Isnin, Mei 19, 2014

Puasa Rejab

Berpuasa sunat dalam bulan Rejab amatlah digalakkan oleh para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Rejab dianggap sebagai bulan yang afdhal untuk membanyakkan puasa sunnat setelah bulan Muharram. Ini adalah kerana bulan Rejab juga termasuk bulan - bulan haram. Oleh itu tidak wajar dipertikaikan amalan berpuasa sunnat dalam bulan yang mulia ini. Namun tidak dinafikan bahawa kebanyakkan hadits yang menceritakan kelebihan puasa dalam bulan Rejab adalah dhoif. Hadits- hadits fadhilat ini disampaikan juga oleh sesetengah tuan - tuan guru hanyalah sebagai kata-kata rangsangan atau motivasi agar umat memperbanyakkan amalan berpuasa sunnat dalam bulan Rejab dan ianya bukanlah untuk dijadikan dalil atau hujjah tentang sunnatnya berpuasa dalam bulan Rejab yang mulia, kerana dalil mengenai puasa sunnat telah sabit secara ithlak termasuklah berpuasa sunnat dalam bulan Rejab. Kalau ditelek akan kitab - kitab muktabar para ulama kita, jelas dinyatakan bahawa Rejab menduduki tempat kedua sebagai bulan yang afdhal untuk melakukan puasa sunnat selepas Muharram. Cuma kita kena faham bahawa berpuasa sunnat dalam bulan Rejab tentulah berbeza dengan ketentuan sunnatnya berpuasa pada hari `Arafah atau hari `Asyura yang sabit dalil yang mengkhususkan berpuasa pada hari - hari tersebut sebagai sunnat. Sunnat berpuasa dalam bulan Rejab itu adalah atas ithlak bahawa berpuasa sunnat itu adalah sesuatu yang dianjurkan teristimewa pula dalam bulan - bulan yang mulia.

Oleh itu, dakwaan yang mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan Rejab sebagai bid`ah adalah pendapat yang salah lagi bid`ah kerana tsabit Junjungan shallaAllahu `alaihi was sallam pernah berpuasa dalam bulan Rejab. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi was sallam juga diriwayatkan pernah tidak berpuasa dalam bulan Rejab, jadi ini menjadi dalil bahawa berpuasa dalam bulan Rejab adalah dibenarkan namun ianya tidaklah sampai ke peringkat wajib. Oleh itu, sesiapa yang menghukumkan haram berpuasa pada bulan Rejab, maka dia telah melakukan bid`ah dan begitulah juga kepada yang mewajibkan berpuasa padanya.

Dalam "Thabaqat asy-Syafi`iyyah al-Kubra" dinukilkan bahawa Imam as-Sam`aani rahimahullah menyatakan bahawa: " Tidak warid dalil khusus mengenai anjuran berpuasa Rejab sebagai satu sunnah yang sabit. Dan hadits-hadits yang diriwayatkan (yakni mengenai kelebihan puasa Rejab) mempunyai kelemahan dan tidak menjadi sandaran bagi orang alim." Maka Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah memperjelaskan lagi kata Imam as-Sam`aani rahimahullah tersebut dengan menyatakan: "Perkataan beliau (yakni Imam as-Sam`aani) adalah benar, namun ini tidak bererti berpuasa padanya mesti ditinggalkan. Berpuasa itu secara mutlak mempunyai keutamaan yang sabit. Dalam "Sunan Abi Daud" dan selainnya terdapat anjuran untuk berpuasa dalam bulan - bulan haram, maka ini adalah cukup untuk menjadi dalil bagi menghidupkan sunnah bahawa dianjur berpuasa padanya (yakni dianjurkan berpuasa sunnat dalam bulan Rejab)."

Maka sesiapa yang suka menambah bekalan untuk negeri kembali yang kekal, silalah memperbanyakkan amalan-amalan saleh seperti memperbanyakkan berpuasa sunnat. 

Tiada ulasan: