Selasa, Januari 31, 2012

Maulid - Pesanan Syaikh Nur

Alhamdulillah, sambutan mawlid semakin meriah walaupun tidak disenangi oleh puak ahli bid`ah membid`ah. Namun perlu diperhatikan juga bahawa tujuan mengadakan majlis mawlid adalah untuk melembutkan hati sanubari kita agar mau mengenali Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, mencintai Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, mengikut segala sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, menurut segala ajaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang akan menghasilkan keredhaan Allah ta`ala dan Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam serta memperolehi ni'mat, rahmat dan syafaat di dunia dan di akhirat nanti. Jadikanlah acara mawlid sebagai permulaan dan tapak latihan bagi kita belajar agar sentiasa ingatkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Moga dengannya kita bisa memperingati Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan menghidupkan sunnah dan ajaran baginda dalam segala aspek kehidupan kita sehingga kita kembali mengadap Ilahi. Bukannya hanya memperingati baginda dalam mawlid, tetapi dalam aspek-aspek lain ingatkan hok lain, ingatkan Soqrat, ingatkan Aflatun, ingatkan Niccolo Michiavelli, ingatkan Darwin, dan dan dan seumpamanya.........., sehingga melupakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, lupakan baginda dengan melupakan ajaran, pesanan dan tunjuk ajar baginda ... Allahu .. Allah. Marilah kita hidupkan ajaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam semua aspek kehidupan kita. Walaupun Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah wafat meninggalkan kehidupan duniawi ini dan hidup dengan kehidupan barzakh yang sempurna, namun dalam kehidupan duniawi juga, selain adanya ikatan dan pertautan rohaniah,  Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam juga sentiasa hidup segar dalam ingatan dan jiwa sekalian umat baginda, makanya para ulama tiada seorang pun menganjurkan acara haulnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bahkan sebaliknya yang diraikan adalah mawlid baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam..... Allahu ... Allah, moga ingatan kepada baginda sentiasa hidup subur dalam jiwa kita sehingga bisa mewarnai kehidupan kita agar lebih hijau dan nyaman buat dunia dan akhirat.

****************************
Wejangan Syaikh Nur

video

Ahad, Januari 29, 2012

Kanjeng Nabi Pastikan Kenal

Imam Muslim rahimahullah dalam Shahihnya meriwayatkan sebuah hadits daripada Sayyidina Jabir bin Samurah radhiyaAllahu `anhu yang Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:  

اني لأعرف حجرا بمكة كان يسلم علي قبل ان ابعث اني لأعرفه الآن

"Sesungguhnya aku kenal benar dengan seketul batu di Makkah yang pernah mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutuskan menjadi rasul; Sesungguhnya sekarang pun aku masih benar-benar mengenalinya." 

Allahu ... Allah, lihatlah wahai ikhwah, Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ingat dan kenal dengan makhluk yang memberikan ucapan salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, meskipun makhluk tadi hanyalah makhluk jamadat yang berupa seketul batu. Makanya, ambillah iktibar dan pengajaran, jika sahaja seketul batu pun masih mendapat perhatian Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan tidak baginda lupa padanya, maka betapa pula jika yang mengucapkan salam kepada baginda itu umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tapi mestilah ucapan salam tersebut dilakukan dengan rasa mahabbah cinta kasih asyiq ma`syuq kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Itulah salam yang akan disambut juga dengan seumpamanya oleh Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Oleh itu, perbanyakkanlah shalawat dan salam ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan belajarlah untuk melakukannya dengan rasa penuh mahabbah kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, Sang Penyelamat kita di dunia dan di akhirat, shallaAllahu `alaihi wa sallam. Pasti Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam akan kenal dan ingat pada kalian yang beruluk salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, batu sahaja mengucap salam sebelum bi'tsah pun dikenali dan diingati oleh baginda hatta setelah Fathu Makkah... Allahu .. Allah. Moga-moga Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenali kita sebagai umat baginda dan dengan itu kita beroleh kejayaan dengan memperolehi syafaat daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam.  

