Ahad, April 27, 2014

Menghadap Rasul

Dr. Abdul Basit Abdul Rahman dalam bukunya "Madinah Munawwarah Kelebihan dan Sejarah" pada halaman 35 menulis:-
Menghadap ke arah makam Rasulullah SAW ataupun Raudhah ketika berdoa adalah dilarang sama sekali kerana kiblat doa bagi Muslimin adalah Kaabah."

Ternyata Dr. Abdul Basit yang dikenali juga sebagai Abu Anas al-Madani adalah antara ustaz yang menghukumkan berdoa menghadap ke arah makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai sesuatu yang dilarang sama sekali. Melihat kepada ketegasan kalimah "dilarang sama sekali" membawa erti bahawa ianya adalah sesuatu yang haram untuk dilakukan.

Apa yang dinyatakan oleh Dr. Abdul Basit ini adalah benar dan tepat dari sudut pandang puak Wahhabi dan yang sewaktu dengan mereka. Namun pendapat dan pandangan sedemikian adalah berseberangan dengan pandangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Jadi yang melarang sama sekali atau yang mengharamkan atau yang membid`ahsesatkan untuk menghadap ke arah makam Rasulullah SAW ketika berdoa bukanlah para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah, ianya adalah larangan puak "Salahpi" yang didokong dan dikutip oleh Dr. Abdul Basit, semoga Allah memberi beliau taufik dan hidayah ke atas jalan yang haq, Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sejati. Oleh itu, pernyataan Dr. Abdul Basit ini tidak mewakili pandangan para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Ketika menziarahi Junjungan Nabi SAW dalam masjid Baginda yang mulia, ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah menganjurkan agar kita tetap menghadapkan wajah kita ke arah makam Baginda walaupun ketika berdoa ke hadhrat Allah `azza wa jalla. Tidak sepatutnya timbul isu membelakangkan qiblat kerana ketika itu kita sedang berada di hadapan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Apakah patut dan layak kita memberi belakang kita kepada baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ?  Alhamdulillah sekarang pendapat extreme puak Wahhabi ini mulai luntur sehingga Raja Abdullah sendiri berdoa dengan menghadapkan wajahnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Untuk mengimbangi pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Abdul Basit, kita kemukakan pula pernyataan seorang ulama besar, seorang "gergasi" dalam agama terutama sekali di bidang hadis, ulama yang terkenal dengan gelaran "Raa-isul Muhadditsin (Pemimpin Para Muhadditsin)", al-'Alim al-'Allaamah Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah. Dalam karya beliau yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu,  "Fadhilat Haji" halaman 204, Maulana rahimahullah menulis sebagai berikut:-
Adalah jelas daripada yang disebutkan di atas bahawa tatkala memohon kepada Allah, muka hendaklah dihadapkan kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Walaupun adab yang biasanya daripada doa ialah mengarahkan muka ke Qiblat tetapi pada tempat ini jikalau itu dilakukan maka belakang akan mengarah kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sesungguhnya akan berlaku tidak hormat kepada peribadi yang dirahmati itu. Maka yang demikian, doa hendaklah dilakukan dengan wajah menghadapi Baginda.
Oleh itu, sesiapa yang nak pakai kata-kata Dr. Abdul Basit tadi, maka itu hak kome. Ese tetap ikut pandangan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah termasuklah Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah. Lana a'maaluna wa lakum a'maalukum.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allah...pencerahan yg sebegini amat diperlukan ketika mana kekeliruan demi kekeliruan dipersembahkan pd khalayak. Br2 ini berkenaan isu puasa bulan rejab