokoh yang menyokong pendapat ini adalah al-'Alim al-'Allaamah as-Sayyid Muhammad bin Rasul al-Barzanji asy-Syafie (1040H - 1103H) rahimahullah dan Syaikhul Islam, Mufti Baladil Haram, Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan ( 1232H - 1304H) rahimahullah, pengarang kitab "Asnaal Mathaalib fi najaati Abi Thaalib". Selain daripada pendapat yang mensabit dan yang menafi keimanan Abu Talib tersebut, ada lagi pendapat ketiga yang dipegang oleh sebahagian ulama yang mengambil sikap bertawaqquf mengenai perkata ini. Maka boleh disimpulkan bahawa ada tiga pendapat ulama dalam hal beriman atau tidaknya Abu Talib.

Para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah berketurunan Ahlul Bait juga tidak sependapat dalam hal ini. Walaupun ramai yang cenderung dengan pendapat bahawa Abu Talib itu seorang yang beriman dengan Junjungan Nabi SAW. Namun ada juga di antara mereka yang menyatakan bahawa Abu Talib termasuk dalam golongan orang yang kekal di neraka. Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahullah dalam syarah beliau bagi qasidah guru beliau Imam al-Haddad rahimahullah yang dikenali sebagai  "Syarhul - `Ainiyyah" pada halaman 370 menyatakan, antara lain sebagai berikut:-

Dan yang kedelapannya (yakni dari bentuk-bentuk syafaat Junjungan Nabi SAW): (Memberi syafaat) dengan meringankan azab bagi seseorang yang kekal dalam api neraka seperti Abu Talib dan apa yang datang tentang Abu Lahab di mana dia mendapat keringanan (azab) pada setiap Isnin kerana kegembiraannya atas kelahiran Junjungan Nabi SAW dalam kisahnya yang masyhur.
 










Oleh itu, adalah lebih baik jika kita biarkan sahaja masalah beriman atau tidaknya Abu Talib sebagai suatu masalah yang mana para ulama kita telah bersetuju untuk berbeza pendapat. Makanya, hendaklah kita menjaga adabul ikhtilaf, dengan masing - masing saling menghormati dan meraiekan pandangan yang berbeza walaupun tidak bersetuju dengannya. Jika al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll as-Senari hafizahullah menyatakan pandangan beliau bahawa Abu Talib itu seorang yang beriman, maka itu bukanlah satu masalah kerana beliau mempunyai sandaran daripada kalangan para ulama Ahlus Sunnah yang muktabar seperti Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah. Begitulah juga dengan al-Fadhil Ustaz Zainul Asri hafizahullah yang menyatakan sebaliknya, beliau juga bersandarkan kepada pandangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang lain. 

Apa yang penting, dalam keghairahan kita membincangkan keimanan orang lain, jangan pula kita lupa melihat kepada keimanan diri kita. Nanti di akhirat sana,  pasti kita akan ditanya tentang keimanan kita sendiri. Tidak kurang juga pentingnya bagi kita untuk sentiasa menjaga adab dengan Junjungan Nabi SAW, jangan sampai kita bersikap biadab dengan baginda atau menyakiti hati baginda dengan mencela kaum kerabat baginda seperti Abu Talib. Biarlah urusan Abu Talib kita serahkan sahaja kepada baginda kerana Abu Talib itu adalah paman baginda yang dikasihinya. Mudah - mudahan Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan kasih - sayangNya kepada para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, kepada para ustaz kita yang ikhlas dalam dakwah dan penyebaran ilmu dan juga kepada mukminin mukminat sekaliannya....Allahumma aamiin.

Rabu, Disember 26, 2012

Berkirim Salam Kepada Junjungan SAW


Telah sampai kepada ese akan perkataan seorang ustaz yang menyalahkan perbuatan sebahagian umat berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW melalui jemaah haji / umrah. Menurut beliau perbuatan tersebut adalah satu amalan yang salah dan menyeleweng, yang tiada sandaran sama sekali daripada para ulama yang muktabar. Allahu ... Allah, alangkah baik jika sekiranya kita sebelum mengeluarkan pendapat dan/atau fatwa sedemikian, mentelaah dahulu kitab - kitab turats para ulama.  Mungkin juga beliau hanya menelan bulat - bulat fatwa ulama Nejd yang menyalahkan amalan tersebut, tanpa mengambil kira pandangan dan fatwa para ulama lain.

Sebenarnya, tiada kesalahan untuk seseorang menyampaikan salam atau berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW melalui orang lain yang menziarahi makam baginda di kota suci Madinah al-Munawwarah. Qadhi Iyadh al-Yahshubi rahimahullah dalam kitab beliau yang masyhur, "asy-Syifaa` bi ta'riifi huquuqil Musthafa" pada juzuk ke-2 halaman 85 menyatakan:-
"Daripada Yazid bin Abi Sa`id al-Mahriy yang berkata: "Aku telah datang mengadap Khalifah 'Umar bin `Abdul `Aziz, ketika hendak pulang, beliau berkata kepadaku: "Aku mempunyai satu hajat daripadamu, apabila engkau datang ke Madinah dan menziarahi kubur Nabi SAW maka ucapkanlah kepada baginda salam daripadaku." Dalam riwayat daripada orang lain dinyatakan bahawa Khalifah `Umar mengutus salamnya kepada Nabi SAW melalui surat yang baginda hantar dari Syam."

Oleh itu, tidaklah menjadi sesuatu yang pelik jika amalan berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW ini dibenarkan oleh para ulama kita. Imam an-Nawawi rahimahullah dalam kitab "al-Idhah fi manaasikil hajj wal `umrah" pada halaman 453 menyatakan:-
"Kemudian, jika seseorang berpesan kepadanya (yakni berpesan kepada si penziarah) untuk menyampaikan salam kepada Junjungan Rasulullah SAW, maka disampaikannya dengan mengucapkan: "as-Salamu 'Alaika, ya RasulAllah min fulanibni fulan" (Salam kesejahteraan atasmu wahai Utusan Allah daripada si fulan anak si fulan ) atau "Fulanubnu fulan yusallim 'alaika, ya RasulAllah" (Si fulan anak si fulan mengucap salam kepadamu, wahai Utusan Allah) atau dengan ucapan lain yang seumpamanya."
Menurut Syaikh `Abdul Fattaah bin Husain bin Ismail bin Muhammad Thayyib Rawah al-Makki (1334H - 1425H) rahimahullah dalam  "al-Ifshaah 'ala masaail al-Iidhaah", hukum menyampaikan kiriman salam yang dipesankan seseorang kepada Junjungan Nabi SAW adalah sunnat sahaja kerana tujuan berkirim salam tersebut adalah semata-mata untuk bertabarruk dengan Junjungan Nabi SAW.

Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam karya beliau yang diterjemahkan dengan jodol "Fadhilat Haji" pada halaman 204 - 205 menyebut:-
" ......., mungkin seorang lain yang telah menyuruh kamu untuk menyampaikan salamnya kepada Rasulullah SAW. Dengan demikian sampaikan salam secara demikian: (Salam ke atasmu ya Rasulullah, daripada orang ini bin orang ini yang memohon syafaatmu dengan Allah bagi pihaknya)
Jika ini menjadi satu kesukaran untuk diucapkan di dalam bahasa Arab, maka lakukanlah di dalam bahasa Urdu atau di dalam bahasamu sendiri. Imam Zurqani (Zarqani) rahmatullah `alaihi berkata: "Jikalau seorang telah meminta kamu menyampaikan salam dan kamu telah menerimanya dan berjanji untuk melakukannya, maka ianya menjadi wajib untuk menyampaikan perutusannya kerana ia adalah seumpama memegang amanah yang diterimai oleh seseorang. Ithaaf menyatakan bahawa daripada kalangan orang - orang dahulu telah menjadi adat sejak beberapa kurun untuk mengutuskan salam mereka kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan orang lain. Sebenarnya setengah pemerintah - pemerintah pernah menghantar satu utusan khas yang bertugas menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW seperti Umar bin Abdul Aziz RA pernah lakukan."
 Oleh itu, memfatwakan bahawa amalan berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW melalui seseorang sebagai salah dan menyeleweng adalah fatwa yang gegabah. Ini adalah kerana rata-rata ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jamaah, membenarkannya. Di sisi sebahagian ulama, adalah menjadi kewajipan kepada orang yang dipesan untuk menyampaikan kiriman salam tersebut kepada Junjungan Nabi SAW, manakala sebahagian yang lain hanya menghukumkannya sebagai sunnat sahaja untuk disampaikan kepada Junjungan Nabi SAW. Maka, kita boleh, bahkan digalakkan untuk mengucapkan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW di mana jua kita berada. Ucapan sholawat dan salam kita akan diberi ganjaran pahala daripada Allah SWT dan akan disampaikan kepada Junjungan Nabi SAW oleh Allah SWT melalui para malaikatNya, sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa hadits, antaranya hadits yang diriwayat oleh Imam Ahmad RA daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud RA bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:-
إِنَّ لِلَّهِ مَلائِكَةً سَيَّاحِينِ فِي الأَرْضِ ، يُبَلِّغُونِي عَنْ أُمَّتِي السَّلامَ
"Sesungguhnya Allah mempunyai para malaikat yang ditugaskan berjalan ke serata pelusuk bumi untuk menyampaikan kepadaku salam umatku."
Dan tiada juga halangan untuk kita mengutuskan salam kita kepada Junjungan Nabi SAW melalui para penziarah yang sejenis dengan kita, iaitu sama-sama keturunan Nabi Adam `alaihis salam, bahkan ianya juga dianjurkan sebagai sarana untuk kita bertabarruk dengan Junjungan Nabi SAW. Namun bagi sesiapa yang tidak mahu beramal dengan amalan berkirim salam ini, maka tidak juga menjadi kesalahan, apa yang menjadi kesalahan ialah sikap suka menyalahkan amalan orang lain tanpa usul periksa. Moga Allah sentiasa memberikan kita taufik dan hidayahNya agar kita tetap atas jalan orang - orang mukmin.

