Rabu, Mei 21, 2014

Fadhilat Puasa Rejab - Ibnu Rajab

Imam Ibnu Rajab atau nama penuhnya `Abdul Rahman bin Syihabuddin Ahmad bin Rajab bin `Abdul Rahman al-Baghdadi ad-Dimasyqi al-Hanbali rahimahullah adalah salah seorang ulama Hanbali yang dilahirkan sekitar tahun 736H. Beliau banyak meninggalkan karangan yang bermutu termasuklah dalam bidang hadits. Menurut Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah dalam "Lathoiful Ma'aarif" walaupun hadits-hadits berhubung kelebihan berpuasa secara khusus dalam bulan Rejab tidak sahih, akan tetapi ada riwayat daripada Abu Qilaabah yang menyatakan:-

في الجنة قصر لصوام رجب
"Dalam syurga ada mahligai dikhususkan 
 bagi orang-orang yang berpuasa dalam bulan Rajab."

Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa Abu Qilaabah adalah sebesar-besar tabi'in, maka tidaklah dia berkata sedemikian melainkan ianya telah disampaikan kepadanya (yakni apa yang beliau nyatakan tadi bukanlah daripada dirinya namun beliau telah menerimanya sahabat yang menerimanya pula daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.). Mudah - mudahan sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab yang mulia ini akan menerima balasan yang besar daripada Allah `azza wa jalla.

Isnin, Mei 19, 2014

Puasa Rejab

Berpuasa sunat dalam bulan Rejab amatlah digalakkan oleh para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Rejab dianggap sebagai bulan yang afdhal untuk membanyakkan puasa sunnat setelah bulan Muharram. Ini adalah kerana bulan Rejab juga termasuk bulan - bulan haram. Oleh itu tidak wajar dipertikaikan amalan berpuasa sunnat dalam bulan yang mulia ini. Namun tidak dinafikan bahawa kebanyakkan hadits yang menceritakan kelebihan puasa dalam bulan Rejab adalah dhoif. Hadits- hadits fadhilat ini disampaikan juga oleh sesetengah tuan - tuan guru hanyalah sebagai kata-kata rangsangan atau motivasi agar umat memperbanyakkan amalan berpuasa sunnat dalam bulan Rejab dan ianya bukanlah untuk dijadikan dalil atau hujjah tentang sunnatnya berpuasa dalam bulan Rejab yang mulia, kerana dalil mengenai puasa sunnat telah sabit secara ithlak termasuklah berpuasa sunnat dalam bulan Rejab. Kalau ditelek akan kitab - kitab muktabar para ulama kita, jelas dinyatakan bahawa Rejab menduduki tempat kedua sebagai bulan yang afdhal untuk melakukan puasa sunnat selepas Muharram. Cuma kita kena faham bahawa berpuasa sunnat dalam bulan Rejab tentulah berbeza dengan ketentuan sunnatnya berpuasa pada hari `Arafah atau hari `Asyura yang sabit dalil yang mengkhususkan berpuasa pada hari - hari tersebut sebagai sunnat. Sunnat berpuasa dalam bulan Rejab itu adalah atas ithlak bahawa berpuasa sunnat itu adalah sesuatu yang dianjurkan teristimewa pula dalam bulan - bulan yang mulia.

Oleh itu, dakwaan yang mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan Rejab sebagai bid`ah adalah pendapat yang salah lagi bid`ah kerana tsabit Junjungan shallaAllahu `alaihi was sallam pernah berpuasa dalam bulan Rejab. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi was sallam juga diriwayatkan pernah tidak berpuasa dalam bulan Rejab, jadi ini menjadi dalil bahawa berpuasa dalam bulan Rejab adalah dibenarkan namun ianya tidaklah sampai ke peringkat wajib. Oleh itu, sesiapa yang menghukumkan haram berpuasa pada bulan Rejab, maka dia telah melakukan bid`ah dan begitulah juga kepada yang mewajibkan berpuasa padanya.

Dalam "Thabaqat asy-Syafi`iyyah al-Kubra" dinukilkan bahawa Imam as-Sam`aani rahimahullah menyatakan bahawa: " Tidak warid dalil khusus mengenai anjuran berpuasa Rejab sebagai satu sunnah yang sabit. Dan hadits-hadits yang diriwayatkan (yakni mengenai kelebihan puasa Rejab) mempunyai kelemahan dan tidak menjadi sandaran bagi orang alim." Maka Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah memperjelaskan lagi kata Imam as-Sam`aani rahimahullah tersebut dengan menyatakan: "Perkataan beliau (yakni Imam as-Sam`aani) adalah benar, namun ini tidak bererti berpuasa padanya mesti ditinggalkan. Berpuasa itu secara mutlak mempunyai keutamaan yang sabit. Dalam "Sunan Abi Daud" dan selainnya terdapat anjuran untuk berpuasa dalam bulan - bulan haram, maka ini adalah cukup untuk menjadi dalil bagi menghidupkan sunnah bahawa dianjur berpuasa padanya (yakni dianjurkan berpuasa sunnat dalam bulan Rejab)."

Maka sesiapa yang suka menambah bekalan untuk negeri kembali yang kekal, silalah memperbanyakkan amalan-amalan saleh seperti memperbanyakkan berpuasa sunnat. 

