Rabu, November 26, 2014

Istighatsah : JJ v. Imam Ramli

Media tempatan melaporkan bahawa JJ (baca: Juanda Jaya) telah menghukumkan "tidak boleh (baca: haram)" beristighatsah (memohon bantuan) dengan orang yang telah wafat termasuklah dengan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sebenarnya, jika seseorang memohon bantuan kepada makhluk dengan iktiqad bahawa makhluk itu boleh memberi bekas, maka perbuatan tersebut sememangnya haram tanpa mengira samada makhluk itu masih hidup bernyawa di dunia yang fana ini atau sudah berada di alam baqa. Seseorang mukmin yang beristighatsah pasti tidak mempunyai iktiqad sedemikian, baik yang diminta pertolongan itu masih hidup atau sudah mati. Kita orang mukmin tahu bahawa hanya Allah ta`ala sahaja yang memberi bekas, adh-Dhaar dan an-Naafi`. Oleh itu isu istighatsah ini telah lama dijelaskan oleh para ulama kita terdahulu dengan melihat kepada segala nas yang ada dan akhirnya JUMHUR ULAMA menghukumkan ianya adalah dibolehkan. Namun sayangnya masih ada yang cuba mengelirukan masyarakat tentang hal ini dengan mengatakan ianya haram secara mutlak. Jika JJ kata haram beristighatsah maka lihat pula apa kata Imam Ramli rahimahullah mengenai persoalan ini. Dan pasti korang yang punya mata dan mata hati dapat melihat di mana kedudukan JJ berbanding Imam ar-Ramli rahimahullah.

Imam Syamsuddin Muhammad bin Abil `Abbas Ahmad bin Hamzah ar-Ramli al-Anshari rahimahullah, pengarang kitab "Nihayatul Muhtaj" yang masyhur, dalam fatwanya yang dicetak di tepi himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dengan berjodol "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 4, halaman 382 - 383 menyatakan (terjemahan bebas):-
  • (Ditanyai) mengenai apa yang dilakukan orang awam dari ucapan mereka sewaktu kesusahan "Ya Syaikh Fulan", "Ya RasulAllah", dan seumpamanya dari ucapan-ucapan istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin, maka adakah perkara ini jaiz (harus) atau tidak ? Dan adakah bagi para rasul, para nabi, para wali, sholihin dan masyaikh pertolongan (yakni memberi pertolongan) selepas mereka mati, dan apakah yang rajih pada yang demikian ?
  • (Maka dijawab) Bahawasanya istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin adalah HARUS. Dan bagi para rasul, para nabi, para wali dan sholihin pertolongan selepas mereka mati kerana bahawasanya mu'jizat para nabi dan karamat para wali tidak putus dengan matinya mereka. Adapun para nabi maka mereka hidup di dalam kubur-kubur mereka, sembahyang mereka dan berhaji mereka seperti yang warid diberitakan dalam beberapa hadis, dan jadilah pertolongan daripada mereka mu'jizat bagi mereka. Para syuhada` juga hidup, disaksikan mereka itu dengan jelas memerangi segala kuffar. Adapun para wali maka ianya adalah karamah bagi mereka. Sesungguhnya Ahlul Haqq berpegang bahawasanya berlakunya karamah para wali dengan niat (sengaja) mereka atau tanpa ada sebarang niat adalah suatu perbuatan yang mencarik adat yang dilakukan oleh Allah ta`ala dengan sebab mereka. Dalil atas harusnya perkara ini berlaku adalah kerana ianya termasuk dalam perkara mumkin, oleh kerana itu tidaklah menjadi mustahil ianya untuk berlaku, maka setiap perkara seperti atas adalah harus untuk berlaku. Antara dalil berlakunya karamah ialah kisah Siti Maryam dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya sebagaimana diceritakan dalam al-Quran; kisah Sayyidina Abu Bakar dengan tetamu-tetamunya sebagaimana tersebut dalam kitab hadis shohih; kisah Sungai Nil banjir dengan sebab surat Sayyidina 'Umar; kisah Sayyidina 'Umar sedang atas mimbar di Madinah dapat melihat tenteranya di Nahawand serta boleh berbicara dengan panglimanya, di sini juga dapat diambil sebagai karamah bahawa tentera tersebut dapat mendengar kata-kata Sayyidina 'Umar sedangkan antara mereka dengan Sayyidina 'Umar jarak perjalanan 2 bulan; kisah Sayyidina Khalid meminum racun tanpa memberi mudarat. Dan telah berlaku berbagai perkara mencarik adat atas tangan para sahabat dan para tabi`in dan orang-orang yang selepas mereka yang tidak mungkin untuk diingkari ketawaturannya yang telah disepakati. Sebagai kesimpulannya, apa yang harus berlaku sebagai mu'jizat untuk nabi, haruslah berlaku sebagai karamah bagi wali. Tiada perbezaan antara keduanya selain daripada at-tahaddi ("mencabar" yakni mu'jizat itu sifatnya mencabar musuh atau melemahkan musuh).
Nak puas lagi sila rujuk perkataan asal Imam ar-Ramli rahimahullah. Tapi bodo - bodo aku pun faham bahawa istighatsah itu harus di sisi Imam ar-Ramli dan begitulah juga di sisi ulama-ulama kita yang lain. Inilah kedudukannya dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Puak - puak kat utara ni kena banyak mentelaah kitab - kitab turats Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebelum mengeluarkan fatwa atau pendapat. Jangan hanya rasa cukup dengan fatwa Ibnu Taimiyah atau fatwa Saudi - Wahabi sahaja. Buka luas sikit minda tu, jangan jadi katak bawah tempurung yang beranggapan bahawa Islam itu hanya apa yang ada dalam ilmunya Ibnu Taimiyyah ...... Allahu ... Allah.