Ahad, November 18, 2012

Ayat 7 ad-Dhuha: Tafsir 2 Tokoh

Ayat ke-7, surah ad-Dhuha sering diterjemah atau ditafsirkan oleh sesetengah orang dengan salah atau kurang tepat, bahkan dengan terjemahan yang boleh dikategorikan sebagai merendahkan ketinggian dan kebesaran martabat Junjungan Nabi SAW. Jika kita rajin mentelaah karya-karya klasik para mufassir yang muktabar seperti Imam ar-Razi dan seumpamanya nescaya kita akan dapat menggarap pengertian dan tafsirannya yang tepat lagi munasabah serta mendaulatkan keagungan martabat Junjungan Rasulullah SAW. Ulama Jawi kontemporari turut memberikan tafsiran mereka tentang ayat tersebut. Di sini aku ingin berkongsi dengan ikhwah sekalian, tafsir bagi ayat yang mulia ini bagi dua orang ulama Jawi yang terkenal dalam era kita, iaitu Ustaz Syed Abdillah al-Jufri dan Dr. HAMKA. Almarhum Ustaz Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri dalam tafsir beliau yang bertajuk "Pelita Al-Quran", juz 30 halaman 170 - 171 mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:-
"Dan Dia telah dapati kamu tiada mengetahui lalu ditunjukiNya kamu." Dahulu kamu belum mengetahui tanda-tanda kenabian dan hukum - hukum syariat yang akan diturunkan kepadamu, juga tidak mengetahui apakah perkara yang akan diberitahu kepadamu, maka Allah menurunkan Al-Quran yang mengandungi hukum - hukum syariat yang diutuskan bersamanya. Ini sesuai dengan firman Allah ta`ala dalam surah Asy-Syura yang berbunyi: "........... artinya:- Begitulah Kami wahyukan kepada engkau (Al-Quran) dengan perintah Kami, Engkau dahulunya tiada mengetahui apakah kitab dan apakah iman. Tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya yang terang nyata. Yang dengannya Kami pimpin orang - orang yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami dan sesungguhnya engkau memberikan pimpinan kepada jalan yang lurus." (Asy-Syura:52).

Perkataan Dhaallan, artinya sesat. Maksud sesat di sini tidak boleh ditafsirkan dengan kesesatan biasa yang dialami oleh masyarakat Arab di zaman Jahiliah. Sesat yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah, bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri dalam bingung dan tidak senang hati melihatkan keadaan masyarakatnya begitu buruk. Kusut fikirannya, Baginda tidak tahu apa yang hendak dibuat terhadap masyarakatnya sehinggalah Allah menurunkan wahyuNya kepada Baginda, dan pengajaran - pengajaran agama yang seterusnya barulah Baginda tahu bagaimana cara dan jalan yang patut diikuti untuk memimpin masyarakatnya.

Ada setengah ahli tafsir mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. masa kecilnya pernah tersesat jalan di kawasan pergunungan Mekah itu, kemudian dia ditunjuki jalan pulang ke rumah. Kata Ibnu Abbas: Rasulullah semasa kecilnya pernah tersesat jalan, dia telah ditemui oleh Abu Jahal lalu dibawa pulang ke rumah datuknya Abdul Muthalib.

Kata Sa`id bin Jubair: Iblis cuba menarik kekang unta yang ditunggangi oleh Rasulullah s.a.w. di waktu malam gelap ketika belayar bersama pakciknya Abu Talib maka datanglah Jibril membawa balik Nabi Muhammad ke dalam kumpulan kafilah Abu Talib. Dan banyak lagi riwayat yang seumpama itu tentang kehilangan Nabi Muhammad s.a.w. semasa kecil, wallahu-a'lam.
Almarhum Dr. HAMKA pula dalam "Tafsir al-Azhar" juzu` 30 halaman 171 memberikan tafsiran berikut :-
 "Dan didapatinya engkau dalam keadaan bingung, lalu Dia pimpin." (Ayat 7). Sejak masa muda belianya telah kelihatan beliau tidak menyukai perbuatan - perbuatan kaumnya, menyembah berhala, menternak uang dengan riba, memperbudak sesama manusia dengan sesuka hati, mengubur anak-anak perempuan hidup - hidup. Kadang - kadang berperang di antara satu qabilah dengan qabilah yang lain hanya karena soal-soal kecil. Beliau menolak semuanya itu. Tetapi beliau bingung, tak tahu jalan, bagaimana memperbaiki segala kebobrokan yang didapatinya dalam masyarakat ini. Lalu tertariklah hatinya hendak menyisihkan diri, mencari kejernihan pada jiwa, memohonkan pertunjuk kepada Allah, maka datanglaj wahyu. Dan diceriterakan pula bahwa wahyu itu datang bertingkat-tingkat. Mulanya berupa suatu mimpi yang benar, kemudian sebagai bunyi lonceng. Akhirnya datanglah malaikat membawa wahyu pertama di gua Hiraa. Dengan datangnya wahyu sebagai hidayat daripada Allah, hilanglah kebingungan beliau dan dapatlah beliau memimpin kaumnya dan bangsa dan dunia seluruhnya.
Cubalah tuan - tuan bandingkan tafsiran kedua ulama Jawi ini dengan tafsir yang disampaikan Ustaz Zahazan Mohamed dalam kuliah tafsir beliau, sebagaimana dalam klip yang disertakan dengan transkripnya sebagai berikut:-
".... Saudara - saudari yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian. Seterusnya Allah mengingatkan sebelum ini kamu dalam keadaan bingung, yang dimaksudkan bingung di sini iaitu sebelum kedatangan Islam, sebelum kedatangan wahyu nubuwwah kepada Nabi Muhammad s.a.w., baginda terjebak dalam perkara - perkara yang menyebabkan mereka, menyebabkan Nabi s.a.w. tidak dinilai sebagai orang - orang beriman kepada Allah s.w.t. Di sini menjadi pengajaran kepada kita walaupun seseorang itu hebat kedudukannya, pengorbanannya, jasa baktinya, tanpa Islam dia tidak dinilai apa-apa oleh Allah s.w.t....."
Aku lebih selesa dengan tafsiran dua ulama terdahulu tadi berbandingkan tafsiran Ustaz Zahazan yang menggambarkan Junjungan Nabi SAW sebagai seorang yang tidak beriman kepada Allah sebelum baginda menerima wahyu. Tafsiran sebegini nyata bertentangan dengan iktikad yang kita pegang mengenai kemaksuman para Nabi. Diharap Ustaz Zahazan dapat menilai kembali tafsiran beliau tersebut dengan merujuk kembali kepada tafsiran para ulama muktabar terdahulu dalam tafsir-tafsir mereka dan tidak hanya melihat kepada tafsir-tafsir yang bersifat ringkasan atau mudah karya ulama kontemporari yang cenderung kepada fahaman "salahpi" seumpama "Tafsir al-Muyassar" atau "Tafsir as-Sa'di" yang sering beliau war-warkan dalam corong radio. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan taufiq dan hidayahNya kepada kita sekalian agar tidak tersesat dalam terang.

Klip Tafsir Ust. Zahazan

Rabu, Oktober 31, 2012

Si Mati Mengambil Manfaat

Syaikh Muhammad Abu Khudhair bin Ibrahim ad-Dimyati al-Madani al-Azhari rahimahullah adalah seorang ulama besar Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i. Beliau adalah ulama keluaran al-Azhar asy-Syarif yang antara gurunya adalah Syaikhul Islam dan Syaikhul Azhar Ibrahim al-Bajuri rahimahullah. Beliau kemudiannya telah berhijrah ke Kota Madinah al-Munawwarah untuk menjadi tenaga pengajar di Masjid an-Nabawi yang mulia. Beliau amat menguasai ilmu fiqh sehingga digelar sebagai "al-Umdah" yakni tiang atau sandaran dalam ilmu fiqh di kalangan pengikut mazhab asy-Syafi`iyyah. Beliau wafat sekitar tahun 1304H di Madinah al-Munawwarah dan dikebumikan di Jannatul Baqi`.Moga rahmat Allah sentiasa dicucuri ke atas rohnya.... al-Fatihah.

Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur "Mathla`ul Badrain wa Majmaa`ul Bahrain" pada halaman 141 menukil fatwa Syaikh Muhammad Abu Khudhair bin Ibrahim ad-Dimyathi al-Madani al-Azhari rahimahullah, sebagaimana tercatat dalam karya beliau "Nihayatul Amal li man raghiba fi shihhatil `aqidah wal `amal" yang menyatakan sebagai berikut: 
"Bermula yang tetap atasnya oleh hal daripada khilaf yang amat banyak bahawasanya mayyit itu memberi manfaat akan dia barang yang diperbuat baginya pada segala kebajikan kemudian daripada matinya, tetapi tak dapat tiada bahawa diqasad oleh yang memperbuatnya akan pahala demikian itu bagi mayyit; Atau ia mendoa baginya kemudian daripada diperbuatnya dengan hasil pahala baginya; Atau ada ia pada kuburnya. Dan dapat demikian pahala itu pula bagi yang memperbuatnya."
Maka, pandangan yang menyatakan bahawa segala rupa bentuk amal kebajikan itu harus dan boleh disedekahkan atau dihadiahkan pahalanya kepada saudara-saudara seagama yang telah meninggal dunia, adalah pandangan yang sudah tidak asing lagi dalam umat ini dan ianya telah menjadi pegangan para ulama dan umum umat Islam zaman berzaman.. Bila ianya dilakukan, si pelakunya turut akan memperolehi pahala amalan yang telah dia lakukan itu kerana rahmat Allah SWT itu teramat luas daripada boleh dikira-kira. Inilah juga pegangan yang diamalkan sejak zaman tok nenek kita mengenal agama Allah yang suci ini dan merupakan pegangan as-sawadul a'dhzam umat ini. Maka sayogia ianya turut menjadi pegangan dan amalan kita dan anak cucu kita sekaliannya. Jika si mati boleh diazab akibat ratapan ahli keluarganya, maka apakah yang menghalangnya untuk menerima nikmat dan rahmat daripada amalan sholeh yang dilakukan oleh ahli keluarganya ? Sungguh Allah itu al-`Adlul Lathiful Khabir dan rahmatNya luas tanpa boleh dikira-kira dan dibatasi. Pekakkan sahaja telinga kalian daripada salakan puak - puak yang tidak sefaham yang suka memaksa-maksa orang lain untuk menerima fahaman mereka semata-mata.

