Rabu, Februari 05, 2014

Susu & Madu

Imam Tirmidzi, Imam Ibnu Majah, Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan Imam Nasai rahimahumullah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW pernah bersabda: 
"Sesiapa yang telah diberikan Allah makanan maka dia hendaklah berdoa dengan ucapan "Allahumma baarik lanaa fiihi wa ath`imnaa khairan minhu" (Ya Allah berkatilah kami padanya dan berikanlah kami makanan yang lebih baik lagi daripadanya (yakni makanan syurga). Dan sesiapa yang diberikan Allah minum susu, hendaklah dia berdoa : "Allahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu," (Ya Allah, berkatilah kami padanya dan berikanlah kami tambahannya lagi). Tiada sesuatu dapat menempati / mengganti kedudukan susu sebagai makanan dan minuman."
Hadis ini menunjukkan kelebihan susu berbanding dengan lain - lain makanan atau minuman. Saking istimewanya susu sehingga Junjungan Nabi SAW mengajari kita agar memohon tambahan lagi setelah meminumnya. Manakala untuk makanan lain diajari agar kita memohon makanan yang lebih istimewa lagi. Oleh itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah mencatatkan dalam "al-Fatawa al-Haditsiyyah" ketika ditanya yang mana afdhal antara susu dan madu ? Beliau rahimahullah, menyatakan sebagai berikut:- 
Telah berkata Imam al-Jalal as-Sayuthi (Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah) bahawa menurut ketentuan dalil- dalil, susu afdhal (daripada madu) kerana Allah telah menjadikan dia makanan bagi bayi dan tidak selainnya. Dan susu mencukupi sebagai makanan dan minuman sedang bagi madu tidaklah sedemikian keadaannya. Dalam hadis yang berdarjat hasan dinyatakan bahawa: "Sesiapa yang diberi minum Allah dengan susu hendaklah dia berdoa: "Allahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu", tiada yang dapat menggantikan sebagai makanan dan minuman selain susu dan ianya tidak menyakitkan perut sebagaimana dinyatakan dalam hadis. Allah ta`ala berfirman : " Yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang - orang yang meminumnya." (an-Nahl:66). Pada malam Isra`, susu juga telah menjadi pilihan Junjungan Nabi SAW berbandingkan madu dan arak, dan dikatakan kepada baginda: "Inilah fitrah yang engkau dan umatmu atasnya." (Diriwayatkan oleh asy-Syaikhan) Dalam satu hadis disebut: "Diperintahkan atas sesiapa yang makan selain susu untuk berdoa: "Allahumma baarik lanaa fiihi wa ath`imnaa khairan minhu"  dan diperintahkan sesiapa yang makan/minum susu untuk berdoa: "Allahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu." Dan ini menunjukkan bahawa susu itu lebih baik daripada madu.
Oleh itu, selain madu, jangan diabaikan susu. Jangan dianggap yang susu itu hanya untuk budak-budak sahaja. Setelah meminumnya, jangan pula lupa membaca doa yang diajar oleh Junjungan Nabi SAW.  Disunnatkan juga agar setelah minum susu, kita berkumur - kumur kerana ianya dilakukan oleh Junjungan Nabi SAW. Mudah-mudahan hilang haus, kenyang perut, dan dapat pahala serta diberkati Allah SWT.