Rabu, Disember 03, 2014

Tertib Dalam Jamak Takhir

Berlaku kekeliruan mengenai tertib dalam melaksanakan jamak takhir. Ada yang mendahulukan shalat `Isyak sebelum Maghrib, kerana katanya `Isyak itu yang empunya waktu. Manakala sebilangan lagi mendahulukan Maghrib kerana mengikut tertib.

Apa yang ese ketahui dan pelajari daripada tuan - tuan guru, hukum tertib dalam jamak taqdim adalah wajib, manakala dalam jamak takhir pula adalah sunnat. Yang dikehendaki dengan tertib di sini adalah melaksanakan shalat yang hendak dijamakkan itu mengikut urutan, yakni ditunaikan shalat Zohor dahulu kemudian diikuti dengan shalat `Asar dan ditunaikan shalat Maghrib kemudian baru shalat `Isyak. Sekali lagi ditegaskan bahawa tertib ini dalam jamak taqdim mesti diikut, dan biasanya tidak berlaku kekeliruan dalam perlaksanaannya. Namun dalam jamak takhir, ada yang terkeliru kerana beranggapan shalat yang empunya waktu hendaklah didahulukan, iaitu shalat `Asar dahulu kemudian baru shalat Zohor, maka apa yang mereka lakukan adalah menyalahi tertib. Walaupun hal ini tidak memberi kesan atas keabsahan perlaksanaan shalat - shalat tersebut secara jamak takhir, namun ianya menghilangkan pahala sunnat tertib tersebut. Mengenai sunnahnya tertib dalam perlaksanaan jamak takhir ini, ianya disebut dalam banyak kitab - kitab fiqh seperti "Tuhfah" dan "Nihayah".

Untuk lebih jelas, ambo nukilkan tulisan seorang ulama Sarawak mengenai kaedah perlaksanaan jamak takhir. Syaikh Daud bin Abdul Ghani rahimahullah dalam kitab beliau yang berjodol "Pedoman `Ibadah" Bahagian Pertama, halaman 102 - 103 menulis:-

Conto (nota: yakni contoh dalam Bahasa Malaysia) sembahyang qasar dengan jamak takhir.

(1) Orang yang hendak qasar dengan jamak takhir di antara sembahyang Zohor dengan `Asar itu hendaklah ia berniat jamak takhir di dalam waktu Zohor. Maka setelah masuk waktu `Asar, sunnatlah ia bang dan iqamat. Kemudian lalu mengucap: "Ushalli fardhadz Dzuhri rak`ataini qashran majmuu`an ilal `Ashri adaa`an Lillahi ta`ala", lalu disambungkan nya dengan mengucap takbiratul ihram, serta ingat di dalam hatinya waktu itu: "Sahaja aku sembahyang fardhu Zohor dua rakaat qasar dihimpunkan kepada `Asar". Habis itu lalu teruskanlah sembahyang itu sampai habis (macam gaya sembahyang Zohor jamak taqdim jua). Kemas memberi salam (nota:- perkataan "kemas memberi salam" di sini adalah mengikut pengertian dalam bahasa Melayu Sarawak yang membawa erti setelah sempurna memberi salam), lalu angkat iqamat. Kemas iqamat lalu terus sembahyang `Asar sampai habis (macam gaya sembahyang `Asar di waktu jamak taqdim jua).

(2) Kalau hendak sembahyang jamak takhir di antara sembahyang Maghrib dengan `Isyak, hendaklah ia berniat jamak takhir di dalam waktu Maghrib. Maka setelah masuk waktu `Isyak, sunnatlah ia bang dan iqamat. Kemudian lalu mengucap: "Ushalli fardhal Maghrib tsalatsa raka`aatin majmuu`an ilal `Isyaa-i adaa`an Lillahi ta`ala", lalu disambungkannya dengan mengucap takbiratul ihram, serta ingat di dalam hatinya waktu itu: "Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat dihimpunkan kepada `Isyak", kemudian diteruskan nya lah sembahyang itu sampai habis. Setelah kemas memberi salam, angkat lagi lalu iqamat. Habis iqamat lalu terus sembahyang `Isyak (macam gaya sembahyang `Isyak di waktu jamak taqdim).

Dari contoh yang dikemukakan di atas, mudah-mudahan jelas bagi kita bahawa perlaksanaan shalat - shalat secara jamak takhir juga mengikut tertib tersebut. Namun tertib dalam shalat - shalat ini hanyalah dihukumkan sebagai sunnat sahaja. Formulanya mudah sahaja "tertib dan muwalat" adalah wajib dalam jamak taqdim, manakala ianya adalah sunnat dalam jamak takhir. Mudah-mudahan perlaksanaan ibadah kita dapat diperkemaskan lagi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mohon share sidi