Ahad, Oktober 21, 2012

Surah adh-Dhuha Ayat 7 - Kanzul Iman

Jabal Nur adalah sebuah bukit yang terletak kira-kira 3 batu daripada Kota Mekah. Di puncak bukit tersebut ada sebuah gua yang telah dipilih Allah sebagai tempat yang menyaksikan turunnya wahyu yang pertama kepada kekasihNya, Junjungan Nabi SAW. Untuk sampai ke gua yang berkat bernama Hira` itu, Junjungan Nabi SAW terpaksa mendaki lereng bukit yang curam itu setinggi kira-kira 890 kaki. Kenapakah Junjungan mulia saban tahun sebelum menerima wahyu mendaki gua Hira` ? Adakah baginda menaikinya hanya untuk santai-santai, relaks - relaks atau hanya untuk beriadah semata-mata ? Tidak sekali-kali tidak, sungguh menurut pernyataan para ulama, baginda ke sana untuk bertahannuts atau berkhalwah atau menyendiri untuk beribadah kepada Tuhan yang Maha Esa, Allah SWT. Demi kasih, kecintaan, mahabbah dan kerinduan baginda kepada Allah SWT yang amat mendalam, maka baginda SAW sanggup mendaki bukit tersebut untuk menyendiri dengan Tuhannya dalam gua kecil bernama Hira. Ibnu Hisyam dalam karya beliau yang masyhur "as-Sirah an-Nabawiyyah", juzuk 1, halaman 272 menyatakan bahawa menurut orang `Arab, yang dikehendaki dengan kalimah "tahannuts" dan "tahannuf" adalah "al-Hanifiyyah" yakni melakukan ibadah menurut agama al-Hanifiyyah, iaitu agama yang lurus / benar (yakni agama Islam) menurut syariat Nabi Ibrahim `alaihis salam. Oleh itu, Junjungan Nabi SAW sebelum menerima syariat baginda sendiri, syariat yang agung yang menasakhkan segala syariat rasul terdahulu, telah mengenal Allah dan beriman denganNya serta menjalankan ibadah kepadaNya menurut syariat nenda baginda Nabi Ibrahim `alaihis salam. Makanya, wahyu pertama yang diturunkan Allah SWT kepada baginda adalah ketika baginda tenggelam dalam kecintaan dan ibadah yang tulus kepada Allah SWT, amat buruklah sesiapa yang menafsirkan yang wahyu tersebut turun dalam keadaan baginda sesat tidak beriman kepada Allah yang Maha Pencipta. ... Allahu ... Allah.

Tidak dimungkiri bahawa sememangnya ada ulama dan ahli tafsir yang menafsirkan kalimah "dhallan" dalam ayat 7 surah adh-Dhuha tersebut sebagai "kecintaan atau mahabbah untuk makrifat kepada Allah SWT". Antara yang berpendapat sedemikian adalah Ibnu Atha` rahimahullah, ini adalah kerana kalimah "dhallan" itu memiliki beberapa makna yang berbeza. Antara sandaran yang menunjukkan bahawa kalimah "dhallan" membawa makna "al-mahabbah" yakni kasih sayang atau cinta mahabbah adalah ayat 95 surah Yusuf di mana kalimah "dhalalika" diertikan sebagai "kecintaanmu", sebab jika ianya diertikan dengan "kesesatanmu (dalam agama)", ia akan membawa erti bahawa Nabi Ya'qub `alaihis salam adalah seorang yang sesat dan pengertian ini adalah meleset dan jauh daripada kebenaran.

Oleh itu, tidak hairan, jika ada ulama yang menafsirkan ayat ke-7 surah adh-Dhuha tersebut atas pengertian kasih, sayang, cinta, mahabbah yang mendalam kepada Allah. Prof. Shah Faridul Haque rahimahullah (gambar di sebelah) dalam "The Holy Qur'an: An English Translation From Kanzul Iman" yang merupakan terjemahan tafsir "Kanzul Iman" oleh  Imam Ahmad Raza Khan Barelwi rahimahullah, menafsir ayat tersebut sebagai bermaksud: "And He found you drown in His love, therefore gave way unto Him." Dalam tafsirnya yang lain, Prof. Shah Faridul Haque memberikan tafsiran yang hampir sama iaitu: "And found you deeply engrossed in His love, so directed you". Dr. Muhammad Tahirul Qadiri pula dalam karya tafsir beliau dalam berbahasa Inggeris berjodol "Irfanul Quran" mentafsir ayat tersebut sebagai: "And He found you engrossed and lost in His love and then made you achieve the coveted objective."

Inilah antara tafsiran yang diberikan oleh para ulama terhadap ayat tersebut. Jelas tafsiran sebegini amat munasabah dan bersesuaian dengan maqam dan kedudukan Junjungan Nabi SAW yang merupakan kekasih Allah dan rasulNya yang teragung sejak azali lagi. Tidakkah telah datang kepada kita hadits Junjungan Nabi SAW yang menyatakan bahawa beliau telah menjadi nabi sedangkan ketika itu Nabi Adam `alaihis salam masih berupa air dan tanah sahaja (yakni masih belum diciptakan). Maka bagaimana boleh terlintas dalam akal dan benak hati sanubari kita yang manusia luar biasa yang kenabiannya sejak azali lagi boleh dianggap sebagai tidak beriman kepada Allah SWT? Jika masih ada yang berpendapat sedemikian, maka pasti telah berlaku kesilapan dalam penafsiran dan pemahamannya. Ingatlah bahawa para nabi itu maksum sejak kecil lagi, yakni terpelihara daripada melakukan dosa kesalahan, maka adakah dosa yang lebih besar daripada kekufuran kepada Allah ? Sungguh yang maksum itu para nabi `alaihimus sholatu was salam dan al-Quran, sedangkan manusia lain hatta ulama dan mufassir serta karya dan tafsiran mereka tidaklah maksum daripada kesalahan dan kesilapan. Maka hendaklah kita junjung kemaksuman para nabi tersebut, lebih-lebih lagi penghulu para rasul, Junjungan Nabi Besar Muhammad SAW.

Isnin, Oktober 15, 2012

Imam al-Baghawi - Keimanan Para Nabi

Imam al-Baghawi atau nama penuhnya al-Imam, al-Hafiz, al-Faqih, al-Mujtahid, Muhyis Sunnah, Ruknuddin, Abu Muhammad al-Husain bin Mas`ud bin Muhammad al-Farra' al-Baghawi asy-Syafi`i rahimahullah adalah seorang ulama besar bermazhab Syafi`i. Beliau adalah seorang ulama yang mengabdikan dirinya untuk kitab al-Quran yang mulia dan as-Sunnah an-Nabawiyyah, dengan mempelajari, mengajar, menulis dan menyingkap perbendaharaan dan rahsia - rahsia keduanya. Yaqut al-Hamawi dalam "Mu'jam al-Buldaan" menyatakan bahawa Imam al-Baghawi dilahirkan pada tahun 433H, namun az-Zarkali dalam "al-A'lam" menyebut tahun 436H sebagai tahun kelahiran beliau.

Imam al-Baghawi mempunyai ramai guru, antaranya, al-Imam al-Qadhi Husain bin Muhammad al-Mirwazi (al-Maruzi / al-Marwazi) asy-Syafi`i, Syaikh `Abdul Wahid bin Ahmad bin Abil Qasim al-Mulaikhi al-Harawi, al-Faqih Abul Hasan 'Ali bin Yusuf al-Juwaini, Musnid Khurasan Syaikh Abu Bakar Muhammad bin `Abdus Shamad at-Turaabi al-Mirwazi, Imam Abul Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qusyairi dan ramai lagi, sehingga dikatakan jumlah guru- guru beliau adalah sekitar 460 orang rahimahumullahu ta`ala jami`an.

Imam al-Baghawi telah dipuji oleh ramai ulama atas ketinggian ilmu dan ketakwaan beliau. Qadhi Ibnu Syuhbah dalam "Thabaqaat asy-Syafi`iyyah" memuji beliau sebagai: "seorang yang kuat beragama, alim dan beramal dengan jalan para salaf". Imam az-Zahabi menulis dalam "Siyar A'laam an-Nubala`": "Adalah al-Baghawi digelar sebagai "Muhyis Sunnah (penghidup ajaran sunnah) dan "Ruknuddin (Sendi/Tiang Agama)", beliau adalah pemimpin, Imam yang `Alim lagi `Allaamah, seorang yang zuhud serta sentiasa bersikap qana`ah". Imam as-Sayuthi pula dalam "Thabaqaat al-Huffaz" menyatakan: "Dan telah diberkati baginya (yakni al-Baghawi) dalam karya-karya beliau kerana niatnya yang baik, sesungguhnya beliau adalah termasuk dalam kalangan ulama rabbani yang sentiasa beribadah dan mengabdikan dirinya kepada Allah dan memiliki sifat qanaah yang tinggi." Dalam "Thabaqaat al-Mufassirin", Imam as-Sayuthi menyebut Imam al-Baghawi sebagai: "Beliau adalah Imam dalam tafsir, Imam dalam hadits dan Imam dalam fiqh". Imam Ibnu Katsir dalam "al-Bidayah wan Nihayah" menyatakan bahawa: "Beliau (Imam al-Baghawi) adalah orang yang paling `alim di zamannya, kuat berpegang dengan agama, seorang zahid yang warak, ahli ibadah dan seorang yang sholeh." Qadhi Ahmad bin Muhammad al-Barmaki al-Irbili asy-Syafi`i @ Ibnu Khallikan dalam "Wafayaat al-A'yaan" menyebut Imam al-Baghawi sebagai: "al-Faqih, asy-Syafi`i (pengikut mazhab Syafi`i), al-Muhaddits, al-Mufassir, Lautan Ilmu."

