Khamis, April 03, 2014

Kisah Habib Abdul Rahman As-Saqqaf

Diceritakan bahawa pengarang "Badhaa`i at-Taabut", al-`Allaamah al-Habib `Abdul Rahman bin `Ubaidillah as-Saqqaf rahimahullah, dalam rehlahnya ke Makkah untuk menunaikan umrah telah membaca mawlid Junjungan Nabi SAW dalam Masjidil Haram bersama teman dan murid - murid beliau. Tatkala sampai kepada kisah kelahiran Junjungan Nabi SAW (yakni mahalul qiyam), sebagaimana kebiasaan umat Islam di seantero alam, beliau bersama para hadirin pun berdiri sambil melantunkan shalawat dan salam ke atas Junjungan SAW. Hal ini telah diperhati oleh petugas Masjidil Haram yang ketika itu sudah pun berada dalam jajahan puak Wahabi yang diketuai oleh raja mereka, `Abdul `Aziz Al Saud. Maka si Wahabi tadi telah datang kepada al-Habib dan dengan kasar dan menyuruh beliau berhenti. Habib `Abdul Rahman cuba memberikan penjelasan kepada si Wahabi tersebut namun sia-sia sebab memang sudah tabiat Wahabi badwi yang mau menang sendiri sahaja. Demi menjaga daripada terjadinya kekecohan, Habib `Abdul Rahman pun memberhentikan bacaan mawlid tersebut.

Tatkala tiba waktu sholat Maghrib, maka datanglah Raja `Abdul `Aziz Al Saud untuk menunaikan sholat berjemaah. Melihat ketibaan sang raja, maka para jemaah terutama sekali petugas dan antek - antek Wahabi pun berdiri menghormati sang raja. Namun, Habib `Abdul Rahman tidak berdiri dan terus sahaja duduk tanpa mempedulikan kehadiran sang raja. Perbuatan Habib `Abdul Rahman telah dilihat oleh sang raja dan setelah sholat, sang raja menyuruh memanggil Habib `Abdul Rahman datang mengadap. Habib `Abdul Rahman mendatangi sang raja, lalu beliau telah ditanya oleh sang raja mengenai perbuatannya yang tidak mahu berdiri menghormatinya. Dengan tenang dan penuh adab Habib `Abdul Rahman bertanya kepada sang raja: "Siapakah yang lebih mulia, Junjungan Nabi SAW atau baginda raja?" Raja `Abdul `Aziz menjawab bahawa sudah tentu Junjungan Nabi SAW lebih mulia daripada baginda. Maka Habib Abdul Rahman pun menceritakan kisah si Wahabi penjaga Masjidil Haram yang melarangnya untuk berdiri demi Junjungan Nabi SAW. Oleh itu, jika berdiri demi Junjungan Rasulullah SAW dilarang maka kenapa perlu berdiri demi menghormati orang yang jauh lebih rendah kemuliaannya daripada Baginda Nabi SAW. Setelah mendengar penjelasan Habib `Abdul Rahman, Raja `Abdul `Aziz Al Saud pun segera memerintahkan para petugas dan penjaga Masjidil Haram agar tidak lagi mengganggu dan menegah segala perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh Habib `Abdul Rahman dalam masjid yang mulia tersebut.

Tiada ulasan: