Ahad, Ogos 31, 2014

Kisah Mufti Muhammad Shafi`

Diceritakan bahawa satu ketika Maulana Mufti Muhammad Shafi` bin Muhammad Yaasin Utsmani (1897 - 1976) rahimahullah, mufti agung (Mufti-e-Azam) Pakistan yang pertama, telah pergi menziarahi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di Madinah al-Munawwarah. Ketika berada di hadapan makam Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang mulia, beliau terdengar satu suara yang indah tiada tara datangnya dari makam yang mulia tersebut, berkata: " Perkara ini hendaklah engkau sampaikan kepada orang, bahawa sesiapa yang mengamalkan sunnah - sunnahku maka dia akan dekat denganku, walaupun jaraknya denganku ribuan batu; Dan sesiapa yang tidak mengamalkan sunnah - sunnahku, maka dia jauh daripadaku, walaupun dia berdiri di sisi makamku."

Rabu, Ogos 27, 2014

Potret Imam al-Ghazali ???

Di atas adalah antara lukisan yang dikatakan sebagai potret rupa Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah yang disebarkan dalam masyarakat. Bahkan ada yang telah menjadikan gambar tersebut sebagai "cover" bagi buku - buku agama terutama sekali yang berkait dengan Hujjatul Islam sehingga menyebabkan sesetengah orang awam menerima bulat-bulat bahawa itulah rupa Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. Lukisan yang pada asalnya hitam-putih dan bergondol kepala, kemudiannya telah diberi warna dan diedit untuk lebih menepati citarasa Islami dengan memasukkan serban atau kopiah. Sebenarnya gambar yang beredar tersebut bukanlah rupa sebenar Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. Ianya adalah khayalan pelukis tertentu dan kini bukan sahaja Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, lukisan-lukisan yang dikatakan sebagai rupa Imam asy-Syafi`e radhiyaAllahu `anhu pun telah direka, bahkan ada yang mengedarkan lukisan-lukisan yang dikatakan sebagai rupa sahabat yang empat radhiyaAllahu `anhum.... Allahu .... Allah. Sikit hari lagi, jika tak dibendung, maka mereka akan lebih berani lagi mengedarkan lukisan yang dikatakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lukisan - lukisan sedemikian ini sememangnya telah ada lama hasil rekayasa para pelukis yang rajin berkhayal ditambah pula dengan penerimaan puak-puak sesat seperti Syiah terhadap karya mereka ini. Oleh itu, kita tidak hairan jika lukisan - lukisan "orang suci" tersebar luas di kalangan puak Syiah, namun apa yang menggusarkan kita adalah apabila orang - orang awam dalam masyarakat kita pun telah mula menerima potret - potret khayalan ini sebagai benar.