Imam al-Baghawi rahimahullah meninggalkan karya-karya bernilai dalam berbagai bidang, antaranya:-
  1. Tafsir Ma`aalim at-Tanziil;
  2. at-Tahdzib fi fiqh al-Imam asy-Syafi`e;
  3. Syarhus Sunnah;
  4. Mashaabiihus Sunnah;
  5. al-Anwaar fi Syamaail an-Nabi al-Mukhtar;
  6. al-Jam`u bayna ash-Shahihain;
  7. Majmu`ah min al-Fatawa.
Tafsir "Ma`aalim at-Tanziil" atau lebih masyhur disebut sebagai "Tafsir al-Baghawi" adalah tafsir bil ma'tsur yang amat bernilai sehingga Ibnu Taimiyyah al-Harrani pernah menyatakan bahawa: " Tafsir al-Baghawi adalah ringkasan bagi Tafsir Tsa'labi akan tetapi beliau telah menapisnya daripada hadits-hadits yang maudhu` dan pendapat - pendapat yang bid`ah."

Imam al-Baghawi rahimahullah wafat dalam bulan Syawwal tahun 516H dan jenazah beliau disemadikan bersebelahan dengan makam guru beliau, al-Imam al-Qadhi Husain rahimahullah. Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati beliau dan menempatkan beliau bersama dengan para anbiya`, syuhada` dan shalihin.

Imam al-Baghawi ketika menafsir ayat ke-52 surah asy-Syura menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah "al-iman" dalam ayat tersebut adalah "segala syariat dan tanda keimanan". Oleh itu, dapat difahami bahawa perkara yang tidak diketahui oleh Junjungan Nabi SAW sebelum wahyu diturunkan kepada baginda adalah mengenai hukum - hakam syariat baginda dan bukannya perkara yang menjadi akidah keimanan (`aqaaidul iman). Ayat tersebut tidak membawa maksud, yang sebelum diturunkan wahyu, baginda SAW tidak mengetahui perkara akidah keimanan dan tidak beriman kepada Allah SWT dengan akidah yang benar. Jauh sekali para nabi sekaliannya, apatah lagi Penghulunya Para Nabi, Junjungan Sayyidina Muhammad SAW daripada tidak beriman dengan segala simpulan keimanan / aqaidul iman kepada Allah SWT. Kita harus tahu membedakan antara "syariat" dan "aqidah", jelas bahawa Imam al-Baghawi menyatakan yang tidak diketahui adalah "syara`i`ul iman'" dan bukannya "`aqaaidul iman". Fahamilah dengan benar wahai ikhwah, agar kita tidak mencemar kehormatan para nabi secara sedar atau tanpa sedar. Sebagai penegasan mengenai keimanan para nabi 'alaihimus sholatu was salam kepada Allah SWT dengan akidah yang benar dan jitu, walaupun sebelum mereka dilantik menjadi nabi, Imam al-Baghawi turut menyatakan bahawa:-

Para ulama usuluddin berpegang atas pandangan bahawasanya para nabi 'alaihimus salam adalah orang - orang yang beriman sebelum wahyu diturunkan kepada mereka. Dan adalah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi was salam beribadah kepada Allah, sebelum diturunkan wahyu kepada baginda, atas agama / syariat Nabi Ibrahim dan ketika itu belum lagi dijelaskan bagi baginda akan segala syariat agama baginda (yakni segala syariat Islam yang diturunkan kepada Baginda Muhammad SAW).

Allahu ... Allah, malang sejuta kali malang bagi sesiapa yang tidak menahan lidahnya daripada mencemar kehormatan para nabi. Mudah-mudahan kita diselamatkan Allah daripada perbuatan tersebut.

Selasa, Oktober 09, 2012

Pesan Quthub Tanah Jawa

" Tidak ada yang menyebabkan manusia rugi kecuali keengganan mereka mengkaji buku - buku sejarah kehidupan kaum shalihin dan berkiblat pada buku - buku moden dengan pola fikir yang serba meringankan. Wahai saudara-saudaraku, ikutilah jalan salafush shalihin, sebab mereka adalah orang - orang yang ikhlas beramal. Ketahuilah, salaf kita tidak menyukai ilmu kecuali yang dapat membuahkan amal shalih. Aku teringat pada suatu untaian mutiara nasihat Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas yang mengatakan: " Ilmu adalah alat, meskipun ilmu itu baik, ia hanyalah alat, bukan tujuan (matlamat). Makanya, ilmu harus diiringi adab, akhlak dan niat yang shalih. Ilmu sedemikianlah yang dapat menghantarkan seseorang kepada maqam-maqam yang tinggi. "

Ahad, September 16, 2012

Ghirah itu wajar

Bantahan dan demonstrasi yang dilakukan umat Islam serata dunia sebagai reaksi kepada penghinaan terbaru terhadap Kekasih Allah Junjungan Nabi SAW adalah cerminan daripada sifat ghirah umat ini kepada Islam dan Junjungan Sayyidina Muhammad SAW, alhamdulillah. Sifat ghirah ini adalah satu sifat kepujian yang perlu dimiliki oleh setiap individu muslim di mana al-Imam al-Bazzar meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Sa`id RA bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Ghirah itu adalah daripada keimanan". Secara sederhananya, Buya Hamka rahimahullah memberi pengertian ghirah sebagai:- "Ghirah adalah kecemburuan dalam beragama. Cemburu itu bukan sekedar marah atau kesal atau jengkel, melainkan perasaan tidak rela karena haknya direnggut dan berhasrat besar untuk merebut haknya kembali. Kalau tak ingin merebut kembali, bukan cemburu namanya. Itulah sebabnya orang bilang cemburu adalah tanda cinta, dan tidak ada cinta tanpa rasa cemburu. Nah, yang disebut ghirah itulah perasaan memiliki / mencintai agama secara mendalam yang kemudian terwujud dalam pembelaan yang kuat ketika agamanya dihinakan orang." Dengan kata lain, ghirah ini adalah cemburu yang positif bersumber kepada kebenaran dan terbit dari rasa cinta yang tinggi lagi tulus dan bukannya cemburu buta yang terbit dari keegoan, prasangka dan hawa nafsu yang dikobarkan api kemarahan semata-mata. Jika diaplikasikan dalam situasi yang sedang kita hadapi sekarang berkaitan dengan penghinaan kepada Junjungan Nabi SAW, di mana baginda ditohmah dengan berbagai kejelekan demi merobek ketinggian martabat, maruah, keperibadian dan akhlak baginda SAW, maka hendaknya kita menunjukkan sifat ghirah kita untuk mempertahankan baginda dan menepis segala tohmahan terhadap baginda dengan menyatakan ketinggian pribadi, akhlak dan martabat baginda yang sebenar.

Namun, perlu diingat sentiasa bahawa jangan pula ghirah yang dianjurkan agama, yang suci murni semata-mata kerana Allah SWT bertukar disebabkan perkara-perkara selainNya, umpama kerana marah yang bersangatan sehingga diri dikuasainya dan kewarasan berfikir sirna, akhirnya ia membawa kepada perlanggaran batasan hukum-hakam Maka yang sebegini bukanlah anjuran agama. Berdemonstrasi sehingga mewujudkan suasana huru-hara, kacau-bilau, rusuhan, anarki dan seumpamanya, apatahlah sehingga menumpahkan darah orang - orang yang tidak dihalalkan darah mereka untuk ditumpahkan, kecederaan, kerosakan harta benda dan sebagainya, perlulah dijauhi. Nak berdemo, ya boleh saja, asalkan dalam batas-batas yang dibenarkan oleh syariat.

Janganlah kerana filem bangsat yang tak berkualiti bikinan penjenayah dadah itu, kita hilang kawalan diri, mengikut kemarahan yang meluap-luap sehingga kita melatah dan menari mengikut irama yang dimainkan oleh musuh-musuh Allah tersebut. Musuh-musuh Islam telah mengecap kita sebagai pengganas, mereka menuduh kita umat Islam sebagai pengganas, maka di mana untungnya dan di mana positifnya jika aksi ganas pula yang kita pertontonkan. Bukankah ianya seolah-olah kita mengiyakan tohmahan mereka terhadap kita. Namun ini tidak bermakna yang kita akan membiarkan sahaja Islam diinjak-injak, al-Quran dihina dan Junjungan Nabi SAW diperlekehkan, tidak sekali-kali tidak. Agama perlu kita tegakkan dan pertahankan, Quran perlu kita junjung dan muliakan, Nabi perlu tetap kita sanjung dengan kepatuhan kepada segala ajaran baginda. Ini sifat umat beragama yang punya rasa cemburu pada agamanya, bukan umat dayus lagi pengecut.