Selasa, November 25, 2014

Tawassul Selepas Wafat - Nik Aziz

Tok Guru Nik 'Abdul `Aziz bin Nik Mat hafizahUllah, dalam karya beliau "Rasulullah Muhammad S.A.W. insan teladan sepanjang zaman", pada halaman 175 - 176 menulis:-
Ramai orang menjadi sesat selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerana dalam hati mereka tiada kasih kepada baginda. Mereka telah menidakkan tawassul terhadap zat baginda selepas wafatnya. Mereka menganggap bahawa kesan keberkatan Rasulullah SAW itu telah habis apabila baginda wafat. Jika bertawassul selepas baginda wafat bererti bertawassul kepada suatu yang tidak berkesan.

Hujah seperti itu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya jahil mengenai Rasulullah SAW. Persoalannya, adakah semasa hayat baginda ia memberi kesan? Sedangkan kesan hanya datang daripada Allah SWT sebagai Khaliq, tiada makhluk yang memberi kesan. Tiada siapa pun boleh mendakwa bahawa Rasulullah SAW boleh memberi kesan secara peribadi semasa hayatnya. Kerana dakwaan itu telah disepakati boleh membawa kerosakan akidah.

Para sahabat mengambil berkat daripada kesan-kesan baginda, bukan kerana baginda boleh memberi kesan. Tetapi baginda adalah seafdal-afdal manusia di muka bumi ini. Seluruh makhluk di langit atau di bumi, hanya Rasulullah SAW sahaja orang yang menjadi kesayangan Allah SWT. Baginda juga menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam. Ia adalah tawassul disebabkan Rasulullah SAW sangat akrab dengan Allah SWT, melalui bagindalah seluruh makhluk mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Maka jelas menurut Tok Guru hafizahullah, sesiapa yang berpendapat bahawa tidak boleh bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alahi wa sallam setelah kewafatan baginda, maka orang tersebut adalah ORANG SESAT YANG HATINYA TIDAK KASIHKAN BAGINDA shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka tak kiralah samada manusia sesat ini mufti ke, ustaz ke, barua politik ke, pencacai politik ke dan dan dan dan seumpamanya.

Jumaat, November 21, 2014

Jangan kecewa.......