Berbalik kepada lukisan yang dikatakan sebagai Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, ese salinkan di sini jawapan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang terkenal di Nusantara, KH Sirajuddin Abbas rahimahullah dalam buku beliau "Kemusykilan Agama" mengenai potret yang dikatakan sebagai rupa wajah Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah untuk kita jadikan panduan. Pada halaman 12 - 15, beliau rahimahullah, mencatatkan sebagai berikut:-
Menurut pendapat kami itu adalah potret khayalan, bukan benar - benar. Dasar pendapat ini adalah:-
1) Imam Ghazali meninggal dunia tahun 505H, bersamaan dengan tahun 1111M. Sekarang tahun 1980M (yakni tahun KH Sirajuddin menulis jawapan ini), jadi Imam Ghazali sudah meninggal dunia 869 tahun yang lalu. Pada zaman itu, potret Imam Ghazali belum ada, dan belum dikenal. Sejarah potret itu baru dimulai pada tahun 1802, baru 178 tahun, ketika seorang sarjana Inggeris bernama Thomas Wedgwoog berhasil membuat copy photografi dari lukisan pada kaca (glass). 22 tahun sesudah itu barulah sarjana-sarjana Perancis, Niepce dan Daguerre, berhasil membuat potret sebagai keadaan sekarang. Jadi pemotretan itu baru dikenal di dunia 691 tahun sesudah meninggalnya Imam Ghazali. (Baca Encyclopedia "The New Faunk and Wagnalls", jilid 2, halaman 9561). Maka teranglah dan masuk akal kalau dikatakan bahawa potret muka Imam Ghazali itu bukanlah berasal dari potret benar-benar.
2) Apakah tidak mungkin potret itu berasal dari lukisan? Umpamanya Imam Ghazali pada masa hidupnya membiarkan dirinya dilukis oleh pelukis di atas kertas atau di atas kain. Lukisan itu tersimpan di sesuatu tempat yang dipelihara. Kemudian tahun - tahun terakhir, lukisan itu didapatkan oleh pencinta beliau, lalu dipotret sebagai yang terlihat dalam potret itu? Ini juga tidak mungkin, kerana pada zaman Nabi dan tahun - tahun sesudah Nabi, walaupun sudah ada seni lukis, tetapi yang dilukis itu hanyalah gambar-gambar benda yang tidak bernyawa, seumpama kayu - kayuan, gunung - gunung, sungai - sungai, lautan dan lain - lain. Melukis haiwan yang bernyawa dilarang keras oleh Nabi Muhammad s.a.w. Imam Ghazali sebagai seorang Ulama besar, Ahli tasauf yang tinggi, tidak mungkin membiarkan dirinya menjadi objek dari pekerjaan yang terlarang dalam agama. Di dalam kitab Hadis Bukhari terdapat hadis sebagaimana di bawah ini (ese nukilkan terjemahannya sahaja):- "Berkata Sa`ad bin Abil Hasan: "Pada suatu hari saya bersama Ibnu `Abbas. Tiba-tiba datang seorang laki-laki bertanya: " Wahai Ibnu `Abbas, bahawasanya saya seorang yang hidup dari pencarian tangan, saya membuat lukisan - lukisan ini." Maka Ibnu `Abbas menjawab:"Mahukah engkau mendengar dari apa yang saya dengar dari Rasulullah s.a.w., saya dengar beliau berkata: "Barangsiapa yang membuat gambar, maka Allah akan menyiksanya, disuruh tiupkan roh pada gambar itu, padahal ia tidak bisa meniupkan roh itu selama-lamanya." Maka laki-laki yang bertanya itu menjadi gementar, pucat mukanya. Lalu Ibnu `Abbas menyambung perbicaraannya: "Kalau kamu mahu menggambar (yakni melukis) juga, maka buatlah gambar kayu-kayan dan sekalian benda yang tidak bernyawa." (H.S. Riwayat Bukhari - lihat Fathul Bari syarah Bukhari, Juz V, halaman 321.) ....................
3) Dalam buku terjemahan "Ihya Ulumuddin", karangan Maisir Thaib cs. terbitan Syanza Bukittinggi, 1976, diterangkan di bawah potret kepada Imam Ghazali itu sebagai berikut: "Abu Hamid Al-Ghazali menurut lukisan khayal dari pelukis dan pujangga Arab, Jibran Khalil Jibran." Teranglah bahawa itu adalah potret khayal, image, bukan benar-benar. Kalau benar ini buatan Jibran Khalil Jibran, dapat kami tambahkan, bahawa potret ini adalah potret khayal dari seorang pelukis Libnan beragama Kristian, bernama Jibran Khalil Jibran, lahir di Libnanntahun 1883 dan meninggal dunia di Amerika tahun 1931. (Lihat Mausu`atul Arabiyah, hal. 611).
Allahu ... Allah, kita tidak perlu kepada potret - potret tersebut untuk mengenali Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah atau mana-mana ulama salafus sholeh terdahulu. Marilah kita mengenali mereka melalui karya-karya mereka yang penuh sarat berisikan panduan untuk kita menelusuri jalan yang dibawa oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jadikanlah diri kita sebagai umat yang dibanggakan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bukan hanya umat yang berbangga dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lebih - lebih lagi di zaman di mana ada yang kemaruk mencari-cari nasab yang mulia namun tidak pula pandai menjaga kemuliaan nasab.... Allahu.. Allah. Ketahuilah Junjungan Nabi itu habib yang sejati kerana dalam diri baginda penuh kecintaan kepada umat baginda. Maka janganlah sekadar mahukan kecintaan yang lain namun diri kosong daripada mencintai yang lain.

Rabu, Ogos 20, 2014

Durood Radawiyah

Ini adalah Daruud @ Durood @ Shalawat yang dinisbahkan kepada Syaikh Ahmad Ridha Khan Barelwi `alaihi rahmatul Bari, ianya masyhur dengan sebutan "Durood Radawiyyah". Shalawat ini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi para pengikut beliau terutama sekali di benua kecil India. Ese nukilkan sebagai satu sarana memperkayakan khazanah shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tanpa mahu terlibat dalam pertikaian antara Barelwi dan Deobandi.