Filem yang dibuat oleh musuh Allah tersebut untuk menghina kekasih Allah teragung, Junjungan Nabi SAW bukanlah cubaan pertama mereka, Junjungan Nabi SAW telah dihina dan diperlekehkan oleh mereka-mereka yang buta mata hatinya, namun semua itu hanyalah seperti perbuatan anjing menyalak bukit. Mari kita renungi sejenak, mari kita hadirkan Junjungan Nabi SAW dan bayangkanlah apa yang akan baginda lakukan dalam menghadapi situasi sebegini. Adakah Junjungan Nabi SAW akan melatah menari mengikut irama yang dimainkan oleh musuh-musuh Allah tersebut ? Bukan baru kali ini Junjungan SAW dihina, sewaktu hayat baginda di atas muka bumi dahulu pun tak kurang penghinaan yang ditujukan kepada baginda. Para penyair jahiliyyah tanpa segan silu telah mencemoh baginda dalam syair-syair mereka. Junjungan SAW sekali-kali tidak melatah dan para sahabat ridhwanullah `alaihim ajma`in pula telah mengambil langkah-langkah mempertahan baginda antaranya mempertahankan baginda mengikut cara sebagaimana baginda dihina. Para sahabat telah mengarang pula berbagai syair yang indah bagi memuji, mempertahan serta memperjelaskan ketinggian Junjungan SAW dalam rangka membalas balik syair-syair yang menghina baginda. Siapa yang tidak kenal dengan Sayyidina Hasan bin Tsabit RA, Sayyidina Ka`ab bin Zuhair RA, Sayyidina al-`Abbas RA dan ramai lagi yang telah melakukan hal tersebut. Ini antara contoh yang perlu kita ikut. Jika musuh Allah menulis karya-karya menjelekkan Junjungan Nabi SAW, maka kita balas dengan mengemukakan pula tulisan membela baginda; Jika mereka mengadakan majlis-majlis menghina Junjungan Nabi SAW, maka kita semarakkan pula majlis-majlis memuji dan mentakzimkan baginda; Jika mereka buat filem menghina baginda, kenapa tidak kita bikin filem untuk menyanjung baginda dan memaparkan kebenaran pribadi baginda yang agung. Apakah para produser/penerbit/sutradara/insan seni kita ngak bisa berbuat sedemikian. Apakah mereka hanya bisa bikin filem seram, filem roman percintaan, filem lawak bodo dan filem lawak kurang ajar sahaja. Jangan marah noooo, hanya saranan sambil melepaskan geram. Hok ini kenalah difikirkan oleh ahli-ahlinya, kalau tunggu ese yang fikirkan bakalan ngak keluar filemnya. Marilah kita memperkukuhkan kecintaan dan kerinduan kita kepada Junjungan Nabi SAW, ingatlah bahawa mencintai baginda itu adalah kesempurnaan iman dan baginda dicintai melebihi kecintaan kepada diri kita sendiri. Tanpa baginda, siapalah kita. Tanpa baginda, pasti kita bahan bakar api neraka.... Allahu... Allah. Shallu `ala Nabiyyikum, Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad wa alihi.
"The lies (Western slander) which well-meaning zeal has heaped round this man (Muhammad) are disgraceful to ourselves only." - Thomas Carlyle ( 1795 - 1881)

Khamis, September 06, 2012

Ziarah Makam Rasulullah SAW

Para ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, menghukumkan bahawa menziarahi makam Kekasih Allah, Junjungan Nabi Muhammad SAW adalah sunnat yang amat dituntut, sunnat muakkad, bagi segala umat baginda di mana jua mereka berada dan tidaklah ia tertakluk hanya kepada orang yang mengerjakan haji atau umrah sahaja, sedangkan bagi para hujjaj dan mu'tamirun berlebih-lebihlah lagi tuntutannya. Hanya "ulama" yang ilmunya mungkin lebih besar daripada akalnya sahaja yang menghukumkan "haram" bermusafir untuk menziarahi makam Junjungan SAW. Ulama kita menegaskan bahawa apabila kita ziarah ke Madinah, tujuan utama dan pertama kita adalah menziarahi Junjungan Nabi SAW yang bersemayam di sana, dengan disertakan juga niat menziarahi masjid baginda yang mulia. Pendapat yang menyatakan bahawa ziarah ke Madinah adalah untuk menziarahi masjid baginda SAW, manakala ziarah ke makam baginda hanyalah rentetan dari ziarah masjid tersebut adalah pendapat keliru yang terhasil daripada salah faham seorang ulama Kurdi mengenai sepotong hadits.

Pendokong dan pengkagum ulama Kurdi ini telah sedaya upaya cuba memenangkan pendapat imam mereka sehingga sanggup melakukan jenayah ilmiah dengan mengubah kitab-kitab karangan ulama yang muktabar dengan menggantikan anjuran berziarah ke kubur/makam Junjungan Nabi SAW kepada ziarah ke masjid Nabi SAW agar sesuai dengan pandangan idola mereka. Kita menyaksikan bagaimana puak - puak ini merubah karya-karya Imam an-Nawawi antaranya kitab "al-Adzkar" dengan menggantikan kalimah "kubur" Rasulullah yang digunakan oleh Imam an-Nawawi dengan perkataan "masjid". Inilah pekerjaan bangsat dan biadab mereka, moga Allah memberikan balasan yang setimpal atas pengkhianatan mereka ini. Imam an-Nawawi sebagai seorang ulama besar Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i amat menganjurkan amalan menziarahi kubur atau makam Junjungan Nabi SAW. Hal ini beliau nyatakan dalam karya-karya beliau, antaranya dalam "al-Iidhaah fi Manaasikil Hajj wal `Umrah", beliau menulis bab yang ke-6 sebagai "fi ziyaarati qabri Sayyidina wa Mawlana Rasulillah shallaAllahu `alaihi wa sallam wa syarrafa wa karrama wa `adhzdhzama wa maa yata`allaqu bi dzalika (tentang ziarah kubur Sayyidina wa Mawlana Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam wa syarrafa wa karrama wa `adhzdhzama dan perkara - perkara yang berkaitan dengannya). Antara yang dinyatakan oleh beliau, rahimahullah, pada halaman 447 adalah sebagai berikut:-
Yang Pertama: Apabila para jemaah haji dan umrah meninggalkan Kota Makkah, maka hendaklah mereka menuju ke kota Rasulullah SAW untuk menziarahi turbah baginda SAW (Imam an-Nawawi menggunakan kalimah "turbah" yang difahami sebagai "kubur atau makam", adalah tidak tepat jika ianya diterjemah sebagai "tanah" sebagaimana terjemahan sesetengah ustaz yang ese harapkan ianya hanya kesilapan terjemahan sahaja tanpa ada niat lain yang tersembunyi padanya). Maka sesungguhnya ianya adalah satu amalan yang terpenting bagi bertaqarrub kepada Allah dan suatu usaha yang akan menghasilkan sebaik-baik kejayaan. Dan telah diriwayatkan oleh al-Bazzar dan ad-Daaraquthni dengan keduanya bersanad kepada Sayyidina Ibnu `Umar radhiyaAllahu `anhuma yang berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menziarahi kuburku, pasti baginya syafaatku."

Yang Kedua: Mustahab bagi penziarah (yakni orang yang menziarahi makam Junjungan SAW tadi) untuk berniat beserta dengan niatnya menziarahi baginda SAW akan niat bertaqarrub kepada Allah dengan bermusafir ke masjid baginda SAW dan sembahyang di dalamnya.
 Allahu ... Allah, kan jelas di sana bahawa niat yang utama dan pertama adalah menziarahi Junjungan Nabi SAW yang bersemayam di makam baginda di sana, kemudian disertakan juga dengan niat menziarahi masjid baginda SAW. Apa susah beno ke nak memahami perkataan Imam an-Nawawi tersebut. Makanya janganlah terpengaruh dengan tindakan kurang adab @ biadap sesetengah pihak yang lebih mengutamakan masjid Junjungan Nabi SAW berbandingkan diri baginda SAW yang bersemayam di sana. Sungguh apabila kita menziarahi makam Junjungan SAW yang kita ziarahi itu adalah Junjungan Nabi SAW kerana para nabi itu tetap hidup dalam kubur-kubur mereka dengan kehidupan barzakh yang sempurna.

Khamis, Ogos 30, 2012

Pernyataan Rabithah Ulama Libya

"Apa yang berlaku di Syria sekarang mengingatkan kita kepada jenayah Monggol terhadap nyawa manusia. Dan apa yang berlaku di Libya pula mengingatkan kita kepada jenayah Monggol terhadap ilmu, sejarah dan turats Islami" . Inilah antara komen al-Habib `Ali al-Jufri mengenai apa yang sedang berlaku di Syria dan di Libya, suatu fitnah terhadap umat Islam yang ditimbulkan oleh puak - puak ajaran sesat, Rafidhah dan Wahabiyyah. Tragedi Syria telah sedia kita ketahui. Di Libya pula, antek - antek Wahabi Salahpi telah mula menunjukkan hero mereka, namun sayang seribu kali sayang, ianya ditunjukkan kepada mereka yang telah lama wafat. Mereka telah menceroboh makamnya para awliya` dan memusnahkannya. Sewaktu berjuang menentang rejim Ghadafi, hanya di saat akhir sahaja mereka muncul, sebelumnya mereka hanya santai - santai di zon selesa. Memang sudah dasar oppurtunist, hanya pandai menangguk di air keruh. Silalah tuan/puan baca pernyataan Rabithah Ulama Libya di bawah, dan sudilah mendoakan agar segala fitnah yang timbul daripada puak-puak Kafir, Rafidhah dan Mubtadi`ah ini segera dipadamkan oleh Allah SWT.