As-Salamu `Alaika Ayyuhan Nabiyu 
Wa Rahmatullahi Wa Barakaatuh,
As-Salamu `Alaika, Ya Najmal Huda
Lisy Syafa`ah, Ya RasulAllah, Lisy Syafa`ah.

*************************************
Ya Ayyuhal Mukhtar - Syaikh Thaha al-Fashni

video

Selasa, Januari 24, 2012

Salam Mawlidur Rasul

Alhamdulillah, syukur syukur, berkesempatan lagi kita menyambut bulan yang mulia, bulan pilihan Allah SWT untuk menzahirkan Junjungan Nabi SAW ke alam dunia, membawa rahmat bagi sekalian alam. Bulan yang penuh kebajikan yang terbentang luas, hanya tinggal memetiknya bagi sesiapa yang berkehendak, bak kata Shahibul Mawlid al-Habib `Ali bin Muhammad al-Habsyi rahimahullah

 موائد الخير مبسوطة لمن بايرد * في شهر فيه النبي المختار ولد
"Jamuan-jamuan kebajikan terbentang luas bagi sesiapa yang mahu; Dalam bulan padanya Nabi Pilihan dilahirkan."
 Telah jadi adat kebiasaan umat Islam di seantero dunia untuk berlebih - lebih lagi dalam mengenang dan memperingati Junjungan Nabi Rahmat Sekalian Alam pada bulan kelahiran baginda ini.  Imam Mulla `Ali al-Qari dalam "al-Mawrid ar-Rawi fi Mawlid an-Nabi SAW" halaman 29 menyatakan bahawa : "Telah menjadi kebiasaan para penduduk Madinah al-Munawwarah (rahimahumullah) untuk mengadakan dan menghadiri majlis-majlis mawlid dengan penuh semangat dan keikhlasan sempena sambutan Mawlid yang mulia."  Sehingga kini, walaupun di bawah penjajahan Wahabi, penduduk kota Madinah tetap mengadakan sambutan Mawlidur Rasul secara tertutup di kediaman - kediaman mereka. Moga Allah memberikan kebebasan kepada mereka untuk menyambutnya secara terbuka sebagaimana sebelumnya. Dan semoga Allah menimpakan kehinaan kepada mereka-mereka yang membenci majlis-majlis di mana Junjungan Nabi SAW disanjung dan dipuji.

Makanya, dengan memperingati baginda dan bersholawat kepadanya, kita memperolehi balasan shalawat daripada Allah SWT, para malaikatNya dan juga jawapan daripada Junjungan Nabi SAW. Allahu ... Allah, apa ada ganjaran yang melebihi sedemikian ? Marilah kita berusaha untuk menghadirkan diri kita dalam majlis-majlis mawlid di mana kisah-kisah keagungan Nabi Junjungan dibaca, puji-pujian kepada Allah dan rasulNya dilantunkan serta dihiasi ucapan zikrullah, sholawat dan salam ke atas baginda. Sungguh majlis-majlis seumpama ini penuh dengan pelbagai hidangan kebajikan berupa pengajaran, tazkirah, zikrullah, sholawat dan salam yang sarat berintikan mahabbah kepada Junjungan Rasulullah SAW. Tak perlulah kita ambil pusing kepada suara-suara sumbang yang mengharamkan sambutan mawlid manusia agung ini. Biarlah mereka dengan alam mereka. Kalau mereka menuding jari membid`ahkan amalan kita, maka mereka juga tidak kurang bid`ahnya kerana mereka juga mengadakan peringatan demi peringatan terhadap idola mereka seperti Bin Wahab dan Ibnu al-Utsaimin. Inilah dikatakan oleh tok nenek kita, mengata dulang paku serpih. Siapakah idola mereka berbandingkan Junjungan Nabi SAW ?????Makanya biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya. Shallu `ala Nabiyyikum ......