Jumaat, Mei 16, 2014

Ya Lathifan bi khalqih

Ini adalah antara zikir yang diulang sebanyak 3 kali dalam Ratib al-`Aththas yang masyhur. Diceritakan bahawa kalimah zikir ini berasal daripada Nabi Khidir `alaihis salam sebagaimana masyhur kisahnya diceritakan oleh para ulama kita. Imam al-Yafi`i rahimahullah menceritakannya dalam "Raudhur Riyahin" yang kemudian dinukilkan oleh Habib `Ali bin Hasan al-`Aththas rahimahullah dalam "al-Qirthaas". Di sini ese datangkan cuplikan kisah tersebut sebagaimana dinukilkan oleh Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam karya beliau yang diterjemahkan dengan jodol "Fadhilat Haji", sebagai berikut:-
Salah seorang daripada wali Allah meriwayatkan: " Satu ketika daku berada di dalam keadaan yang sangat dukacita dan susah hati. Sekujur tubuhku diseliputi dengan ketakutan. Dalam keadaan yang susah hati ini, daku membuat perjalanan ke Mekah; tanpa binatang untuk dikenderai dan tanpa makanan. Demikianlah daku berjalan selama tiga hari di padang pasir. Pada hari yang keempat daku berasa dahaga yang amat sangat sehinggakan maut hampir-hampir menjelang. Di padang pasir itu daku berada dan di sekelilingku tidak ada sebatang pohon pun yang kelihatan yang dapat daku duduk berteduh di bawahnya. Merasakan akan kedatangan maut, daku duduk mengarah ke Qiblat. Apabila daku duduk di sana, kantuk mengatasiku dan di dalam mimpi daku melihat seseorang datang ke arahky dengan tangannya terhulur ke arahku sambil berkata: "Ambil tanganku ini." Daku menghulurkan tanganku dan dia bersalam denganku. Kemudian dia berkata: "Daku datang untuk memberikan berita gembira kepadamu, kamu akan melakukan haji dan akan kembali dengan selamat sejahtera, dan kamu juga akan menziarahi kuburan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam". Daku bertanya: "Siapakah kamu ?" Dia menjawab: "Daku Khidir." Daku berkata: "Doakan untukku." Dia menjawab: "Baca ayat ini tiga kali:-
Kemudian Khidir `alaihis salam berkata: " Ini ialah hadiah untuk mu - satu ubat yang akan dapat mencukupimu dan akan menjadi manfaat. Bilamana kamu di dalam keadaan kesukaran, bacalah ini, kesukaranmu akan lenyap.
Dipendekkan cerita, si wali tersebut akhirnya selamat menunaikan hajinya dan berkesempatan menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan sentiasalah beliau menjadikan zikir tersebut sebagai wirid dan amalan beliau. Zikir ini telah dianjurkan oleh para ulama kita dijadikan amalan. Imam al-Haddad rahimahullah menyatakan bahawa zikir di atas adalah antara wasilah untuk panjang umur. Ulama dan daie terkenal Mesir, Syaikh `Abdul Hamid Kisyk rahimahullah menganjurkannya sebagai amalan untuk menghilangkan kesusahan. Mudah-mudahan ianya dapat kita amalkan dan dengannya jadi sebab bagi Allah melimpahkan rahmat dan pertolonganNya kepada kita sehingga segala kesusahan yang kita hadapi atau akan dihadapi terhindar berkat keluthufan Allah ta`ala atas para hambaNya.

Ceramah Syaikh `Abdul Hamid



Ahad, Mei 11, 2014

Minhajuth Thalibin - Habib `Umar

"Minhajuth Thalibin wa Umdatul Muftin" adalah antara karya monumental al-Imam al-Quthub Abi Zakaria Muhyiddin an-Nawawi rahimahullah. Ianya adalah antara materi penting yang menjadi kajian dan rujukan para pengikut mazhab Sulthan al-A-immah Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Almarhum KH Sirajuddin Abbas rahimahullah menyatakan bahawa kitab ini adalah satu - satunya kitab fiqih agama Islam yang mula-mula masuk ke Indonesia dan kitab ini juga telah dijadikan teks utama dalam pengajian fiqh Syafi`i di berbagai pondok, madrasah, pesantren dan masjid sejak kurun ke-7H lagi.

Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana para ulama di Timur Tengah juga mempunyai pandangan yang tinggi kepada karya Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu ini. Tidak ketinggalan juga para ulama Ahlil Bait di Hadhramaut, sehingga ramai daripada mereka yang menghafal kitab ini. Shahibur Ratib al-Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah sentiasa memberikan perhatian yang khusus kepada kitab ini. Bahkan beliau telah berpesan kepada murid - muridnya, Syaikh `Abdullah Baubad rahimahullah dan Syaikh `Ali Baras rahimahullah untuk mentelaah kitab "Minhajuth Thalibin" ini dan menyatakan :-
Kitab ini mengandungi penuh berkat kerana ia padat dengan ilmu. Kenapa tidak, kerana Imam an-Nawawi adalah penghulu segala wali dan dia mendoakan kepada mereka yang membaca kitab tersebut. Dan sesiapa yang membacanya nescaya akan dibukakan Allah ta`ala rahsia-rahsia ilmu zahir dan batin.  
Perhatian yang diberikan oleh para ulama terhadap kitab ini sungguh luar biasa. Berpuluh - puluh syarah bagi kitab ini telah ditulis oleh ramai ulama kenamaan. Antara yang masyhur yang menjadi rujukan penting dalam mazhab asy-Syafi`i adalah "Tuhfatul Muhtaj" karya Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, "Nihayatul Muhtaj" karya Imam Syamsuddin ar-Ramli rahimahullah dan "Mughnil Muhtaj" karya Syaikh Muhammad Syarbaini al-Khatib rahimahullah. Mudah-mudahan Allah `azza wa jalla membalas Muhyiddin an-Nawawi dan segala ulama dengan sebaik-baik balasan atas segala usaha mereka dalam memartabatkan ilmu dan hukum Allah atas muka bumi ini.