Fatwa by the League of Libyan Ulema - English

Rabu, Ogos 29, 2012

Jom Puasa 6

Apabila tiba lebaran, antara nikmat yang dianugerahkan kepada kita di Malaysia, meja-meja makan kita penuh dengan hidangan yang berbagai jenis rupa. Maka nafsu makan yang selama sebulan cuba dikekang dengan berpuasa pun kembali bergelora. Namun jika kita kembali berpuasa, ianya sedikit sebanyak akan dapat melemahkan gelojak nafsu makan tersebut. Oleh itu, Junjungan Nabi SAW menganjurkan sebagai tuntutan sunnat untuk kita kembali berpuasa dalam bulan Syawwal selama 6 hari dengan ganjaran yang sungguh lumayan. Betapa tidak, dalam suasana nafsu makan yang sedang bergelojak, kita kekang dan kawal dengan berpuasa. Dengan melaksanakan puasa sunnat enam hari ini kita dijanjikan dengan ganjaran pahala seumpama berpuasa sepanjang tahun. Sungguh luar biasa dan agung ganjaran yang dijanjikan ini. Maka kenapa ye, masih ada yang segan-segan, malu-malu, malas-malas, untuk mengambil kelebihan ini. 

Sesungguhnya ibadah puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal ini adalah antara kemurahan Allah SWT ke atas umat ini. Amalan ini adalah salah satu cara yang ditunjukkan oleh Junjungan Nabi Muhammad SAW bagi umat baginda yang dhoif ini untuk meraih ganjaran puasa sepanjang tahun. Tak mampu rasanya kalau kita nak berpuasa sepanjang tahun, minus hari-hari yang diharamkan berpuasa. Puasa yang hok sebulan tu pun, ada yang kantoi, tok sah nak cakap puasa setahun. Oleh itu, janganlah kita yang dhoif ini menyombong diri dan bersikap bongkak menolak hadiah sebesar ini. Puasa 6 ini afdhalnya dilakukan berturut-turut selama 6 hari dalam bulan Syawwal menurut mazhab Syafi`i dan Hanbali, manakala menurut mazhab Hanafi dan Maliki yang afdhal adalah ianya dibuat secara berpisah-pisah dan tidak berturut-turut. Ini adalah segi afdhaliyyahnya sahaja, samada dibuat berturut-turut atau berpisah-pisah tetap dihukumkan sunnat dan diberi ganjaran sebagaimana dijanjikan dengan syarat kabul diterima Allah SWT. Marilah kita melaksanakan amalan sunnat ini, mudah-mudahan dapat menambah bekalan kita untuk kehidupan akhirat yang lebih bahagia.

Jumaat, Ogos 24, 2012

Faedah Dari Sa`adatud Darain


Doa di atas ini dengan sedikit perbezaan pada shighahnya telah lama diamalkan masyarakat kita, baik orang awam maupun para ulama kita. Amalan ini bukanlah perkara yang dibuat-buat oleh ulama Jawi kita sahaja, menurut keterangan al-`Alim al-`Allaamah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam karyanya "Sa`aadatud Daarain" halaman 627 amalan doa di atas adalah antara faedah yang mujarrab untuk mencegah wabak sebagaimana dinukilkan oleh Syaikh Ahmad Syatha al-Makki rahimahullah daripada beberapa ulama yang kepercayaan (tsiqah) antaranya daripada ayahandanya sendiri iaitu Syaikh Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah, pengarang "I`aanatuth Thalibin" yang masyhur, dan daripada Mufti Syafi`i Makkah ketika itu, al-Habib Husain al-Habsyi rahimahullah.

Ikhwah dan sekalian ahli negeri-negeri rantau Nusantara ini seharusnya mengetahui dan bersyukur bahawa amalan - amalan yang dahulunya dominan diamalkan di Hejaz dan tanah-tanah suci telah diwarisi oleh kita di rantau ini, walaupun amalan-amalan tersebut telah dipinggirkan di tempat - tempat tersebut akibat penjajahan puak Wahhabi dari padang pasir Nejd. Antara amalan yang masih menjadi amalan umat kita di rantau ini adalah wirid-wirid selepas sholat berdasarkan kepada amalan Junjungan Nabi SAW sebagaimana diamalkan di kota suci Madinah yang terkenal sebagai "al-Awrad al-Madaniyyah al-Qusyasyiah". Maka hendaklah kita menjaga warisan ini dengan sungguh-sungguh, terlebih lagi waktu kita ini telah ada talibarut puak Wahhabi ini yang cuba membid`ahkan dan menyesatkan amalan - amalan ini. Sempena hari yang mulia ini, marilah kita bertekad untuk menjaga dan mengamalkan amalan-amalan ini dan marilah kita sama-sama membakulsampahkan pendapat dan pandangan puak Wahabi @ Kaum Muda(h) @ Salafi yang salah pi.

Jumaat, Ogos 10, 2012

Santai


Sabtu, Julai 28, 2012

Fatwa Merokok - Tokku Melaka & Tuan Minal

Tokku Melaka atau nama sebenarnya Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad @ Tokku Tuan Padang bin Sayyid Husain bin Sayyid Mustafa al-`Aidrus asy-Syafi`i rahimahumullah adalah seorang ulama yang terkenal di Trengganu. Beliau juga dikenali sebagai Tuan Sayyid Embun Trengganu dan merupakan bapa mertua kepada seorang lagi ulama Trengganu yang terkenal iaitu Tuan Sayyid Abdur Rahman al-`Aidrus rahimahullah atau lebih dikenali dengan gelar Tokku Paloh. Tokku Melaka terkenal sebagai ulama yang rajin berdakwah dan menuntut ilmu sehingga beliau mengembara sehingga ke Melaka untuk tujuan tersebut. Dari situlah muncul gelaran Tokku Melaka kepada beliau. Dalam arena penulisan, beliau turut meninggalkan beberapa karya yang berbobot, antaranya:-
  1. الفوائد في الصلاة و عوائد
  2. هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان
  3. تغريب الرجال في كسب الحلال
  4. تعريف الخلان في تجويد القرآن
  5. هداية الإخوان في اذكار الصلاة مع اركان
  6. ترغيب العبادة في قرائة راتب الحداد
  7. Kumpulan Wirid & Doa
  8. Terjemahan Muqaddimah & Doa Dalailul Khairat.
Tokku Melaka adalah antara ulama yang mendokong pengharaman merokok. Bahkan beliau memiliki karangan bagi menjelaskan pegangan beliau tersebut yang diberi jodol "Hidayatul `Awaam fi bayani hukm syurbid dukhaan".Dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa nama beberapa ulama yang mengharamkan merokok antaranya Syaikh Shalih al-Bulqini, Syaikh Ahmad al-Qalyubi, Syaikh Ibnu `Illan ash-Shiddiqi al-Makki, Habib Abu Bakar bin Salim, Habib `Umar bin `Abdul Rahman al-`Atthas, Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dan lain-lain rahimahumullahu jami`an. Beliau menulis, antara lain:- 
".... Telah menjazamkan dengan haram tembakau itu oleh beberapa ulama yang muhaqqiqun yang ikutan bagi sekalian kita, daripada ulama yang dalam negeri Makkah dan dalam negeri Yaman dan negeri Syam dan lain daripadanya. .......... Ada pun segala ulama daripada segala tuan - tuan Sayyid yang anak cucu Rasulullah SAW yang berkata mereka itu dengan haram minum (yakni menghisap) asap tembakau itu, maka mereka itu pun banyak juga. .......... Ketahui olehmu akan bahawa sesungguhnya adalah minum arak, dan afyun (opium/candu) dan asap tembakau (yakni merokok) itu setengah daripada segala jalan kafir dan segala mereka itu yang sesat dan yang fasiq dan yang tiada malu dan tiada maruah. Maka janganlah engkau menyerupai dengan mereka itu."
Tdak semua ulama bersetuju dengan pegangan beliau yang dianggap terlalu keras terhadap perokok ketika itu. Syaikh Zainal `Abidin bin Muhammad al-Fathani yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal al-Fathani rahimahullah, ulama Fathani pengarang kitab "`Aqidatun Najin" yang hidup sezaman dengan Tokku Melaka, telah mengarang sebuah karya yang berjodol "Tabassumusy Syaaribin" sebagai reaksi terhadap karya Tokku Melaka tersebut. Namun ini tidak bererti yang Tuan Minal al-Fathani menolak apa yang dinyatakan oleh Tokku Melaka secara total. Beliau bukannya tidak menyetujui hukum keharaman merokok tetapi keharaman tersebut menurut beliau tidaklah bersifat mutlak kerana ianya bergantung kepada kemudaratannya. Menurut Tuan Minal, merokok adalah haram jika ianya memberi mudarat dan hanya makruh jika ianya tidak memudaratkan. Beliau dalam kitabnya tersebut menyatakan, antara lain:-
 " ...Aku tilikkan akan karangan Tuan Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husain al-`Aidrus dengan bangsa (yakni bahasa) Jawi, elok susunannya, yang tersebut di dalamnya itu beberapa yang haram atas manusia memakan akan dia dan setengah daripadanya tembakau muthlaqan yakni sama ada mabuk atau orang yang tiada mabuk ..... Bahawa memakan tembakau (yakni merokok) itu makruh bagi orang yang tiada mudarat atasnya memakan dia dan jika memberi mudarat maka iaitu haram."

Jadi yang tidak dipersetujui oleh Tuan Minal adalah mengharamkan tembakau secara mutlak seolah-olah ianya adalah sesuatu yang haram pada zat, sedangkan haramnya merokok itu adalah bergantung kepada kemudaratannya yang merupakan sesuatu yang `aridh (mendatang) dan bukannya kerana zat tembakau atau rokok itu sendiri. Di sinilah letak perbezaan antara dua ulama besar ini. Oleh itu, janganlah ada antara kita hendak berhujjah dengan berpandukan kepada kitab "Tabassum asy-Syaaribin" tersebut dengan alasan Tuan Minal tidak mengharamkan merokok, sedangkan beliau juga mengharamkan merokok jika ianya memudaratkan. Jika sahaja Tuan Minal hidup pada zaman ini, setelah nyata segala bukti dan fakta mengenai kemudaratan yang terhasil daripada merokok yang bukan sahaja kena kepada si perokok tetapi juga kepada pihak lain, mungkin beliau akan menulis pula kitab lain dengan jodol seumpama "Buka-usy Syaaribin. Moga-moga Allah merahmati Tokku Melaka dan Tuan Minal al-Fathani, juga sekalian ulama Nusantara dan sekalian ulama dan umat Junjungan Nabi SAW.

