Khamis, Mei 02, 2013

Tuan Guru Hj Aziz Pendang

Tuan Guru Haji Abdul Aziz rahimahullah adalah di antara ulama besar negeri Kedah dan merupakan anggota Majlis Fatwa Negeri Kedah yang paling senior dan paling lama berkhidmat. Beliau dilahirkan di Kampung Semut Api, Kelantan Darun Naim pada tahun 1904M. Ketika berusia setahun, beliau dibawa ayahanda beliau ke Madinah al-Munawwarah kerana ayahandanya menyambung pengajian di sana. Maka membesarlah beliau di kota Junjungan Nabi SAW sehingga ayahandanya pulang ke tanah ketika beliau berusia 10 tahun.

Tuan Guru Haji Abdul Aziz rahimahullah menyambung pengajiannya di Pondok Tuan Guru Haji Abdul Hamid Tokbiar selama 2 tahun dan selanjutnya di Pondok Tuan Guru Haji Salleh Pulau Pisang, Jitra, Kedah, selama 3 tahun pula. Kemudian beliau meneruskan pengajiannya ke Kelantan dengan memondok di Pondok Kenali yang masyhur ketika itu di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad yang masyhur dengan gelaran Tok Kenali rahimahullah. Selain Pondok Kenali, beliau juga berulang mengaji ke Masjid Muhammadi dan antara guru-guru beliau di sana adalah Tuan Guru Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi, Haji Yaakub Legor, Haji Ali Pulau Pisang dan Haji Ahmad Mannan rahimahumullah. Dengan Tok Kenali beliau mempunyai pertautan yang istimewa di mana beliau adalah khadam kepada Tok Kenali. Beliau terus mengaji dan berkhidmat dengan Tok Kenali sehingga kewafatan Tok Kenali rahimahullah. Tuan Guru Haji Aziz adalah seorang pelajar yang tekun dan cerdas, beliau telah menghafal berbagai matan termasuklah al-Ajrumiyyah yang dihafalnya sejak kecil lagi, Alfiyyah Ibn Malik, Jawahirul Maknun, Sullam Mantiq, Baiquniyah dan Baqulat. Setelah 40 hari kewafatan Tok Kenali, Tuan Guru Haji Abdul Aziz memutuskan untuk pulang ke Kedah dan membantu ayahandanya, Tuan Guru Haji Ibrahim rahimahullah, mengajar. Pada pertengahan tahun 40an, Tuan Guru Haji Aziz membuka pondoknya sendiri di Kampung Seberang Pendang dan berikutnya pada tahun 1960 beliau mengasaskan Madrasah al-Falah.

Pada 12 Rabi`ul Awwal 1425H bersamaan 2 Mei 2004, Tuan Guru Haji Abdul Aziz telah kembali ke rahmatullah di Kampung Seberang Pendang. Jenazah beliau telah diziarahi dan disholatkan oleh kira-kira 10,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat termasuklah Tuanku Sultan Kedah Sultan Abdul Halim. Tuan Guru Haji Abdul Aziz rahimahullah dipercayai sebagai anak murid Tok Kenali yang terakhir sekali meninggal dunia. Beliau dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Pendang pada hari yang sama. Semoga Allah mencucurkan rahmatNya dan kasih - sayang yang berkekalan atas beliau, segala guru beliau dan sekalian muslimin muslimat..... al-Fatihah..

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mudah2an kita Mengenal dan Mengasihi akan golongan yg sentiasa Allah mengasihi akan sekelian mereka itu.

Tanpa Nama berkata...

ada info mengatakan seorg lagi murid yok kenali masih hidup iaitu Tok Ayah Mat Lundang Paku ..Beliau merupakan murid kepada Tok Kenali...Skrg pemegang kunci makam Syeikh Ismail dan Syeikh Said..waallahualam..

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.