Menurut tafsiran Syaikh Ahmad Ridha Khan rahimahullah, kalimah "an-Nabiy al-Ummiy" yang dirujukkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bererti bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah seorang Nabi yang tidak pernah diajar oleh selain Allah `azza wa jalla. Dalam tafsiran beliau yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, "Kanzul Iman", kalimah tersebut diterjemahkan sebagai: "The Prophet who is untutored (except by Allah)." Gaya penafsiran yang sama juga diberikan oleh Dr Tahirul Qadri dalam "Irfanul Quran" di mana kalimah "an-Nabiyy al-Ummiy" sebagai "he who imparts to the people from Allah the news of the unseen and knowledge and secrets of socio-economic disiplines of life without himself being taught by any human in the world ...... he has not learnt anything from anyone except Allah".  Marilah sama-sama kita mengucapkan shalawat dan salam atas Pemimpin Agung kita semua, Junjungan Nabi yang Ummi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Khamis, Ogos 14, 2014

Imam Angguk - Angguk

Pernah dalam satu siaran TV al-Hijrah, al-Fadhil Syaikh Nur hafizahullah menegur sikap sebahagian orang kita yang hanya melihat kepada kemerduan suara dan bagusnya bacaan seseorang itu untuk dijadikan imam. Tengok sodap je bunyi bacaan, terus lantik jadi imam, walaupun bab hukum - hakam shalat tak reti. Pernah kita tengok imam - imam yang walaupun hafiz (maaf cakap ni, bukan niat nak hentam sesiapa) bila membaca dalam shalat kepala mereka terangguk - angguk secara berturutan. Kalau kita tengok dalam kitab tok - tok guru kita, ambik yang koman le (maaf bukan nak perlekehkan mana-mana kitab ulama, koman di sini membawa erti yang biasa atau mudah diperolehi atau common dalam bahasa omputeh) macam Mathla`ul Badrain karya Tok Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah jelas dinyatakan bahawa kepala itu dianggap sebagai satu anggota besar, jadi kalau gerak - gerak kepala 3 kali berturut - turut membawa kepada batal shalat. Pada halaman 35 kitab yang berkat tersebut, dinyatakan:-  
"Perbuatan yang banyak lagi berturut - turut seperti 3 langkah yang berturut - turut pada `uruf samada sengaja atau tersalah batal sembahyangnya ....... Maka perbuatan yang banyak itu samada dengan satu anggota atau berbilang-bilang seperti digerakkan kepalanya dan dua tangannya.
Melainkan kalau dah jadi tabiat seseorang itu, tiap kali cakap dok angguk - angguk, geleng -geleng, maka mungkin boleh diuzurkan. Kalau dalam sholat je terangguk-angguk, luar sholat elok je, mana boleh kata uzur. Untuk lebih jelas ese bawak kat sini fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah yang terkandung dalam "Himpunan Fatwa 2 Negeri Kedah Darul Aman" pada halaman 24 - 25 sebagai berikut:-
Adakah sah sembahyang makmum mengikut imam yang sentiasa menggerak-gerakkan kepala ketika membaca Fatihah dan surah?
Daripada perkara yang membatalkan sembahyang ialah melakukan perbuatan yang banyak (al-`amal al-katsir) dengan sengaja atau lalai dan perbuatan itu perbuatan yang berat / besar (ats-tsaqiil) dengan berturut - turut tanpa ada apa - apa keuzuran samada dari jenis yang satu seperti tiga langkah (khuthwah) berturut - turut atau dari dua jenis seperti satu langkah dan dua kali pukul atau dua kali pukul dan satu langkah atau dari berbagai-bagai jenis seperti satu langkah, sekali pukul dan sekali goncang kepala, ketiganya dilakukan berturut - turut.
Perbuatan yang sedikit iaitu yang kurang dari tiga kali berturut-turut, sekali pukul atau dua kali pukul yang tiada berlebih - lebihan atau selangkah atau dua langkah yang tiada ada lompatan padanya tiada membatalkan. Walau bagaimanapun, kalau melakukan perbuatan yang sedikit dengan tujuan bermain-main, ia membatalkan.
Maka kalau imam menggeleng - geleng kepala atau mengangguk-angguk di dalam waktu membaca Fatihah atau surah dengan banyak atau berturut - turut tanpa keuzuran maka batallah sembahyangnya dan tiada sah sembahyang makmum yang mengikutnya.
Allahu .... Allah, harap diberikan perhatian sewajarnya mengenai perkara ini. Janganlah ada hendaknya tok - tok imam yang apabila membaca dalam shalat, mereka menggerak-gerakkan badan atau kepala sebagaimana yang dilakukan ketika menghafal dahulu. Sewaktu menghafal tu lain, sebab kalu mu tak gerak, mu ngantuk. Maka wajarlah mu gerak - gerak, tapi janganlah sampai dalam shalat pun gerak - gerak, karang semua makmum kat belakang pun bergerak - gerak ............ keluar saf....maaf cakap.