******************************************
Wulidal Musyarraf

video


Rabu, Januari 18, 2012

Hakikat Tawassulnya Baginda 'Umar

Telah masyhur kisah Baginda 'Umar RA beristisqa kepada Allah dengan bertawassul dengan Sayyidina `Abbas RA, paman Junjungan Nabi SAW. Puak salah-pi mendabik dada menggunakan kisah ini sebagai alasan, bukan sahaja untuk mengharamkan, bahkan untuk mensyirikkan saudara-saudara seagama yang bertawassul dengan Junjungan Nabi SAW atau para pewaris baginda yang telah berpulang ke rahmat Allah. Para ulama kita telah menjawab salahfaham puak ini dengan jawapan-jawapan yang mantap dari segi naqli dan aqli. 

Pada entri ini mari kita meneguk ilmunya Syaikh Mutawalli asy-Sya'rawi rahimahullah yang antara lain menyatakan bahawa hadis tersebut bukanlah dalil untuk menyokong pendapat puak salah-pi yang menegah kita bertawassul dengan Rasulullah SAW atau dengan orang - orang yang punya jah yang dinisbahkan kepada Baginda Nabi SAW, baik segi nasab atau amalan perbuatannya, yang hidup atau yang telah wafat. Bahkan ianya adalah sebaliknya. Hadis tersebut adalah dalil bagi mengharuskan bertawassul dengan sesiapa sahaja yang mempunyai jah / kedudukan di sisi Allah atau yang dinisbahkan kepada Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana pada hakikatnya Baginda `Umar bertawassul dengan al-`Abbas RA bukanlah kerana batang tubuh al-`Abbas RA yang masih hidup bernyawa di muka bumi yang fana, tetapi beliau dijadikan wasilah kerana hubungan kekerabatan yang beliau miliki dengan Junjungan Nabi SAW, iaitu kedudukan beliau sebagai bapa saudara / paman / `amm Junjungan Nabi SAW. Makanya Baginda `Umar tertawassul dengan ungkapan "bi `ammi Nabiyyina" atau "bi `ammi Nabiyyika" dan bukannya "bil `Abbas" sebagaimana diriwayatkan oleh para muhadditsin. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Baginda `Umar RA berdoa dengan ucapan:-
اللهم إنا كنا نتوسل إليك بنبينا فتسقينا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا فاسقنا
 "Ya Allah dahulu kami bertawassul kepadaMu dengan Nabi kami lalu Engkau telah menurunkan hujan bagi kami, dan sesungguhnya kini kami bertawassul kepadaMu dengan paman NabiMu, maka turunkanlah hujan bagi kami."
Jelas baginda mengemukakan permohonan kepada Allah SWT dengan berwasilahkan kepada paman Junjungan Nabi SA, yakni dijadikan Sayyidina al-`Abbas RA sebagai wasilah kerana beliau adalah PAMAN JUNJUNGAN NABI SAW. Maka kembalilah wasilah tersebut pada hakikatnya kepada Junjungan Nabi SAW, jadi materi utama dan sandaran bagi dijadikan wasilah tersebut adalah Junjungan Nabi SAW. Antara hikmah bagi paman Junjungan SAW untuk dijadikan wasilah berbandingkan Junjungan Nabi SAW adalah kerana Sayyidina al-`Abbas RA masih hidup pada waktu kemarau tersebut dan air bermanfaat kepada orang yang masih hidup dan dia juga memerlukannya. Manakala Junjungan Nabi SAW yang telah wafat sudah tentu tidak perlu kepada air dan air tiada lagi manfaat bagi baginda. Untuk lebih mantap silalah tuan-tuan hayati cuplikan penjelasan berhubung perkara ini oleh al-Imam asy-Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'raawi `alaihi rahmatul Bari.

**********************************


video