Ahad, Julai 08, 2012

Nur Muhammad SAW - Imam Bahraq

Al-`Allaamah al-Muhaddits, al-Imam al-Baari', al-Lughawi an-Nahwi al-Adib, al-Qadhi Jamaluddin Muhammad bin `Umar bin Mubarak bin `Abdullah bin `Ali al-Himyari asy-Syafi`i yang dikenali sebagai "Imam Bahraq rahimahullah " adalah seorang ulama `arif billah yang lahir di Hadhramaut pada malam Nishfu Sya'baan tahun 869H. Beliau adalah ulama yang ilmunya disifatkan bagaikan lautan luas tak bertepi, betapa kita kerana sejak kecil lagi hidupnya hanya disibukkan dengan ilmu, belajar atau mengajar. Di antara guru-guru beliau adalah al-Faqih asy-Syaikh Muhammad bin Ahmad BaJarfil, al-`Allaamah `Abdullah bin `Abdur Rahman BaFadhal, Syaikh  Abdullah bin Ahmad BaMakhramah, Syaikh Muhammad bin Ahmad BaFadhal, Syaikh al-Muhaddits Zainuddin Muhammad bin `Abdul Lathif asy-Syarji, Syaikh al-Faqih Jamaluddin Muhammad bin Abu Bakar ash-Shaa-igh, Habib Husain bin `Abdur Rahman al-Ahdal dan al-Imam al-Hafidz as-Sakhawi rahimahumullahu ajma`in. Imam Bahraq meninggalkan dunia yang fana ini pada malam 20 Sya'baan 930H di Gujerat, India dalam usia 61 tahun. Beliau dimakamkan di Kota Ahmadabad, Gujerat. Mudah-mudahan rahmat dan keredhaan Allah sentiasa dicucuri ke atas rohnya...aamiin ....al-Fatihah.

 Di antara peninggalan beliau adalah kitab-kitab yang amat bernilai, antaranya:-
1. عقد الدرر في الإيمان بالقضاء والقدر
2. وخيره الأخوان في كتاب الاستغناء بالقرآن
3. العقد الثمين في أبطال القول بالتقبيح والتحسين
4. الحاسم المسلول على منتقصي أصحاب الرسول
5. التبصره الأحديه في السيرة النبوية
6. تجريد المقاصد عن الأسانيد والشواهد
7. حلية البنات والبنيين فيما يحتاج إليه أمر الدين
8.العروة الوثيقة في الشريعة والطريقة
9.الحديقة الأنيقة في شرح العروة الوثيقة
10.العقيدة الشافعية في شرح العقيدة اليافعية
11.الحواشي المقيدة
12.النبذة المختصرة
13. متعة الإسماع بحكم السماع
14. ترتيب السلوك
15. مختصر نهاية الناشري
16. شرح الجذرية
17. رسالة في إثبات رسالة هارون
18. شرح ملحمة الأعراب
19. فتح الرؤوف
20.أرجوزة في الطب وشرحها
21. فتح الأقفال في شرح أبنية الأفعال
22.أرجوزة في عالم الحساب وشرحها
23. مختصر الخلاصة لأبن مالك
24. رسالة في علم الميقات
25. مختصر شرح الصفدي على لامية العجم
26.البهجة في تقويم اللهجة
27. شرح على منظومة العروض
28. مختصر الأذكار
29.مختصر الترغيب
30. مواهب القدوس في مناقب العيدروس

 Antara mutiasa yang terkandung dalam karya beliau adalah apa yang disebutnya pada halaman 245 dalam  karya beliau yang masyhur, "al-Hadiiqatul Aniiqah fi syarhil `Urwatil Watsiiqah" yang menyatakan, antara lain:
 
Dan adapun keadaannya Junjungan Nabi SAW menjadi rahmat bagi sekalian alam  yang terdiri daripada para malaikat, manusia dan jin, sebagaimana difirmankan Allah SWT : "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam", adalah kerana bahawasanya seawal-awal ciptaan Allah SWT adalah nur baginda SAW, dan dijadikan dia sebagai sebab bagi penciptaan sekalian makhluk yang lain. Kalau bukan kerana baginda, nescaya Allah tidak menciptakan malaikat dan manusia, tidak akan ada kenabian dan kerasulan, tidak ada ibadah dan ilmu, tidak ada perkara-perkara selain yang sedemikian tadi daripada segala maqamat yang tinggi dan ahwal yang mulia.
Jelas bahawa diwujudkan Allah segala sesuatu itu demi menzahirkan kekasihNya Junjungan Nabi SAW yang menjadi rahmatNya yang teragung bagi sekalian alam. Maka sewajarnya kita sentiasa memanjatkan kesyukuran sebanyak-banyaknya kepada Allah atas rahmat ini. Juga sentiasalah hendaknya kita mengucapkan shalawat dan salam ke atas baginda SAW.

Isnin, Julai 02, 2012

Syaikh Suhaimi Ulama Besar Dunia Melayu

Ketika ese tengah mengemas kutub khanah, ese terjumpa sesalinan kertaskerja yang dikarang oleh almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd. Shaghir rahimahullah yang ese perolehi daripada beliau suatu ketika dahulu. Kertas kerja tersebut telah sekian lama ada dalam simpanan ese, namun baru sat tadi sompek den telek. Ianya adalah kertas kerja yang telah dibentangkan oleh almarhum pada 29 Mei 2005 / 20 Rabi`ul Akhir 1426 sempena memperingati 100 tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani rahimahullah. Di bawah tajuk "Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani Dengan Ulama` Selangor", beliau menyentuh sedikit mengenai Sayyidisy Syaikh Muhammad as-Suhaimi rahimahullah yang ingin ese kongsikan di sini. Mudah-mudahan ada faedahnya, lebih-lebih lagi setelah nama ulama ini sedikit sebanyak telah tercalar akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak - pihak tertentu seperti Jemaah al-Arqam yang telah diharamkan. Pada halaman 18 - 21, almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir menulis sebagai berikut:-

SYEIKH MUHAMMAD AS-SUHAIMI
Nama sebenar ialah Syeikh Muhammad bin `Abdullah al-Wanasabaniyi (Wonosobo). Nama yang sangat dikenali ialah Syeikh Muhammad Suhaimi atau Syeikh Suhaimi saja. Nama lengkap ulama keturunan Nabi Muhammad SAW ini tidak perlu saya bicarakan lagi kerana telah lengkap disebut dalam buku "Manakib asy-Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi" yang ditulis oleh anak beliau Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi. Syeikh Muhammad Suhaimi dilahirkan di Kota Sudagaran, Wonosobo, Jawa Tengah, 1259H / 1843M, wafat di Kampung Teluk Pulai, Klang, Selangor, 21 Rejab 1343H / 15 Januari 1925M. Mendapat pendidikan awal di Pondok Pesantren Termas, Pacitan, Banyumas, Jawa Tengah. Pondok Pesantren Termas memang telah melahirkan ulama yang sangat terkenal, di antara mereka yang sangat menonjol ialah Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi, ulama besar dalam Mazhab Syafi`ie yang telah membahas ilmu hadits yang cukup mendalam. Ayah beliau ini bernama Kiyahi Haji `Abdullah bin `Abdul Mannan at-Tarmasi juga seorang ulama besar. Memperhatikan tahun kelahiran Syeikh Muhammad Suhaimi (1259H / 1843M) dan kewafatan Kiyahi Haji `Abdullah bin `Abdul Mannan Termas (wafat di Makkah, 1314H / 1896M) kedua-dua ulama yang tersebut seangkatan. Dipercayai kedua-dua mereka telah belajar kepada seorang ulama besar, yang dipercayai pengasas Pondok Pesantren Termas. Beliau ialah Kiyahi Haji `Abdul Mannan bin `Abdullah bin Ahmad Termas (wafat Syawal 1282H / 1865M).

Walau pun Syeikh Muhammad Suhaimi yang lahir tahun 1259H / 1843M, yang bererti beliau lebih tua dari Syeikh Ahmad al-Fathani yang lahir tahun 1272H / 1856M, namun kedua-duanya belajar kepada ulama-ulama di Makkah yang masyhur pada zaman itu. Ulama-ulama itu ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (Mufti Makkah), Saiyid Abu Bakar Bakri Syatha, Syeikh Nawawi al-Bantani, Saiyid `Abdullah az-Zawawi dan lain-lain. Syeikh Ahmad al-Fathani belajar kepada ulama - ulama bangsa Arab tersebut ketika masih dalam usia belasan hingga dua puluhan tahun, sebelum beliau pergi ke Mesir. Beliau ke Mesir sekitar tahun 1292H / 1875M dan pulang ke Makkah sekitar tahun 1300H / 1882M. Oleh sebab Syeikh Muhammad Suhaimi berada di Makkah juga sekitar tahun 1300H / 1882M, maka dapat diambil kesimpulan tentu ada hubungan antara kedua-dua ulama itu. Pada tahun 1300H / 1882M itu pula Syeikh Ahmad al-Fathani telah aktif mengajar di Masjid al-Haram dan pelbagai aktiviti lainnya.