Khamis, Ogos 07, 2014

Shalawat Hajjiyyah


Menunaikan ibadah haji telah menjadi hasrat setiap insan yang menggelarkan dirinya muslim mukmin. Namun melihat kepada keadaan semasa, dengan pemakaian sistem kouta yang dikenakan oleh Saudi, maka ramai yang mengeluh melihat senarai menunggu giliran yang panjaaaaaaaaaaaaaaaaaaaang. Nak buat cam mana bang, sabar je la, yang penting sudah ada usaha dan niat untuk ke sana. Sampai tak sampai, serah kepada Yang Maha Bijaksana. Rajin - rajinlah berdoa agar diperkenankan Pemilik Ka`abah `azza wa jalla untuk datang bertamu ke rumahNya yang mulia. Yang penting kita kena sedar dan ingat bahawa walaupun rumahNya yang termulia ada di sana, namun Pemiliknya tetap wujud tidak bertempat. Jadi nak bertaqarrub denganNya tidaklah terikat kepada tempat semata-mata. Jangan kita jadi orang yang beranggapan bahawa Allah itu hanya ada di sana, maka masing - masing sok taat kepadaNya hanya di sana, di sini kebejatan pula jadi pakaian ...... Allahu ... Allah.

Para ulama kita telah menghimpunkan berbagai amalan sebagai munajat kepada Allah melalui amal shaleh agar dikabulkan hajat untuk ke sana. Antara yang masyhur adalah amalan bershalawat dengan shighah shalawat yang disertai permohonan agar disampaikan hajat untuk menunaikan ibadah haji ke Makkah al-Mukarramah. Kiyai Haji Ahmad Qusyairi rahimahullah telah menukilkan shighah shalawat sedemikian dalam "al-Wasiilatul Hariyyah" yang dikenali sebagai "Shalah Hajjiyyah @ Shalawat Hajjiyyah". Telah masyhur diamal dan dianjurkan pengamalannya oleh para masyaikh kita yang mulia, rahimahumullahu ajma`in. Mudahan - mudahan hajat kita untuk menunaikan ibadah haji diperkenankan Allah ta`ala dan dianugerahkan dengan haji yang mabrur.

Ya Allah, wahai Tuhan kami
Limpahkan shalawat dan salam ke atas Junjungan kami 
Nabi Muhammad yang dikasihi
Berkat shalawat sampaikanlah kami
Berkunjung ke rumahMu menunaikan haji
Makam baginda sempat diziarahi
Dalam kelembutan ketentuan Ilahi
Dalam afiat, selamat sejahtera, tercapai segala yang dicitai
Limpahi juga shalawat, salam dan keberkatan sekali
Atas sekalian keluarga dan sahabat Junjungan Nabi
Allahumma ........ aaamiin

Ahad, Ogos 03, 2014

Zikir Selepas Shalat

Imam  Muslim rahimahullah  meriwayatkan dalam "al-Jaami`ush Shahih", jilid 2,  halaman 96 satu zikir yang dibaca oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas shalat, di mana diriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu az-Zubair radhiyaAllahu `anhuma membaca selepas salam setiap shalat : "Tiada tuhan selain Allah, Maha Esa Dia lagi tiada sekutu bagiNya, milikNyalah segala kekuasaan dan puji-pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan keizinan dan pertolongan Allah. Tiada tuhan selain Allah, tiada yang kami sembah selain Dia, segala kenikmatan, anugerah kelebihan dan puji-pujian yang indah adalah milikNya semata. Tiada tuhan selain Allah, kepadaNyalah mereka mengikhlaskan segala ketaatan walaupun dibenci oleh orang - orang kafir." Dan beliau berkata bahawa adalah Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bertahlil dengan zikir tersebut selepas setiap shalat."

Sebahagian ulama menghukumkan sunnat agar zikir ini dibaca mengiringi apa jua shalat termasuklah shalat-shalat sunnat kerana berpegang kepada zahir makna hadis tersebut. Mudah-mudahan dapat kita lazimi sebagai upaya mengikut serba sedikit sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.