Antara khabar gembira yang telah dimaklumkan oleh ash-Shadiqul Mashduq shallaAllahu `alaihi wa sallam, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim radhiyaAllahu `anhu:- "Sesiapa yang menunjuk kepada suatu kebajikan, maka baginya seumpama pahala pelaku kebajikan tersebut". Oleh itu, jangan berhenti jadi penunjuk kepada segala macam bentuk makrufat. Di samping kita sendiri beramal, jangan lupa mengajak sesama untuk sama - sama beramal. Bertolong bantu atas kebajikan dan ketakwaan sebagaimana yang difirmankan oleh Rabbul `Izzah `azza wa jalla. Jangan bakhil hendak masuk syurga sendiri-sendiri, ingat rahmat Allah ta`ala itu terlalu amat luas tanpa had dan sempadan. Dan jangan mengharapkan balasan daripada sesama pengharap balasan, sandarkan segalanya kepada asy-Syakur yang Maha Pemberi Balasan yang berganda- ganda. Jika kita mengharapkan balasan daripada makhluk, kita akan menemui kekecewaan. Dengan Tuhan dan Nabi yang paling banyak berjasa, pun ramai yang lupa, apatah lagi jasa kita yang tak seberapa. Oleh itu, tetapkanlah pendirian dan istiqamah hanya menghadap kepadaNya ..... Allahu .... Allah. Ingat padaNya sentiasa dan jadilah rijal yang matang dan tinggalkan permainan budak - budak hingusan.

Khamis, November 13, 2014

Perginya SIbawaih Bumi Melayu

Tanggal 19 Muharram 1436H, menyaksikan kehilangan seorang lagi ulama besar dari bumi Nusantara. Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Idris al-Jarumi al-Fathani atau lebih dikenali dengan gelaran Baba Lah Sarah al-Fathani rahimahullah adalah contoh kepribadian seorang ulama yang khumul walaupun memiliki ilmu yang luas. Kepakaran dan penguasaan beliau dalam ilmu alat ( nahu, sorof, mantiq, balaghah, a'rudh) amat terserlah sehingga beliau digelar sebagai "Tok Sibawaih". Hidup beliau telah diabdikan seluruhnya untuk agama dengan mengajar dan mendidik sepanjang masa sehingga anak-anak murid beliau menjangkau puluhan ribu. Mudah - mudahan segala amal bakti beliau diterima oleh Allah `azza wa jalla , dibalas dengan sebesar-besar ganjaran dan dijadikan syurga Firdaus tempat kediamannya yang abadi. Dan biarlah yang patah tumbuh yang hilang berganti, agar tidak sunyi bumi ini amnya dan Nusantara khususnya dengan ulama pewaris para Nabi....... al-Fatihah.

Selasa, November 11, 2014

Masih Bisa Tersenyum ....

Ketika meninggalkan kota suci Makkah al-Mukarramah, tidak sedikit yang akan mengalirkan air mata kerana berpisah dengan Ka'batullah yang mulia. Ada yang sampai terbawa-bawa sehingga tak lalu makan. Namun ketahuilah bahawa Yang Memiliki Ka'bah yang mulia itu tidak bertempat. Sungguh sifat dan keadaan Dzat yang mulia ini yang tidak mengambil sebarang tempat adalah satu nikmat yang besar yang perlu kita syukuri. Jangan hanya merasa bahawa Allah Tuhan Maha Agung yang tidak bertempat hanya berada di Makkah. Tinggalkanlah Ka'bah dengan kesedihan, namun iringilah dengan kesyukuran. Sedih kerana kita meninggalkan sesuatu yang diperintahkan Allah untuk kita takzimkan dan syukur kerana yang ditinggal cuma Ka'bah sedangkan Pemilik Ka'bah dan Pemilik diri kita dan alam semesta sekaliannya sekali-kali tidak mengambil sebarang tempat. Maka tinggalkanlah Ka'bah yang bertempat di Kota Makkah, namun jangan ditinggalkan Pemiliknya di sana. Jangan sekali - kali kita memisahkan diri kita atau merasa diri kita terpisah dengan Dzat yang wajibul wujud ini. Sematkanlah keimanan yang sahih dan ingatan yang tulus kepadaNya dalam hati sanubari kita setiap masa dan ketika walau di mana kita berada, sehingga jadilah hati sanubari kita bak kata sebahagian hukama "Qalbul mukmin baitullah - Hati orang beriman itu adalah baitullah". Senyumlah dan bersyukurlah kerana Pemilik Ka'bah tidak bertempat ..... Alhamdulillah wasy Syukrulillah.