Mengenai Syeikh Muhammad Suhaimi saya masukkan ke dalam kertas kerja ini hanyalah sebagai pengenalan ringkas saja kerana beliau juga telah berjasa dalam penyebaran Islam di dalam kerajaan Selangor terutama di Klang. Sebenarnya peranan beliau jauh lebih luas daripada itu, kerana namanya juga termasyhur di Singapura, Jawa dan Bangkok dalam lingkungan orang - orang Jawa di sana. Rasanya saya tidak perlu mengungkapkan kisah-kisah "keramat" (karamah) yang telah digambarkan dalam manaqib beliau, tetapi di sini saya lebih mengemukakan yang lebih bercorak fakta yang tidak dapat ditolak. Dengan memperkenalkan beberapa buah karangan beliau yang sangat tinggi nilai keilmuan Islam yang terkandung di dalamnya bererti mengembalikan nama Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai seorang ulama besar dunia Melayu yang pernah dinodai namanya oleh pihak-pihak tertentu yang buta sejarah dan tidak bertanggungjawab. Karangan-karangan Syeikh Muhammad Suhaimi semuanya ditulis dalam bahasa Arab, senarainya adalah sebagai berikut:-
  1. الفتوحة  الإلهية في بيان كيفية الطريقة الغزالية , diselesaikan Zohor, hari Rabu, tahun 1312H. Kandungan membicarakan Thariqat al-Ghazaliyah, iaitu thariqat yang dibangsakan kepada Imam al-Ghazali. Pada muqaddimah penulis menyebut bahawa beliau adalah murid Syeikh Nawawi (al-Bantani) pada bahagian akhir yang mengajar thariqat ini ialah Syeikh Muhammad Ismail bin Muhammad Salim. Semua perbicaraan dilengkapi dengan hadits. Cetakan kedua, tanpa nama percetakan, tanpa tarikh, dicetak di Singapura.
  2. المعدن الأسرار جليلة الإعتبار , diselesaikan di Singapura, pada waktu `Ashar, hari Isnin, 20 Rejab tahun 1312H. Kandungan pada muqaddimah penulis menyebut nama lengkapnya, dan dinyatakan negeri asalnya Wonosobo. Keseluruhan kandungan terdiri dari tujuh belas Bab dan satu Khatimah. Bab Yang Pertama Mengenai Fadhilat al-Quran. Bab Yang Kedua Mengenai Orang Yang Meringan-ringankan al-Quran. Bab Yang Ketiga Fadhilat لقد جآءكم (Dua Ayat Akhir Surah at-Taubah). Bab Yang Keempat Fadhilat Doa Nabi Yunus. Bab Yang Kelima Fadhilat Ayat al-Kursi. Bab Yang Keenam Fadhilat Surah al-Ikhlas. Bab Yang Ketujuh Tentang Membenci Shahabat Nabi SAW. Bab Yang Kedelapan Tentang Sayyidina Abu Bakar Shiddiq RA. Bab Yang Kesembilan Tentang Sayyidina `Umar RA. Bab Yang Kesepuluh Tentang Kelebihan Shahabat. Bab Yang Kesebelas Tentang Sayyidina `Utsman RA. Bab Yang Kedua belas Tentang Kelebihan Tiga Khulafa` ar-Rasyidin. Bab Yang Ketigabelas Tentang Sayyidina `Ali RA. Bab Yang Keempatbelas Tentang Sepuluh Shahabat Yang Masuk Syurga. Bab Yang Kelimabelas Tentang Imam Mahdi. Bab Yang Keenambelas Tentang Tanda - Tanda Keluar Imam Mahdi. Bab Yang Ketujuhbelas Tentang Keluar Masih ad-Dajjal. Khatimah Tentang Hikayat Iblis Bertemu Rasulullah SAW. Semua perbicaraan adalah berdasarkan hadits. Cetakan kedua, tanpa nama percetakan, tanpa tarikh, dicetak di Singapura.
  3. رسالة القدسية في معرفة صفات الله بدلائل القرانية , diselesaikan Zohor, hari Ahad, 28 Jumadits Tsani 1317H. Kandungan membicarakan `aqidah. Dicetak di atas batu cetak Haji Muhammad Amin, Singapura, Kampung Melayu, pada bulan Rabi`ul Akhir 1319H.
  4. كتاب الدلالة في تحرير ادلة القبلة و الأهلة , diselesaikan di Singapura, hari Sabtu, 20 Rabi`ul Awwal 1319H. Kandungan membicarakan ilmu falak dan hisab. Dicetak di atas batu cetak Haji Muhammad Amin, Singapura, Kampung Melayu, pada bulan Rabi`ul Akhir 1319H.
Inilah sekelumit yang telah ditulis oleh almarhum TG Haji Wan Shaghir. Selain karya-karya tersebut, Syaikh Suhaimi juga mempunyai karya mengenai kisah mi'raj Junjungan Nabi SAW berjodol "Nafahatul `Anbariyyah fi Qissati Mi'raji Khairil Bariyyah `alaihi afdhalus shalaah wa azkat tahiyyah" dan sebuah kitab mengenai kelebihan membaca mawlid Junjungan Nabi SAW dengan jodol "an-Nafahatul Miskiyyah fi fadhilati qiraati mawlidi Khairil Bariyyah `alaihi afdhalus shalaah wa azkat tahiyyah". Menurut keterangan ahli keluarga beliau, ada lagi kitab - kitab karangan beliau yang masih dalam bentuk manuskrip belum bercetak. Ternyata bahawa Kiyai Agung Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi adalah seorang ulama besar yang mempunyai jasa dalam penyebaran dakwah dan ilmu Islam di rantau kita...... al-Fatihah.

Selasa, Jun 26, 2012

Haram Pilihanraya Musim Haji - MURSHID

Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji
Oleh:- Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-

Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu dijamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.

Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN.

Firman Allah :
وأشهدوا ذوى عدل منكم .....الطلاق:
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala :

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
 
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283)

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami,
1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman

Isnin, Jun 18, 2012

Merokok Itu Haram - Mufti `Ali Jum`ah

Allahu ... Allah, ada seseorang yang ingin menyanggah fatwa para ulama (baca: fatwanya para ulama dan bukannya fatwa ese) yang mengharamkan merokok. Beliau, membawakan cuplikan video youtube yang telah lama beredar, di mana Syaikh `Ali Jum`ah hafizahullah menceritakan bahawa Musnid Dunya Syaikh Yaasin al-Fadani rahimahullah juga menghisap rokok. Dipertontonkan cuplikan tersebut dengan sangkaan bahawa al-`Alim al-`Allaamah Mufti `Ali Jum`ah termasuk ulama kontemporer yang mengharuskan atau sekadar memakruhkan merokok. Namun sangkaan tersebut adalah jauh terpeleset kerana ternyata Mufti `Ali Jum`ah adalah antara ulama yang mengharamkan merokok. Sebagaimana Syaikh Nuruddin al-Banjari hafizahullah, yang juga pernah menimba ilmu dengan Syaikh Yaasin rahimahullah, Mufti Dr. `Ali Jum`ah telah memfatwakan merokok adalah haram. Fatwa beliau ini termaktub dalam himpunan fatwa beliau yang masyhur, "al-Bayaan li maa yasyghal al-adzhaan".

Silalah tuan-tuan lihat fatwa beliau sepenuhnya sebagaimana tersebut pada halaman 357 - 358, beliau, antara lain, menyatakan bahawa asalnya rokok dibawa dan disebarkan oleh penjajah Inggeris ke wilayah - wilayah Othmaniyyah, manakala di wilayah Maghrib ianya diperkenalkan oleh Yahudi. Beliau juga menyebut bahawa sebab berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama terdahulu (qadiman) mengenai hukum merokok adalah kerana mereka berselisih mengenai kemudaratannya. Namun, sesuai dengan peredaran masa, di mana hari demi hari, kajian dan penyelidikan kesihatan moden telah membuktikan bahawa merokok adalah sangat memudaratkan kesihatan manusia. Oleh itu, Mufti Dr. `Ali Jum`ah hafizahullah telah menghukumkan merokok sebagai HARAM dan di akhir fatwanya, beliau dengan tegas menyatakan:-

و لذا نرى أن التدخين عاذة سيئة محرمة شرعا، نسأل الله أن يتوب على من ابتلي بها
" Dengan itu, kami berpendapat bahawa merokok adalah kebiasaan yang buruk yang diharamkan syarak. Kami memohon kepada Allah agar memberikan kesedaran untuk bertaubat kepada sesiapa yang dibala`kan dengan perbuatan tersebut."
Janganlah mudah - mudah membawa kisah ulama terdahulu yang menghisap rokok sebagai dalil untuk menyanggah fatwa terkini mengenai merokok. Sesuatu hukum itu disandarkan kepada illahnya (sebabnya). Merokok itu haram kerana ianya memudaratkan kesihatan, mungkin ulama terdahulu mengharuskan merokok atau hanya memakruhkannya kerana menurut ilmu mereka ketika itu, merokok tidak mendatangkan mudarat. Mudarat atau tidak, itulah `illah tempat berlegarnya hukum. Tidaklah boleh dihujjahkan bahawa merokok itu halal atau harus atau makruh kerana Syaikh fulan kuat merokok. Jawab dahulu dengan jujur persoalan samada merokok itu memudaratkan atau tidak mengikut kajian pakar ? Ulama terdahulu diberi keuzuran (ma'dzur) kerana kurangnya pengetahuan dan kajian ketika itu mengenai bahaya dan mudarat merokok. Juga, kemungkinan rokok yang ada pada ketika itu berbeza kandungan bahannya dengan rokok-rokok yang beredar sekarang yang mempunyai berbagai kandungan kimia yang membahayakan. Kepada yang merokok, moga-moga Allah memberikan kekuatan kepada kalian untuk berhenti merokok dan menjadikan kalian orang yang banyak ruku' dan bukan banyak rokok.