Isnin, Februari 27, 2012

Lebih Baik Daripada Kerajaan ....

Apabila kita melihat kemewahan duniawi pada sesetengah manusia, akan timbul kekaguman kita kepadanya, dan sering terwujud dalam benak kita bahawa alangkah baiknya jika kita juga memperolehi kemewahan tersebut. Tanpa kita memikirkan bahawa segala-galanya adalah ujian daripada Allah ta`ala dan amanahNya yang akan diminta pertanggungjawabannya kelak di akhirat. Namun nafsu yang tidak pernah mengenal puas tetap sahaja menggoda kita untuk sentiasa gemarkan kemewahan duniawi yang sementara ini, bahkan ada yang tergoda sehingga sanggup menggadaikan akhirat demi mengunggulkan kemewahan yang fana.... Allahu ... Allah.

Janganlah kita jadikan dunia ini sebagai matlamat akhir kita, ingatlah bahawa kita ini umat yang beragama. Dunia ini hanyalah sementara, yang bakal kita tinggalkan nanti apabila sampai masa meneruskan perjalanan kita menuju negeri yang kekal abadi. Junjungan Nabi shallAllahu `alaihi wa sallam berpesan agar kita jadikan keberadaan kita di negeri dunia ini seumpama seorang musafir, yakni hidupnya kita di negeri dunia ini hanyalah singgah sebentar sahaja untuk mencari bekalan buat kehidupan di negeri yang abadi nanti. Sampai masanya nanti, kita akan meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi. Bertamu di dunia ini pun tidak lama, sebentar sahaja bak kata Sasterawan Negara A. Samad Said:- "Kita Ini Tetamu Senja", tak lama terbenamlah matahari, kalau bertamu dari pagi sampai petang boleh tahan jugak lamanye...Allahu ... Allah. Makanya, janganlah kita tergiurkan kehidupan duniawi sehingga lupa negeri yang akhirat yang abadi. Dunia yang ada itu jadikanlah untuk akhirat, dunia untuk akhirat bukan dunia untuk dunia kerana dunia itu bakal kita tinggal pergi. Seorang penyair berpesan:-
Jadikan hidupmu seperti musafir berkelana
Setelah kau tiada biarlah yang tinggal kebaikan belaka
Maka tidaklah kita di dunia ini melainkan bertamu sementara
Dan tiadalah atas tetamu melainkan pasti berlalu perginya

Bekal akhirat itu lebih penting daripada dunia seisinya. Kemewahan duniawi itu ada noktah akhirnya, manakala bekal akhirat itulah yang kita harapkan jadi sebab mendapat kebahagiaan yang abadi. Renungilah satu kisah yang diceritakan oleh Imam al-Qalyubi rahimahullah dalam karya beliau "an-Nawaadir" pada kisah yang ke-194 di halaman 174, bahawa satu ketika Nabi Sulaiman bin Daud `alaihimas salam lalu dengan tunggangannya di hadapan seorang penggembala kambing. Maka terluncurlah daripada mulut si penggembala akan kata-kata: "Raja Sulaiman telah dianugerahkan dengan kerajaan yang besar." Kata-kata si penggembala tadi dibawa angin ke telinga Nabi Sulaiman, maka turunlah baginda daripada tunggangannya lalu baginda datang kepada si penggembala. Baginda bersabda kepada si penggembala: "Wahai penggembala, sesungguhnya satu ucapan tasbih dalam lembaran amal seseorang hamba itu lebih afdhal di sisi Allah daripada kerajaannya Sulaiman, kerana kerajaannya itu bakal binasa sedangkan ucapan tasbih tersebut akan kekal bagi si pembacanya dan akan bermanfaat baginya pada hari kiamat nanti."

Moga Allah selamatkan kita dari segala fitnah dunia dan membahagiakan kita di akhirat nanti dalam negeri yang abadi Jannatun Na`im, syurga yang penuh kenikmatan. Allahumma aamiin.

********************************************
Kita Ini Tetamu Senja